Followers

Tuesday, January 12, 2010

Borak-borak AJL


Gambar ihsan dari Google Image

Rasa macam nak bercerita pasal AJL.  Yelah, AJL 24 baru sahaja melabuhkan tirai malam tadi.  Dah 24 tahun rupanya AJL ni bersiaran.  Tak sangka betul!!! Acara tahunan bagi industri muzik yang sering ditunggu-tunggu.  Ini bermakna, AJL seusia dengan Macho Man.  Nampak sangat diri ini dah tuakan.  Kenalah mengaku, lebih-lebih lagi kurang dari sebulan umur tu dah nak menginjak ke satu lagi anak tangga.  Sana sini masih lagi hangat memperkatakan mengenai AJL.  Saya pun rasanya nak berkongsi apa yang saya tahu.

Imbas sikit-sikit mengenai AJL dalam diri saya ni, rasanya tak adalah pelik sangat.  Siaran pertama AJL dan kalau tak silap waktu tu dipanggil Muzik Muzik mungkin saya tak berapa nak ingat bila, tapi dalam kepala ni masih boleh terbayang-bayang peringkat akhir waktu Fransicca Peter menyanyi, Zaiton Sameon menang, Ramlah Ram dengan baju bertuah dan macam-macam lagilah.  Perkembangan industri muzik dalam keluarga kami bukanlah sesuatu yang asing.  Ini kerana Greatest Papa seorang wartawan pada ketika itu.  Mengikuti perkembangan semasa termasuk industri hiburan adalah antara perkara rutin.  Periuk nasilah katakan.  Banyak juga perkembangan arits-artis waktu tu kitaorang sekeluarga tahu.  Bayangkanlah waktu tu, mana ada budak-budak sebaya yang berminat hal ehwal artis bagai dengan keluar lagu barulah, gosip dalamanlah, skandal lagi tapi itu semua bagi kami asam garam industri hiburan.  Atas alasan ini jugalah Greatest Papa pantang kalau ada anak-anak yang tergila-gila nak menceburi bidang seni dan menjadi artis khususnya.

Berbalik pada AJL, yang saya ingat setiap kali peringkat akhir tarikh AJL tu mesti dah tak boleh nak ada hal-hal yang lain.  Appointment dengan AJL lebih penting dari segalanya.  Punya besarlah pengaruh AJLkan.  Walhal Greatest Mama tu bukannya ada beli album artis ke, dengar radio ke tapi dia yang melebih-lebih macam dia yang akan bertanding..he..he..he..Lepas tu kitaorang masing-masing menunjukkan bakat yang terpendam.  Bukan bakat untuk menyanyi ke apa tapi bakat menjadi juri dan pengkritik.  Yang bagusnya kami bebas memberi pendapat atau merungut.  Kalau benda tu betul Greatest Papa akan menyokong tapi kalau tak betul serta rasa nak berdebat amatlah dialu-alukan.  Mencongak-congak siapa yang bakal menang pun adalah antara perkara wajib sewaktu menonton.  Selalunya Greatest Papa punya tekaan tu hampir tepatlah, jarang tersasar.  Kitaorang ni kalau dulu-dulu selalu tersasar jugalah.  Yelah waktu tu sokong artis berasaskan perkara lain dan bukannya objektif pertanding AJL itu sendiri.  Hensemlah, suara tinggilah, persembahan menariklah dan macam-macam lagi.  Sedangkan kita semua tahu AJL adalah pertandingan lagu tersebut di mana untuk memberi pengiktirafan kepada penulis lirik dan pencipta lagu.

