Followers

Tuesday, January 5, 2010

Sana..Sini...Situ...Melaka -Bhgn 6-

Rasanya ini akan menjadi bahagian terakhir untuk cerita perjalanan ke Melaka yang dilakukan hampir dua bulan yang lalu.  Akhirnya sampai juga ke penghujung.  Itulah adat dunia namanya, setiap yang bermula pasti akan berakhir cuma kita tak pasti bila.  Wah, hanya kerana nak menghabiskan cerita sanggup letak madah pujangga bagai.  Bukan apa, terlalu lama rasanya drag cerita tersebut sehinggakan diri sendiri pun dah bosan serta tertanya-tanya bilalah agaknya akan berakhir.  Oleh itu, inilah masanya...Banyak lagi cerita yang beratur dalam senarai entri.  Entah terlaksana ke tidak untuk publish nanti kita tengok sajalah nanti.

Sambungan....

Dapat sahaja bilik, kitaorang semua tak lama pun memanjakan diri di atas katil walaupun kalau ikutkan hati masing-masing mahu sahaja melelapkan mata barang seminit dua.  Tapi nak buat macamana, saya dan Ayu Bam Bam perlu membuat proses membeli belah sedikit memandangkan kitaorang tidak mempunyai apa-apa langsung persediaan untuk bermalam.  Selesai hantar barang dan memeriksa bilik, kami berlima terus keluar semula dan menahan beca untuk ke pusat membeli belah Dataran Pahlawan.  Seronok jugakan bila menggunakan beca sebagai kenderaan perantaraan, rasa macam orang dulu-dulu pula.  Terus feeling ala-ala filem Penarik Beca.  Kalau ikutkan mula-mula kitaorang nak jalan kaki sahaja dari hotel ke Dataran Pahlawan, tapi masing-masing pun muka dah lesu baik naik beca sahaja.  Naik kereta kirim salamlah.  Punyalah sesak Bandar Melaka tu, dari elok-elok makan masa 5-10 minit boleh sampai nanti jadi setengah jam baru nak sampai.

Turun sahaja dari beca, saya dengan Ayu Bam Bam macam lipas kudung mencari barang.  Diaorang yang lain-lain tu kenalah tunggu sekejap sementara kitaorang berdua memilih barang.  Dalam kitaorang sibuk memilik barang isteri Ejump aka Nova pun ambil kesempatan jugalah mana tau boleh membeli mana-mana yang berkenan.  Tapi yang kitaorang paling seronok tengok Si Miera Menyut-Menyut.  Ke sana sini dia berlari-lari.  Seronok sangat dia dapat lepas dari dukungan mak ayah dia.  Kejap nampak dia kat depan, sekejap nanti kat belakang kitaorang, merata-ratalah dia jelajah.  Siap membeli barang keperluan, diaorang ambil keputusan untuk jalan kaki pulang ke bilik hotel.  Antara tujuan utama berjalan kaki supaya boleh menyinggah mana-mana kedai makan yang berkenan di hati.  Yelah, sepanjang hari baru makan sekali sahaja iaitu di kedai asam pedas Haji Isenin.  Sampai nak pukul 9 malam perut belum diisi lagi.  Mestilah dah meronta-ronta minta diisi.  Selain tu, boleh sambung berjalan-jalan sekitar Bandar Melaka.

Jalan punya jalan sekali Ejump ternampak kedai Fish Spa.  Dia yang tak pernah cuba terus nak mencuba untuk pertama kali.  Lagipun harga yang ditawarkan memang berpatutan bagi yang pertama kali mencuba.  Saya dan Abang ok saja, yelah kitaorang memang selalu pergi Fish Spa di KL.  Tapi ikan yang ada dalam tu memang tak memuaskan hati.  Kecil sangat.  Yang besar adalah dalam 3-4 ekor sahaja.  Nak dekat setengah jam jugalah kitaorang tersangkut di Fish Spa tersebut.  Lagipun pekerja di situ beri muka sikit, bolehlah berlama-lama merendam kaki.

Selesai sahaja di Fish Spa terus menaiki bot menyusuri Sg Melaka.  Saya pernah naik sekali tapi bukanlah di waktu malam.  Sememangnya pengalaman menaiki bot tersebut di waktu malam amatlah berbeza.  Sepanjang menyusuri Sg Melaka, mata di saji dengan keindahan lampu yang mengerlip-ngerlip sepanjang perjalanan.  Perjalanan yang mengambil masa 45minit serta ditambah dengan kedinginan angin malam memang menyamankan pemandangan.  Kalau dulu bila nak menaiki bot ini, kena tunggu air pasang serta air tinggi baru bot boleh bergerak.  Tetapi sekarang tak perlu lagi.  Kerajaan negeri Melaka telah membuat seperti empangan supaya air sentiasa dikawal parasnya dan cukup tinggi bagi laluan bakal disusuri oleh bot-bot tersebut.

