Followers

Friday, April 16, 2010

Dua Bulan Yang Lalu

Sejak kebelakangan ini, suhu muka bumi amatlah terasa bahangnya.  Dilahirkan sebagai manusia yang tidak sempurna iaitu tidak menggemari langsung cuaca sejuk, kiranya diri ini bolehlah dikategorikan sebagai survivor pada saat-saat begini.  Memang benar saya tidak berapa sukakan cuaca lembab dan sejuk kerana kondisi badan tidak begitu mengizinkan.  Walaupun dikurniakan susuk tubuh yang agak gedempal tetapi lemak tepu tidak menjalankan tugasannya sebagai penebat haba lantas saya mudah kegigilan jika berada di dalam kesejukkan.
 
Sebenarnya bukanlah hendak menceritakan tentang diri ini yang alahan cuaca sejuk.  Tetapi kali ini, bahang panas yang membara turut membuatkan saya berpeluh dan mengeluh kepanasan.  Tidaklah sehingga saya menuntut untuk berterusan menghidupkan penghawa dingin cuma yang pasti saya yang menggemari cuaca panas begitu terasa dengan kehangatan yang mencengkam suhu dunia.  Saat-saat ini terus ingatan menerawangan terbang kembali pada bulan Februari yang lalu.  Terimbas kenangan percutian yang sepatutnya telah lama dihidangkan buat tatapan pembaca.  Lalu saya gunakan kesempatan ini untuk berkongsi kisah.

Sehari selepas saya menyambut ulang tahun yang kedua kali di adakan oleh keluarga, saya telah berkesempatan pergi bercuti.  Lain benar konsep percutian kami kali ini.  Kalau diikutkan agak lama juga saya dan Fieza tidak pergi bercuti bersama-sama atas komitmen kerja.  Seboleh mungkin kami memperuntukkan sekurangnya setahun sekali untuk sama-sama pergi bercuti tetapi rezeki masa tidak menyebelahi kami bagi tahun 2009, lalu apabila mempunyai peluang sementelah cuti perayaan Tahun Baru Cina kami menggunakan kesempatan yang ada untuk bercuti bersama-sama. 

Kami mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang baru.  Kata sepakat diterima lalu kami bersetuju untuk ke destinasi yang agak terpencil dan jauh dari hiruk pikuk kotaraya.  Saya telah memilih untuk bercuti di satu kawasan terpencil di Simpang Pulai.  Istimewanya tempat ini adalah ianya merupakan kawasan persendirian oleh Tuan Tanah tersebut dan kawasan tersebut tidak mempunyai bekalan elektrik langsung.  Jika selama ini kami memilih untuk pergi serata tempat dengan bermalam di hotel-hotel mewah tetapi kali ini kami memilih konsep mesra alam iaitu "Back To Nature".

Tempat ini diperkenalkan oleh ibu saudara saya, Cik Anie yang pernah berpeluang menyinggah di tempat tersebut.  Sejak saat Cik Anie bercerita saya telah terpikat untuk mencuba tempat tersebut.  Untuk pengetahuan semua, saya adalah seorang yang tidak begitu adventure.  Seumur hidup tidak pernah menyertai aktiviti perkhemahan.  Masuk hutan adalah antara phobia yang saya miliki.  Tetapi tidak pada tempat ini walaupun Cik Anie telah memberi amaran bahawa tempat itu agak mencabar kerana untuk sampai ke kawasan tempat tinggal kami bakal mengharungi anak sungai yang agak dalam juga parasnya.  Hati seperti meronta-ronta dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke tempat tersebut.  Sebaik Fieza bertanyakan perancangan untuk cuti Tahun Baru Cina terus saya menyarankan tempat tersebut dan Fieza juga terus bersetuju.  Maka tanggal 13 Februari seawal pagi kami memulakan perjalanan kami menuju ke destinasi.