Semakin meningkat usia, semakin kami semua faham dan mengikuti objektif sebenar AJL.  Walaupun berkali-kali ditukar format pertandingan bagi saya AJL tetap relevan untuk terus dipertandingkan.  Ini kerana belum ada lagi pertandingan selain AJL yang memartabatkan usaha penat lelah penulis lirik dan pencipta lagu.  Kalau ada pun formatnya nampak tidak begitu menarik.  Secara terus terang saya tidak pernah langsung mengikuti pencalonan secara mingguan yang bersiaran.  Saya hanya mengikuti AJL bila dah nak sampai ke kemuncak.  Kalau rajin mungkin sewaktu pertandingan peringkat separuh akhir saya akan meluangkan masa.  Tapi itu pun jarang-jarang saya lakukan.  Tahun ni sekali lagi format AJL berubah.  Tiada lagi pengkhususan kategori seperti tahun-tahun terdahulu.  Baik dan buruk tetap ada bagi pengolahan format tersebut.  Tapi mungkin pihak TV3 telah menghalusi segala faktor dan sebagai hasilnya AJL 24 telah berwajah baru.

Kita mulakan dulu dengan yang buruk.  Bagi saya, format baru ini membuatkan suatu genre muzik yang diminati menguasai pertandingan.  Genre muzik yang makin tenggelam akan terus tenggelam kerana peluang untuk dipertengahkan sudah tidak ada.  Macam malam tadi, jelas kategori Etnik Kreatif langsung tidak kelihatan calonnya.  Kebangkitan satu-satu jaluran muzik bakal mendominasi pertandingan kelak.  Ini kerana saya difahamkan pencalonan mingguan adalah berdasarkan undian penonton.  Oleh itu peluang pencipta lagu bagi genre yang kurang diminati amatlah tipis kelak.  Saya faham dunia muzik kita semakin berubah dan kita harus berani melangkah jika mahu setanding dengan negara-negara lain, cuma sayang pula rasanya bila genre-genre muzik lain yang mana mungkin mampu mencerminkan identiti kita sendiri mungkin hilang peluang terus.

Sewaktu pengagihan lagu-lagu untuk pertandingan peringkat separuh akhir juga nampak tidak seimbang.  Ada minggu yang bertanding kesemua lagu-lagunya hebat-hebat belaka.   Ada pula minggu di mana lagu-lagu di  pertandingan sekadar biasa-biasa sahaja.  Oleh kerana format hanya yang mendapat markah tinggi pada minggu tersebut sahaja boleh melangkah ke peringkat akhir, lalu lagu yang berada di dalam kumpulan yang sama-sama hebat terpaksa akur.  Saya ada terbaca beberapa komen mengenai hal ini di akhbar tempatan dan kalau tidak silap ada dua tiga lagu yang sememangnya layak tercicir.  Tapi tak perlu diperbesarkan kerana segalanya pun bersangkutan dengan rezeki.

Yang baiknya pula dengan format baru ini, kalau sememangnya lagu tersebut bagus dan dari jalur muzik yang sama semuanya serta memang layak bertanding berpeluang beraksi di peringkat akhir.  Jelas sekali malam tadi lagu-lagu dari genre Pop sememangnya menguasai pentas.  Kalau format yang lama hanya 4 lagu sahaja mewakili setiap kategori.  Kali ini tak perlu lagi.  Tiket untuk ke akhir adalah kualiti dan bukannya tangkap muat atau hanya ingin memenuhi kuota kategori.

Pemenang juga amatlah sukar diramalkan.  Kalau kategori lama setiap pemenang dari kategori yang dipertandingkan itulah bakal muncul juara.  Kiranya juara berganda.  Tetapi tidak pada format yang baru ini.  Kalau perlu lagu indie yang akan menang dari tempat ketiga hinggalah juara lagu indielah yang akan menang.  Tak adalah kita tengok pemenang juga kira tangkap muat hanya kerana memenuhi format iaitu pemenang bagi setiap kategori.  Bukan itu sahaja, malah peserta pun bebas untuk meletakkan gaya persembahan mereka di bawah kategori mana.  Kalau dulu bila peserta dari kategori balada bila buat persembahan atau penambahan dari segi susunan lagu kenalah mencerminkan kategori yang dipertandingkan.  Tapi dengan format yang ada sekarang, sekiranya persembahan lagu tersebut nak dicampur adukkan tidak menjadi sebarang masalah.  Ini kerana lagu tersebut bertanding atas tiket lagu itu sendiri dan bukannya pengaruh kategori.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh kita terjemahkan tetapi saya harus mengingatkan diri sendiri supaya jangan meleret lagipun tajuk entri hanya nak borak-borak, tak perlulah kupasan terlalu mendalam.  Berjuntai-juntai nanti ayat disambung-sambung.  Kita balik semula ke cerita peringkat akhir AJL malam tadi.

