Followers

Saturday, December 4, 2010

::Langkawi 2::

Setelah melalui episod yang merisaukan juga semalam, Alhamdulillah kini segalanya kembali pulih.  Makanya amatlah bersesuai jika saya menyambung entri yang terhenti seketika.  

Di penghujung entri yang lepas, saya ada menyatakan yang saya menanggung kesakitan yang amat sangat akibat tekanan udara tinggi.  Selamat mendarat lebih kurang jam 6.00 petang, tetapi tekanan di dalam telinga langsung tidak berkurangan malahan sakit yang amat sangat.  Mencucuk keseluruh bahagian telinga, muka, kepala dan mata.  Meleleh juga airmata buat seketika dek menahan kesakitan.  Bunyian disekeliling juga gagal saya amati.  Sepanjang berjalan ke arah bahagian dalam lapangan terbang, dada tidak putus bertawakal janganlah sakit berpanjangan.

Masih sempat lagi bergambar sebaik mendarat di bumi Langkawi walaupun sebenarnya tidak tertanggung rasa sakit.  Abang terpaksa menjijit beg yang ada berseorangan

Tiba sahaja ke dalam perut lapangan terbang kami bersedia menanti bagasi kami didaftar keluar.  Di sinilah insiden yang kurang senang bagi saya timbul.  Saya bukanlah seorang yang cepat naik angin atau dalam erti kata lain, saya seorang yang terlalu cool  dan ini amatlah tidak menyenangkan hati orang dikeliling saya.  "Jangan terlalu baik", itulah yang sering dilontarkan buat saya cumanya saya tidak pandai untuk naik angin secara serta merta.  Mungkin kerana itu jugalah saya dipertemukan dengan seorang kekasih yang kadar kemarahannya tidak boleh dijangka walaupun dia akan naik angin pada sebab yang tertentu.  

Berbalik kepada insiden tersebut, ceritanya begini.  Kami semua tekun memerhatikan beg masing-masing.  Tiba-tiba keluar sebuah beg seperti kepunyaan saya tetapi apa yang mencurigakan beg tersebut tidak mempunyai kunci mangga.  Kunci yang saya gunakan agak besar juga dan rasanya susah untuk patah sekiranya pekerja bagasi membaling-baling beg tersebut.  Teragak-agak juga adakah beg tersebut milik saya, tetapi dari bentuk rupa ianya memang beg saya.  Lantas saya mengambil beg tersebut dan mula membuat pemeriksaan dan mengadu pada Abang yang kunci pada beg hilang serta pelekat keselamatan yang dilekat pada zip beg seolah ditoreh.  Mengikut pekerja yang membuat daftar masuk di LCCT, beg akan selamat sekiranya ada pelekat keselamatan kerana kita boleh mengetahui pasti ada yang membuka beg tersebut sekiranya pelekat terusik.  Apalagi, mengamuk sakanlah dia dan melulu memarahi pekerja yang sedang mengeluarkan bagasi-bagasi tersebut.  Saya menegah memandangkan ramai yang memerhati, malu pun ada tetapi menurut Abang siapa yang patut dipertanggungjawabkan.

Dek kerana Abang mula naik angin, saya memeriksa sambil lalu sahaja isi kandung beg tersebut dan menafikan ada yang hilang walaupun ada sebenarnya.  Sampai hari ini tiada siapa diantara kami yang tahu kerana saya tidak mahu bising-bising, lagi pula barang tersebut tidaklah berharga manapun.  Pada pandangan saya, pekerja di lapangan terbang Langkawi tidak mengetahui apa pun kerana mereka hanya menerima beg-beg tersebut.  Yang perlu dipersalahkan adalah pihak penerbangan dari LCCT.  Terpinga-pinga pekerja tersebut bila disembur.  Tidak puas hati dengan membuat bising kepada pekerja di situ, Abang pergi lagi membuat bising pada pegawai kastam dan juga polis.  Jenuh saya menegahnya berbuat demikian.  Rakan-rakan yang lain hanya mampu memandang dan membantu menenangkan keadaan.  Alhamdulillah, suhu dingin Langkawi pada waktu tersebut cepat menyejukkan hatinya yang panas.  Bila kami kenang kembali, semua ketawa terburai.  Belum pun seharian, macam-macam perkara telah terjadi.  Proses penyesuaian buat kami semua sebenarnya.  Tetapi keadaan telinga saya tidak menunjukkan sebarang tanda untuk pulih
    Antara gambar yang sempat kami rakam sewaktu tiba di Lapangan Terbang Langkawi.  Walau dirundung sedikit masalah ianya tidak mencacatkan keceriaan kami semua.

