Followers

Wednesday, March 30, 2011

::Sedang Di Duga::

Serasa ingin mencoret tetapi tiada daya.  Inilah dugaan dan ujian sedang melanda.  Bersyukur jika benar terpilih bagi penghapusan dosa-dosa yang ada, namun jika ianya adalah ujian buat insan yang sering melakukan kekhilafan ini, sejujurnya diri ini redha dengan ketentuan.

Andai esok punya ruang berbicara, pasti segalanya akan terisi.  Apa diperlu disaat ini, doa bertali arus moga segala apa yang sedang dialami dikurangkan seksaannya.  Allah Maha Mengetahui dan Allah jugalah yang merencana segalanya!!!

Moga segala apa yang sedang diharungi ini bakal menjanjikan kemanisan di akhir penderitaan.  Diri ini bersedia menerima apa sahaja ketentuan yang telah tertulis.  Ini baru sebahagian dari rencah hidup.  Di luar sana masih ramai lagi diuji dengan kesulitan yang tak mampu terduga dek akal.  Bersyukur kerana masih lagi diberi peluang bergerak walau tersekat-sekat.  Dugaan..Dugaan..Dugaan...Dugaan dalam menguatkan keimanan!!!

nota:  Esok hari bahagia buat mereka.... 
 

Tuesday, March 22, 2011

::Membebel lagi::

Hampir seminggu cuaca tidak menentu.  Mendung dan hujan lebih banyak mewarnai pola cuaca bumi sekarang ini.  Apa sebenarnya ingin disampaikan oleh Pencipta buat umatnya?  Seolah alam sedang bersedih, merintih, kehibaan hinggakan hampir setiap hari ingin mengalirkan air mata.

Adakah ini berkait rapat dengan keadaan umat Islam di Libya?  Entahlah, saya hanya menebak.  Namun, kerisauan bergayut jua di tangkai hati, manalah tahu ini semua petanda buruk buat kita insan yang sering melakukan kekhilafan.  Moga-moga Allah jauhkan malapetaka dan merbahaya buat saya sekeluarga dan juga mereka-mereka yang disayangi.

Alhamdulillah minggu ini momentum bekerja berada di landasan walaupun ada sedekit tergelincir.  Cumanya lewat ini saya mudah berasa penat.  Petanda berat badan naik mencanak-canak ni.  Aduhai, turunnya belum tahu bila lagi, bertambahnya sahaja yang ada.  Runsing memikirkan berat badan semakin melampau.

Manakan tidak, setiap kali bekerja memerah idea pasti lapar mudah menjengah.  Kruit...kret..perut berlagu minta diisi.  Inilah bila bertuankan nafsu, segalanya bertukar kacau bilau.  Sebelum ini, tidak pernah saya merasa mengigil jika perut kosong, sekarang jangan haraplah.  Rasa nak pitam pun ada bila lambat mengambil sebarang makanan.

Sekali lagi, saya amat yakin faktor usialah menyumbang ke arah ini.  Bukan saya menyalahkan umur semakin meningkat cumanya bila bertambah usia kekurangan di sana sini akan wujud samada sedar atau tidak.  Kini saya sedang mengharungi faktor dalaman yang semakin merosot.  Metabolisme adalah salah satu daripadanya.

Harus kuatkan azam dan tekad untuk berubah secara perlahan jika mengimpikan badan sihat menjelang usia emas.  Kelak tidak akan menyusahkan sesiapa.  Rutin senaman juga harus dilaksanakan, jika tidak naik anak tangga bilangan ke sepuluh telah mula semput.  Esok lusa masuk ke empat dah tak larat!!! uish...

Dah petang sangat ni.  Ada rezeki saya membebel lagi sementelah kerja hampir siap.  Tapi nak membebel tanpa peluru pun tidak seronok rasanya.  Apa kata nanti saya sambung siri Langkawi yang entah bila akan tamat.  Insyaallah!!!


nota:  sunyinya rumah bila Buah Hati tiada di rumah.. :(
 

  

Monday, March 21, 2011

::Hati Yang Tidak Tenteram::

Saya rasa perasaan makin parah.  Sejak akhir-akhir ini rindukan macam-macam yang tak bisa saya kecapi.  Rindukan lima tahun dulu, sepuluh tahun dulu, dua puluh tahun dulu, rindukan orang ini, orang itu, kenapa ye?  Sudahlah perasaan sering sayu memanjang.  Salah cakap sikit, tersentuh hingga menusuk kalbu.

