Followers

Friday, December 31, 2010

::Salam::

Agak lama meninggalkan medium ini kesunyian tanpa sebarang perkhabaran berita.  Maaf, terlalu banyak kerja yang harus dilaksanakan lantas telah mengabaikan ruang maya ini.  Projek baru di tangan dan percaturan masa masih lagi canggung mengakibatkan segalanya tunggang terbalik.  Insyaallah, perlahan-lahan akan dapat menyesuaikan masa dengan keadaan baru ini.

Banyak cerita dan rindu sebenarnya untuk mencanai idea di sini.  Episod Langkawi juga tergantung begitu sahaja.  Bagi yang setia mengikuti, jangan risau kerana pasti akan bersiaran kembali.  Sedar tak sedar, penutupan tirai 2010 semakin hampir.  Hanya beberapa jam sahaja lagi kita akan menyingkap tabir 2011.  Beerti bertambah lagi segala perkara yang mengiringi 2011.  Selagi bernafas kehidupan dan tanggungjawab sebagai manusia harus diteruskan walau tahun bersilih ganti sehinggalah kita dipanggil semula olehNya.  Buat rakan-rakan, Selamat Melangkah ke Tahun Baru.  Moga dengan kehadiran tahun 2011 akan beroleh kebaikan.  Buat umat Islam, walaupun telah hampir setengah bulan kita melangkah ke tahun baru Hijrah, marilah kita memohon doa semoga tahun 2011 ini lebih memberi rahmat buat umat Islam sejagat...

  Gambar diambil dari Google Image!



nota:  entri terakhir bagi tahun 2010...

 

Tuesday, December 21, 2010

::Langkawi 7::

Berpandukan pada tajuk pasti telah dapat mengagakkan entri ini berkisarkan apa.  Saya tidak pasti berapa banyak lagi episod Langkawi ini akan berlangsung, tak sabar juga sebenarnya untuk menamatkan tetapi itulah...Bukan sayalah orangnya jika entri tidak meleret-leret :)  Terima kasih kepada yang sudi mengikutinya dan salam perkenalan bagi sesiapa yang baru sahaja menerjah blog ini.  Untuk episod-episod sebelum ini boleh juga membaca di sini :-


Hari ketiga menanti kami dengan aktiviti yang padat sama seperti hari sebelumnya.  Hari ketiga kami memperuntukkan seharian dengan aktiviti menaiki bot.  Pada awal perancangan, kami ingin melakukan Island Hoping.  Berdasarkan pengalaman lalu aktiviti Island Hoping ini kita akan di bawa  ke tiga destinasi iaitu Pulau Beras Basah:  aktiviti mandi-manda di pantai yang terbentang putih serta air yang jernih, Tasik Dayang Bunting:  melawat keadaan keliling tasik serta menerjunkan diri ke dalam air tasik yang amat sejuk walaupun matahari terik di atas kepala dan Pulau Singa:  aktiviti memberi helang makan.  Ejump dan Nova telah memasukkan aktiviti ini di dalam perancangan lawatan mereka kerana inilah julung kalinya mereka sampai ke sana.

Saat berlepas ke Langkawi, saya tidak di beri sebarang pendedahan mengenai tarikan terbaru di Langkawi iaitu Kilim Geopark.  Sewaktu berada di Gunung Mat Chincang ada seorang adik bernama Shikin datang menegur saya dan bertanyakan samada berminat atau tidak dengan pakej Kilim Geopark yang syarikat mereka tawarkan.  Setelah bertanya dengan lebih lanjut mengenai pakej tersebut dan melalui kumpulan perbincangan, akhirnya sepakat untuk mengambil pakej Kilim Geopark tetapi Island Hoping terpaksa dilupakan kerana laluan perjalanan yang digunakan adalah berbeza dan dari segi tempoh masa juga tidak mengizinkan.

Ralat juga tidak dapat melaksanakan Island Hoping terutama tidak ke Tasik Dayang Bunting.  Dalam masa yang sama mengenangkan Ejump dan Nova yang tidak pernah sampai. Tetapi saya dan Abang serta Husin sekeluarga pernah ke sana dan tidak pernah lagi melalui pengalaman Kilim Geopark.  Pertimbangan di buat berdasarkan semua ahli kumpulan dan juga faktor perjalanan.  Menuju ke Tasik Dayang Bunting agak mencabar kerana terpaksa merentas hutan dan juga harus melalui sedikit pendakian (berdasarkan pengalaman yang lepas).  Faktor ini jelas tidak sesuai buat Nova yang sedang berbadan dua dan Husin yang beranak kecil.  Oleh itu, Ejump melepaskan hasratnya ke sana dan semua akur dengan keputusan yang dibuat.  Insyaallah Ejump, lain kali kita buat Island Hoping pula ye?

Untuk pakej Kilim Geopark ini kami ditawarkan 4 jam tempoh perjalanan dan dikenakan bayaran RM400 sekumpulan, beerti bot kami tidak dikongsi dengan orang lain.  Pakej ini pada awalnya berharga RM450 tetapi selepas proses tawar-menawar itulah harga yang kami peroleh.  Kiranya pakej yang kami ambil ini adalah yang paling mahal jika dibandingkan dengan pakej-pakej yang lain.  Syarikat Shikin menawarkan pakej dari harga serendah RM200 bagi sebuah bot ataupun serendah RM25 bagi satu kepala.  Alang-alang ke sana biarlah kami merasai pengalaman tersebut sepuasnya, kerana itulah kami mengambil pakej yang paling mahal.  

Seawal 7 pagi, semua telah bersiap sedia.  Agak awal bangun pada hari ketiga ini kerana kami harus mengisi perut secukupnya dan dalam masa yang sama kami harus tiba ke jeti sungai tepat jam 9 pagi.  Bagi memudahkan perjalanan kami bersarapan di kedai makan yang betul-betul berdepan dengan Galeri Perdana ini kerana sebelum ke jeti Sungai Kilim  saya perlu berjumpa dahulu dengan Adik Shikin yang pejabatnya juga betul-betul di hadapan Galeri Perdana.  Ini kerana bayaran harus dijelaskan terlebih dahulu serta saya menyemak semula pakej-pakej yang ditawarkan.  Bukannya apa, takut nanti ada salah faham ke kelak nanti kedua-dua pihak yang susah.  Sekali lagi cuaca seolah merestui perjalanan kami semua.  Matahari seakan malu untuk muncul tetapi langit berjanji tidak akan menitiskan sebarang air mata.  Kemudiannya pekerja Shikin membawa kami ke jeti Sungai Kilim yang tidak berapa jauh dari pejabatnya.  Sementara menantikan ketibaan bot, kami sempat membeli sedikit bekalan.  Empat jam perjalanan, takut nanti ada yang kelaparan pula.    


