Followers

Friday, April 16, 2010

Episod 2

Sebelum cerita yang telah basi menjadi bertambah-tambah tahap kebasiaanya maka haruslah diri ini menyambung sesegera yang mungkin.  Kalau tidak sememangnya bersawang sahajalah jawabnya.  Dek kerana telah terjebak bercerita mari sahaja kita ke sambungan yang seterusnya.  Sesiapa yang agak pening membaca atau sukar untuk memahami butir bicara, sebaik mungkin luangkan sedikit masa membaca entri sebelum ini kerana ianya adalah berkaitan.
 
Entri yang lepas dah tahukan bagaimana kami semua sampai ke Kebun dan siapa yang turut serta dalam percutian ini.  Selepas sahaja melepas lelah kepenatan dan melayan keterujaan mereka terhadap kedinginan air sungai, kami semua harus keluar semula ke pekan.  Pada mulanya ingatkan saya dan Fieza sahaja yang akan keluar tetapi hampir semuanya mengikut.  Nyah sekeluarga juga turut serta kerana mereka juga ingin membeli bekalan makanan.  Makanya kami 3 buah kereta menuju ke pekan.  Hanya Pakcik sahaja yang tinggal.  Orang tua seperti Pakcik lebih seronok melayan keadaan di Kebun berbanding sibuk membeli belah.

Oleh kerana petang tersebut masyarakat Cina akan mengadakan acara tradisi mereka iaitu "Makan Besar", susah juga bagi kami untuk mencari kedai untuk membeli barangan.  Akhirnya kami menerjah Giant Simpang Pulai.  Situasi agak lengang mungkin ramai yang telah pulang.  Sayang tiada gambar yang sempat kami rakam sewaktu berbelanja di sana.  Macam-macam yang kami ambil seolah gayanya nak duduk sebulan di sana.  Hampir satu jam lebih kami berangkat pulang semula ke Kebun.

Pada waktu itu cuaca telah mula gelap.  Uncle Tuan Tanah yang akan menemani kami sepanjang percutian ini mula sibuk memasang lampu pelita dan membuat unggun api.  Yelah, tiada bekalan elektrikkan jadi eloklah persiapan awal dibuat sebelum keadaan bertukar gelita.  Bagi kami yang ala-ala wanita sejati sibuk mengemas barang serta mula memasak apa yang patut untuk makan malam.  Orang yang paling berjasa di dalam bidang memasak ini sudah tentulah Nyah dan juga Cik.  Cik orang yang paling cekap menggunakan dapur kayu.  Fieza masak makanan yang bergoreng seperti Kentang Goreng, Ayam Goreng dan Nugget.  Malam itu menu kami ala barat dan BBQ.  Abang sibuk menguruskan dapur memanggang dan saya sendiri lebih kepada menghulur bantuan seperti membasuh peralatan, makanan dan sebagainya.  Anak-anak bujang Nyah juga membantu.  Kami bekerjasama untuk memastikan menu makan malam berjaya terhasil.

Sebelum keadaan gelap mereka semua sempat sambung berkubang di dalam sungai.  Seronok tengok mereka semua bergembira di dalam sungai.  Saya, Fieza dan Ayu Bam Bam tidak mandi kerana kami mempunyai rencana yang lain.  Apakah rencananya silalah tunggu ye.  Sewaktu memasak inilah, timbul akal jahat di dalam kepala.  Saya ingin membakar perasaan seseorang yang sepatutnya turut bersama tetapi tidak dapat turut serta.  Dalam diam saya telah mengambil gambar curi Fieza sedang memasak dan menghantar kepada mangsa melalui MMS.  Siapakah orang itu?? jeng..jeng..jeng...sebelum terus bercerita jom berkongsi gambar yang sempat dirakam

Antara makanan yang bakal menjadi santapan kami beramai-ramai.
 
 Walaupun menjalankan tugas, tetap bergaya di hadapan lensa kamera.  Di belakang Ayu Bam Bam dan Fieza ialah Pakcik TNB (gelaran yang kami beri) kerana membantu kami menghidupkan segala pelita yang ada.  

