Followers

Wednesday, September 29, 2010

::Rezeki::

Menjadi tanggungjawab kita sebagai hambaNya di muka bumi ini untuk terus berusaha.  Tanpa usaha sesuatu itu tidak akan datang bergolek.  Okey, jangan samakan dengan mereka-mereka yang beruntung tatkala lahir ke muka dunia.  Itu memang telah tersurat nasib mereka-mereka ini.  Selain dari berusaha, kita juga selalu bergantung harap kepada rezeki yang telah tertulis buat diri kita.

Rakan-rakan percaya kepada suratan rezeki?  Percaya atau tidak terpulanglah kepada diri masing-masing.  Diri saya amat percaya akan ketentuan sebegini.  Benar kita harus melipat gandakan usaha sekiranya ingin menikmati kesenangan, tetapi pernah juga ada di antara kita, berusahalah dengan cara mana sekalipun, jika sememangnya telah tersurat bahawa bukan rezeki kita pasti kita gagal menggapainya, betul tak?
Bermacam-macam rezeki yang ada di dunia ini.  Rezeki terpijaklah, rezeki depan matalah, rezeki pagi harilah, rezeki anaklah dan macam-macam lagi.  Namun setiap apa yang wujud itu jika tidak mendapat restu Illahi pasti tidak akan kekal menjadi milik kita.  Eh, kenapa saya tiba-tiba berbicara mengenai rezeki pula ye?  Tak apalah, sekadar berkongsi rasa dengan teman-teman.  Lagipun, sedang waktu makan tengahari ini, kalau melayan kepala yang melayang entah ke mana boleh membuat ketiduran kelak.

Berbalik soal rezeki, pernah teman berkata setiap anak yang telah dititipkan oleh Allah ke muka bumi ini akan sentiasa ada rezekinya sendiri.  Oleh itu, janganlah gusar dan bimbang akan nasib anak tersebut kelak.  Yang penting ibu bapa itu sendiri tidak putus-putus berdoa dan berusaha demi kestabilan rezeki anak tersebut.  Banyak bukti yang telah saya lihat akan kebenaran kata-kata ini.  Tidak perlu memandang jauh, lihat disekeliling saya sudah cukup membukti.

Puan Ninie dan Siti Cuty kelak bakal melahirkan penyambung warisan mereka.  Sebelum mengandung, Puan Ninie menjawat jawatan di dalam sektor awam tetapi bertaraf Kontrak.  Taraf pekerjaan yang boleh diibaratkan untung sabut timbul untung batu tenggelam.  Alhamdulillah, rezeki anak bakal lahir Puan Ninie akhirnya berjaya mendapat jawatan bertaraf tetap dan kelak akan mulakan perkhidmatan barunya pada minggu hadapan.  Ajaibkan..  Hampir setahun menunggu peluang untuk kenaikan tetapi peluang seakan jauh menyepi tetapi semenjak berbadan dua Alhamdulillah rezeki datang tanpa di sangka-sangka.  Rezeki anak yang bakal lahir :)  "To my Deary Sis:  All the Best for your future Career"

Siti Cuty juga tidak kurang hebatnya.  Siapa sangka dari seorang wanita yang banyak bergantung dan tidak mempunyai karier yang boleh dibanggakan selama ini, tetapi telah di beri peluang untuk menjadi seorang wanita berkerjaya.  Sesuatu yang dia sendiri tidak pernah terfikir barangkali.  Sebaik sahaja tamat pengajiannya, Siti Cuty telah ditawarkan untuk terus bekerja.  Walaupun berbadan dua tetapi organisasi tetap memilih dia untuk mengisi kekosongan jawatan yang boleh sahaja ditawarkan kepada mana-mana lepasan graduan.  Rezeki bukan?  "To My Beloved Sister In Law:  Along Tahu Siti mesti boleh mengharungi segalanya dengan kejayaan kelak"

Rezeki saya?  Untuk orang yang tidak mempunyai anak, cukuplah jika Allah menganugerahkan rezeki anak tekak dan juga anak mata..he..he..he..  takkan saya nak meminta lebih dari itu sedangkan Allah sudah cukup adil mengagihkan rezeki sesama umatnya.  Cuma jika diberi peluang, saya menginginkan rezeki untuk bergerak satu lagi anak tangga dari apa yang telah saya diami selama ini.  Insyaallah, dengan usaha yang saya lakukan akan sampai juga rezeki saya kelak.

Rakan-rakan lain macamana?  Samada wujudnya rezeki atau tidak yang penting jangan kita lupa terus berdoa.  Moga Allah mendengar permintaan kita satu hari kelak dan bagi mereka yang Allah telah curahkan rezeki yang tidak pernah putus, bersyukurlah sebelum segalanya ditarik semula.  Jangan cemburukan rezeki insan-insan lain yang sentiasa melimpah ruah, kerana mungkin rezeki orang itu begini tetapi akan ada ujian lain yang terpaksa dihadapinya..


nota:  orang kata rezeki orang berkahwin pun satu macam juga..he..he..he.OOPPSS!!!

No comments :

Post a Comment