Followers

Thursday, March 11, 2010

Cameron buat Pertama Kali-Siri 1-

Kini tibalah masanya nak memunggah semula cerita-cerita yang agak lama berlapuk di dalam peti draf.  Nak bermula dari mana ye??  Oklah, kita mula dari awal tahun, tapi masih ada ke cerita 2009?  Entahlah, dah tak berapa nak ingat, nanti bila-bila teringat kita kongsi beramai-ramai di sini.  Biasalah, orang yang suka melengah-lengahkan kerja macam inilah.  Sekali nak diingat semuanya bukan boleh pun, lagilah dek kerana usia pun dah bertambah jadi penyusutan kualiti ingatan juga berlaku.

Cuti tahun baru saya tidak ke mana-mana.  Malam sambutan saya hanya luangkan masa seketika menikmati percikan bunga api di tepi lebuh raya yang saya sendiri dah tak ingat.  Kemudian Abang ajak pergi memancing kolam air masin.  Dah hobi dia saya turutkan sahaja tetapi jangan tak tau, sejam yang pertama saya menghabiskan masa di dalam kereta.  Melelapkan mata buat seketika.  Saya hanya terjaga apabila Abang menelefon mengatakan dia berjaya mendapat ikan, barulah saya keluar menyertai Abang di tepi kolam.  Rezeki tahun 2010 agaknya, ikan siakap yang berjaya di bawa naik sememangnya besar.  Bertambah semangatlah Abang, lagi pula esoknya dia akan pergi memancing di laut dalam bersama rakan-rakan kaki pancing.  Kiranya malam itu buat pembakar semangat dialah untuk turut serta.

Entah kenapa bila kena tinggal di rumah, hati jadi sakit sahaja.  Bukannya marah dia pergi memancing cuma geram mengenangkan cuti tidak ke mana-mana sedangkan sebelum-sebelum ini Abang beria-ia memberi cadangan untuk ke sana ke mari sekiranya beroleh cuti panjang.  Abang dapat menghidu rajukan lalu berjanji akan membawa saya ke Cameron Highlands pada hari Ahad iaitu sehari selepas dia pulang dari memancing.  Dalam hati melonjak kegembiraan, tetapi harus dikawal sedikit perasaan lagipun panas hati masih belum reda lagi.  Yelah selagi belum betul-betul pergi mana boleh suka sangat.  Buatnya tiba-tiba Abang batal saya juga yang rasa nak mengamuk.

Antara sebab gembira amat sangat kerana saya tidak pernah pergi Cameron Highlands.  Jangan tak percaya ye, sememangnya saya tidak pernah ke Cameron Highlands.  Hanya sekali sahaja saya pernah ke sana itu pun ketika itu saya berusia setahun.  Perancangan nak ke Cameron Highlands selalunya ada cuma belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke sana.  Seperti biasa, kalau bab berjalan-jalan ni, kami jarang pergi berdua.  Kenapa, saya tiada jawapan.  Yang pasti kalau berjalan jauh selalunya bukan kami berdua sahaja.  Pasti ada yang lain turut serta.  Nak ajak Ayu Bam Bam, keluarga dah ada perancangan.  Saya menelefon Fieza, dia tidak dapat turut serta.  Kemudian saya menelefon pula seorang lagi kawan rapat saya iaitu Mimie The Diva (kenapa gelaran sebegitu lain kali saya akan kongsikan ye).  Mimie The Diva setuju lalu bertambah melebarlah senyuman saya.

Kami bertolak ke Cameron Highlands lebih kurang pukul lapan pagi.  Menyinggah seketika di Cheras, terus bertolak ke Cameron Highlands.  Kan dah kata inilah pertama kali lalu minta pendapat Puan Ninie berkenaan jalan kerana dia agak kerap ke sana.  Puan Ninie mengusulkan naik Cameron Highlands menggunakan jalan Simpang Pulai.  Menggunakan panduan yang ada, kami menuju ke Cameron Highlands.  Perjalanan awal pagi agak tenang dan kami bertiga bergembira sepanjang perjalanan.  Oleh kerana awal pagi sempat jugalah saya melelapkan mata, nasib baiklah ada Mimie The Diva menemankan Abang.  Mungkin kerana inilah kami gemar berjalan lebih dari dua orang.  Sekiranya saya tertidur ada yang boleh menemani Pak Driver.  Sambil bercerita kita selangi dengan gambar-gambar.

 Baru bangun tidur sebenarnya.  Abang sedang berborak sakan dengan orang di belakang.

Sedang memahirkan diri untuk mengambil gambar sendiri.  Senang lain kali, kata nak jadi blogger yang aktifkan

Gambar di atas ini kiranya dah nak menghala ke Cameron Highlands.  Jalan yang kami lalui setelah masuk melalui persimpangan Simpang Pulai 

Suasana berkabus masih menyelubungi bukit bukau.  Panorama yang indah sepanjang perjalanan sememangnya tidak dapat dinafikan.