Bergambar sebelum memulakan perjalanan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan


Muka sedikit sembab, mungkin terkejut bangun pagi sangat.  Bukan apa, semangat nak berjalan memang begitu, orang lain belum bangun, saya dah celikkan biji mata

Muka teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan.  Di belakang kami 
itulah Sungai Kilim

Setelah segalanya siap, kami memulakan perjalanan dan destinasi kami yang pertama adalah Gua Kelawar.  Dengarkan namanya pun sudah cukup untuk menggambarkan apa yang bakal disajikan kelak.  Ianya sebuah ekspedisi singkat di mana kami di bawa melawat ke dalam kawasan gua tersebut yang dipenuhi dengan kelawar serta kejadian alam yang indah iaitu 'Stalagtait' dan 'Stalagmait'.  Tiada sebarang gambar sepanjang aktiviti tersebut yang dapat kami rakamkan lantaran keadaan yang gelap.  Suatu pengalaman baru buat saya, seorang yang tidak gemarkan aktiviti mencabar.  Saat melalui detik tersebut saya terfikir betapa  banyak lagi rahsia alam Allah ini yang boleh kita geledah inti patinya.  Kejadian-kejadian betapa menggambarkan bahawa Allah itu Maha Pencipta.  

Sedikit nasihat untuk bakal pengunjung ke Gua Kelawar.  Kalau boleh elak memegang atau menampakkan sebarang plastik ataupun bungkusan makanan kerana ianya merupakan tarikan magnet yang kuat buat beruk-beruk yang menghuni di persekitaran gua.  Kumpulan beruk ini boleh bertukar ganas sekiranya ia merasakan ada sumber makanan.  Lebih mudah, jalan berlenggang dan tinggalkan beg-beg di dalam bot.  Husin kena dua kali serangan, yang pertama saat sampai di jeti Gua Kelawar.  Anak Husin memegang sebungkus keropok dan ianya terus disambar oleh seekor beruk.  Nyaris anaknya tidak luka terkena cakaran beruk tersebut.  Insiden kedua pula saat kami menantikan giliran untuk turun ke bot.  Beg yang disandang oleh Husin terselit sebungkus beg plastik mengandungi sabun mandi.  Ini juga telah menarik perhatian beruk tersebut lantas datang menyambarnya dari belakang.  Beruk liar yang ganas!!!

         Di hadapan pintu gua sebelum kami memulakan ekspedisi singkat kami menjelajah isi perut Gua Kelawar
Saya dan Nova bergambar di peta Gua Kelawar

Beruk liar yang memerhati keadaan jika punya peluang untuk melakukan serang hendap

Kami meluangkan masa lebih kurang setengah jam di Gua Kelawar dan kemudian kami meninggalkan gua tersebut dan menuju ke destinasi seterusnya.  Mujur juga kami mulai perjalanan kami agak awal, ini kerana saat untuk keluar dari kawasan gua semakin ramai pengunjung tiba dan memulakan perjalanan.  Sesak keadaan jadinya.




nota:  Destinasi seterusnya kita bersambung ke episod yang lain, tuan empunya blog berasa tidak begitu sihat.. :(

Monday, December 20, 2010

::Hilang Fokus::

Ada dua ke tiga entri yang terbenam di dalam draf.  Entah kenapa segalanya bercelaru.  Sana sini separuh jalan.  Inilah akibatnya apabila diri mula hilang fokus lantaran terlalu banyak yang melingkari di kepala.  Belum punya idea yang bernas untuk menyudahkan entri-entri separuh jalan.. :(   Kemalasan belum melanda, jemu juga tidak bertandang cuma fikiran melayang-layang tanpa arah tujuan.  Ianya bukan sahaja melanda di saat berada di depan komputer riba tetapi turut terjebak dalam kerja-kerja seharian.  Banyak juga agenda tergendala akibat dari masalah ini.. ;(  Harap dapatlah diberi kekuatan untuk mengumpul kembali fokus yang berserakan entah ke mana.  Doa sentiasa dipohon moga semuanya bermula dan berakhir dengan baik!!!





nota:  masihkah mempunyai ruang waktu untuk segalanya....

Friday, December 17, 2010

::Dua Hari Yang Lalu::

Dua hari tidak muncul di alam siber ini, adakah yang merindui?  :) Tempoh dua hari yang lalu adalah jangka masa yang agak panjang juga buat saya lalui.  Pelbagai irama dan tari dimainkan di pentas dunia ini dan secara terangan serasa lelah tatkala cuba mengikut rentak.  Episod emosi tercalar pada pagi Rabu masih terkesan di hati, walau menerima pelbagai kata semangat supaya mengendahkan sahaja perangai buruk manusia yang berakal haiwan.  Benar Allah itu ada dan setiap perlakuan akan mendapat balasan yang setimpal, tetapi saya bukan ahli sufi waima malaikat untuk tidak membenci apa yang telah terjadi.  Amarah bergumpal menjadi dendam lantas bertukar makian.  Ahli keluarga mohon bertenang dan buat pertimbangan yang waras serta jangan putus asa.  Keyakinan harus ada untuk menempuh hari mendatang kelak.

Petang yang sama ketemu teman baik, Fieza dan dalam masa yang sama Abang mencuba rezekinya di organisasi baru.  Jika memang tersurat rezekinya, Insyaallah.  Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan hidupnya.  Tatkala bertemu Fieza sekali lagi menghamburkan apa yang tersimpan di dalam hati.  Bukan memancing simpati ataupun mohon dia turut berduka tetapi cukuplah sekadar menumpang bahunya untuk menceritakan apa yang terbuku.  Sedar yang dia tidak punya kuasa untuk mengubah ataupun menghulur pertolongan tetapi separuh berat bebanan rasa terlepas juga.

