Followers

Wednesday, February 3, 2010

CUCI The Musical

Godek-godek gambar dalam kamera, sekali terpandang gambar yang diambil sewaktu menonton teater muzikal CUCI.  Terus rasa macam nak buat entri mengenai teater tersebut.  Walaupun dah sah-sah teater ini  dah lama gila dipentaskan, kalau tak silap sebelum bulan puasa tetapi saya rasa masih perlu untuk membuat sedikit review mengenai teater ini.   Kira-kiranya ini cerita 2009 di 2010.  Sekurang-kurangnya komen saya ini boleh diguna pakai kelak oleh sesiapa yang membaca lalu boleh menimbang samada mahu atau tidak untuk menontonnya sekiranya pementasan kali kedua di adakan.  Wah, macam dah satu tanggungjawab pula rasanya!!!

Secara jujurnya, saya tidak pernah meragui kredibiliti ahli pasukan yang membuat pementasan teater muzikal CUCI ini.  Apatah lagi apabila ianya melibatkan penampilan Afdlin Shauki.  Walaupun pementasan ini tidak meletakkan Afdlin Shauki sebagai pengarah ataupun mana-mana tenaga kerja yang penting tetapi dengan kehadiran beliau sebagai salah seorang pelakon diyakini pementasan ini pasti berada di dalam regunya yang tersendiri.  Selain itu, saya juga telah menonton berulang kali filem CUCI yang pernah menjengah pawagam Malaysia.  Atas alasan inilah saya sanggup mengeluarkan duit yang agak mahal demi untuk menonton pementasan ini.  Mereka-mereka ini jugalah yang terlebih dahulu telah berlakon di dalam filem Baik Punya Cilok dan saya telah terpikat dengan gandingan mereka berempat melalui filem tersebut.

Untuk pertama kalinya saya mengeluarkan wang berjumlah hampir RM150 untuk menonton sebuah persembahan teater.  Saya penggemar teater tetapi untuk mengeluarkan wang sejumlah yang tinggi masih belum sanggup lagi.  Tetapi demi kerana CUCI saya sanggup memperjudikan nasib.  Bukan sahaja nasib, tetapi juga mempertaruhkan kepercayaan orang lain terhadap saya.  Beria-ia saya mengajak Abang, E-jump suami isteri, Ayu Bam Bam dan juga kawan baik saya.  Untuk mempengaruhi Abang tu bukannya susah sangatlah kerana dia sendiri minat gila barisan pelakon teater muzikal ini dan percaya teater ini gerenti hebat.  Tetapi untuk mempengaruhi E-jump suami isteri agak susah kerana mereka tidak menonton lagi filem CUCI.  Dengan harga tiket yang sebegitu mahal sudah pasti mereka teragak-agak.  Hanya berbekalkan air liur akhirnya saya berjaya memujuk mereka untuk turut serta cuma sayangnya kawan baik saya tidak dapat bersama atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Namun segalanya berbaloi apabila mereka juga amat berpuas hati.

Tiket teater ni sememangnya ibarat goreng pisang panas.  Saya semata-mata memilih minggu terakhir pementasan kerana membayangkan pastinya ramai yang telah menonton di awal-awal pementasan.  Jangkaan saya meleset.  Agak sukar untuk mendapat kerusi yang diingini secara pukal.  Kalau ada pun, kami terpaksa duduk berasingan.  Pilih punya pilih akhirnya kami mendapat hari Selasa pada minggu terakhir pementasan dan kerusi kami adalah barisan yang paling hadapan sekali.  Kalau ikutkan pada hari tersebut saya mempunyai kelas tetapi sanggup ponteng demi untuk menonton teater ini.  Saya tidak kisah, asalkan saya duduk dengan dengan set pementasan serta dapat melihat segalanya dengan jelas.  Tapi bila dah nak sampai ke penghujung pementasan lenguh jugalah kaki kitaorang sebab tidak mempunyai ruang yang cukup untuk meluruskan kaki dan badan.  Semuanya kena duduk tegak sahaja.

  Sebelum pementasan bermula

Pada hari yang sama juga kalau tidak silap YM Raja Muda Perlis ada turun menonton.  Bukan itu sahaja, artis-artis tempatan juga ternampak kelibat seperti Ning Baizura, Jeslina Hashim dan ramailah lagi.  Memang penuh Istana Budaya.  Rasanya tiada sebarang kerusi kosong.  Bagi saya dari segi sokongan penonton, teater ini telah berjaya sepenuhnya.  Dengar kata, bukan sahaja malam tersebut malah malam-malam sebelumnya juga "FULL HOUSE".  Sambutan penonton sememangnya hangat.  Ringkasnya, kalau anda seronok menonton filem CUCI, keseronokan itu akan berganda apabila anda menonton teater muzikal tersebut.  Kalaulah jari kaki boleh diangkat bagi menunjukkan betapa bagusnya teater ini, pasti akan saya lakukan.  Dari awal sehinggalah habis pementasan, kami sebagai penonton cukup terhibur.  Kalaulah tiketnya berharga RM20, maka tiap-tiap malam saya akan berada di dalam perut Istana Budaya itu bagi mengikuti persembahan mereka tanpa rasa jemu.

