Followers

Tuesday, July 13, 2010

::SAKIT!!!!SAKIT!!!!SAKIT!!!!!::

Bagi yang rajin mengikuti saya semestinya dah bosan dengan janji manis saya yang kononnya nak buat entri itulah, inilah tetapi pengakhirannya.....  Balik dari menonton Twilight, saya telah di serang secara mengejut oleh teman bulanan dan sudah semestinya saya akan merana menanggung kesakitan seharian makanya hari Jumaat mod saya adalah PMS.  Langsung tidak menyentuh papan kekunci.  Lagi pula hujung minggu kali ni sunyi sedikit bila Buah Hati pulang ke Ampang pada petang Jumaat dan saya terbaring di atas katil.

Tak pasti pula mengapa kali ni sengugut menyerang berhari-hari.  Hari Sabtu seharian menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi tetap mengagahkan diri menemani GM ke satu taklimat.  Pulang sahaja terus menuju ke katil kerana sakit yang amat sangat.  Lagi pula malam harus menghadiri kenduri jadinya haruslah merehatkan badan secukupnya.  Malam sewaktu kenduri langsung tak seronok seperti biasa.  Bahagian kaki dan pinggang terasa mencucuk macam nak tercabut.  Tak sukanya sakit kali ini namun mengagahi juga duduk di rumah kenduri hingga ke tengah malam.  Balik rumah terus pengsan kerana keesokannya nak berjalan jauh pula.

Ahad pagi lagi dah bangun setelah berjanji dengan Abang dan Mimie The Diva (MTD) untuk menghalakan diri ke Negeri Sembilan.  Sakit tak surut walau seinci rasa tetapi Abang dan MTD berjaya menghiburkan hati yang lara.  Entah kenapa tiba-tiba gastrik pula sampai.  Aduhai, lepas satu penyakit satu penyakit pula.  Mengharungi hari Ahad dengan begitu mencabar sekali sementelah pergi ke Negeri Sembilan bukan semata untuk berjalan tetapi menghantari MTD untuk melaksanakan misi.  Nanti ada kelapangan saya kongsi misi MTD ke sana.  Pulang dari sana biasalah, panggilan Piala Dunia begitu kuat.  Lawankan sakit yang ada demi untuk duduk tegak di depan peti televisyen.  Tak perlulah nak diperkatakan siapa pemenangnyakan.

Minggu baru, hari baru pun menjelma.  Alhamdulillah sengugut dah hilang gastrik juga sudah tidak terasa.  Tetapi kepala begitu berat mungkin penangan Piala Dunia.  Mengharungi hari semalam begitu mencabar diri punca dari keletihan aktiviti hari Ahad.  Di tambah pula dengan perkara yang menambah lara di hati.  Makanya hari Isnin dilalui dengan tekanan perasaan yang amat sangat.  Menjelang malam, kepala semakin berat dan badan mula mengeluarkan haba kepanasan.  Mandi di malam hari adalah perkara yang amat jarang saya lakukan tetapi semalam tanpa ada sebarang paksaan telah merelakan diri untuk mandi di waktu malam.

Selesai mandi kepala makin berat seolah ada batu yang menghempap.  Ambil keputusan untuk tidur walau malam masih muda.  Saat memejamkan mata denyutan sakit di kepala semakin kuat.  Lawan rasa sakit dan berusaha untuk pejamkan mata.  Bangun pagi ingatkan sakit kepala semakin sembuh rupanya tidak!!!  Semakin berat dari malam tadi dan secara sah saya telah terkena MIGRAIN.  

Berbiji ubat di telan tetapi tiada sebarang tanda untuk baik.  Bebanan di tambah pula apabila masih belum lagi mendapat keputusan status permohonan.  Status permohonan ini sebenarnya terlalu membebankan bagi saya dan saya dapat merasakan kerana inilah saya jatuh sakit.  Apakah ianya biarlah saya pendamkan dahulu.  Di suatu masa dan ketika bila saya bersedia untuk berkongsi akan saya kongsikan bersama.  Abang menasihati supaya saya tidak berterusan stress kerana bimbang saya bakal menghidapi tekanan darah tinggi.  Bagaimana saya tidak stress jika segalanya masih lagi bergantungan di sana sini.  Tiada sebarang pembayang mahupun samar-samar jawapan.  Ini semua membuatkan saya berada di dalam ketidakpastiaan yang amat sangat.

Sehingga saat ini kepala masih lagi berasa sakit yang amat sangat tetapi saya lawan rasa sakit moga dengan kaedah ini ianya akan mengurangkan rasa sakit tersebut.  Tetapi saya tidak menipu, di dalam hati bagai nak pecah rasanya menanggung rasa.  Entahlah, inilah ujian kita sebagai hamba di dunia.  Apa pun, tetap bersyukur kerana di uji dengan sakit yang berterusan kerana mungkin ada hikmah di sebalik segala yang sedang saya lalui ini.  Cuma apa yang saya pohon di saat ini, moga Allah mendengar rayuan hambanya ini untuk mendapatkan kepastian di dalam hal yang masih lagi menjadi tanda tanya.  




nota:  sakit adalah penghapus dosa-dosa kecil...

No comments :

Post a Comment