Terus terang saya katakan tahun ini saya langsung tidak teruja untuk menonton AJL.  Bukan seperti tahun-tahun yang sudah.  Mungkin saya masih lagi terikat dengan format lama lalu apabila melihat senarai lagu akhir saya mula merasa bosan.  Tidak ada satu pun lagu yang saya minat ataupun menepati citarasa saya.  Paling tidak pun saya minat pada lagu Stacy.  Lain-lain tu ibarat suam-suam kuku di halwa telinga saya.  Kesemuanya lagu baru yang jarang didengari.  Tiba-tiba terus rasakan bahawa genre muzik sekarang tidak berkenan di pendengaran cuping saya.  Retro rupanya saya ni.  Bagi saya lagu-lagu lama lebih mampu menyorot pendengaran saya untuk terus mendengar.  Siapa pun yang menang saya tak kisah sebab yakin juri lebih arif.

Dalam tidak teruja saya akhirnya menonton juga walaupun berseorangan.  Semua ahli keluarga saya berkumpul di rumah Puan Ninie.  Kan saya dah kata AJL antara acara tahunan keluarga.  Saya tidak menyertai kerana berniat untuk melompat-lompat siaran sekiranya bosan menonton.  Kalau ke rumah adik nanti hilang hak mutlak remote control.  Mungkin takdir untuk saya menonton AJL kuat, kerana tiada langsung rancangan menarik sepanjang AJL bersiaran.  Kalau ada pun bukanlah pada jam 9.00 malam.  Nak tak nak kena jugalah menonton AJL.

Bila bersiaran jangkaan saya sememangnya meleset.  Pertandingan kali ini amat hebat dan sengit.  Dari pencalonan pertama lagi dah mula merasai bahang pertandingan.  Lagu-lagu dipertandingkan sememangnya hebat.  Setiap lagu yang berkumandang mempunyai peluang sebagai pemenang.  Secara jujurnya pada malam AJL itulah pertama kali saya mendengar lagu Bunkface, Hujan, Aizat, Black dan juga Tomok.  Kalau pun selama ini saya ada mendengar hanyalah sebahagian -sebahagian lagu.  Ini kerana saya tidak pernah mendengar radio Hot FM dan mendengar ERA hanyalah pada carta lagu hujung minggu.  Itu pun kebanyakkan lagu Indonesia yang mengungguli carta ERA.  Saya memandang rendah genre lagu Indie kerana rasa macam menyampah tengok pakaian ahli kumpulan mereka dan kadang kala tidak berkenan dengan identiti yang dibawa oleh kumpulan indie.  Tetapi pada malam tadi lagu-lagu mereka inilah telah memikat saya terutamanya Hujan dan Estranged.  Persembahan pun bukan calang-calang yang mereka persembahkan. 

Peserta yang bertanding memang mempunyai kelas mereka yang tersendiri.  Tapi sayang walaupun saya meminati Stacy, ternyata pada malam tadi Stacy macam gagal memberikan persembahan terbaik dari segi vokal.  Persembahan pentas memang tidak dapat dinafikan kerana bagi saya Stacy adalah "Queen of Stage".  Terlalu bagus persembahan beliau tetapi tidak disertai dengan nyanyian.  Mungkin kalau Stacy blend tarian dengan nyanyiannya, dia berjaya membawa pulang anugerah persembahan terbaik.  Ini kerana bagi saya persembahan terbaik harus merangkumi segala faktor berkaitan di atas pentas serta apa yang dipersembahkan.  Segalanya di atas pentas tidak harus ada cacat cela.  Mutu suara harus seimbang dengan persembahan.

