Followers

Friday, February 12, 2010

Sila berhati-hati

Kalau rajin mengorek entri saya yang lepas ataupun ada yang memang dah mengikuti sejak awal, mesti masih ingat yang saya ada nyatakan sehari sebelum GM menyambut hari lahirnya yang ke-50, suatu musibah telah melanda dirinya.  Agak lama juga saya mencari peluang untuk berkongsi perihal musibah tersebut dan akhirnya dapat juga saya mencuri sedikit ruang di sini.  Kepada sesiapa yang telah mengetahui ataupun mengikut Puan Ninie melalui status di FB, pasti telah tahu apakah halnya tetapi bagi sesiapa yang belum mengetahui apa pun, dengan hampanya saya memberitahu bahawa MAMA SAYA aka GM telah ditipu oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan makhluk bernama manusia itu amat  tidak berhati perut mengambil kesempatan terhadap orang yang mudah terpedaya.  Saya merasa terpanggil untuk bercerita kerana merasa bertanggungjawab untuk menghebahkan perkara ini kepengetahuan orang ramai walaupun detik hitam tersebut telah berlaku hampir dua bulan yang lalu.  Moga kisah ini akan menjadikan anda semua diluar sana lebih berhati-hati sekiranya mendapat panggilan dari pihak bank

Ceritanya begini,
Pada tengahari Isnin bersamaan 30 November 2008 sewaktu sedang melayan karenah cucu, GM telah mendapat panggilan melalui peti simpanan suara AmBank menyatakan mereka mengesyaki salah satu kad kredit GM mungkin telah disalah gunakan oleh pihak ketiga.  Untuk kepastian, GM diarah menekan butang nombor 9 bagi tujuan disambungkan kepada khidmat pelanggan.  Nombor yang tertera di handphone GM adalah nombor AmBank.  Bagi menginginkan kepastian, GM menekan butang 9 seperti yang diarahkan lalu panggilan telah disambungkan kepada seorang lelaki berbangsa yang kononnya bertindak sebagai customer service.

Melalui perbualan, lelaki tersebut apakah masalahnya.  Lalu GM bertanya apakah status kad kreditnya.  Adakah sebarang penyelewengan berlaku?  Lelaki tersebut meminta nombor kad pengenalan serta kad kredit.  Melalui semakan lelaki itu yang kononnya pihak bank mengatakan memang ada satu transaksi telah dilakukan di Poh Kong KLCC bernilai RM3 ribu lebih dalam lebih kurang pukul 10 pagi.  Lelaki tersebut bertanya adakah GM ada membuat transaksi tersebut.  GM menafikan dengan mengatakan saat itu dia sedang berada di rumah.  Untuk menambahkan keyakinan GM bahawa kadnya telah diguna pakai oleh orang lain, GM diminta memberikan nombor kad kredit untuk semakan.  Lalu GM memberi nombor tersebut dan melalui semakan nombor kad kreditnya adalah sama kecuali 4 angka yang terakhir.  Lelaki tersebut terus mengesahkan bahawa identiti GM telah dicuri dan digunapakai oleh orang lain.  Bagi tujuan keselamatan, dalam tempoh 30 minit dari saat itu, GM akan menerima satu lagi panggilan yang kononnya dari pihak bank bahagian Fraud Card.

Seperti yang dijanjikan, dalam tempoh 30 minit kemudian GM menerima satu panggilan yang mana nombor telefonnya tidak tertera.  Hanyalah +0007.  Yakin bahawa panggilan itu  adalah dari pihak bank, GM menjawab panggilan tersebut.  Seorang wanita berbangsa Cina memperkenalkan diri sebagai wakil bank dan ingin mendapatkan segala butiran bank-bank yang ada termasuk akaun simpanan.  Wanita tersebut turut menyatakan bahawa segala perbualan mereka ini akan direkod dan dipantau bagi tujuan semakan.  Tanpa sebarang keraguan, GM telah memberikan segala maklumat terperinci mengenai bank-bank yang dia ada serta kad kredit yang dimiliki.  

Diwaktu inilah, mereka memainkan peranan.  Mereka menegaskan bahawa kes seperti ini serius dan Bank Negara akan campur tangan.  Untuk sementara waktu, GM tidak perlu memberitahu sesiapa akan apa yang terjadi kerana takut orang yang ingin ditangkap itu mudah melepaskan diri.  Dalam tempoh seminggu ini GM akan mendapat panggilan wakil dari Bank Negara, insurans, peguam dan macam-macam lagilah.  Penerangan yang terperinci ini telah membuat GM terpedaya dan percaya bulat-bulat apa sahaja yang dikatakan.  Lebih-lebih lagi GM memang banyak mempunyai akaun bank serta kad kredit.  Sudah semestinya dia risau apabila ada orang lain telah mencuri identitinya.  