Adakah faktor usia, atau perubahan hormon, atau masa, atau apa-apa sahajalah.  Pening juga hendak melayan runtunan sekeping hati.  Walhal, kehidupan sama seperti sebelum-sebelum ini.  Nak dikatakan dijengah masalah percintaan, jauh sekali.   Masalah keluarga lagilah tidak ada, malah kami semua sedang meniti saat-saat bahagia. Segalanya seperti biasa, tetapi rasukan hati lain macam.  Mujur saya seorang yang agak mengawal emosi supaya orang lain tidak terkena lahar kepanasan, kalau tidak mahu tarik muka sahajalah jawabnya.

Moga Allah tenangkanlah hati ini, jauhkan dari rasa gundah dan syak wasangka.  Bila segalanya dalam keadaan tidak terkawal, mudah Syaitan membisikkan ke telinga membuat perkara-perkara tidak masuk akal.  Perlukan angin baru barangkali, tetapi hendak ke mana?  Bukan senang sekarang untuk ke sana sini melainkan tuntutan kerja.  Apa yang boleh dilakukan, berdoa dan terus berdoa.  Allah sedang menduga dan menguji umatnya yang seorang ini!!!



nota:  Jarum jam menjengah 4.30 pagi, bila agaknya mata ni nak lelap      

::Sembang Subuh::

Kenapalah mata ini boleh terbuka saat jarum jam melintas angka 3.  Bila dah terjaga subuh begini, jaminan untuk menutup rapat kembali adalah mustahil.  Aduhai, sudahlah setiap hari jangka masa tidur sering dipendek-pendekkan.  Menguji betul mata nan sepasang ini.

Hujung minggu baru sahaja kita lalui.  Apa rakan-rakan lakukan?  Saya semenjak dua menjak ni agak jarang juga keluar berjalan.  Komitmen kerja semakin membebankan, maka pandai-pandailah membahagikan masa.  Jika perlu, kerja diberi keutamaan berbanding lain.  Periuk nasilah kata,lagi pun bekerja juga sebahagian dari ibadah.

Hari Sabtu malam berkesempatan ke Jeram Kuala Selangor.  Syurga makanan laut.  Perancangan pun agak lewat sebenarnya.  Jam 8.30 malam baru bertolak ke sana.  Sebenarnya restoran ni saya pernah buat review untuk Media Rakyat dalam bulan lepas.  Hidangan enak telah memikat selera kami bertiga, Abang, Mimie dan Saya.  Jadinya kami ke sana lagi kali ini sambil membawa hajat seorang teman baik Mimie, Soraya.

Alhamdulillah, walau tiba agak lewat, masih banyak lagi makanan laut sedia menanti.  Kami memilih hidangan lengkap seafood, semua adalah dan harga keseluruhan RM150.  Murahkan!! Sudahlah masakan begitu menyelerakan, suasana laut yang nyaman, segalanya menyumbang ke arah kenangan indah buat kami berempat.  

Saya mencadangkan jika rakan-rakan di KL rindukan hidangan makanan laut, bolehlah meluangkan masa ke Jeram salah satu daerah Kuala Selangor.  Rasanya ramai dah tahu tempat ini, jadi tak salah saya panjangkan lagi pujian buat restoran Aroma Ikan Bakar ini.  Moga dengan apa yang saya lakukan, Tuan Kedai berusaha untuk terus menjaga kualiti seperti sekarang.  Kadangkala bukan apa, bila dah terlalu maju, lupa segala apa yang harus dijaga. terutamanya kualiti dan harga.  Dari orang suka ke sana terus merudum.

Maaf, tiada gambar dapat dikongsi, tetapi bagi sesiapa pernah membeli Media Rakyat pasti telah melihat gambar-gambar tersebut.  Lain kali jangan lupa dapatkan Media Rakyat ye, Insyaallah banyak tempat makan boleh diketahui.. (promo)

Apa pun, untuk kesekian kalinya kita berjumpa dengan minggu baru.  Minggu bakal membuat ramai di antara kita menyeringai hingga ke hujung telinga.  Minggu gajilah katakan.  Selamat memulakan minggu baru dan moga sepanjang minggu kita diberkati dan dikurangkan berhadapan masalah.  Oh ye, cuti sekolah dah tamat.  Selamat kembali ke persekolahan adik-adik.  Belajar rajin-rajin dan mula menghitung hari untuk bertemu cuti sekolah akan datang....



nota:  kepala bercelaru, bila boleh dirungkai satu per satu...