Perjalanan bot tersebut akan membawa penumpang sehingga ke kawasan Kg Morten iaitu kawasan perkampungan orang Melayu di Melaka.  Perkampungan ini adalah perkampungan Melayu lama dan sehingga hari ini, kerajaan memberi peruntukan khas supaya penduduk dipersisiran sungai tersebut terus memelihara nilai tradisi masyarakat Melayu Melaka.  Rumah diaorang memang cantik semuanya.  Tapi sayang tiada gambar yang dapat dikongsi bersama sebab sebenarnya kitaorang dah keletihan untuk bergambar.  Selain itu, sewaktu menaiki bot, kami menyedari ada satu kawasan baru khusus untuk tarikan pelancong-pelancong yang datang.  Kawasan tersebut mempunyai air pancut dan air pancut tersebut akan mengeluarkan air serta lampu mengikut lagu-lagu yang telah ditetapkan.  Ramai juga orang yang ada di situ, kitaorang cuma menikmatinya dari dalam bot sahajalah.  Tapi memang cantik air pancut tersebut.

Antara gambar-gambar yang sempat kitaorang ambil tapi tak banyak hasilnya sebab masing-masing dah hilang mood untuk bergambar kerana kepenatan


Bergambar sebelum menaiki bot.  Itulah botnya di belakang kitaorang tu


Bergambar di dalam bot berlatar belakangkan lampu-lampu yang berkerlipan


Mama dgn Papa Miera Menyut-Menyut dah tak boleh nak pandang kamera kerana kepenatan tapi anak diaorang boleh saja.

Turun sahaja dari bot nak dekat pukul 11.30 malam.  Menggelupur cari kedai makan.  Terus cari kedai makan untuk mengisikan perut yang kosong.  Oleh kerana dah tahap kebuluran kitaorang main belasah sahaja kedai yang mana janji boleh makan.  Nasib baik makanannya Alhamdulillah sedap. Dalam perjalanan  menuju kedai makan sempat jugalah kitaorang susuri pasar malam Baba Nyonya tapi tak membeli apa pun.  Nafsu membeli dah tertutup sebenarnya sebab penat.  Dalam kepala masing-masing terbayang tilam serta bantal nan empuk.   Selesai memenuhkan perut terus balik hotel.  Sampai hotel memang semua surrender terus tidur tak sedarkan diri.

Esok pagi, kitaorang bangun sarapan pagi cuma Ejump sahaja yang tak ikut.  Penat malam tak hilang lagilah tu.  Sambil bersarapan sempat lagilah kitaorang berfoto-foto dan hasilnya:


Dua beranak yang belum mandi tapi dah tak tahan nak bersarapan pagi


Gambar syok sendiri Ayu Bam Bam


Muka suci murni di pagi hari


Seriusnya lah bercakap macam hal penting sangat


Walaupun hanya sarapan pagi tapi kitaorang tetap bersemangat dalam bab makan-makan ni.  Tak kalah punya

Selesai sarapan, kitaorang balik bilik sambung rehat-rehatkan badan.  Luruskan mana urat-urat yang tersimpul dek kerana penat berjalan semalam.  Lebih kurang pukul satu kitaorang bergerak keluar dari hotel terus balik KL.  Apa pun memang seronok jugalah percutian mengejut macam ni.  Sebabnya masing-masing kepala semua ok.  Boleh masuklah kiranya kitaorang berlima ni walaupun Ejump tu ada anak kecilkan.  Diaorang suami isteri memang sempoi gila.  Lepas ni boleh kita pergi lagi berjalan-jalan ok.  Tapi tolonglah buat perancangan betul-betul kesian kitaorang ni nanti.


Bergambar kenangan sebelum pulang meninggalkan hotel


Cantikkan kerusi antik ni?  Puas bergambar kitaorang melambaikan tangan kepada Negeri Melaka.  Ada rezeki kitaorang pasti akan datang lagi

Alhamdulillah, selesai jugalah jurnal perjalanan ke Melaka.  Sepanjang menuju penghujung tahun 2009, adalah juga beberapa tempat yang kaki ni sempat singgah.  Insyaallah kalau ada rezeki nanti kita bercerita kelak di sini.  Tapi harap jangan jemu kerana huraiannya meleret-leret.







No comments :

Post a Comment