Malam pula satu pertemuan berlangsung.  Pertemuan yang diharap membuahkan hasil buat kami semua.  Bukan mudah untuk menjadi senang tetapi amat senang untuk segalanya menjadi tidak mudah.  Sekali lagi berharap agar Allah memberkati segala-galanya.  Melihatkan muka-muka yang begitu berinspirasi pada pertemuan tersebut, keyakinan semakin tekad di dalam hati bahawa inilah sebenarnya yang kami ingini.  Sekarang memerlukan motivasi yang tinggi untuk melaksanakan tugas kerana kegagalan diri sendiri akan memberi kesan kepada keseluruhannya.

Semalam entah mengapa tiba-tiba boleh jatuh sakit.  Sakit yang tidak pasti berpunca dari mana.  Mungkin Allah hendak menguji barangkali.  Hanya berpunca dari sakit tangan melarat sehinggalah satu badan terasa nak demam.  Bergerak tangan dah tentu sakit ditambah pula dengan sakit sebelah badan manalah tak rasa nak demam.  Seharian terbaring di atas katil terasa sunyi pula.  Lebih-lebih lagi Buah Hati pulang ke Ampang, kalau ada dia gagah juga turun ke bawah main bersama.  Cuaca semalam seharian mendung seolah seiring dengan emosi diri.  Apa yang terjadi di pagi Rabu masih lagi terbawa-bawa walaupun ketegangan telah mula mengendur.  Tidak putus doa dikirim moga memberi kekuatan diri untuk terus berjuang.

Kembali menjadi normal hari ini walaupun semangat tidak cukup kental.    Apa yang penting pandang ke hadapan.  Kesihatan masih lagi 50-50, sakit masih bersisa namun tidaklah seteruk semalam.  Hari menghampiri ke penghujung minggu dan hanya tinggal kurang dua minggu 2010 untuk melabuhkan tirai.  Berharap tatkala 2011 menyingkap tabirnya akan adalah sinar cahaya yang bisa menerangi impian bergantung harapan.  



nota:  sebenarnya sedang menaip entri sambungan Langkawi, tetapi lokasi hard disc tidak dapat dipastikan dan gambar-gambar pula di dalam hard disc jadinya terpaksalah menggantung sementara entri tersebut tidak seronok bercerita jika tidak diselitkan sebarang gambar

Wednesday, December 15, 2010

::Not that Lucky::

Well, the winner of Biggest Loser Asia 2(BLA2) has been announced.  I am a big fan of Nai but unfortunately he lost on scale to Raj with differences of 1kg only.  He must be so disappointed seems its only a few steps for him to be crowned as a winner.  As I mentioned before, Raj is a manipulate master and he succeed with that strategy.  After all is a game and, depends on the contestant how they wanted to play the game.  Luck is not with Nai for tonight but he lost such a tremendous number of kilos and he look so handsome. ;)

But all the contestant were superb at the finale.  All of them shred a huge number of kilos either being eliminated earlier or last.  Proud to watch them with their new figure line.  Am so jealous to watched them with their new way of life.  Congrats to all of them and now BLA3 is on their way to audition.  Who ever having weight problems and wish to change your life once forever, do not forget to join the audition.  Hope this round  there will be a Malaysian to be crown as a winner.

At the same time, me also not lucky enough cause officially I put on weight.  Just climb up on weighing machine and the result was...urghhh!!!!  Felt sorry to myself cause could not stop take food all the time.  What should I do?  I have the answer but is it possible for me to go for it?  Will go to bed with a nightmare of my weight.  :(






note:  Will be going to BLA3 audition...in my dream..he..he..he..   

Tuesday, December 14, 2010

::Kena Tipu::

Bagaimana rasanya bila ditipu?  Pasti membengkak rasa di hati, lebih-lebih lagi yang menipu itu adalah antara individu yang kita sayang.  Tetapi saya ketawa terbahak-bahak setelah ditipu.  Boleh ke macam tu?  Bolehlah, sebab saya telah berjaya melakukannya :)  Ini kerana apa yang ditipu itu sekiranya menjadi kenyataan, kesedihan pasti bertandang.

Hari ini dengan rasminya saya telah menjadi BAHAN kepada rakan baik saya, Raja Nooranieda Raja Musa (CPR) (uish siap letak nama penuh lagi!!! geramlah ni ya?)  Al-kisahnya seperti biasa kami rajin berbalas-balas kata di status FB.  Nak buat macamana, kalau nak jumpa hari-hari masing-masing mempunyai komitment.  Melalui FB sahajalah kami dapat mengeratkan lagi tali persahabatan dan dalam masa yang sama memberitahu rakan baik apa yang sedang kita lalui.  

Sementelah, CPR baru sahaja pulang dari kampung halaman suaminya pasti banyak perkara yang ingin kami kongsi bersama.  Biasalah sebagai mukadimah kita akan bertanya sihat atau tidak, bila sampai dari kampung dan pelbagai pertanyaan biasa.  Kemudian idea untuk berjumpa timbul lantas saya mengajak CPR menonton wayang.  Boleh pula dia jawab tidak pasti bila boleh berjumpaan kerana saat ini dia sedang sibuk mengemas untuk berpindah.    Nama pun kawan baik dunia akhirat, macamana boleh tak tahu pula yang mereka suami isteri akan berpindah.  Pernahlah dalam bulan raya lepas mereka menyatakan mungkin akan berpindah unit rumah tetapi dalam tahun hadapan.  Oh ya, suami CPR seorang pegawai polis makanya mereka tinggal di kawasan perumahan polis.  Sekali boleh pula CPR mengesahkan yang suaminya dapat pertukaran ke Kedah, negeri kelahiran suaminya.

