Followers

Sunday, December 12, 2010

::Wonder Girls::

Baru sahaja pulang dari menonton konsert.  Alhamdulillah kali ini peroleh rezeki lagi menonton konsert di Arena All Star Genting.  Jika tiket-tiket rezeki begini, tidak lain tidak bukan sudah semesti ianya sumbangan dari Ejump.  Giliran Wonder Girls (WG) pula mengisi jadual persembahan konsert.  Siapa yang tidak kenal dengan WG, sekumpulan gadis comel dari negara Korea yang cilik terutama bila melenggokkan tubuh.

Sebelum bertolak ke Genting singgah dahulu ke Maxis Centre bagi menyelesaikan masalah telefon Abang, kemudiannya ke Hospital Sg Buluh menziarahi ibu Abang ditahan di wad.  Selesai segalanya barulah kami memulakan perjalanan.  Agak tidak bernasib baik kami kali ini apabila kereta Abang mengalami masalah suhu.  Mungkin akibat dari kelajuan yang luar biasa mengakibatkan keretanya mengalami kejutan.  Walau bagaimanapun, perjalanan tetap diteruskan kerana kami sudah tiga suku perjalanan.  Alhamdulillah saat turun dari Genting tiada sebarang masalah pula.

Tiba lebih kurang setengah jam sebelum konsert bermula.  Pada mulanya saya menjangkakan majoriti yang hadir pastinya berbangsa Cina.  Agak meleset jangkaan tersebut ini kerana ramai juga remeja berbangsa Melayu yang turut serta di dalam konsert tetapi majoriti umur yang menontonnya sudah pasti 35 tahun ke bawah.  Suhu di Genting agak rendah, kabus yang menyelimuti juga agak tebal.  Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sana, saya telah mula mengigil kesejukkan.  Kesejukkan yang amat berlawan-lawan pula dengan sakit sengugut yang langsung tidak reda membuatkan saya hilang keseronokkan untuk bergelak ketawa.  Keadaan yang tidak terurus itu juga membuatkan saya malas untuk mengambil gambar.  Hanya beberapa keping sahaja yang sempat saya rakam.  

Berbalik kepada konsert tersebut, para penonton yang hadir sememangnya terdiri daripada peminat setia WG.  Ada yang sanggup mereka khas serta mengusung poster-poster demi menunjukkan minat mereka terhadap gadis-gadis lincah ini.  Malahan turut ada yang tidak segan silu menari mengikut langkah tari WG.  Ini merupakan konsert pertama WG di Malaysia, sudah pasti peminat fanatik tidak melepaskan peluang yang ada untuk mendengar dan melihat dengan sendirinya WG.  Lagu pilihan penonton dan juga saya sendiri sudah pasti lagu "NOBODY".

Secara keseluruhannya, konsert WG menghiburkan terutama dari segi tarian dan juga gimik pentas.  Nyanyian mereka biasa-biasa sahaja tetapi mereka semua boleh melagukan irama dengan baik begitu juga dengan Bahasa Inggeris, mereka sememangnya fasih bertutur.  Pakaian yang digunakan sepanjang persembahan cantik dan seksi tetapi bukanlah seksi yang melampaui batas.  WG berjaya menyalur kehangatan kepada penonton yang sejuk membeku dek kerana cuaca Genting yang mencengkam ke tulang hitam. 

Saya yakin peminat setia pasti pulang dengan kepuasan ini kerana kami yang hanya mengetahui sebuah lagu sahaja tetap boleh duduk sehingga konsert selesai.  Jika tanpa Ejump sudah pasti kami tidak berpeluang menyaksikan WG beraksi.  Terima kasih yang tidak terhingga buat pasangan suami isteri ini, Ejump dan Nova kerana sering memberi peluang kepada kami berdua.  Lepas ni bagi lagi banyak-banyak ye..he..he..he..

 Ahli WG yang ke-enam...ha..ha..ha..

Sempat juga Abang mengambil gambar kami berdua walaupun saya sudah mula hilang fokus kerana menanggung kesakitan yang amat sangat

Kenalah beri penghargaan kepada Ejump dengan meletakkan gambarnya di sini.  Ejump yang sentiasa sibuk dengan telefonnya

 Persembahan di awal konsert.  Awal-awal lagi kemeriahan dapat dirasai


Sewaktu mendendangkan lagu kegemaran ramai "NOBODY".  Lagu ini dipersembahkan sebanyak tiga kali sepanjang konsert atas permintaan ramai.  Tetapi lagu tersebut sememangnya sedap untuk dimainkan walaupun beribu kali


Sewaktu menamatkan konsert



nota:  Belum berkesempatan untuk menyambung kisah di Langkawi.  Insyaallah akan bersambung dalam jam yang terdekat ini

No comments :

Post a Comment