Rupanya apabila kita menuju ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai, sebenarnya kita memasuki kawasan Cameron Highlands dari belakang.  Mereka menggelarkannya jalan baru kerana jalannya baru di bina, besar dan selesa.  Tetapi rasanya masih ramai yang gemar mengikuti jalan lama mungkin dekat agaknya.  Menggunakan jalan ini, kami banyak menempuh kawasan perindustrian di Cameron Highlands.  Patutlah suhu di Cameron Highlands tidak lagi sejuk kerana mereka telah membuat pembangunan di sekitar Cameron Highlands.


Kami tiba di Cameron Highland lebih kurang pukul 12 tengahari.  Ingatkan bila keluar dari Kuala Lumpur dapat lari dari hiruk pikuk serta kesesakan lalu lintas.  Tetapi sangkaan kami silap.  Pada hari kami pergi, Cameron Highland sesak dengan pelancong tempatan dan juga luar.  Lihatlah antara gambar yang sempat diambil bagi membuktikan kesesakan lalu lintas yang agak teruk.  Sudahlah jalannya tidak seluas mana.
Ada yang mengambil keputusan berjalan kaki sahaja.  Tempat letak kereta penuh, ada yang terpaksa meletak kereta di bahu jalan dan menyebabkan keadaan jalan raya bertambah sesak.
Mimie The Diva pernah sampai ke Cameron Highlands sebelumnya, dialah yang menjadi panduan kami.  Walaupun Cameron Highlands telah berubah wajah mengikut katanya, tetapi dia masih lagi boleh mengingat serba sedikit jalan di sana.  Mimie The Diva menasihatkan kami untuk menuju terus ke Tanah Rata dan kemudian barulah mula meneroka jalan serta pandangan yang ada.  Apabila kami tiba di Tanah Rata, keadaan sesak berkurangan.  Mungkin kami menempuh kesesakan yang disebabkan oleh orang ramai bersiap sedia untuk turun dari Cameron Highlands.  Disebabkan perut mula melagukan keroncong yang sumbang, kami terus menjamu makan tengahari.  

Sebelum makan tengahari, kami mengambil keputusan untuk menggunakan pemandu pelancong untuk membawa kami bersiar-siar di sekeliling Cameron Highlands. Antara sebabnya adalah Abang tidak berapa fasih jalan di Cameron Highlands, yalah inikan pertama kali untuk kami.  Alasan yang lain, kami tidak mahu tersangkut lagi di dalam kesesakan lalu lintas.  Sudahlah sibuk mencari jalan, tersangkut dalam kesesakan pula nanti.  Jawabnya konsep jalan-jalan bakal menjadi mimpi ngeri kepada kami bertiga.  Lalu kami mengambil keputusan untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong.  Cari punya cari akhirnya kami berjumpa dengan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut.  Kami dikenakan bayaran sebanyak RM25 satu kepala.  Harga yang agak berpatutan kami rasa.  Tanpa banyak soal, kami terus menempah dan perjalanan bakal bermula pada pukul 2.00 petang.

Inilah syarikat yang telah kami gunakan.  

Oleh kerana lambat lagi nak mula perjalanan, selepas makan Abang sempat lagi singgah di salun mamak untuk memotong rambut.  Kelakarkan, macamlah di KL ni tak ada tempat potong rambut.  Keadaan di salun mamak tidaklah sibuk mana cuma mungkin tukang potong rambut tidak begitu cekap telah menyebabkan kami lewat tiba semula di hadapan kaunter informasi tersebut sehinggakan pemandu pelancong terpaksa menelefon bertanyakan kami.  Mula-mula kami sangkakan hanya bertiga sahaja yang akan mengikuti perjalanan tersebut.  Rupanya tidak, van tersebut telah siap dipenuhi penumpang lain.  Yang seronoknya, kitaorang bertiga sahaja rakyat tempatan.  Lain semuanya pelancong luar.  Segan juga sebab gagal menepati masa.

Jadual perjalanan kami telah diatur oleh pemandu pelancong tersebut dan Uncle tersebut akan membawa kami ke tempat-tempat yang menarik di Cameron Highlands selama lebih kurang 5 jam.  Yang seronoknya, Uncle tu sangatlah berinformasi.  Telah menjadi pemandu pelancong lebih sedekad menyebabkan dia tahu segala ceruk rantau di Cameron Highlands.  Beruntung sungguh kami semua mendapat pemandu pelancong seperti dia.  Bukan setakat pemandu pelancong, malahan pelancong-pelancong yang ada di dalam van tersebut amatlah mesra.  Sehinggakan persahabatan mula terjalin antara kitaorang bertiga dengan mereka yang lain-lain.