Bersiap sedia untuk menjalankan sesi panggangan.  Muka tetap ceria walaupun terpaksa bekerja keras untuk kami semua

Cuaca yang mulai gelap dan Cik yang sedang sibuk mengatur strategi seterusnya

Ok, sambung balik perihal saya telah membakar hati seseorang.  Hati yang telah terbakar mendidih itu adalah hak milik seorang lagi kawan baik kami berdua, Puan Raja Nooranieda Raja Musa (terus keluar nama penuh.  Selepas ini gelaran yang akan melekat pada dia ialah Cik Puan Raja..he..he..he..)  Al-kisahnya, sewaktu merancang untuk pergi bercuti Cik Puan Raja telah tahu lebih awal mengenainya.  Kawan baiklah katakan, sudah semestinya setiap perancangan akan dikongsi bersama.  Sehingga tarikh kami pergi Cik Puan Raja masih belum dapat mengesahkan samada dapat turut serta atau tidak.  Mempunyai suami yang berkhidmat untuk negara ini amatlah susah sebenarnya untuk merancang sesuatu.  Saya dan Fieza sudah biasa dengan situasi sebegini dan kami tidak kisah.  Resmi berumah tangga, kenalah mengikut suamikan.  Tetapi buat saya dan Fieza sememangnya mengharapkan  sangat kehadiran Cik Puan Raja bersama.  Kalau tidak bersuami lagi dah lama kami menculiknya.

Ikutkan tarikh tersebut Cik Puan Raja sememangnya bercuti tetapi sehinggalah di saat akhir masih tidak dapat memberikan kepastian samada akan turut serta atau tidak.  Semangat Cik Puan Raja ini sememangnya berkobar untuk turut serta sehinggakan dia merancang untuk datang sendirian sekira suaminya tidak dapat turut serta, tetapi kami yakin sekiranya suaminya tidak dapat hadir, Cik Puan Raja pasti tidak akan muncul (betul tak Je...he..he..he..).  Bagi membakar perasaan Cik Puan Raja, saya telah menghantar MMS ke telefon bimbitnya.  Inilah gambarnya

Gambar ini diambil dengan pengetahuan Fieza tetapi Fieza tidak tahu hal sebenar mengapa gambar ini diambil.  Cik Puan Raja amatlah arif benar hal ehwal memasak.  Sekiranya dia ada, kerja-kerja ini semua dihujung jarinya sahaja dan kerana itulah saya terus mengambil gambar yang bisa membuat Cik Puan Raja panas punggung.  Jangkaan saya tepat.  Sebaik menerima Cik Puan Raja sememangnya terbakar tetapi tidak mempunyai sebarang pilihan lain kerana suaminya akan bekerja keesokkan harinya.  Kami berbalas sms dan dari cara perbualan tersebut Cik Puan Raja agak kecewa tidak dapat turut serta.  Kami redha dan terima kenyataan yang Cik Puan Raja tidak akan bersama kami kali ini.  Bagi mengubat hati, sekeping lagi gambar MMS di hantar supaya Cik Puan Raja terus terbakar..ha..ha..ha..
 
Kami meneruskan aktiviti kami dengan menikmati makan malam dengan tenang sambil di temani unggas serta bunyian air sungai yang deras mengalir.  Kami bergurau, berbual, bergaduh di bawah sinaran lampu minyak tanah di dalam pondok beratapkan daun nipah.  Ada yang mula mencari bantal untuk melampiaskan kepenatan seharian.
 
  Kami bertiga antara yang paling lewat mandi malam

Bertuah badan siapa yang dapat memiliki dia ni.  Serba boleh dalam segala hal..hik..hik..hik...

Keasyikan menikmati kerang bakar sehingga mengabaikan manusia yang ada disekeliling

Kaedah makan berebut ini amatlah seronok.  Semua makanan yang terhidang pasti laju memasuki perut

Sedang kami leka menyusuri suasana malam yang mendamaikan, tiba-tiba saya menerima satu panggilan telefon.  Cik Puan Raja menelefon.  Telahan saya mesti tidak puas hati dan ingin bertanyakan dengan lebih lanjut keadaan kami di sana pada waktu itu.  Sedang asyik berbual dan meneliti butir bicara Cik Puan Raja tiba-tiba saya bertutur dengan nada agak tinggi dan terkejut "Betul ke??!!"  Semua yang ada agak terpinga-pinga.  Tanpa meletakkan telefon terus memberitahu Fieza, "Raja jadi datang!!"  Suasana yang damai terus dipecahi dengan suara kami yang mula keseronokkan dengan perkhabaran berita.  Macamana Cik Puan Raja jadi menuruti kami biarlah kami sahaja yang mengetahui.  Ini kerana keajaiban sedang berlaku ketika itu.  Mungkin Allah SWT mendengar doa kami bertiga supaya memberi kami peluang berkumpul bersama.