 Lebih kurang perbualan di antara kami berdua pagi tadi.  Bukti kukuh ni!! - klik pada imej untuk melihat dengan jelas-

Apa lagi terkujat segala urat saraf...KEDAH??!!!!  Kacau bilau perasaan di saat itu.  Rasa tidak puas hati yang amat sangat menguasai diri.  Sampai hati bila teman baik sendiri tidak mengkhabarkan sebarang berita tentang berpindah.  Selalunya perkara-perkara serius begini kami lalui dengan perbincangan atau bertukar pendapat terlebih dahulu.  Ini tidak, angin tiada ribut jauhlah sekali tup-tup nak pindah.  Bertanya lagi bila akan ke sana, lantas mendapat jawapan yang lagi meremuk rendam hati.  Lagi dua minggu katanya.  Cepatnya, bisik hati saya.  Saya bakal kehilangan teman.  Itu sahaja yang mampu hati saya berkata.  Sudahlah kawan memang tidak ramai, yang ada pula makin menyusut angkanya.  Terus menelefon Abang dan menanggung sendu memberitahu yang CPR akan berpindah.  Tiba-tiba terasa air hangat mengalir di pipi, saya menangis rupanya :(

Manakan tidak, walau jarang berjumpa tetapi kami sering update diri masing-masing.  Dah lama berkawan dari zaman sekolah alih-alih nak berjauhan pasti terkesan di hati.  Dalam pada itu tidak putus-putus bertanyakan hal perpindahan pada CPR melalui FB.   Tidak cukup bertanya melalui status FB, buka pula FB online chat. Tidak ada kekuatan langsung untuk mendail nombor telefonnya bimbang empangan akan pecah pula selepas itu.   Fikiran melayang-layang entah ke mana.  Terimbau seketika gelagat CPR yang sememang kelakar orangnya.  Berhajat untuk menelefon seorang lagi rakan, siapa lagi Fiezalah.  Saya yakin dia pasti akan terkejut seperti saya.  Terus update status di FB bernada kesedihan.

Status yang menggambarkan kesedihan saya.  Waktu inilah juga saya diberitahu akan kebenarannya.  Boleh jadi biul tau!!! -klik pada imej untuk melihat dengan jelas-

Sekali boleh pula CPR mengatakan segalanya adalah gurauan.  Aduhai!!  Tatkala itu sememangnya geram pada dia.  Rasa nak menjerit kuat-kuat.  TIDAKKK!!!! Kena main dengan rakan sendiri!!!  Nak kata marah sangat tu tidaklah, tetapi faham-faham sendirilah.  He..he..he..  Memang CPR akan berpindah tetapi dari rumah lama ke rumah baru, kalau tidak silap blok Seri Kedah namanya.  Suasana mendung kembali bersinar, bukan senang sebenarnya nak melepaskan orang yang kita sayang.  Orang yang kita banyak kongsikan rasa susah senang.  Mujurlah tidak terlalu terburu menelefon Cik Fieza, kalau tidak...bak kata CPR memang masuk hospital dia kena bebelan yang tidak akan berhenti sampai ke penghujung tahun.  Apa lagi, status bersyahduan pun keluarlah.  Semuanya selesai tanpa sebarang rasa di hati.  "Kita kawan-kawan tak mahu lawan!!!"  



Status-status kemudiannya.  Hik..hik..hik.. -klik pada imej untuk lihat dengan jelas-

Apa pun, jika benarlah keadaan sedemikian berlaku saya harus menerima kenyataan.  Isteri polis jadi tidak mustahil suatu hari nanti perkara ini akan terjadi tetapi seharusnya di dalam keadaan yang kami semua sedia maklum.  Bukanlah dengan cara terkejut begini.  Sampai ada satu tahap saya berasa kecil hati yang amat sangat bila CPR tidak mengkhabarkan langsung tentang perpindahan tersebut.  Sia-sia airmata yang mengalir tau!!!!  Cis!!!!  



nota:  Bila kena macam ni, bertambah mengerti yang kita amat sayangkan orang itu...

    

::Langkawi 6::

Sementara ada masa terluang mari kita sambung kisah saya di Langkawi.

Selesai menjamu mata di Gunung Mat Chincang dan persekitaran Oriental Village, kami bergerak ke destinasi seterusnya.  Awal perbincangan kami ingin mengadakan aktiviti BBQ pada malam tersebut tetapi membatalkan pada saat akhir memandangkan kesuntukkan masa untuk menyediakan persiapan.  Hakikatnya badan mulai letih tetapi digagahi juga memandangakan ahli kumpulan lain kelihatan masih lagi bertenaga walaupun belum menikmati makanan tengahari yang sempurna.

Seterusnya kami ke Makam Mahsuri.  Destinasi pelancongan yang tidak lengkap sekiranya ke Langkawi, Lagenda yang menjadi titik tolak kepada pembangunan Langkawi pada hari ini.  Saya yakin dengan kesucian Mahsuri jugalah bumi Langkawi begitu tenang dan nyaman sehingga ianya begitu memikat hati saya.  Terus terang saya katakan jika saya punya banyak wang, pasti saya akan mendirikan sebuah mahligai di bumi Langkawi.  Sepanjang saya berada di sana saya sentiasa diselebungi ketenangan beserta damai di hati.  Bertuah bumi Langkawi menerima rahmat sedemikian.  Seingat saya setiap kali saya menjejakkan kaki di sana Makam Mahsuri tetap menjadi pilihan utama untuk dilawati, tidak kisah samada saya akan bermalam di Langkawi atau pergi hari.

Tidak silap, kami sampai di Makam Mahsuri lebih kurang jam 4 petang.  Husin sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak turut serta masuk dalam kerana anak-anaknya tertidur, kepenatan mungkin.  Saya dan Abang mengambil keputusan untuk menemankan Ejump sekeluarga lantaran ini kali pertama mereka ke sana.  Yuran masuk dikenakan RM5 seorang.  Agak murah juga walhal jika difikirkan peruntukkan yang banyak perlu ada untuk memelihara kawasan tersebut yang semakin cantik berbanding kedatangan saya pada tahun 2004.  

 Kami di Makam Mahsuri

Selain itu, sekarang telah ada persembahan Mek Mulong diadakan setiap hari.  Persembahan bangsawan ini akan mendekatkan para penonton serta pelancong akan kisah lagenda yang tersurat.  Kami berdua pernah menonton persembahan tersebut dalam persinggahan kami pada tahun 2006 lantas kami berhasrat untuk tidak menontonnya.  Ini kerana Amiera ketiduran, maka kami berdua menawarkan khidmat jagaan dan memberi peluang Ejump dan isteri untuk mengikutinya serta berjalan-jalan di dalam kawasan tersebut.