Melalui kesempatan ini, wanita tersebut menegaskan bahawa GM perlu menukar pin nombor  keselamatan bagi kad ATM Maybank kerana khuatir pihak ketiga itu akan mengeluarkan duit di dalam akaun tersebut.  GM diarahkan pergi ke mana-mana mesin ATM yang terdekat untuk menukar pin nombor tersebut dengan kadar segera.  Lalu GM mengatakan bahawa dia tidak boleh pergi pada ketika itu kerana GM tidak boleh memandu kereta dan dalam masa yang sama tiada siapa di rumah untuk bawa dia ke bank.  GM berjanji akan segera ke bank sekiranya ada sesiapa yang balik dan membawanya ke sana.  Wanita tersebut mengatakan dia akan mengajar GM cara-cara untuk menukar pin nombor dan sekiranya telah tiba di mesin ATM GM perlu menelefon dia semula.  Wanita itu ada meninggalkan nombor telefonnya.

Kebetulan pada hari tersebut saya pulang ke rumah agak awal lebih kurang dalam pukul 2.30 petang.  Sampai sahaja saya di rumah GM tergesa-gesa mengajak saya pergi ke bank.  Saya bertanya kenapa dan secara amnya dia memberi penerangan bahawa salah satu kadnya telah di klon dan dia harus segera pergi ke bank untuk menukar nombor keselamatan pada kad ATM Maybank.  Saya yang masih lagi samar-samar mengenai hal tersebut terus membawa GM pergi ke bank.  Di dalam kereta saya bertanya selanjutnya apa yang terjadi lalu GM menceritakan serba sedikit apa yang berlaku.  Saya berasa hairan lalu mempertikaikan juga kepada GM sejauh mana kebenaran orang yang menelefon GM.  Adakah benar mereka ini orang Bank Negara.  Saya juga pertikaikan kenapa ATM kad Maybank yang harus ditukar nombornya sedangkan kad yang di klon adalah kad kredit AmBank.  Tetapi pertanyaan saya itu tidaklah begitu serius dan tidak menekan langsung GM untuk tidak melakukannya.  

Sebaik sahaja tiba di bank, sebelum saya meninggalkan GM untuk mencari tempat letak kereta saya menasihatkannya merujuk terus kepada Customer Service di Maybank tersebut sebelum menelefon wanita cina tersebut.  Lalu saya menurunkannya dan mencari parking.  Saya tidak menafikan amat susah untuk mencari parking.  Hampir 20 minit jugalah saya berlegar-legar dan dengan harapan GM telah merujuk perkara tersebut ke pihak bank.  

Kemudian saya berjaya mendapatkan parking lalu saya terus masuk ke bank dan terus menuju ke dalam bank dan bukannya mesin ATM kerana pada pengamatan saya GM pasti telah merujuk masalahnya kepada pihak bank.  Saya mencari-cari GM tidak berjumpa lalu berasa pelik.  Kemudian saya pergi ke bahagian mesin ATM dan saya ternampak GM sedang berbual menerusi telefon bimbit sambil menekan-nekan di papan ATM.  Saya menghampiri GM dan mula bising-bising kenapa sebegitu lama.  GM yang pada waktu itu berada dalam keadaan tertekan telah memarahi saya kerana membuat bising. Di pihak yang lain pula wanita cina itu pun telah mula marah-marah kerana GM gagal melaksanakan seperti apa yang diarahkan.

Akhirnya GM berjaya mengikut seperti apa yang diarahkan dan saya hanya memerhatikannya sahaja sehinggalah pada satu peringkat apabila GM menekan-nekan papan kekunci ATM tersebut, di skrin tertera pindahan wang.  Saya mula mengesyaki sesuatu tetapi gagal memberhentikan GM kerana dia asyik khusyuk mendengar arahan.  GM terus menerus menekan papan kekunci sehinggalah tertera nombor akaun pihak ketiga dan amaun yang bakal dipindahkan ke akaun tersebut.  GM menekan 499900 kerana dikatakan ini adalah nombor baru pin keselematan dan setelah selesai harus menekan 'ok'.  Pada waktu itu saya telah mula bising kembali dan terus menyatakan bahawa ini adalah pindahan wang.  Tetapi GM tidak mengendahkan sebarang kata-kata saya.  Saya boleh katakan GM mungkin telah dipukau juga pada waktu itu.  Wanita Cina tersebut terus memberi keyakinan bahawa dalam masa lima minit GM boleh menggunakan nombor pin yang baru dan wang akan berada di dalam akaun tersebut

