Followers

Thursday, July 15, 2010

::Layan...::

Menulis entri disulami dengan OST Lagenda Budak Setan.  Lagu yang sedang hangat diperkatakan di sana sini begitu juga dengan filemnya.  Emosi amatlah tidak stabil tatkala ini maka ambil keputusan melampiaskan rasa hati di papan layar yang tidak bernyawa ini.  Lagu Bila Cinta versi Gio ini sememangnya membuai perasaan walaupun tidak berada di dilema percintaan.  Esakkan suaranya begitu menggamit jiwa sehinggakan penderitaan yang ditanggung sang lelaki ini begitu terasa di hati.  

Begitulah saya, seorang yang amat sensitif deria rasa dari sudut perasaan.  Bukan nak membanggakan diri atau seangkatan dengannya cuma saya sering meletakkan diri saya ke dalam sesuatu situasi.  Contohnya macam lagu-lagu cinta, saya akan terbuai dengan alunan melodi lalu mengaitkan bait-bait lirik dan menjadikannya satu dengan diri saya.   Lantas terus menyelami perasaan pencipta lagu dan orang yang melagukan lagu tersebut.  Jika kepedihan yang mereka lontarkan maka kepedihan jugalah yang saya rasa begitulah jika sebaliknya.  Fikiran akan menerawang memikirkan nasib orang-orang yang sedang berhadapan dengan situasi tersebut.  Sekiranya saya yang berada di tempat mereka apa agaknya reaksi saya.  Macam-macam lagilah yang akan saya fikirkan sehinggakan setiap kali bila lagu tersebut berkumandang mood dan emosi saya terus bertukar.

Wah, macam ahli pemikir gayanya.  Tak adalah sehingga ke tahap itu tetapi apa yang saya perasan melalui tingkah tersebut melahirkan kematangan di dalam diri saya.  Kadang-kala apa yang kita bayangkan terjadi dalam hidupan realiti kita.  Kalau bukan diri sendiri yang akan berdepan dengan situasi tersebut mungkin orang di sekeliling kita.  Yelah, perjalanan hidup kita mempunyai warna cerita yang tersendiri.  Apabila berhadapan dengan sesuatu situasi saya sering mengingatkan diri sendiri supaya tidak terus kepada keputusan tetapi kaji dahulu apakah yang menyebabkan keadaan sebegitu terjadi dan wajarkah kita mengambil keputusan sedemikian rupa.

Berbalik kepada lagu Bila Cinta, entah kenapa saya lebih tertarik mendengar versi lelaki berbanding penyanyi wanita.  Mungkin kerana jarang-jarang kita dengar lelaki merintih kepedihan ditambah pula susunan muzik yang agak berbeza.  Bangga rasanya jika sayalah wanita yang si lelaki itu gila-gilakan.  Eh, tiba-tiba rasa nak mengalir pula air mata.  Aduhai, terlalu melayan emosi nampaknya saya ni.  Alhamdulillah, saya tidaklah pernah rasa sakit amat sangat kecewa dalam bercinta.  Setakat berantakan tu biasalah tapi saya dapat merasakan sakit yang amat sangat jika putus cinta.  Yelah, kita dah letak harapan tinggi melangit, kemanisan bercinta pun turut sama merasa, sanggup berkorban masa segala tiba-tiba segalanya musnah.  

MVB dan CPR pernah melalui detik ini, dan saya dapat menyelami perasaan mereka waktu itu.  Penangan putus cinta bahaya tau.  Panasaran dibuatnya dan jika tidak kuat iman di dada mahu gila jadinya.  Tapi Alhamdulillah mereka berjaya mengatasinya.  Jangan tak tahu, mereka menangis mengenang nasib, saya pun tumpang kaki sama mengenangkan nasib yang menimpa mereka.  Bila diingat balik kelakar pula rasanya.  Tapi kalau boleh janganlah ada sesiapa yang melalui saat-saat tersebut dan saya berdoa supaya saya juga tidak akan merasai pengalaman sedemikan.

Rasanya cukuplah melayan perasaan.  Makin di layan makin menjadi kesayuan di tangkai hati.  Apa pun, antara lirik Bila Cinta yang menambat hati saya berbunyi:

KU SEBUT NAMAMU DI SETIAP DOAKU
BANGKITKAN SETIAP KENANGAN TENTANG MU
YANG KU DAPAT HANYALAH BAYANG MU

Tiba-tiba hati saya berdetik teringatkan seseorang.  Hmm..takpelah, yang itu kita cerita lain kali kalau ada kesempatan untuk saya kongsikan bersama.  

nota:  maaf saya belum pandai macamana nak muat naik klip video.  Nanti-nantilah saya belajar, makanya kepada sesiapa yang nak tahu lagu Google sahaja (rasanya semua pun dah pernah dengar lagu ni) 

No comments :

Post a Comment