 Amiera yang tidur lena tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.  Mujur juga Mama dan Papanya terfikir membawa stroller, jika tidak jenuh juga mengendongnya


Sementara menanti Ejump dan Nova, Abang sempat menikmati laksa di salah satu gerai di dalam kawasan tersebut.  Saya hanya meneguk air sahaja kerana destinasi kami seterusnya adalah mengisi perut yang berkeroncong.  Walau cuaca agak terik, Miera tidur nyenyak di dalam stroller.  Kepenatan barangkali setelah hampir seharian berjalan ke sana sini, namun dengan kenyenyakkan Miera itulah menyenangkan kedua ibu bapanya menjelajah kawasan dan menonton sebahagian persembahan bangsawan Mek Mulong.  Selain itu kami berdua sempat berbual dengan penduduk tempatan yang berkhidmat di Makam Mahsuri tersebut dan berkongsi kisah-kisah yang jarang kita dengari, malahan pusara sebenar Mahsuri juga sempat mereka tunjukkan kepada kami.

 Bergambar sewaktu menantikan Ejump dan Nova berjalan sekeliling dan menikmati persembahan bangsawan.  Muka kepenatan jelas terpancar di wajah masing-masing


Pusara sebenar??!! Pusara yang ada sekarang ini sebenarnya apa??  Mesti kelirukan.  Kami pun mula-mula bingung juga tetapi alasan yang mereka berikan munasabah mengapa pusara sebenar dirahsiakan.  Ini bagi mengelakkan amalan-amalan kurafat pengunjung ke sana terutamanya dari negara jiran yang kuat mempercayai akan keramatnya pusara tersebut.  Jadi pusara gantian di buat bagi mengelirukan pengunjung.  Baik juga begitu kerana sewaktu berada di sana ada sahaja yang datang meletakkan pisanglah, coloklah dan macam-macam lagi.  Tugas pekerja di sana setiap masa memantau dan mengalihkan barang-barang tersebut.  Pusara sebenar ada ditunjukkan kepada kami tetapi saya tidak berhasrat untuk berkongsi di sini.  Biarlah ianya menjadi rahsia.  Andai sesiapa ke sana, mereka tidak lokek untuk memberitahu lokasinya, cuma jika saya berkongsi di sini bimbang pula ada yang menyalah gunakannya nanti.  

 Bukti wujudnya amalan khurafat di Makam Mahsuri.  Pisang dan colok yang dihidangkan tanpa alasan yang munasabah


Selain dari pusara Mahsuri, tarikan lain yang wujud ialah Rumah Mahsuri dan saudaranya, Perigi Mahsuri, Muzium yang di bina khas untuk merungkai persoalan keramatnya bumi Langkawi dan kedai cenderamata.  Kami berempat juga sempat menikmati sup gamat yang dijual.  Pada mulanya saya enggan untuk memakannya tetapi setelah diyakinkan oleh mereka bertiga saya gagahkan juga diri untuk menikmatinya.  Rasa gamat yang dimasak saling tidak tumpah seperti cendawan.  Khasiatnya sama seperti kita ketahui khasiat minyak gamat.  Saya yang pada waktu itu mempunyai luka digusi dan ianya berdarah setiap kali saya menggosok gigi pulih dalam tempoh beberapa jam setelah menikmati sup gamat.  Saat mengunyah gamat tersebut serasa kebas bahagian yang luka tetapi alhmdulillah kemudiannya baik sehingga hari ini.

  Gambar-gambar kami di Perigi Mahsuri.  Abang begitu obses dengan kesejukkan air perigi sehingga terasa ingin mandi dengan air telaga tersebut


Antara tempat yang ada di sekeliling Makam Mahsuri

Abang dan Ejump sedang menikmati Sup Gamat.  Mereka berdualah yang beria-ia ingin menikmatinya supaya pulang ke Kuala Lumpur tidaklah rugi

Sedang mengambil mood untuk menikmati Sup Gamat, bimbang akan rasanya yang tidak sedap kelak.  Nasib baiklah rasanya okey sahaja

Usai lawatan di Makam Mahsuri kami menuju ke tempat yang sememangnya saya nantikan saat menjejakkan kaki di Langkawi.  Jika ikutkan rasa, pada hari pertama lagi saya ingin ke sana.  Gerai LAKSA POWER, gerai yang menggamit kenangan saya, Abang, Fieza dan beberapa orang lagi yang syaa tidak boleh bercerita di sini.  Pertama kali kami ke gerai laksa ini iaitu pada tahun 2004 dan ianya secara kebetulan.  Sewaktu itu, kami berpusing-pusing mencari arah keluar, ternampak akan van yang menjual laksa dan Abang terus menuju ke situ.  Itulah saatnya kami berkenalan dengan Laksa Power dan terus terpikat.  Empat hari kami di sana, setiap empat petang kami menikmatinya tanpa gagal.  Rasanya sememangnya memikat rasa ditambah pula dengan keenakkan rojak buah dan cendol.

Laksa tersebut sememangnya sinonim dengan Langkawi ini kerana ianya makin terkenal dan sesiapa sahaja ke sana pasti akan menikmati laksa power dan bersetuju akan keenakkan rasanya.  Lokasi gerai tersebut tidak berubah hingga ke hari ini iaitu di belakang Lapangan Terbang Langkawi, menghadap ke arah laut.  Van tersebut pasti tertulis LAKSA POWER dan trademark gerai tersebut, lagu Siam.  Husin juga yang telah beberapa kali ke sana mengakui kehebatan Laksa Power.  Kami berhenti makan dan tanpa sengaja saya telah makan laksa tersebut sebanyak dua mangkuk.  (alamak terus terliur bila mengenang akan Laksa tersebut).

 Sabar menanti untuk menikmati Laksa Power.  Keinginan yang tidak tertahan 
pada waktu ini

 Masing-masing ralit menikmati hidangan.  Penuh meja dengan pelbagai 
hidangan yang membuka selera

Selesai makan, kami pulang ke pangkal jalan..he..he..he..pulang untuk melepaskan lelah dan merehatkan badan buat seketika dan bakal menyambung aktiviti.  Sayangnya malam tu Abang diserang sakit telinga yang amat sangat.  Katanya ekoran dari tekanan sewaktu menaiki kereta kabel, lebih kurang dengan masalah saya sewaktu menaiki kapal terbang.  Kasihan melihat dia terlantar kesakitan lantas kami membatalkan aktiviti pada malam tersebut dan keluar mencari makan malam.  Ab ang tidak turut serta hanya kami sahaja dan bercadang meninjau jika ada pasar malam di persekitaran.  Malangnya sebaik sahaja tiba pasar malam telah tutup dan kami makan malam di salah sebuah gerai berhampiran.

