Followers

Tuesday, December 21, 2010

::Langkawi 7::

Berpandukan pada tajuk pasti telah dapat mengagakkan entri ini berkisarkan apa.  Saya tidak pasti berapa banyak lagi episod Langkawi ini akan berlangsung, tak sabar juga sebenarnya untuk menamatkan tetapi itulah...Bukan sayalah orangnya jika entri tidak meleret-leret :)  Terima kasih kepada yang sudi mengikutinya dan salam perkenalan bagi sesiapa yang baru sahaja menerjah blog ini.  Untuk episod-episod sebelum ini boleh juga membaca di sini :-


Hari ketiga menanti kami dengan aktiviti yang padat sama seperti hari sebelumnya.  Hari ketiga kami memperuntukkan seharian dengan aktiviti menaiki bot.  Pada awal perancangan, kami ingin melakukan Island Hoping.  Berdasarkan pengalaman lalu aktiviti Island Hoping ini kita akan di bawa  ke tiga destinasi iaitu Pulau Beras Basah:  aktiviti mandi-manda di pantai yang terbentang putih serta air yang jernih, Tasik Dayang Bunting:  melawat keadaan keliling tasik serta menerjunkan diri ke dalam air tasik yang amat sejuk walaupun matahari terik di atas kepala dan Pulau Singa:  aktiviti memberi helang makan.  Ejump dan Nova telah memasukkan aktiviti ini di dalam perancangan lawatan mereka kerana inilah julung kalinya mereka sampai ke sana.

Saat berlepas ke Langkawi, saya tidak di beri sebarang pendedahan mengenai tarikan terbaru di Langkawi iaitu Kilim Geopark.  Sewaktu berada di Gunung Mat Chincang ada seorang adik bernama Shikin datang menegur saya dan bertanyakan samada berminat atau tidak dengan pakej Kilim Geopark yang syarikat mereka tawarkan.  Setelah bertanya dengan lebih lanjut mengenai pakej tersebut dan melalui kumpulan perbincangan, akhirnya sepakat untuk mengambil pakej Kilim Geopark tetapi Island Hoping terpaksa dilupakan kerana laluan perjalanan yang digunakan adalah berbeza dan dari segi tempoh masa juga tidak mengizinkan.

Ralat juga tidak dapat melaksanakan Island Hoping terutama tidak ke Tasik Dayang Bunting.  Dalam masa yang sama mengenangkan Ejump dan Nova yang tidak pernah sampai. Tetapi saya dan Abang serta Husin sekeluarga pernah ke sana dan tidak pernah lagi melalui pengalaman Kilim Geopark.  Pertimbangan di buat berdasarkan semua ahli kumpulan dan juga faktor perjalanan.  Menuju ke Tasik Dayang Bunting agak mencabar kerana terpaksa merentas hutan dan juga harus melalui sedikit pendakian (berdasarkan pengalaman yang lepas).  Faktor ini jelas tidak sesuai buat Nova yang sedang berbadan dua dan Husin yang beranak kecil.  Oleh itu, Ejump melepaskan hasratnya ke sana dan semua akur dengan keputusan yang dibuat.  Insyaallah Ejump, lain kali kita buat Island Hoping pula ye?

Untuk pakej Kilim Geopark ini kami ditawarkan 4 jam tempoh perjalanan dan dikenakan bayaran RM400 sekumpulan, beerti bot kami tidak dikongsi dengan orang lain.  Pakej ini pada awalnya berharga RM450 tetapi selepas proses tawar-menawar itulah harga yang kami peroleh.  Kiranya pakej yang kami ambil ini adalah yang paling mahal jika dibandingkan dengan pakej-pakej yang lain.  Syarikat Shikin menawarkan pakej dari harga serendah RM200 bagi sebuah bot ataupun serendah RM25 bagi satu kepala.  Alang-alang ke sana biarlah kami merasai pengalaman tersebut sepuasnya, kerana itulah kami mengambil pakej yang paling mahal.  

