Followers

Saturday, April 3, 2010

Dalam kesedihan

Belum sempat untuk berkongsi cerita berkisar kesedihan yang tersimpan, keluarga kami dikejutkan dengan satu lagi berita sedih.  Setelah hampir seminggu bertarung nyawa di hospital Pusrawi, akhirnya Nek Long pergi menyambut panggilan Illahi hari ini lebih jam 1.30 tengahari.  Satu lagi titipan sendu terloret pada hari ini.  Nek Long menghidapi penyakit kencing manis yang agak teruk dan telah lama sebenarnya menanggung derita.  Pada lewat usianya kini, mungkin sudah tidak dapat lagi melawan segala penyakit yang datang menyinggah lalu redha dengan ketentuan Illahi.  Apa pun, ajal maut di tangan Allah SWT dan bukannya dalam perancangan kita.

Arwah Nek Long adalah anak sulung kepada Onyang dan juga kakak kepada Arwah Mak (iaitu Nenek saya).  Arwah Nek Long adalah satu-satunya waris Onyang yang tinggal dan kini mereka semua telah tiada.  Walaupun Arwah Nek Long adalah nenek saudara sahaja, tetapi kerana keakraban Arwah Mak dan kakaknya iaitu Arwah Nek Long, menyebabkan hubungan dua buah keluarga bercantum erat.  Arwah Nek Long mempunyai 11 orang anak manakala Arwah Mak cuma mempunyai seorang sahaja anak iaitu GM.  Arwah Nek Long dan Arwah Mak juga mempunyai seorang adik lelaki iaitu Arwah Tok Mat yang mana terlebih dahulu dipanggil menghadap PenciptaNya.  Arwah Tok Mat pula mempunyai 2 orang anak perempuan.

Kini mereka sekeluarga telah pun berkumpul di sana dan menantikan pula kami-kami ini yang tidak diketahui bilakah pula masanya.  Sewaktu menziarah petang tadi, seboleh mungkin menahan air mata supaya tidak tumpah ke pipi tetapi gagal.  Sekuat mana tekad yang tertanam akhirnya luntur apabila terpandangkan sekujur jenazah kaku yang pernah mencurah kasih sayang kepada kami semua.  Tatkala merenung arwah, terus terbayang wajah-wajah yang amat disayangi iaitu Arwah Mak dan Onyang lantaran Arwah Nek Long mempunyai raup wajah persis mereka berdua (anak beranaklah katakan).  Apa pun, sebagai umat Islam kita redha dengan segala ketentuan.

Satu kebetulan yang memang tidak disangka-sangka:
*  Arwah Mak meninggal pada tahun 1998 dan enam tahun kemudian iaitu 2004 Arwah Onyang pula dipanggil penciptaNya.  Kini selepas enam tahun Arwah Onyang menghembuskan nafas, Arwah Nek Long pula pergi meninggalkan kami semua.

*  Kalau diikutkan, Arwah Nek Long seharusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Tiga Jalan Ipoh.  Tanah perkuburan tersebut adalah tempat persemadian suami Arwah Nek Long tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya Arwah Nek Long dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lima Jalan Ipoh di mana tempat persemadian ibunya iaitu Arwah Onyang dan juga adiknya iaitu Arwah Mak.
*  Ketiga-tiga mereka meninggal pada hari Jumaat cuma waktu pengebumian sahaja yang berbeza-beza.

Mengenang mereka semua, hati terus menjadi sebak.  Apa yang terdaya kami lakukan adalah dengan menyedekah Al-Fatihah serta bacaan Yassin tanpa putus buat mereka semua.  Moga Allah mencucuri rahmat kepada mereka sekeluarga dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

nota:  Ucapan takziah juga buat keluarga dan taulan Allahyarham Din Beramboi.  Tiada lagi gelak tawa yang akan menghiburkan kita semua.  Moga Allah memberi kelapangan kepada Allahyarham Din Beramboi sebagaimana Arwah melapangkan hati kita dengan gurau sendanya.
 

No comments :

Post a Comment