Begitulah kisah saya pada hari kedua di Langkawi.  Banyak betul episod semata untuk hari kedua di sana.  Harapnya tidak membosankan sesiapa yang membacanya kerana episod di hari ketiga pasti meleret-leret juga kaedahnya. 






nota:  Bilalah agaknya untuk memulakan episod 7 pula ye??
 

Monday, December 13, 2010

::Sibuk Mencari::

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, tahun 2010 bukanlah sebuah tahun yang menyebelahi kami dari segi rezeki pendapatan.  Banyak kerumitan yang kami sekeluarga telah tempuhi tetapi Alhamdulillah kini tiba masanya berarak mendung kelabu.  Walaupun bergerak perlahan keyakinan bahawa mentari akan kembali menyinari.  

60% apa yang didoakan sepanjang tahun akan menjadi kenyataan, cuma berbaki 40% untuk merealisasikannya di mana ianya memerlukan usaha yang jitu untuk mendapatkan hasilnya.  Kami sekeluarga berusaha keras dan memerah otak supaya hasil pertama akan membawa tuah dan yang berikutnya akan memberi limpahan rezeki.  Maka itu, sekarang ini masing-masing sedang mencari idea-idea yang bernas.  Biarlah segalanya menjadi rahsia dahulu sehingga menjadi kenyataan saya tidak akan bersilu untuk mewar-warkan kegembiraan.

Naik kering juga idea tetapi tidak mengapa, masih ada masa walaupun sebenarnya jika dibuat lebih awal banyak perkara boleh diperbaiki.  Pengalaman pertama macam inilah gayanya.  Mula dengan bersemangat tetapi belum sampai ke penghujung kerisauan yang amat mula menyelimuti rasa sehingga ingin mengalah.  Belum bersilat telah mahu mengalah?  Pengecut namanya, jadi saya tidak akan tunduk dengan bisikan pelemah semangat.  Fikir...fikir...fikir...saya di dalam mod mencari...

Dalam pada itu, ada menonton tak The Amazing Race(TAR) versi Amerika sebentar tadi.  Pasangan doktor, Kate&Nat yang saya sokong telah pun memenangi perlumbaan tersebut.  Suka sangat!!!  Dan mereka juga mencipta sejarah di dalam TAR dengan muncul sebagai pasangan wanita pertama yang memenangi perlumbaan tersebut.  Saya sememangnya menggemari reality show sebegitu.  Asal ada sahaja reality show di televisyen saya akan menjadi pengikut setia.  Terbaru yang saya sedang ikuti ialah Top Chef di Saluran 702 Astro,  The Fashion Show juga di saluran sama, Master Chef US dan The Bachelor di Saluran 711, tidak termasuk yang selama ini saya memang setia mengikuti seperti America's Next Top Model, Biggest Loser, Wipeout dan banyak lagi.  Tidak mustahil saya memonopoli waktu siaran televisyen di rumah.  Mesti seronokkan pasangan doktor tersebut kerana memenangi Satu Juta USD!!!

Pasangan yang memenangi TAR musim 17.  Sepanjang perlumbaan apa yang mereka paparkan adalah kerjasama dan kasih sayang diantara mereka berdua.  Bergaduh dengan pasukan lawan juga mereka tidak pernah lakukan.  Suka sangat!!!  
(Gambar diambil dari Google Image)




nota:  Mula-mula cerita lain, kemudian menyusul pula yang lain.  Nampak sangat kecelaruan mula menguasai.


::Saya Yang Menggemuk::

Nak dikatakan hati senang tidaklah juga.  Masih banyak perkara yang terbelit dan membelit tetapi secara jujurnya saya amat takut untuk memijak di atas mesin penimbang berat badan.  Semenjak dua ini nafsu makan tidak dapat ditahan-tahan.  Kalaulah jarum penunjuk timbang mengarah kepada nombor yang bertambah dari sedia kala, memang sahihlah yang saya bertambah-tambah gemuk.  Tolong!!!!

Dalam pada itu, rakan siber tonton atau tidak Biggest Loser Asia (BLA) musim baru?  Agak-agak siapakah yang akan dijulang sebagai juara.  Saya menyokong Nai dari negara Thailand.  Peserta yang paling saya tidak suka tetapi tetap melangkah ke peringkat akhir ialah Raj.  Sejak dari awal lagi saya tidak suka akan karektor yang ditunjukkan oleh Raj seolah memanipulasi keadaan demi menyelamatkan diri sendiri.  Walaupun ianya sebahagian dari strategi tetapi saya tetap tidak suka.  Apa pun kita tunggu sahaja minggu yang akan datang ini di mana pemenang akan kita ketahui.




3 peserta akhir bagi BLA musim kali ini.  Transformasi yang mereka lalui sepanjang berada di kem sememangnya berhasil ini kerana saban minggu angka penurunan yang mereka peroleh amat memberangsangkan

Alangkah bagus saya berada di dalam program BLA.  Berat badan bukan lagi menjadi masalah utama tetapi bolehkah saya berhenti menikmati makanan yang amat menyelerakan?  Nampak gayanya saya kenalah memasang niat sekiranya saya berjaya menurunkan berat badan.  Ada sesiapa yang nak turut serta?


nota:  saban tahun berangan berat badan mencapai angka yang ideal untuk tubuh badan tetapi berakhir dengan kegagalan

Sunday, December 12, 2010

::Nak C.U.T.I::

Hujung tahun begini, sistem badan mesti serasa lemah.  Walhal bukan bekerja keras mana pun sepanjang tahun tetapi tetap merasakan layak untuk memberi sedikit penghargaan untuk badan sendiri.  Mungkin dah terbiasa sebelum-sebelum ini, makanya minda telah disetkan.  Harus dinyahaktifkan sebenarnya ni.  Bahaya untuk masa hadapan kelak.  Nanti ada sahaja rasa menjeruk bila permintaan tidak dapat ditunaikan.

Hampir separuh bulan cuti sekolah telah berlalu.  Bagi adik-adik yang menduduki peperiksaan SPM tahun ini, diharap segalanya berjalan lancar dan moga peroleh keputusan yang memberangsangkan.  Sekarang apa yang perlu dilakukan bagi calon-calon SPM adalah tidak putus-putus berdoa moga diberi sinar kejayaan kerana Usaha tanpa Doa dan Doa tanpa Usaha, kedua-duanya adalah sia-sia.