Keluar sahaja dari ruang legar lapangan terbang, kenderaan yang kami sewa sedia menanti.  Kami menyewa MPV Innova, Toyata dengan kadar sewa RM150 sehari dan kami menyewa selama tiga hari=RM450.  Pemilihan yang tepat kerana kami ramai dan urusan tempahan dibuat oleh Husin sendiri.  Kami menginap di TM Resort  Apartment yang berkedudukan berhampiran Awana Porto Malai.  Perjalanan dari lapangan terbang ke apartment tersebut mengambil masa lebih kurang 15 minit.  Husin merupakan pekerja Telekom dan kerana itu kadar sewa apartment tersebut amatlah murah.  Alhamduillah rezeki kami semua.  Apartment dua bilik yang kami kongsi bersama Ejump sekeluarga hanya berharga RM285 untuk 4 hari 3 malam.  Berbaloi bukan harganya.  Resort tersebut juga dibuka untuk orang awam tetapi tidak pasti berapa pula kadar sewanya.  Sayangnya tidak seorang dari kami pun yang ada mengambil gambar di resort tersebut.
  Berurusan dengan tuan empunya kereta sebelum kami meninggalkan lapangan terbang menuju ke tempat penginapan kami semua.  Di belakang itulah kenderaan yang kami sewa.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam apartment, keletihan mula dirasai oleh kami semua.  Lalu kami tidak bercadang untuk ke mana-mana selain keluar untuk makan malam dan membeli sedikit kudapan sepanjang berada di sana.  Melabuhkan sahaja badan ke katil nan empuk, begitu terasa kepenatan seharian.  Bayangkanlah dari jam 11 pagi sehingga jam 7 malam barulah betul-betul berehat.  Telinga yang mencucuk sakit berkurangan sedikit tetapi belum sepenuhnya.  Saya mengambil keputusan untuk melelapkan mata buat seketika dengan harapan kesakitan akan pulih sepenuhnya.

Selepas solat Isyak kami semua keluar untuk mengisi perut yang mula berkeroncong.  Sebelum itu kami sempat berhenti ke sebuah pasaraya bagi membeli barangan yang kebanyakkannya adalah makanan ringan untuk menampung perut kami yang mudah berasa lapar.  Lagi pula Ejump dan Husin mempunyai anak kecil, pasti mereka memerlukan tambahan makanan sewaktu berjalan-jalan.  Meriah juga kami membeli, seolah hendak duduk di sana lebih dari dua minggu gayanya.  Walaupun saya hanya memperuntukkan sejumlah kecil sahaja bagi makanan ringan ianya tetap banyak kerana barangan di sana agak murah.
  Lihatlah betapa ralitnya mereka-mereka ini membeli belah sehinggakan gambar diambil pun mereka tidak menyedarinya

Sewaktu menanti mereka habis membeli belah saya terperasankan kedai yang di belakang saya itu.  Kelakar juga kerana jika di Kuala Lumpur selalunya doktor gigi yang akan membuat gigi palsu, tetapi di Langkawi tidak perlu berjumpa dengan doktor gigi.  Cari sahaja tukang gigi palsu yang boleh menyediakan gigi palsu..he..he..he...Comelkan!!!

Kami menikmati makan malam di sebuah restoran makanan laut.  Tiada sebarang gambar yang boleh dikongsi kerana kami semua agak keletihan dan kelaparan.  Sampai sahaja makanan semuanya macam pirana.  Ingin segera makan dan ingin segera pulang.  Apa pun makan malam kami sememangnya lazat dan murah.  Bayangkan semua jenis makanan laut ada dan dihidangkan dalam bahagian yang agak besar kerana kami ramai hanya RM120 sahaja yang dikenakan.  Alhamdulillah sekali lagi kami bernasib baik.  Jika di Kuala Lumpur ataupun mana-mana restoran makanan laut yang terkenal jumlah yang dikenakan menghampiri RM250.  Jauh beza bukan.  Waktu ini juga telinga saya beransur pulih.  Syukur sangat-sangat.

Kami pulang ke tempat penginapan lebih kurang jam 11 malam.  Sampai di bilik, kami berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.  Hampir jam 1 pagi jugalah baru kami semua melelapkan mata dan masing-masing tidur dalam kepenatan.  Esok hari baru yang bakal menanti kami dengan aktiviti yang padat.  Kalau berjalan tetapi hanya menghabiskan masa di dalam bilik penginapan sahaja tidak guna bukan??!!




nota:  Kita bersambung di lain siaran :)

2 comments :

  1. salam. sy ada planning nk g langkawi gk bulan 4 ni. boleh bgtau kat mana restoran mknn laut yg murah tu? dah few time pegi langkawi, agk susah jugak nk cari seafood yg murah, mungkin tak pandai cari kut.

    ReplyDelete
  2. Tak berapa pasti dekat mana yg kitaorg mkn mlm tu..one of my friend dia call owner car rental tu than asked kt mana blh dpt seafood yg sedap..2nd nite bercadang nk mkn blk kt tmpt tu but than sume pon mcm da x ingat ikut jln mana...Rasanye klu u ask around they all blh advice..

    ReplyDelete