Followers

Saturday, July 3, 2010

Segalanya Piala Dunia

Walau dah terlambat tetapi tetap jugalah nak sembang perihal ni.  Seperti yang kita sedia ketahui, dunia mengalami demam bola.  Sana sini topik perbualan tidak lain tidak bukan hanyalah bola semata.  Ibarat segala sistem yang wujud boleh jem dek kerana penangan bola.  Tak heran sebenarnya, jika bukan Piala Dunia sekali pun kaki bola tetap kaki bola.  Segala jadual perlawanan hafal dalam kepala dan mereka-mereka inilah saluran sukan di stesen televisyen berbayar boleh tahan juga mahalnya.  

Permintaan terhadap siaran sukan juga naik mencanak-canak kerana hak eksklusif di berikan kepada satu pihak sahaja.  Oleh itu penonton tidak mempunyai pilihan saluran lain melainkan memohon saluran sukan bagi tujuan mengikuti perlawanan.  Macho Man adalah mangsa keadaan ini bila mana perlawanan yang disiarkan oleh saluran kerajaan semuanya perlawanan tertunda.  Akhirnya Macho Man tewas dengan desakan keadaan dan telah memohon saluran sukan untuk peti televisyennya.   

Ada yang merancang cuti mereka sepanjang Piala Dunia berlangsung.  Tetapi ada juga khabar mengatakan sesetengah jabatan kerajaan dan juga syarikat swasta membekukan permohonan cuti kerana bimbang pekerja beramai-ramai mengambil cuti demi untuk menonton perlawanan bola.  Kuatkan aura Piala Dunia.  Penuhlah kedai-kedai mamak walaupun yang datang melepak hanya meneguk secawan air sahaja sepanjang tempoh hampir dua jam perlawanan.

Saya bukan seorang yang fanatik bola.  Abang juga tidak oleh itu kehidupan kami tenang dan tidak seperti sesetengah pasangan yang lain.  Terpaksa bergaduh kerana bola dan kerana bola teman wanita/isteri merasa terabai tetapi kami tidak melepaskan peluang merasai kemeriahan Piala Dunia yang persembahannya hanya dapat ditonton setiap 4 tahun.  Melalui perhubungan cinta kami yang terlalu lama ini, sedar tak sedar sudah tiga kali perlawanan Piala Dunia kitaorang menonton bersama.  Jadinya pandai-pandailah ye mengira berapa lama kami bercinta.

Istimewanya saya ini (bukan untuk masuk bakul angkat sendiri), saya seorang yang boleh masuk di dalam apa jua topik perbincangan tetapi yang terkini dan juga sukan yang bertaraf dunia.  Contohnya seperti Piala Dunia dan Piala Thomas.  Dek kerana arus suasana begitu besar geloranya maka saya tidak mahu menjadi seorang yang tinggal di dunianya sendiri.    Jangan tidak tahu kalau dapat bercakap mengenai perlawanan tertentu, saya ibarat orang yang begitu berpengalaman di dalam sukan tersebut.  Walhal sebelum berlangsung perlawanan, saya sibuk mengumpul ilmu melalui laman maya.  Besar jasa alam maya dan menyumbang ilmu kepada saya.

Begitulah juga terjadinya di dalam tempoh Piala Dunia.  Sedari awal, walau tidak mengikuti setiap perlawanan kerana saya tidak mempunyai saluran sukan tetapi saya tetap mengikut perkembangannya.  Dari awal berlangsung sehinggalah hari ini saya sering memberi info berkaitan trivia yang sering saya peroleh.  Pasukan A ada pemain begini, Pasukan B strateginya begini, Pasukan C akan kalah jika mengikut pemerhati, Pasukan D akan melangkah ke peringkat seterusnya, bla bla bla bla bla...Saya juga sering mengingatkan Abang dan Macho Man malam ini perlawanan apa, esok siapa yang akan bertarung dan lusa pasukan mana akan menempah tiket kapal terbang pulang.  Apa yang saya buat ini bukanlah pada Piala Dunia kali ini sahaja tetapi pada siri-siri Piala Dunia yang lepas.