Terimbau pula seketika bagaimana gelegat saya tatkala menduduki peperiksaan SPM 13 tahun dahulu.  Apa sudah 13 tahun berlalu??!!!  Aduhai tua betul saya ni.  Secara jujur pada waktu itu langsung tiada debaran untuk menduduki peperiksaan besar.  Nak dikatakan pandai pun tidaklah sepandai mana.  Subjek Matematik dan Sains memanjang berdakwat merah.  Jika dahulu warna merah beerti gagal, sekarang masih dipraktikkan lagi ke?  Subjek-subjek lain setakat cukup-cukup makan sahaja.  Boleh pula sepanjang musim SPM, saya menjalani latihan persembahan, mengikuti keluarga bercuti selama 2-3 hari, ada sahaja aktiviti yang dilakukan walhal saya seharusnya mengabdikan diri bersama timbunan buku-buku.

Ada juga memegang buku tetapi lebih kepada main sebenarnya.  Saya lebih berdebar untuk mengambil keputusan peperiksaan kerana saat itu telah terbayang akan gagal kelak.  Waktu itu pelbagai wajah muncul di minda bersilih ganti.  Segalanya saya selit bersama perasaan bersalah yang amat sangat kerana tidak melunaskan tanggungjawab seorang pelajar sebaik mungkin.  Terasa sia-sia yang amat menghabiskan masa bertahun bergelut dan memegang gelaran budak sekolah tetapi tidak berusaha menjadi cemerlang.  

Alhamdulillah, mungkin rezeki agaknya.  Keputusan SPM saya baik cumanya waktu itu terus berfikir jikalah saya berusaha lebih keputusan saya akan cemerlang kerana saya hanya ketinggalan beberapa kiraan sahaja untuk mendapat agregat single (bawah 10).  Apa pun, itu semua kenangan indah buat saya saat menyarung uniform pelajar.  Terlalu banyak sebenarnya kenangan yang saya simpul di kala itu dan di tika itu jugalah saya mengeratkan tali persahabatan yang sehingga hari ini terus bertahan.  Oh, alangkah indahnya jika saya berkuasa untuk memutarkan segalanya ke belakang.. ;)

Okey, kembali ke alam nyata!!  Kawan-kawan yang lain ke mana ye musim cuti begini?  Idea..Idea..Idea...mahu ke mana agaknya untuk mendapatkan gateway?  Harus meronta-ronta mencari Fieza disaat ini untuk menyusun perancangan, jika diberi kesempatan.  Tak perlu jauh mana pun.  Dekat-dekat pun jadilah asalkan dapat pergi merehatkan minda.  Emmm...tetapi melampaukan, bukankah saya baru pulang bercuti dari Langkawi awal bulan November yang lalu?  Episod Langkawi sendiri belum saya siapkan sepenuhnya kini ada hati nak berjalan lagi...ish..ish..ish...




nota:  Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..Idea..deadline makin menghampiri

   


::Putus Cinta::

Maaf entri ini mungkin mempunyai unsur negatif tetapi ruangan bicara hati adalah untuk meluahkan apa yang tersimpan di sanubari, makanya berhaklah saya untuk menyalurkan pendapat dan rasa.  Ini juga bukan beerti saya seorang yang "BAGUS", tetapi apa pun yang orang katakan saya tetap saya, boleh sahaja menerima kritikan, tohmahan, kejian dan seangkatan dengannya.

Semenjak dua ni ramai pula rakan-rakan yang jangka hayat percintaan mereka menemui titik noktah.  Sebahagian dari mereka berdepan dengan karenah si perempuan.  Biasalah seperti yang sering diperkatakan oleh orang lelaki, susah untuk memahami golongan perempuan yang  penuh dengan kehendak dan keinginan.  Ada pula yang menerima nasib malang kerana masalah curang dan tidak setia si lelaki kepada janji-janji yang telah ditaburi.  Bak kata orang, lelaki mana cukup dengan apa yang ada.  Kalau boleh nak lagi dan lagi dan lagi...  Tetapi kedua-dua keadaan di atas berlaku secara seimbang di zaman sekarang di mana lelaki sendiri sudah semakin banyak karenah dan perempuan juga mulai pandai berselingkuh.

Dekad ini, berkahwin dahulu bercinta kemudian sudah tidak mahu diguna pakai lagi kerana takut menanggung risiko.  Terpulanglah kepada masing-masingkan, will not have comment on this statement :) as I am not married yet....Tetapi pening pula bila melihatkan mereka-mereka yang berada di dalam permasalahan putus cinta ini.  Sedih+geram+marah+kecewa+demotivated+stressed+bla..bla..bla... dan apa sahaja yang berkaitan dengan keadaan ini semua.  Mulalah adegan "pujuk rayu", "ungkit mengungkit", "marah marah", "menangis teresak-esak" sehinggakan selama ini hati yang kental terus mencair.  Kesan dari masalah ini ada yang sanggup mengambil tindakan drastik seperti membalas dendam, membahayakan diri dengan melakukan perkara-perkara di luar jangkauan dan tidak kurang juga yang merasakan its end of the world.  Hebat betul penangan putus cinta!!

Terus merenung ke dalam diri sendiri.  Alhamdulillah saya tidak pernah diuji dengan masalah ini, gaduh-gaduh tu biasalah.  Jadinya setiap mereka yang datang mengadu nasib, yang mampu saya lafazkan ialah "Bersabarlah, dia bukan jodoh yang telah ditentukan"..."Ada hikmah disebalik perpisahan ini"..."Ini semua ujian Allah"..."Janganlah bersedih, masih ramai lagi di luar sana.  Buka mata"....dan macam-macam lagilah.  Tidak pernah melalui situasi sebegini senanglah saya untuk meyusun alunan lidah bagi melembutkan hati yang remuk-rendam.  Apa sahaja yang boleh saya perkatakan pasti saya akan luahkan demi untuk memujuk hati yang berkecai. 

Tetapi bila direnung kembali, terfikir juga saya.  Mengapa perlu untuk berasa sebegitu teruk.  Apalah sangat putus cinta jika dibandingkan dengan perceraian.  Bukankah lebih baik putus sekarang dari di kemudian hari.  Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di masa hadapan kelak.  Walau hati sakit bernanah tetapi ianya masih boleh diubati.  Tidak semua yang dirancang boleh menjadi kenyataan dan proses bercinta adalah di dalam peringkat untuk merancang ke arah yang lebih baik.