Thursday, March 17, 2011

::Layan nak Tidur::

Ini yang payah.  Bila hasrat di hati mahu melelapkan mata, sukar betul mata ini untuk memberikan kerjasama.  Pelbagai cara dicuba, tetapi tiada yang berhasil.  Akhirnya , buka komputer riba ni dan mula memasuki ke alam siber.

Eh, Raja Lawak dah masuk peringkat akhir?? Kenapa tak tahu ni.  Nampak sangat sudah jarang menekan butang di alat kawalan jauh.  Agak-agak best ke Raja Lawak tahun ini?  Selepas Nabil menjadi juara, saya dah kurang minat dengan Raja Lawak.  Bulan April nanti akan ada satu program di panggil Maharaja Lawakkan?  Program bakal menghimpunkan kesemua pemenang Raja Lawak sepanjang musim.  

Tak sabar pula menanti kedatangan program tersebut.  Pasti pecah perut dek penangan raja-raja lawak. Pasti ramai akan menyokong Zizan sementelah sejak akhir-akhir ini prestasinya begitu baik.  Tetapi saya tetap memilih Nabil.  Bagi saya sewaktu menjadi peserta Raja Lawak dahulu, Nabil adalah antara pelawak yang bijak dan mampu mengaitkan penceritaan serta suasana dengan begitu baik sekali.  Tak pasti pula sekiranya prestasi Nabil kini tidak berkualiti, saya hanya perlu menunggu program tersebut ke udara barulah saya boleh berkata lebih mengenai program tersebut.

Bulan April juga sebuah lagi program yang saya looking forward untuk menonton.  Apa lagi kalau bukan Akademi Fantasia (AF).  Secara jujur selepas Aznil meninggalkan Medan AF, minat saya terus kendur.  Sejak dari musim pertama lagi, Aznillah magnet buat kami semua  untuk terus menonton AF.  Ada sahaja gelagat beliau dan Aznil sememangnya seorang profesional yang boleh menangani apa sahaja situasi.  Kembalinya Aznil ke pentas AF bermakna penonton AF akan bertambah semula.  Harapnya prestasi Aznil akan sama seperti sebelumnya.

Kenapa saya berborak pasal siaran Astro pula ni?  Inilah tandanya saya tiada sebarang fokus untuk menulis.  Apa sahaja yang terlintas di kepala, itulah yang akan dibebelkan.  Ok inilah masanya yang dinanti.  Mata mulai mengantuk.  Jika umur panjang kita bersua lagi ye, Insyaallah.




nota:  tidur tidak sampai dua jam pasti akan dipanggil untuk menyambung kerja

Wednesday, March 16, 2011

::Sembang Rabu::

Macam pening pula kepala hari ini, mungkin ketidaktentuan waktu tidur minggu ini.  Atau mungkin keadaan mata yang semakin teruk.  Semakin hari semakin buruk penglihatan mata.  Jika dahulu, boleh juga berjalan tanpa bantuan cermin mata,tapi sekarang..Dalam jarak dekat pun dah tak boleh nak nampak apa yang tertera di papan tanda.

Mula-mula salahkan faktor usia, tetapi ada juga rakan sebaya yang tidak mengalami nasib seperti saya.  Inilah akibatnya jika tidak pandai menjaga pemberian Allah.  Pemakanan yang sepatutnya juga diabaikan, bagaimana tubuh badan mahu bertoleransi dengan keadaan semasa.  Sudahlah menggunakannya tanpa batasan, selagi boleh pakai main belasah.

Ada terlihatkan iklan Permata Hijrah.  Bagus ke produk tu?  Ada sesiapa pernah menggunakannya, mohon dikongsi bersama.  Bukan tidak mahu menggunakan bantuan cermin mata, tetapi saya tidak selesa menyangkutnya sentias di batang hidung.  Sudahlah hidung tinggi melangit, bila meletakkan sesuatu di batang hidung serba tak kena jadinya.  Menggunakan kanta lekap adalah di larang sama sekali.  Beberapa tahun dahulu mata pernah terkena jangkitan serius dan doktor menasihati untuk tidak menggunakan kanta lekap.

Bila mata bermasalah, kepala pun kerap pening.  Bila kepala pening, emosi huru-hara.  Sudahnya segala apa yang dikerjakan ke laut.  Benar, saya yang mengawal segalanya tetapi saya juga manusia biasa.  Adakala emosi menguasai fikiran lantas menerawangkan ion negetif ke seluruh badan.

