Followers

Thursday, June 3, 2010

::Mengisi ruang kosong::

Entah kenapa minggu ni, perasaan serba tak kena berlingkar.  Hampir seminggu jugalah komputer riba ini bersarang di dalam beg.  Semangat untuk berlayar di alam maya seolah lupus.  Blog-blog yang sering diterjah juga tidak dilawati.  Sedar tak sedar, telah setahun jodoh saya bersama komputer riba ini.  Banyak juga jasa bakti terhadap tuan empunya diri.  Selama setahun juga, tidak pernahlah komputer ini meragam.  Kelebihan menggunakan jenama yang terkenal mungkin.  Saat menarikan jemari, tidak pasti sebenarnya apa yang ingin dikongsi bersama.  Banyak cerita dan input yang boleh dipaparkan di sini tetapi untuk mendahulukan yang mana sudah tidak pasti.  Apa kata saya kongsi pengalaman menggunakan komputer riba?  Ada ke orang nak tahu, tapi tak apalah.  Sekadar berkongsi dan mengisi ruang kosong.

Kalau nak tahu, saya memiliki komputer riba sendiri pada usia 29 tahun.  Kiranya, yang bersama saya kini adalah yang pertama di dalam hidup saya.  "Perak" sungguh saya ni.  Ini  juga bermakna, sebelum ini saya hanya menggunakan komputer kotak (desktop).  Berlumba-lumbalah adik beradik saya membeli komputer riba untuk diri sendiri sehinggakan ada yang telah bertukar ke 3-4 buah tetapi saya masih belum memiliki satu pun pada waktu itu.  Perasaan teringin tidak pernah menguasai malahan saya berasa amat puas menggunakan desktop.  Serasa luas dunia yang dilayari.  Sepanjang menyambung pelajaran di UKM, rakan-rakan sekuliah sibuk menggendong komputer riba ke kelas sehinggakan mereka mula menggunakannya sebagai alat bantuan pembelajaran.  Paling canggih yang pernah saya gunakan sepanjang menuntut hanyalah membuat salinan nota pensyarah menggunakan pen drive.

Tergerak hati untuk memiliki sebuah komputer riba apabila pensyarah sudah tidak lagi menggunakan kertas untuk memberi nota.  Malahan, kami juga tidak lagi digalakkan untuk menyalin nota pensyarah ke dalam pen drive.  Kebanyakkan nota diberi haruslah diambil melalui laman sesawang yang disediakan oleh pihak universiti.  Pada waktu itu juga, saya telah mula mengurangkan waktu melayari internet di pejabat dan atas alasan bagi memudahkan penghujung hayat saya di UKM, makanya bertemulah jodoh saya dengannya.  Tidak perlulah dinyatakan berapa harganya tetapi apa yang pasti saya memilihnya bukan kerana fungsi tetapi kerana jenama.

Salah satu kelemahan yang dalam diri adalah saya terlalu percayakan jenama barangan dan bukan kepada kepelbagaian fungsi.  Sekali jenama tersebut meyakin maka selamanyalah saya akan memilih barangan dari jenama tersebut walaupun ada jenama lain yang dapat memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik.  Tidak kisah jika harus membayar lebih kerana yakin akan jenama tersebut.  Bagi barangan elektrik dan elektronik saya amatlah mempercayai jenama Sony.  Kalau boleh semuanya nak berlabelkan Sony padahal harga yang ditawarkan dari jenama ini boleh tahan mahal.  Begitu jugalah yang terjadi di dalam hal pemilihan komputer riba. Puas Macho Man memberi khidmat nasihat serta menyebut beberapa jenama yang popular dan terkenal sewaktu membeli tetapi keputusan muktamad saya tetap pada itu.  Anggaran kos telah saya berikan kepada Macho Man dan dia harus mencarikan apa yang seperti saya ingini dan akhirnya saya memilikinya.

Salah satu daripadanya adalah milik saya.  (Gambar di ambil dari Yahoo Image).  Walaupun saya tidak mengeluarkan sebarang nafkah untuk memilikinya, tetapi saya tetap hargai nilai yang diperuntukkan.

Dari saat itulah saya mula melayari alam maya tanpa mengira waktu.  Punya waktu terluang pasti akan saya habiskan dengannya.  Tetapi sehingga hari ini, saya masih lagi tidak memahirkan diri menggunakan komputer riba ini.  Banyak lagi aplikasi yang terkandung tidak diteroka.  Jangan tak tahu, untuk edit sekeping gambar pun saya bakal mengambil tempoh masa sehari.  Kadang-kadang gelak sendirian pun ada.  Macho Man selalu perli, "harapkan laptop je canggih, tuannya tidak".  Ada masanya saya seperti takut untuk meneroka hak milik sendiri.  Takut akan merosakkannya.  Dalam erti kata lain saya adalah seorang "Gadget Freak".  Ya, saya akui ketakutkan saya itu amatlah merunsingkan sehinggakan jika ada masalah kecil saya pasti tidak tidur malam memikirkannya.  Menggelabah betul orangnya saya ni!!! 

Alhamdulillah dengan hadirnya dia dalam hidup saya, sekurang-kurangnya saya telah ada blog saya sendiri.  Pencapaian untuk diri sendiri namanya.  I Luv Clothez saya juga bermula dengan bantuannya.  Kenangan memilikinya pasti akan terpahat dan sebaik mungkin saya akan menjaganya walaupun ramai yang meracun supaya saya melepaskannya kepada tuan yang baru dan menggantikannya dengan yang lebih baru.  Saya masih lagi berhutang dua kertas kerja dengan pensyarah dan berharap komputer riba ini akan terus membantu saya dalam menyempurnakan kertas kerja tersebut.  Cukuplah coretan ini didekasikan untuknya.  Moga jodoh saya akan bertahan lama dengannya.



nota:  Tolong....... 

 

No comments :

Post a Comment