Seorang lagi yang berjaya menarik perhatian saya adalah Black.  Suaranya, sesuatu!!!!Tak sia-sia mentornya memberikan tunjuk ajar malahan rasanya protegenya lebih bagus dari mentor..he..he..he..Sekurang-kurangnya kita tahu industri muzik kita bakal tidak tandus dengan penyanyi yang mempunyai kualiti suara yang baik.  Cuma kemunculan Black di waktu persembahan sebelum keputusan rasanya tidak wajar kerana Black adalah salah seorang peserta.  Dengan menyanyi di waktu persembahan seolah-olah memberi hint bahawa Black bakal menjadi salah seorang pemenang kerana kelebihan yang ditunjukkan.  Kan ramai lagi penyanyi di luar, mengapa harus juga menggunakan khidmat peserta pertandingan akhir.

Saya mula mencongak-congak siapa yang akan menang dan jangkaan saya tepat apabila lagu Aizat berjaya menjadi juara.  Sekali sahaja saya dengar lagu tersebut dan menghayatinya, lagu tersebut seperti wow!!!  Setiap bait liriknya cukup bermakna.  Susunan muzik pada malam tadi juga cukup menarik apabila menyuntik elemen-elemen yang amat berbeza.  Idea menggabungkan keunikan nyanyian penyanyi berbangsa India serta bunyian alat muzik berunsur kaum cina sememangnya memberi kelainan dan kesegaran.   Ditambah pula dengan magis lirik yang disusun amat teratur rimanya mengandungi maksud yang mendalam. 

Bagi saya sebuah lagu akan menjadi begitu indah jika bait-bait liriknya cukup puitis serta mempunyai bunga bahasa yang tinggi serta sampai mesej kepada pendengar dan disulami pula dengan keindaha susun atur muzik yang menggabungkan pelbagai unsur dalaman muzik sehingga memberikan sentuhan berbisa di hati pendengar.  Ditambah pula dengan kelunakan suara penyanyi yang berjaya menghayati dan menyelami apa yang ingin disampaikan oleh penulis serta pencipta lirik.  Ternyata Aizat berjaya melaksanakan tugas dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan oleh pencipta lagu serta penulis lirik.  Saya tidak berpeluang menonton Talentime lagi dan rupanya lagu ini merupakan lagu tema untuk filem tersebut.  Allahyarham Yasmin Ahmad sememangnya mempunyai citarasa yang tinggi dalam menghasilkan karya seninya.

Apa pun segalanya sudah terjawab.  Tak perlu rasanya saya senaraikan satu persatu pemenang kerana semuanya telah pun diketahui.  Bagi yang tidak berpuas hati terimalah dengan hati terbuka.  Kalau kita yang melihat tidak berpuas hati cuba fikir mereka yang bertanding.  Adat bertanding ada menang ada kalah, kalau semuanya nak menang siapa pula yang nak menduduki kerusi tewas.  Yang penting kita sama-sama menyokong industri muzik hiburan tanah air.  Kita memang tidak mampu menyaingi negara-negara Barat tetapi biarlah industri kita ini dipandang tinggi oleh rakyat sendiri.  Siapa lagi yang mahu memartabatkan hasil kerja anak seni orang kita kalau tidak kita sendiri.  Yang pasti AJL akan terus menjadi platform bagi mereka ini yang menghasilkan ciptaan yang bermutu tinggi.  Apa pun tahniah kepada pasukan AJL 24 kerana berjaya menzahirkan AJL kali ini dengan berjaya dan ianya ternyata sebuah program yang bagus walaupun terdapat gangguan sewaktu Jeffry Din membuat persembahan

(Apa yang dikongsi pada entri kali ini adalah pendapat peribadi dan tidak untuk menyerang sesiapa yang membaca.  Andai salah apa yang cuba disampaikan maka salahkan saya, ini kerana saya tahu apabila melibatkan artis tertentu sesetengah individu mempunyai pendangan yang berbeza.  Saya tidak mahu hanya secebis pendapat boleh membawa permusuhan berkekalan...)

 


No comments :

Post a Comment