Followers

Tuesday, July 6, 2010

Kita Bagaimana??

Apa agaknya reaksi kita apabila orang yang kita sayang, kita kasih dan kita berikan segalanya tetapi akhirnya merosakkannya dengan perbuatan curang yang amat jelas di depan mata?  Bagaimana dan apakah yang harus dilakukan demi kebaikan semua pihak?  Memang benar lain orang lain pendekatan dan bergantung juga kepada situasi.  Setiap keputusan yang bakal diambil ianya pasti memberi impak kepada sekeliling, tetapi besarkah impak tersebut jika dibandingkan dengan apa yang terpaksa ditanggung di dalam hati.

Jika benar huluran maaf disambut, ikhlaskah penyambut?  Jika benar ingin memadam peristiwa hitam dari kotak ingatan, akan benar terpadamkah memori tersebut?  Jika benar ingin terus memandang ke hadapan dan membina kehidupan baru, tidak akan menoleh ke barang sesaat ke belakang?  Akhirnya hati juga yang merana di atas kecurangan yang dilakukan oleh orang tersayang.

Betul saya belum melangkah ke alam perkahwinan tetapi tidak beerti saya buta akan hakikat perkahwinan yang dilalui oleh sesetengah individu.  Memang benar lain orang lain al-kisah.  Bila lain kisahnya sudah pasti lain juga badainya.  Tetap bersetuju dengan pendapat sesetengah orang, laut mana yang tidak dilanda badai tetapi jika badai itu dicipta oleh penghuni laut itu sendiri, apa pula nasib para nelayan yang bergantung nasib?  

Hati gusar memikirkan nasib sang teman tetapi apakan daya diri ini.  Hanya huluran kata nasihat sahaja yang mampu mewarnai perbualan.  Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.  Apa yang terbuku di dalam hatinya hanya dia sahaja yang mengetahui.  Mungkin segala bersarang telah menjadi gumpalan batu keras dan jika ianya meletup.......entah!!!  Apa agaknya yang saya lakukan jika ini yang terjadi?  Jawapan dari saya,  "TIADA MAAF BAGIMU dan SAMPAI DI SINI SAHAJA" tetapi saya belum berkahwin maka mungkin tergamak untuk melafazkannya tetapi terlafazkah kata-kata ini buat pasangan suami isteri?  

Sabarlah duhai teman, serahkan diri pada Yang Maha Esa dan moga di situ beroleh jawapan..

No comments :

Post a Comment