Semangat yang berkobar terus membara.  Kami mengira detik waktu untuk menyambut ketibaan Cik Puan Raja pada malam itu.  Separuh dari makanan siap disimpan walaupun kami sedar Cik Puan Raja bakal tiba lewat tengah malam.  Mungkin kegirangan yang melanda telah menyuntik semangat keberanian saya untuk mandi sungai pada malam yang pekat itu.  Inilah rencana kami bertiga sejak dari awal lagi dan kerana itulah kami tidak turut serta dengan lain-lain sewaktu mereka semua berkubang pada waktu petang.  Maaf tiada sebarang gambar sewaktu mandi malam dan kalau ada pun bukanlah untuk tatapan umum kerana semuanya censored belaka.  Cik menjadi jaga di atas bagi memastikan kaum Adam tidak melintasi kawasan larangan tersebut.  Sewaktu menjejakkan kaki ke dalam air, mengigil seluruh tubuh tetapi makin lama makin sedap pula berendam sehinggakan kalau boleh tak mahu naik.  Antara kerja gila yang berjaya saya lakukan.

Usai mandi, secara tiba-tiba mata tidak dapat tertahan lagi.  Kami mencuba sedaya upaya melawan ngantuk.  Ini kerana kami harus pergi menjemput Cik Puan Raja dan suami kerana seperti yang telah diketahui tempat tersebut agak tersorok.  Kalau ikutkan jam baru menunjukkan pukul 11.30 malam tetapi semuanya telah mula kehabisan bateri.  Fieza terus menyorong bantal namun saya cuba tidur-tidur ayam.  Abang juga mohon untuk melelapkan mata.  Ayu Bam Bam pula bila melihat semua telah mula terbaring lesu dia pun apalagi, gunakanlah kesempatan yang ada untuk berlayar.  Hanya saya dan Cik sahaja yang cuba sedaya upaya supaya tidak terus terlena.

Lebih kurang 1.30 pagi saya terjaga.  Lihat keliling semuanya telah melelapkan mata.  Cuba menelefon Cik Puan Raja berkali-kali tetapi talian gagal bersambung.  Mungkin masih di lebuh raya.  Tiba-tiba saya terperasan keadaan di luar agak gelap terutama di bahagian rumah masak.  Saya terus mengejutkan Abang dan juga seorang lagi teman bagi memeriksa keadaan sekeliling.  Terpisat-pisat jugalah mereka tetapi tetap bangun menjalankan tugas.  Rupanya lampu minyak tanah yang diletakkan di rumah masak tersebut telah padam.  Mujur juga waktu itu Uncle Tuan Tanah juga tidak tidur lagi, maka mereka bertiga gigih menghidupkan semula pelita minyak tanah.  Kerosakkan kecil telah berlaku kepada lampu tersebut dan bersusah payah mereka bertiga mencari jalan untuk menghidupkannya. 

Saya yang pada ketika itu sudah tidak dapat melelapkan mata lagi terus bangun dan turut serta di dalam kumpulan mereka dan memerhatikan kerja-kerja baik pulih pelita tersebut.  Hampir setengah jam juga mereka berusaha dan hasilnya Alhamdulillah.  Sewaktu duduk di rumah masak itu jugalah saya menyedari yang kawasan Kebun itu amatlah kurang kehadiran nyamuk.  Selalunya jika berada di hutan, sang nyamuk pasti bertubi-tubi menyengat tetapi tidak di sini.  Hairan juga sebenarnya tetapi bagus juga, tidaklah kami bertepuk tampar sentiasa.  Hampir 2.30 pagi Cik Puan Raja tiba.  Kami berborak sebentar.  Niat untuk mengejutkan Fieza tidak diteruskan sementelah melihat muka pasangan suami isteri ini yang agak kepenatan.  Mereka menjamah mana makanan yang ada lalu kami beransur masuk ke bilik masing-masing.  

Menjelang subuh, suasana sekeliling amatlah sejuk.  Mengagahi diri bangun dan mencari segala macam baju dan sarung kaki bagi membaluti tubuh yang mula diserang kesejukkan amat sangat.  Boleh dikatakan tidak lena jugalah tidur saya.  Melihat Ayu Bam Bam disebelah pelik juga, tidak sejukkah dia tetapi tetap mengambil selimut dan menyelimuti tubuhnya supaya berhaba sedikit badannya.  Pada mulanya ingatkan hujan lebat di luar, rupanya deras air sungai berbunyi seperti hujan lebat di luar.  Tergelak juga apabila menjenguk Cik dan Pakcik yang saling berebut selimut.  Walau dalam keadaan lena tetap sama seperti di siang hari, bergaduh manja.

Pukul 7 pagi saya telah dikejutkan lagi.  Apa dan mengapa kita sambung lagi ye...



nota:  agak terperinci juga penceritaan ini ye..he..he..he..






 
 

No comments :

Post a Comment