Setelah menekan 'ok', resit keluar dan menyatakan bahawa GM telah berjaya membuat pindahan sebanyak RM5000.00 iaitu nilai maksimum sehari.  Saya terus mengambil resit tersebut dan menunjukkan kepada GM serta menegaskan bahawa duitnya telah dipindah ke orang lain.  Pada waktu itulah GM nampak seperti tersedar dan tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah dia lakukan.  Lalu kami terus berhubung dengan pengurus bank dan menceritakan apa yang telah terjadi.  Pengurus bank mengatakan bahawa GM baru sahaja ditipu.  Pengurus bank telah menghubungi pihak bank di mana wang tersebut dipindahkan iaitu bank RHB dan melalui panggilan telefon tersebut pihak bank RHB menyatakan bahawa duit yang baru sahaja dipindahkan telah pun dikeluarkan hanya dalam tempoh lima minit.

Apa lagi yang perlu dilakukan kerana secara terang-terangan GM telah memindahkan wang tersebut kepada pihak ketiga.  Kami diarahkan membuat laporan polis dan menyerahkan kes ini kepada pihak polis.  Dengan sekelip mata GM telah ditipu.  Bukan sedikt tapi RM5 ribu.  Saya yang berada di situ berasa amat menyesal.  Kalaulah saya mempunyai kekuatan untuk menekan butang 'cancel' pasti wang tersebut tidak akan dipindahkan.  Walaupun saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena tetapi tangan saya amat berat untuk melakukannya.  Lagipun saya ni kalau GM marah-marah saya akan diam.  Sayang, saya tiada kekuatan untuk membantah tindakan GM pada ketika itu.

Musibah yang melanda GM betul-betul meletakkan GM dalam masalah.  Segala maklumat perbankkan GM harus ditukar serta merta kerana manusia yang tidak bertanggungjawab itu telah mempunyai segala maklumat mengenainya.  Hampir seminggu GM keluar masuk bank untuk menyelesaikan masalahnya.  Bukan senang untuk berurusan dengan bank.  Lain bank lain prosedur yang haru dilalui.  Tapi tiada pilihan takut lain pula jadinya di kemudian hari.
Di sini saya mendoakan agar individu-individu yang tidak berhati perut itu bakal menerima balasan yang setimpal.  Kami sekeluarga mengharamkan terus duit yang mereka ambil dari GM.  Biarlah, hari ini mereka puas mengenakan orang, esok lusa pasti mereka juga akan gundah kerana telah menipu orang yang jujur.

Sekiranya anda berdepan dengan keadaan begini, berjaga-jaga dan ambil langkah sewajarnya seperti di bawah:
* Jika mendapat panggilan dari bank, kuatkan diri dan bertegas mengatakan bahawa kita akan menelefon semula pihak bank bagi tujuan semakan.  

* Jika mereka menghubungi kita dan minta maklumat pengenalan diri, minta mereka membacakan melalui rekod mereka.  Kerana apabila pihak bank yang menelefon kita sudah semestinya pihak bank ada segala maklumat mengenai diri kita.  Apa perlu lagi dia meminta kita memberi maklumat.  Lainlah kalau kita sendiri yang menghubungi pihak bank

* Sebagai peringatan, pihak Bank Negara tidak akan dan tidak pernah menelefon kita.  Sesiapa sahaja memberi alasan dan menggunakan sebagai wakil Bank Negara, itu adalah tidak benar sama sekali.

* Pin keselematan ATM tidak boleh ditukar melalui mesin ATM.  Hanya melalui bank sahaja perkara ini perlu dilakukan.  Jangan sekali-sekali percaya bahawa kita perlu menukar pin keselamatan ATM dan ianya boleh dilakukan menerusi satu panggilan telefon.

* Sekiranya terjadi seperti GM, perkara pertama yang harus dilakukan adala merujuk terus kepada pihak bank dan tanyakan kepastian samada benar perlu menukar nombor pin keselematan.

* Andai pegawai yang menelefon tersebut marah-marah kerana anda tidak mengikut sebarang arahan, terus matikan sahaja telefon.  Harus ingat, pihak bank tidak mempunyai hak untuk memarahi kita kerana kita adalah pelanggan mereka

Berhati-hatilah anda di luar sana, mungkin anda bakal menjadi sasaran perompak moden ini.  Kita saling ingat mengingati supaya tidak ada lagi mangsa seperti GM.

nota:  sehingga hari ini kami tidak tahu apakah hasil siasatan polis, kerana pihak polis menyatakan hari-hari kes ini memang ada.  Apa agaknya tindakan diaorang ye??



 

No comments :

Post a Comment