Followers

Monday, January 31, 2011

::Selamat Bercuti::

Nampaknya ramai yang dah mula tawar hati untuk melaksanakan tugas-tugas di pejabat.  Cuti panjang hampir menjelmalah katakan, segalanya menjadi suam-suam.  Cuaca persekitaran juga seolah merestui aura kemalasan bagi berdepan dengan kerja-kerja yang ada.

Ke manakah agaknya arah tuju rakan-rakan sempena cuti panjang kali ini?  Pasti pelbagai perancangan yang telah diatur.  Selepas ini, susah juga nak terserempak dengan cuti-cuti berganda, melainkan mohon menggunakan peruntukkan cuti ataupun tunggu Hari Raya.  Saya sendiri tidak pasti ke mana bakal menghala tuju.  Yang pasti, tiada lagi nikmat bercuti seperti sebelum-sebelum.  Erti cuti bagi kami semua bila berhenti menyiapkan kerja yang ada, tetapi Alhamdulillah saya bersyukur sebab apa yang Allah kurniakan ini adalah apa yang kami semua suka akannya.

Pada awal bulan yang lalu, secara rasminya saya menjadi sebahagian daripada keluarga "MEDIA RAKYAT" (MR), akhbar tabloid yang diterbitkan setiap Sabtu secara mingguan.  Akhbar yang baru berusia 3 keluaran ini adalah satu medium bagi menyalurkan maklumat buat rakyat.  MR bukanlah sebuah akhbar berlandaskan politik semata, kerana ianya merangkumi pelbagai berita dalam dan luar negara.  MR adalah Media Untuk Rakyat dan bukannya Media untuk orang perseorangan.  Kami warga MR berharap mendapat sokongan di luar sana.

 Edisi Pertama Cetakan

Ok, cukup dengan promosi.  Ruangan ini tidak akan digunakan untuk mempromosikan akhbar MR.  Ini adalah ruangan peribadi saya untuk mencurah rasa.  Berbalik kisah cuti-cuti di atas, apa kata rakan-rakan sekalian bagi cadangan di manakah tempat yang seronok dilawati sekitar Malaysia.  Jika ada tempat yang jarang dilawati, lagi bagus.  Kalau perlu ingin mengelak dari pergi ke lokasi yang tidak dikerumuni ramai.  Bukannya apa, tersangkut di dalam kesesakan boleh menyebabkan emosi terganggu.  Rasa seronok akan menjadi tawar.  Waktu itu, pasti rumah sahaja yang bakal terbayang di benak.

Bila berbicara mengenai cuti, hati berasa sedikit kecewa.  Bukannya apa, bayangkan setiap kali musim cuti lokasi tumpuan pelancongan pasti mengenakan harga yang lebih tinggi dari biasa.  Hotel contohnya, menaikkan harga hampir 40% dari harga biasa pada musim padat.  Kasihan pada keluarga yang pendapatannya sederhana.  Keiinginan untuk membawa keluarga bercuti terpaksa dilupakan begitu sahaja dek perbelanjaan yang mahal.  Itu baru diambil kira bayaran hotel, belum lagi dengan kos minyak yang sememangnya telah naik kemudian kos makan lagi.  Sekali sekala membawa keluarga, pasti menginginkan makanan yang enak-enak, caj tol lagi dan macam-macam.  

Terfikir sejenak, patutkah hotel mengenakan harga sebegitu tinggi?   Perlukah menaikkan ke satu harga pada waktu padat? Belum dikira lagi sekiranya kita hendak pergi ke tempat-tempat yang menggunakan yuran masuk seperti Taman Tema dan sebagainya. Jika ini berlarutan, promosi melancong di dalam negara akan gagal saya rasa.  Sebahagian dari rakan-rakan saya pernah meluahkan perihal ini.  Ada juga yang menyuarakan lebih murah melancong ke luar negara seperti Indonesia dan  Vietnam berbanding melancong di dalam negara sendiri, lebih-lebih lagi dengan penerbangan murah melalui Air Asia.  Harga hotel di sana jauh lebih murah berbanding di negara kita.     Saya kurang pasti perihal ini kerana belum berkesempatan untuk melancong ke luar negara.  Tetapi jika direnung, ada benarnya kata mereka ini.  Kita sebagai rakyat Malaysia terpaksa membayar mahal untuk mendapatkan perkhidmatan di negara sendiri. 

Mungkin Kementerian Pelancongan boleh mendalami isu ini.  Sekurang-kurangnya bagilah kelebihan buat rakyat Malaysia menikmati industri pelancongan di negara sendiri.  Tiada ruginya jika kita melebihkan rakyat ini kerana setiap wang yang dibelanjakan akan mengalir juga ke dalam poket negara.  Dalam masa yang sama, kita seronok kerana dapat meneroka negara kita sendiri.  Ini tidak, setiap kali hendak berjalan di dalam negara kepala pasti ragu-ragu mengenangkan duit ringgit yang bakal melayang dalam kadar yang banyak.

Ini adalah pendapat peribadi, ada yang menyokong ramai bakal menyanggah.  Tidak mengapa kerana apa yang saya lakukan meminta kita semua turut berfikir akan kewajaran sesuatu perkara.  Saya tidak semestinya benar dan anda belum tentu salah dalam berbahasa.  Sebelum rakan-rakan memulakan perjalanan ke mana sahaja, saya berdoa moga semua selamat sampai ke destinasi yang dituju dan selamat kembali.  Malang tidak berbau mohon Allah jauhi dari kita.       

    Gambar diambil dari Google Image




nota:  masih merangka-rangka arah destinasi...

        

No comments :

Post a Comment