I might sound harsh or mean but for me I will never begging for a LOVE although I deserved cause I have my own dignity.  It may hurt  and difficult to face the true but LOVE is something that will come by itself, not the one that you have to chased it all the time.  My pride is much more valuable rather than others...Between Abang and Me, he already know  how am I.  

Walaupun melalui kata-kata ini saya nampak seolah cukup demanding, tetapi ini tidak beerti saya tidak punya perasaan belas.  Bila di dalam perhubungan ada perkara yang harus kita dahulukan dan ada yang perlu kita letak tepi demi keharmonian (pandangan saya).  Dalam mencapai persefahaman banyak dugaan yang harus ditempuhi tetapi jika masing-masing yakin dan saling jujur, Insyaallah kurang masalah.  One more thing always speak out your mind.  Jangan fikir untuk sentiasa menjaga hati orang lain sehingga mendera hati sendiri.  Through out our relationship he knows that he will come after myself and my own family, same goes to him.  

Mungkin saya faham dan mungkin juga tidak perasaan kehilangan cinta tetapi jangalah terlalu obses terhadap cinta duniawi sedangkan kita culas di dalam percintaan HAKIKI.  Secara jujur saya sendiri jika boleh biarlah kisah percintaan saya ini tamat dengan sempurna tetapi segalanya Allah yang menentukan dan saya redha dengan setiap percaturanNya.  Cuma setakat hari ini saya yakin dengan perhubungan yang telah saya lalui... ;)
nota: Bercampur aduk segalanya termasuklah dengan bahasa...
             

 

::Wonder Girls::

Baru sahaja pulang dari menonton konsert.  Alhamdulillah kali ini peroleh rezeki lagi menonton konsert di Arena All Star Genting.  Jika tiket-tiket rezeki begini, tidak lain tidak bukan sudah semesti ianya sumbangan dari Ejump.  Giliran Wonder Girls (WG) pula mengisi jadual persembahan konsert.  Siapa yang tidak kenal dengan WG, sekumpulan gadis comel dari negara Korea yang cilik terutama bila melenggokkan tubuh.

Sebelum bertolak ke Genting singgah dahulu ke Maxis Centre bagi menyelesaikan masalah telefon Abang, kemudiannya ke Hospital Sg Buluh menziarahi ibu Abang ditahan di wad.  Selesai segalanya barulah kami memulakan perjalanan.  Agak tidak bernasib baik kami kali ini apabila kereta Abang mengalami masalah suhu.  Mungkin akibat dari kelajuan yang luar biasa mengakibatkan keretanya mengalami kejutan.  Walau bagaimanapun, perjalanan tetap diteruskan kerana kami sudah tiga suku perjalanan.  Alhamdulillah saat turun dari Genting tiada sebarang masalah pula.

Tiba lebih kurang setengah jam sebelum konsert bermula.  Pada mulanya saya menjangkakan majoriti yang hadir pastinya berbangsa Cina.  Agak meleset jangkaan tersebut ini kerana ramai juga remeja berbangsa Melayu yang turut serta di dalam konsert tetapi majoriti umur yang menontonnya sudah pasti 35 tahun ke bawah.  Suhu di Genting agak rendah, kabus yang menyelimuti juga agak tebal.  Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sana, saya telah mula mengigil kesejukkan.  Kesejukkan yang amat berlawan-lawan pula dengan sakit sengugut yang langsung tidak reda membuatkan saya hilang keseronokkan untuk bergelak ketawa.  Keadaan yang tidak terurus itu juga membuatkan saya malas untuk mengambil gambar.  Hanya beberapa keping sahaja yang sempat saya rakam.  

Berbalik kepada konsert tersebut, para penonton yang hadir sememangnya terdiri daripada peminat setia WG.  Ada yang sanggup mereka khas serta mengusung poster-poster demi menunjukkan minat mereka terhadap gadis-gadis lincah ini.  Malahan turut ada yang tidak segan silu menari mengikut langkah tari WG.  Ini merupakan konsert pertama WG di Malaysia, sudah pasti peminat fanatik tidak melepaskan peluang yang ada untuk mendengar dan melihat dengan sendirinya WG.  Lagu pilihan penonton dan juga saya sendiri sudah pasti lagu "NOBODY".

Secara keseluruhannya, konsert WG menghiburkan terutama dari segi tarian dan juga gimik pentas.  Nyanyian mereka biasa-biasa sahaja tetapi mereka semua boleh melagukan irama dengan baik begitu juga dengan Bahasa Inggeris, mereka sememangnya fasih bertutur.  Pakaian yang digunakan sepanjang persembahan cantik dan seksi tetapi bukanlah seksi yang melampaui batas.  WG berjaya menyalur kehangatan kepada penonton yang sejuk membeku dek kerana cuaca Genting yang mencengkam ke tulang hitam. 

Saya yakin peminat setia pasti pulang dengan kepuasan ini kerana kami yang hanya mengetahui sebuah lagu sahaja tetap boleh duduk sehingga konsert selesai.  Jika tanpa Ejump sudah pasti kami tidak berpeluang menyaksikan WG beraksi.  Terima kasih yang tidak terhingga buat pasangan suami isteri ini, Ejump dan Nova kerana sering memberi peluang kepada kami berdua.  Lepas ni bagi lagi banyak-banyak ye..he..he..he..

 Ahli WG yang ke-enam...ha..ha..ha..

Sempat juga Abang mengambil gambar kami berdua walaupun saya sudah mula hilang fokus kerana menanggung kesakitan yang amat sangat

Kenalah beri penghargaan kepada Ejump dengan meletakkan gambarnya di sini.  Ejump yang sentiasa sibuk dengan telefonnya

 Persembahan di awal konsert.  Awal-awal lagi kemeriahan dapat dirasai


Sewaktu mendendangkan lagu kegemaran ramai "NOBODY".  Lagu ini dipersembahkan sebanyak tiga kali sepanjang konsert atas permintaan ramai.  Tetapi lagu tersebut sememangnya sedap untuk dimainkan walaupun beribu kali


Sewaktu menamatkan konsert



nota:  Belum berkesempatan untuk menyambung kisah di Langkawi.  Insyaallah akan bersambung dalam jam yang terdekat ini