Memulakan perjalanan di saat beriringan dengan warga Malaysia yang berpusu-pusu untuk pulang ke kampung begitu menguji perjalanan kami.  Kesesakkan lalu lintas yang maha hebat sepanjang lebuh raya membuatkan kami begitu bosan sepanjang perjalanan.  Kali ini kami pergi sebanyak 3 buah kereta.  Saya, Abang dan Ayu Bam Bam satu kereta.  Fieza sekeluarga satu kereta dan Makcik Fieza (Nyah) sekeluarga lagi satu kereta.  Kami yang tidak memandu adalah lebih kurang tidur bangun nak dekat lima kali.  Setiap kali terjaga, mesti berkata "baru sampai sini".  Amatlah kasihan kepada pemandu-pemandu kami, tetapi apa nak buatkan kerana percutian kali ini tiada pilihan lain selain memandu kereta dengan sendiri.  Sebarang pengangkutan awam tidak sampai ke sana.  Sempat jugalah saya menghalakan lensa kamera ke arah jalan raya yang begitu sesak.

Kenderaan bersusun-susun menuju ke arah utara Semenanjung Malaysia

Saat di mana taukeh-taukeh stesen minyak mengaut keuntungan berlipat kali ganda.  Berderet kereta menanti giliran untuk mengisi minyak.

Bercadang untuk berhenti di perhentian tetapi hasrat dibatalkan kerana tiada langsung ruang untuk memakirkan kereta.  Lalu perjalanan diteruskan.

Bertolak lebih kurang pukul 9 pagi, kami tiba di Perhentian Tapah lebih kurang pukul 12.30 tengahari.  Bayangkan kami melewati masa perjalanan di atas lebuhraya hampir tiga jam.  Selalunya untuk sampai ke Perhentian Tapah paling lama masa di ambil lebih kurang satu jam setengah sahaja.  Oleh kerana masing-masing sudah tidak dapat menahan bunyi perut yang berdendang lagu sumbang maka kami mengambil keputusan untuk berhenti makan tengahari di Perhentian Tapah.  Mujur juga Perhentian Tapah tidaklah begitu sesak mungkin kerana kapasiti tempat letak kereta adalah lebih besar berbanding perhentian-perhentian yang lain.  Azab untuk meletak kereta berjaya kami lepasi tetapi azab beratur untuk membeli makanan terpaksa kami hadapi dengan penuh sabar.  Sehinggakan ada yang melupakan terus hasrat untuk mengisi perut. 

Meriahkan meja makan kami.  Keluarga besarlah katakan
Antara yang terbantut untuk menjamu selera selepas melihat barisan panjang seperti membeli tiket konsert rock.
Masih sempat tersengih walaupun sebenarnya badan semakin lesu dek terperesuk di dalam kereta.  

"Jom cepat!!!Destinasi telah lama memanggil-manggil"

Persimpangan Simpang Pulai tidaklah jauh sangat dari Perhentian Tapah.  Lebih kurang 10 minit kami telah keluar dari hiruk pikuk lebuh raya.  Keluar sahaja dari tol, saya terus menghubungi tuan empunya tempat tersebut yang saya sering panggilnya Aunty.  Menurut Aunty, Uncle (suami Aunty) akan menjemput kami untuk masuk ke kawasan tersebut.  Destinasi percutian kami ini berada di bawah kaki bukit Cameron Highland.  Untuk pergi ke Cameron Highland kini bukan sahaja boleh menggunakan jalan Tapah tetapi juga jalan dari Simpang Pulai.  Tempat tersebut agak tersorok kerana milik persendirian, malahan jalan masuk untuk ke kawasan tersebut agak keliru kerana tiada simpang khusus.  

Sebaik tiba saya sempat berbisik kepada Fieza, sekiranya tempat tersebut tidak memberangsangkan kami untuk terus berada dengan lebih lama keesokkan harinya kami akan mencari tempat tinggal baru mungkin di Cameron Highland.  Jahatkan kitaorang berdua?  Belum sampai dah buat back-up plan.  Kami harus berjalan kaki ke dalam lebih kurang 5 minit untuk sampai ke chalet.  Hasil dari latihan di gym, saya tidaklah merasa terlalu letih.  Saat menjejakkan kaki ke destinasi tersebut hati kami terus terpaut dengan tempat tersebut.  

Inilah destinasi percutian kami

Konsep alaminya begitu terasa.  Apatah lagi tuan empunya tempat iaitu Aunty Intan begitu menjaga rapi kawasan ini.  Apabila masuk sahaja ke kawasan Kebun, kami seolah terputus dengan dunia luar.  Air sungai deras mengalir di depan mata.  Nyanyian beburung begitu mendamaikan.  Hilang bahang panas yang menyelimuti kami sepanjang perjalanan.  Ketenangan terus menyelubungi kami semua.  Aunty Intan juga baik orangnya.  Kami hanya membayar sewa tempat tinggal sahaja. Peralatan untuk memasak semuanya dipinjamkan secara percuma.  Tiada sebarang kos tambahan malahan pengguna tilam lebih dan juga bantal tidak dikenakan sebarang kos.  Hati kami yang terpesona terus melupakan hasrat untuk mencari tempat tinggal yang lain sempena percutian kali ini. 