Tidak ada sebarang ulang tayang atau konsep guna semula dialog dari filem CUCI ke dalam teater ini.  Walaupun mengangkat tema cerita yang sama tetapi dari segi pengolahan jalan ceritanya amatlah berbeza.  Masih mengekalkan semua watak yang sama cuma perubahan dari segi pelakon.  Kalau anda merasakan sudah cukup dengan hanya menonton filem tanggapan tersebut adalah salah sama sekali.  Andai ada rezeki, sekiranya CUCI kembali ke pentas teater, ringan-ringankan kaki untuk menjengah mereka ke sana.  Sewaktu membeli tiket, seorang makcik berkata "Sekiranya Cuci diberi peluang mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa, negara tidak akan malu langsung dengan hasilnya kelak".  Saya tidaklah terfikir seperti makcik itu, cuma saya merasakan teater muzikal CUCI memberi satu dimensi baru dalam arena teater.  Kiranya, teater ini berada selesa di dalam gelanggang mereka tersendiri.  Apatah lagi apabila para pelakon tidak terikat dengan skrip, terlalu banyak skrip-skrip spontan yang keluar dari mulut para pelakon sehinggakan mereka sendiri adakalanya ketawa sesama sendiri apabila melafazkan dialog-dialog tersebut.

Curi-curi ambil gambar.  Walaupun duduk di bahagian paling hadapan, masih belum berani untuk mengambil gambar.  Takut kena marah dengan pekerja Istana Budaya

Kalau dah suka yang buruk pun nampak indah.  Itulah selayaknya perumpamaan yang boleh diberi kepada saya apabila membuat komen mengenai teater ini.  Tiada sebarang kecacatan dan sehingga hari ini yang manis-manis sahaja keluar dari mulut saya kalau berterusan berbicara mengenai teater CUCI.  Mungkin saya tidak boleh menjadi dacing di dalam membuat penilaian terhadap teater ini kerana saya terlalu obses.  Jalan cerita yang amat menarik, set teater yang sempurna, susun atur muzik yang mengasyikkan, dan segala-galanya yang baik-baik belaka.  Cuma saya ada terfikir, kalaulah watak heroin tersebut masih lagi dipegang oleh primadona filem Melayu moden kita iaitu Erra Fazira, pasti ianya akan nampak lebih sempurna.  Bukan untuk menidakkan bakat Vanidah Imran, mungkin saya masih lagi terikat dengan watak yang dilakonkan oleh Erra Fazira di dalam filem.  Walau apa pun, mereka semua berusaha dengan cemerlang.  Bukan senang untuk memastikan segalanya lancar pada setiap hari apatah lagi kudrat tenaga yang harus dicurahkan bukannya sedikit.  Sebagai sebuah pasukan mereka semua melaksanakan tanggungjawab yang dibebankan dengan begitu cemerlang dan kita sebagai penonton mendapat hasil yang cukup berbaloi.


Apa yang saya terkenangkan di saat ini adalah perselisihan di antara penerbit dan juga pelakon utama di dalam teater ini iaitu Hans Issac dan juga AC Mizal.  AC boleh dikatakan sebagai 'main anchor' di dalam persembahan ini dan melalui wataknya suasana pementasan amat hidup.  Saya pasti sesiapa yang telah menonton bersetuju dengan pendapat saya.  Sekiranya CUCI kembali ke Istana Budaya dan perselisihan ini tidak dapat ditamatkan maka tempat AC pasti diganti dengan orang lain.  Amatlah rugi sebenarnya.  Dari sudut nilai komersialnya juga boleh jatuh.  Saya masih tidak dapat membayangkan sesiapa di dalam industri yang dapat menggantikan tempat beliau.  Mungkin saya tidak melihat jauh ke dalam industri, entahlah.  Tapi sayangkan, hanya kerana perkara-perkara kecil, ikatan persahabatan yang lama terjalin boleh terputus begitu sahaja.  Harap-harap ianya tidaklah menjadi kenyataan walaupun selepas pementasan masing-masing berbalas di dalam media sehinggakan di suatu peringkat sampai hendak menggunakan kuasa mahkamah.  Amatlah ironi apabila dahulu bertepuk tampar tapi kini saman menyaman.  Tetapi siapalah kita untuk meluahkan rasa.

Empat sahabat yang menghidupkan suasana dan telah membuat kami tak kering gusi dari awal sehingga akhir.

Terima kasih pasukan CUCI THE MUSICAL kerana telah memberi kenangan manis kepada penonton-penonton seperti kami.  Kepada penerbit, kalau sekiranya kembali lagi ke pentas harap-harap akan bertambah bagus dari yang pernah dipersembahkan kerana saya pasti akan kembali lagi.

Hans bertindak sebagai penerbit dan juga antara teraju utama.  Tengok dari dekat memang hensem dia ni.

Mula-mula ingat nak tunggu pelakon semua keluar untuk bergambar tetapi bila mengenangkan mereka semua kena berjumpa dulu dengan VVIP yang hadir pada malam itu, kami terus melupakan hasrat tersebut.

Sebelum pulang bergambar bersama.  Yang pasti masing-masing muka penuh kepuasan


nota:  saya terlepas menonton teater Natrah yang dikhabarkan juga begitu berjaya.  Kalau Natrah kembali saya akan pastikan untuk menonton pementasan tersebut.  Ruginya rasa bila terlepas pementasan antara yang terhebat

No comments :

Post a Comment