Followers

Thursday, March 18, 2010

Khas buat Mu...

Salam dan bersua kembali.  Selama menulis ini, amatlah jarang hendak menghulur salam sesama sendiri.  Bukannya apa terfikir yang diri ini adalah tuan empunya rumah itu yang sering terlupa memberi salam tetapi tidak salah sebenarnya menghulur salam malah adalah lebih baik jika kita sendiri sentiasa yang memulakan.  Moga bertambah ikatan ukhwah yang telah sedia terjalin.  Hari ni bukan nak cerita pasal memberi salam  atau yang berkaitan dengannya.  Walaupun banyak hutang yang tertunggak, tetapi perlu pencernaan masa untuk melunaskan segala hutang entri yang ada.

Tiga hari lepas, genap 18 tahun Almarhum adik meninggalkan kami semua.  Peninggalan yang tidak akan kembali selamanya di alam nyata dan Insyaallah hanya bakal bersatu di sana kelak.  Wallahualam!!!Bulan Mac adalah bulan kesedihan bagi kami sekeluarga.  Tiga wajah yang kami dambakan kerinduan menghembuskan nafas mereka.  Oleh itu, sempana mengingati arwah-arwah biarlah entri-entri di bulan Mac ini dipenuhi kenangan bersama mereka bagi menghamparkan kerinduan kami yang tidak pernah berhenti kepada mereka bertiga.  Almarhum Adinda tercinta, Noor Lailatul Marina meninggal dunia pada 15 Mac 1992.  Moyang tercinta iaitu Kalsom bt Hassan pula pergi buat selamanya pada 18 Mac 2004 dan Nenda  tercinta Rafeah bt Din menghadap Illahi pada 27 Mac 1997.

15 Mac 1992 ketika diri ini berusia 12 tahun kami adik beradik menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak biasa.  Sementelah lagi pada ketika itu umat Islam berada di dalam bulan mulia iaitu Ramadhan Al-Mubarak.  Arwah adik pada ketika itu baru menginjak usia 4 tahun.  Arwah yang kami panggil Kak Yang kerana beliau merupakan kakak kepada Ayu Bam Bam.  Bukan itu sahaja, malah pada usianya itu amatlah terserlah kecomelan dan kebijaksaannya.  Masih terbayang lagi pada hari itu, selepas bangun dari sahur Arwah beria-ia mahu menyambung semula tidurnya bersama saya di kerusi panjang ruang tamu maka tidurlah kami berpelukan sementara menanti hari siang.  Tanpa disedari itulah kali terakhir kami tidur bersama.

Tidak pernah terlintas difikiran bahawa selama ini arwah adik menunjukkan sifat-sfat yang pelik melalui keletah dan ragam nakalnya sebagai tanda dia akan pergi buat selamanya.  Siang  tersebut kami seperti biasa.  Bulan puasa, tiada aktiviti yang boleh dijalankan cuma saya serta Puan Ninie hanya akan pergi ke kelas muzik pada sebelah petang iaitu lebih kurang pukul 2 petang.  Lalu GM menyatakan bahawa petang itu kami berlima termasuk GM akan keluar membeli belah serba sedikit bagi menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.  Ketika itu, umat Islam telah pun menjalani hampir separuh ibadah berpuasa iaitu 15 hari.

Kami tidak mempunyai kenderaan sendiri pada waktu itu.  Pengangkutan awam adalah kenderaaan rasmi kami.  GM mempunyai lesen kereta tetapi takut untuk memandu.  Lagi pula untuk memiliki dua biji kereta dalam satu masa pada waktu itu adalah mustahil terutamanya dari segi faktor kewangan.  Maka turun naik bas mini sudah menjadi perkara biasa bagi kami adik beradik.  Keadaan terik di bulan puasa tidak mematahkan semangat kami untuk membeli belah.  GM mengambil keputusan untuk pergi ke kotaraya(kalau tak silap) bagi membelikan kami kasut barang sepasang seorang.  GP pada waktu itu berada di Kota Bharu atas faktor tuntutan kerja.

Setelah habis membeli, kami berpusu menaiki bas untuk pulang ke rumah.  Pada waktu itu sebenarnya telah hampir saat untuk berbuka puasa.  Entah kenapa GM seperti berat untuk berbuka puasa di luar.  Walhal seingat saya konduktur bas ada memberi saranan supaya kami membeli sedikit juadah untuk berbuka puasa tetapi kami semua menolak.  Biar lambat macamana pun, kami ingin berbuka puasa di rumah.  Hampir setengah jam jugalah sesudah umat Islam berbuka puasa barulah kami sampai ke kawasan perumahan.  Menyedari bahawa saya, Puan Ninie serta Macho Man berpuasa, maka GM menyarankan supaya saya pulang dahulu dengan membawa mereka berdua untuk berbuka puasa.  Dari perhentian bas ke rumah kami waktu itu, kami harus melintas sebatang jalan utama yang agak sibuk dengan kehadiran perlbagai jenis kenderaan

GM menyuruh kami pulang dahulu kerana pada ketika sebaik sahaja turun dari bas, Arwah ada menyatakan yang dia ingin makan buah yang ada jual di tepi jalan tersebut.  Kerana itulah kami disuruh pulang dahulu dan mereka akan menyusul kemudian.  GM takut akan memakan masa sedikit sewaktu memilih buah-buahan untuk Arwah.  Maka dengan tergesa-gesa kami bertiga pulang untuk berbuka puasa.  Sewaktu kami sedang menikmati juadah berbuka puasa terdengar sebuah kereta menekan brek dengan kuat tetapi kami tidak menyangka apa pun kerana kemalangan di jalan tersebut sering berlaku.