Tetapi sayang, sampai hari ini sukan bola sepak tidak pernah tersenarai sebagai salah satu sukan yang saya gemar tontoni.  Saya lebih suka mengetahui keputusannya sahaja.  Mungkin kerana negara sendiri tidak pernah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.  Bilalah agaknya kita dapat melihat pasukan kita bertarung di perlawanan bertaraf dunia?  Atau impian itu tidak akan menjadi kenyataan langsung kerana prestasi pasukan negara tidak pernah cemerlang.  Apa yang pasti, saya mengkagumi pemain-pemain bola di Piala Dunia.  Semangat yang mereka tunjukkan di setiap perlawanan begitu tinggi.  Mereka seolah berada di medan peperangan dan kemenangan harus menjadi milik mereka.   Mereka berlawan demi maruah negara dan bukannya kerana sanjungan. Bukan untuk memandang rendah pasukan negara cumanya saya yakin pemain kita tidak mempunyai semangat jitu seperti pemain-pemain Piala Dunia.

Cuma musim kali ini pemain-pemain yang bertarung kurang menunjukkan gaya individu mereka seperti fesyen rambut yang unik.  Jika musim sebelum ini ada sahaja yang berani mati menampilkan kelainan.  Kelakar dan hodoh pada pandangan kita tetapi kepuasan bagi mereka.  Itulah gelagat namanya dan perkara-perkara inilah yang menarik minat penonton dan peminat bola.  Sepanjang Piala Dunia kali ini saya sering berkata "penuhnya stadium".  Mungkin pelusuk dunia mengambil cuti dan duduk berkampung di Afrika Selatan untuk memberi sokongan dan meraikan pasukan yang diminati.  Sanggup ye mereka!!! 


Afrika Selatan juga pasti menjana pendapatan lumayan hasil dari demam Piala Dunia.  Saat ini, pasti negara mereka dibanjiri dengan pelbagai jenis manusia dari seluruh negara.  Bagi negara yang agak terkebelakang bagi pencapaian ekonomi, Piala Dunia berjaya memperkenalkan negara mereka di serata benua.  Mungkin dengan wujudnya magis Piala Dunia ianya juga akan menganugerahkan magis kepada negara tersebut.

Apa pun, Piala Dunia 2010 semakin hampir ke penghujung.  Saat saya berkongsi rasa, negara Brazil baru sahaja tewas di tangan Belanda di peringkat suku akhir dan ianya amat mengecewakan Ayu Bam Bam kerana dari 2006 lagi dia penyokong setia negara Brazil.  Magis Piala Dunia adalah apabila kita jangan memandang rendah kebolehan negara-negara yang tidak popular (underdog) kerana mereka ini bisa membuat kejutan dan pasukan gergasi boleh meleleh air liur di buatnya.  Pada awal Piala Dunia berlangsung, saya meramalkan Argentina akan bertemu Brazil di perlawanan akhir tetapi kini saya mengagak Argentina akan bertembung Netherlands/Belanda.  Tetapi Macho Man berkeyakinan Jerman akan dapat menewaskan Argentina.  Apa pun, kita nantikan sahaja perlawanan tersebut.

Kepada peminat fanatik bola, teruskanlah menonton dan menyokong Piala Dunia walaupun pasukan pilihan telah tewas awal.  Jaga kesihatan dan pastikan kualiti kerja tidak merosot seperti merosotnya prestasi kumpulan gergasi pilihan.  Lagi pula tidak lama mana pun lagi Piala Dunia akan berlangsung.  Jangan nanti Piala Dunia tamat kita pula yang tenat dengan kerja yang menimbun.

 Para pemain menunjukkan rasa kegembiraan mereka tatkala memenangi perlawanan.  Kalau tak silap ini pasukan Slovenia yang telah pun kalah di peringkat kalah mati.  Gambar di ambil dari Google Image

Piala yang dikejar oleh semua negara yang bertanding.  Gambar di ambil dari Google Image






nota:  teringin sebenarnya nak melihat pengadil Malaysia yang terpilih ke Piala Dunia beraksi atau saya yang terlepas pandang sebenarnya.



 

 





No comments :

Post a Comment