Antara chalet yang terdapat di Kebun.  Kedua-duanya kitaorang dah booking.  Sebuah lagi untuk siapa ye??  Sebab saya dan keluarga Fieza satu keluarga, Nyah satu keluarga satu rumah.  Satu lagi....teruskan membaca ye...

Ruang rehat yang diperuntukkan untuk tetamu yang menyewa.  Kemas sahaja kawasannya walaupun jauh ke dalam hutan.

Lagi antara chalet yang ada.  Sewaktu kami berada di sana chalet ini telah disewa oleh pelajar Negro yang menuntut di Malaysia

Air paip yang tidak akan berhenti mengalir.  Mesti ingat ini satu pembazirankan?  Sebenarnya air tersebut adalah air sungai dan paip yang ada tidak boleh ditutup.  Kawasan tersebut menggunakan 100% air sungai.  Batang paip di bina bagi kemudahan supaya tidak perlu turun ke kawasan sungai.  Kesemua bilik airnya akan terbiar mengalir deras seperti gambar tersebut maka tidur malam bermuzikkan bunyi limpahan air dan airnya amatlah sejuk nikmat dan dijamin mutu kebersihannya kerana ianya adalah sumber alam.

Inilah Istana Hinggap bagi saya dan keluarga Fieza.  Yang seronoknya, binaan rumah tersebut dari buluh-buluh yang dianyam.  Terasa seperti orang dulu.

Bilik kami yang betul-betul berhadapan dengan sungai

Inilah keadaan bilik kami yang kami mampat-mampatkan seramai 8 orang.  Bukan jimat ye, tapi cermat.

Inilah air sungai yang akhirnya menjadi tempat kami berkubang pagi, petang, siang, malam.  Tak kira masa asal ada peluang kami gunakan sebaik mungkin untuk terus berada di dalam isi perut air sungai.  Kesejukkan air inilah yang menggamit kerinduan saya di saat-saat cuaca panas membahang sedang menular

Mereka-mereka ini adalah antara insan yang tidak lagi dapat menahan kesabaran dengan panggilan derusan air sungai.  Lupa seketika agenda seterusnya dan terus membenam diri ke dalam air
Rumah masak yang disediakan dan akhirnya menjadi tempat kami berkumpul beramai-ramai sambil bergaul mesra mengeratkan silaturrahim yang telah sedia terjalin
Maaf ye, tiada dapur elektrik atau yang sewaktu dengannya.  Hanya dapur kayu sahaja yang diberikan tetapi kami ada juga membawa dapur gas kecil untuk memudahkan proses memasak.

Telah kata dari awal konsep percutian kali ini lebih ke arah konsep hijau maka semestinyalah kawasan tersebut tiada kedai makan yang berhampiran.  Aunty Intan sememangnya telah memberitahu kami yang kami harus masak sendiri atau boleh memberi upah kepada dia untuk memasak.  Kami semua sepakat untuk melakukannya semua sendiri.  Untuk masak sendiri haruslah ada bahan-bahan seadanya, lalu kami yang muda belaka ini telah keluar ke pekan Simpang Pulai telah keluar mencari bekalan makanan untuk di masak.  Tiada sebarang gambar yang dapat diambil kerana kami terlalu sibuk dan ingin kembali segera ke Kebun.  Baru beberapa jam tiba, kami telah rindu akan ketenangan tempat tersebut.  Lebih kurang 5 petang kami tiba semula ke Kebun bersama bekalan yang sepatutnya.  Jam 6, perang kuali pun bermula.

Saya telah melakukan sesuatu yang jahat tetapi akhirnya membawa satu perkhabaran gembira.  Nak tahu apa dia, nantikan sambungan entri ini ye kerana saya harus melabuhkan tirai mata untuk hari ini yang agak penat juga dari siang tadi.


nota:  kali ini berapa episod pula agaknya??



 

No comments :

Post a Comment