Hampir setengah jam, Mak (nenda) mula risau kerana bayang GM serta adik tidak muncul-muncul.  Pada ketika itulah hati sudah tidak keruan.  Mak mula mengajak saya berjalan dan menjenguk samada GM serta Arwah masih berada di gerai buah tersebut.  Sewaktu kami menuju ke gerai buah tersebut, saya telah ternampak kasut yang saya rasa amat kenali milik tuannya ditengah jalan.  Saya segera memberitahu Mak dan menyatakan bahawa kasut tersebut milik Nina.  Ya Allah!!Apa sebenarnya yang telah terjadi kepada mereka berdua .  Pada waktu itu kami tidak pasti.  Yang pasti denyutan jantung semakin berkencang.

Mak terus melintas jalan dan bertanyakan kepada pemilik kedai buah tersebut dan...!!!!!!!seperti apa yang kami telah syaki sewaktu melihatkan kasut adik, memang benar Adik telah terlibat di dalam sebuah kemalangan dan kemalangan yang kami tidak endahkan itulah adalah kemalangan yang melibatkan ahli keluarga kami sendiri.  Di zaman tiada telefon tangan atau sebarang alat perhubungan menyebabkan kami tersentak dan kelam kabut kerana tidak pasti akan keadaan sebenar.  Mak segera pulang dan ingin terus ke Hospital Besar kerana yakin GM akan ke sana.  Kami adik beradik hanya akan tinggal di rumah bersama Onyang kerana pada waktu itu Ayu Bam Bam baru berusia 3 bulan.

Akhirnya kami menerima berita buruk.  Nina iaitu Adinda kami pergi menghadap Illahi di dalam perjalanan ke hospital.  Walau apa cara sekali pun keadaannya tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan yang dialami amatlah parah sehinggakan ada yang berkata sekiranya Allah mengizinkan untuk dia bernyawa, adik hanya akan lebih menderita.   Arwah adik mengalami kecederaan patah di bahagian tengkuk, tulang belakang, tangan kanan serta kaki kanan.  Mengikut cerita, sedang GM ralit memilih buah, Arwah adik  duduk di tepi jalan di belakang garisan putih sambil bermain batu.  Sudah tertulis suratan, sebuah kereta laju datang dan menarik Arwah adik yang sedang duduk di tepi jalan lalu mengheretnya lebih kurang 100m.   

Bayangkanlah kami sekeluarga cuba berhadapan dengan ketentuan Illahi terutamanya GM.  Anak yang dikandungi selama 9 bulan lebih pergi menghembuskan nafas terakhir dipangkuannya.  Ketentuan yang amat berat untuk kami terima tetapi seharusnya redha.  Apatah lagi pada saat umat Islam sedunia bakal meraikan hari kemenangan.  Kami sekeluarga diselebungi kesedihan amat sangat tetapi sekurang-kurangnya GM mempunyai seorang Bidadari syurga yang menantinya di sana.  Bidadari yang bakal menyambut kedatangannya kelak bersama senyuman dan cahaya yang berseri-seri.  Jenazah Almarhum adik dituntut oleh seseorang ternama bagi membantu GP.  Kami membawa pulang jenazah dan keesokan harinya dikebumikan di tanah perkuburuan Batu Lima Jalan Ipoh.  Mungkin rezeki Arwah juga, sewaktu jenazah ditempatkan di rumah ibu saudara kami, amat ramai yang mengunjungi serta menghulur ucapan takziah dan membacakan yassin untuk Arwah adik sehinggakan penuh rumah dengan limpahan tetamu yang datang.  Bukan itu sahaja, sewaktu memandikan jenazah, berebut-rebut orang hendak memandikannya serta mengkafankannya.  Sembahyang jenazah juga dilakukan dengan keadaan orang yang begitu ramai.  Rezeki Arwah barangkali.

Masih terbayang lagi saat menatap wajah Adik buat kali terakhir.  Wajah yang putih mulus serta tenang dan bibir mengukir sedikit senyuman.  "Alangkah bertuahnya dirimu Adikku.  Berada di sana dan berada di Syurga, itu adalah janji Allah pada mu.  Setelah 18 tahun berlalu, Along tetap menyayangi Nina seperti dulu.  Jelas terbayang di tirai mata sepanjang hayat adik.  Adik akan sentiasa dikenang di dalam sanubari.  Damailah adik di sana dan nantikan kedatangan kami semua di sisi Adik.  Sedar tak sedar tahun ini genap Adik berusia 21 tahun sekiranya masih lagi ada di sini.  Along yakin Papa, Mama, Kak Ngah, Abang dan Ayu juga sentiasa mendoakan kesejahteraan Adik.  Adik, kita juga telah mempunyai ahli keluarga yang baru dan Along yakin Kak Siti, Abang Syauki serta Anakanda Al-Farysh akan mengenang Adik juga seperti kami semua. Sejauh mana Adik pergi, Adik tetap darah daging kami"

Serba sedikit coretan yang bisa saya layangkan bagi mengenangi Arwah Nina.  Sewaktu entri ini dikarang, saya sedang berada di pejabat lalu gambar Almarhum adik tidak dapat dikongsi bersama.  Andai mempunyai kesempatan, akan dipaparkan juga di sini kelak.  Apa pun, Adik tetap di hati kami semua!!!


nota:  saat untuk menghabiskan entri ini, entah kenapa airmata sudah tidak tertahan lagi lalu tumpah membasahi pipi.  

No comments :

Post a Comment