ROSE CENTRE
Tempat pertama yang kami tuju adalah Rose Centre atau kebun bunga ros.  Cameron Highlands sememangnya terkenal dengan tanaman tumbuh-tumbuhan yang segar.  Kami di beri masa lebih kurang 30 minit untuk menghabiskan masa di sini.  Tiket masuk berharga RM5.  Banyak bunga-bunga yang segar di dalam taman ini.  Jom lihat gambar yang sempat dirakam

Berlatar belakangkan dinding di pintu masuk Rose Centre
 

Inilah dia orangnya "Mimie The Diva" 

Sakan Mimie suruh kitaorang ambil gambar macam ini, katanya senang untuk cetak kad kahwin..Apakah??he..he..he..

Berdua berbaju merah, tidak merancang untuk sama-sama menjadi Mak Merah cuma kebetulan sahaja

Jangan ingat lelaki tidak berperasaan ye pada bunga.  Abang antara yang paling seronok berada di dalam taman bunga tersebut.  

Kalau mereka berdua ni bersatu memang ada sahaja kerja gila yang dilakukan

Comelnyalah mereka berdua ini.  Lelaki yang berhati bunga..ha..ha..ha..

Tak ada orang nak ambil gambar kitaorang bertiga, kira ambil gambar sendirilah konsepnya ya..

Cuba memberi senyuman manja di taman bunga.  Cameron Highlands adalah sangat panas pada ketika itu.  Berpeluh-peluh kitaorang semua, sudahlah berpakaian tebal kerana takut kesejukkan. 

Beria-ia Mimie suruh ambil gambar di sini.  Bila tengok balik kamera baru terperasankan pokok berbentuk hati di belakang kitaorang.  Sebelum tangkap gambar memang tidak perasan langsung.

Di puncak taman bunga.  Berpeluh kitaorang memanjat taman bunga ini untuk sampai ke puncaknya

Di Cameron Highlands memang merata patung-patung Buddha atau tokong.  Pengusahanya semua kaum Cina itu yang merata ada benda-benda ini.

KEBUN TEH
Dari Kebun Bunga, kami dibawa pula melawati ladang teh.  Cameron Highlands sememangnya sinonim dengan ladang teh.  Kalau ke sana tetapi tidak singgah di ladang teh ibarat minum kopi tidak bergula.  Tumpuan utama sudah tentulah Ladang Teh Boh.  Jalan keliling yang mencerum agak menakutkan sebenarnya, tetapi pemandu pelancong tersebut dah biasa dengan keadaan sekeliling, tiada masalah sebenarnya.  Waktu inilah kitaorang bertiga bersyukur mengambil pemandu pelancong, kalau tidak jenuh juga nak berjalan sendirian sedangkan tidak tahu keadaan sekeliling.

Keadaan hijau yang mendamaikan.  Inilah kebun teh yang sempat kami singgah.  Bau daun teh ni macam daun inai pun ada

Gembiranya orang yang tidak pernah sampai ke Cameron Highlands

Inilah salah seorang yang akhirnya menjadi rakan kami.  Catherine ni seorang guru yang berasal dari Auckland, New Zealand

Yang baju putih itu kitaorang gelar dia Miss Texas sebab dia baru berusia 24 tapi dah berjalan satu dunia.  Info yang ada pada dia juga banyak, sebelum ke mana-mana dia akan buat survey yang secukupnya mengenai tempat tersebut.  Yang lelaki itu pula dah tak ingat dia berasal dari mana tapi rasanya macam Kansas.  Nak kena tanya balik Mimie Mamat tu berasal dari mana.

Dengan bantuan uncle driver dapatlah kami abadikan gambar bersama bertiga

Di hadapan kilang pemprosesan teh milik Boh.  Sedang menunggu pekerja Boh untuk memberi taklimat mengenai pemprosesan teh.

Teh keluaran Boh diproses di sini.  Sewaktu kami melawat, masih ada pekerja yang sedang bekerja

Wakil Boh memberi penerangan kepada kami bagaimana teh diproses dan berbagai lagi informasi yang berkaitan

Khusyuk mendengar penerangan dan mengutip sebanyak mungkin informasi untuk pengetahuan diri sendiri

Perkara yang wajib dilakukan sekiranya berada di ladang Boh, membeli teh keluaran mereka pada harga yang murah berbanding di pasaran.

Mimie The Diva turut membeli sama untuk dibawa pulang

Bergambar di anjuang tinjau kawasan perindustrian Boh

Menikmati hidangan sambil menjamu mata dengan pemandangan ladang teh yang menghijau saujana mata

Leka menikmati pemandangan sehinggakan Uncle driver terpaksa panggil kami.  Masa sejam yang diperuntukkan untuk kami tidak mencukupi.  Alangkah bagus kalau dapat berlama-lama di sini.

Mengabadikan diri di dalam gambar untuk kenang-kenangan

Tempat seterusnya adalah Taman Rama-Rama.  Rasanya haruslah disambung lain kali kerana bantal serta tilam dah memanggil-manggil.  Jangan risau, rasanya kali ni tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyambung kembali entri yang ada.

nota: berazam untuk menyudahkan hanya dalam 2 siri sahaja.

No comments :

Post a Comment