Seawal 7 pagi, semua telah bersiap sedia.  Agak awal bangun pada hari ketiga ini kerana kami harus mengisi perut secukupnya dan dalam masa yang sama kami harus tiba ke jeti sungai tepat jam 9 pagi.  Bagi memudahkan perjalanan kami bersarapan di kedai makan yang betul-betul berdepan dengan Galeri Perdana ini kerana sebelum ke jeti Sungai Kilim  saya perlu berjumpa dahulu dengan Adik Shikin yang pejabatnya juga betul-betul di hadapan Galeri Perdana.  Ini kerana bayaran harus dijelaskan terlebih dahulu serta saya menyemak semula pakej-pakej yang ditawarkan.  Bukannya apa, takut nanti ada salah faham ke kelak nanti kedua-dua pihak yang susah.  Sekali lagi cuaca seolah merestui perjalanan kami semua.  Matahari seakan malu untuk muncul tetapi langit berjanji tidak akan menitiskan sebarang air mata.  Kemudiannya pekerja Shikin membawa kami ke jeti Sungai Kilim yang tidak berapa jauh dari pejabatnya.  Sementara menantikan ketibaan bot, kami sempat membeli sedikit bekalan.  Empat jam perjalanan, takut nanti ada yang kelaparan pula.    


Bergambar sebelum memulakan perjalanan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan


Muka sedikit sembab, mungkin terkejut bangun pagi sangat.  Bukan apa, semangat nak berjalan memang begitu, orang lain belum bangun, saya dah celikkan biji mata

Muka teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan.  Di belakang kami 
itulah Sungai Kilim

Setelah segalanya siap, kami memulakan perjalanan dan destinasi kami yang pertama adalah Gua Kelawar.  Dengarkan namanya pun sudah cukup untuk menggambarkan apa yang bakal disajikan kelak.  Ianya sebuah ekspedisi singkat di mana kami di bawa melawat ke dalam kawasan gua tersebut yang dipenuhi dengan kelawar serta kejadian alam yang indah iaitu 'Stalagtait' dan 'Stalagmait'.  Tiada sebarang gambar sepanjang aktiviti tersebut yang dapat kami rakamkan lantaran keadaan yang gelap.  Suatu pengalaman baru buat saya, seorang yang tidak gemarkan aktiviti mencabar.  Saat melalui detik tersebut saya terfikir betapa  banyak lagi rahsia alam Allah ini yang boleh kita geledah inti patinya.  Kejadian-kejadian betapa menggambarkan bahawa Allah itu Maha Pencipta.  

Sedikit nasihat untuk bakal pengunjung ke Gua Kelawar.  Kalau boleh elak memegang atau menampakkan sebarang plastik ataupun bungkusan makanan kerana ianya merupakan tarikan magnet yang kuat buat beruk-beruk yang menghuni di persekitaran gua.  Kumpulan beruk ini boleh bertukar ganas sekiranya ia merasakan ada sumber makanan.  Lebih mudah, jalan berlenggang dan tinggalkan beg-beg di dalam bot.  Husin kena dua kali serangan, yang pertama saat sampai di jeti Gua Kelawar.  Anak Husin memegang sebungkus keropok dan ianya terus disambar oleh seekor beruk.  Nyaris anaknya tidak luka terkena cakaran beruk tersebut.  Insiden kedua pula saat kami menantikan giliran untuk turun ke bot.  Beg yang disandang oleh Husin terselit sebungkus beg plastik mengandungi sabun mandi.  Ini juga telah menarik perhatian beruk tersebut lantas datang menyambarnya dari belakang.  Beruk liar yang ganas!!!

         Di hadapan pintu gua sebelum kami memulakan ekspedisi singkat kami menjelajah isi perut Gua Kelawar
Saya dan Nova bergambar di peta Gua Kelawar

Beruk liar yang memerhati keadaan jika punya peluang untuk melakukan serang hendap

Kami meluangkan masa lebih kurang setengah jam di Gua Kelawar dan kemudian kami meninggalkan gua tersebut dan menuju ke destinasi seterusnya.  Mujur juga kami mulai perjalanan kami agak awal, ini kerana saat untuk keluar dari kawasan gua semakin ramai pengunjung tiba dan memulakan perjalanan.  Sesak keadaan jadinya.




nota:  Destinasi seterusnya kita bersambung ke episod yang lain, tuan empunya blog berasa tidak begitu sihat.. :(

No comments :

Post a Comment