Minggu ini adalah antara minggu yang kurang menyerlah buat saya.  Segala apa dikerjakan serba tak menjadi.  Begitu susah untuk menjana idea bagi menzahirkan penulisan.  Deadline sebenarnya pada setiap hari Ahad dan saya hanya menyiapkan kerja malam semalam.  Pagi tadi baru berjaya menyempurnakan secara total dan sekarang sedang merancang untuk keluaran akan datang.  Harapnya, hari ini akan bermulanya semangat baru buat saya.

Alamak, hampir pukul 2 petang!! Makan tengahari pun belum lagi.  Eh, hari ni WED=Pink Day kan?  Bolehlah jengah ke Baskin Robbin, moga terubat kelukaan sepanjang minggu lalu.
nota:  bukan senang nak jadi senang dan bukannya susah nak jadi susah

 

Monday, March 14, 2011

::Berjaga-jaga::

Ini masih lagi berkisar tentang gempa di negara Sakura.  Sana sini orang sibuk memperkatakan tentang bencana yang sedang menimpa.  Semenjak tsunami Jumaat lepas, antara yang paling ditakuti adalah reaktor nuklear milik mereka akan menerima kesan besar dan hari ini sah ada kebocoran berlaku di salah satu plan nuklear.

Akibat dari kebocoran ini, radiasi nuklear sedang menerawang di udara, oleh itu negara-negara Asia di minta mengambil langkah berjaga-jaga.  Sekiranya hujan turun, berada di dalam kawasan tertutup dalam tempoh 24 jam pertama dan tutup pintu serta tingkap supaya udara tercemar tidak akan masuk ke dalam rumah.  Dijangka Filipina adalah antara negara terawal menerima kesan dari kebocoran tersebut dan ianya akan merebak ke negara-negara lain.  Radiasi ini amat merbahaya kerana boleh mengugurkan rambut, merosakkan kulit serta menyebabkan penyakit barah.  Tambahan bagi langkah berjaga-jaga, elakkan berada di luar rumah kerap.  Sebab kita tidak tahu, kadangkala hujan turun tanpa memberi signal (diambil dari mesej rakan-rakan FB) 

Allah Maha Mengetahui setiap apa yang sedang berlaku kini.  Berdoalah kita moga dijauhkan dari malapetaka tersebut dan tidak diuji dengan ujian yang seberat itu.  Apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.   
nota:  mata yang tak boleh nak diangkat ini pun merupakan satu malapetaka buat diri sendiri ni....

::Cuti Sekolah::

Baru sedar musim cuti sekolah rupanya.  Yelah, tiada siapa lagi yang bersekolah kerana itulah terlepas pandang.  Mulai esok jalan akan lebih lancar dari biasa.  Tenanglah mereka-mereka yang sering terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas.  Lebih dari lima tahun rasanya saya tidak turut bersesak.  Pasti keadaan sekarang bertambah buruk.  Manakan tidak, kini setiap orang mampu memiliki kereta, bukannya seperti dahulu.

Apa agaknya perancangan ibu bapa buat anak-anak ye?  Harap peruntukan seminggu yang diberikan cukup buat para pelajar untuk merehatkan minda buat seketika.  Sewaktu menyandang gelaran sebagai pelajar, rajin juga menjengah kalender menghitung hari bila agaknya cuti sekolah akan tiba.  Bukan ada perancangan hendak ke mana pun, cuma bila sebut cuti apa yang terbayang di benak adalah rehat..rehat..dan rehat...Oh indahnya saat itu!!

Buat ibu bapa, selamat melayan kerenah anak-anak yang sedang bercuti.  Bukan lama mana pun, hanya seminggu dan pastikan masa anak-anak akan terisi dengan segala perkara yang berfaedah.  


nota:  Tak tahu isu apa hendak diceritakan tetapi tangan gatal sahaja mengetuk papan kekunci


Sunday, March 13, 2011

::Borak Hari Ahad::

Masih dalam mood menghayati lagu "Di Saat Aku Mencintai Mu".    Selalunya macam inilah, jika dah minat berputar beribu kali, bosan masih belum menjengah.  Kena tunggu lagu baru yang mampu menyentap halwa telinga, barulah akan bertukar ganti.

Rakan-rakan buat apa hari ini?  Saya masih belum ada perancangan kukuh, tetapi Fieza ada jugalah mengajak saya untuk keluar.  Ok saja kalau nak keluar cumanya macam kasihan pula pada dia asyik nak menjemput saya di rumah.  Ini dah betul-betul meyusahkan dia bila terlalu kerap dia sahaja yang kena :(  Nak buat macamana, sudah hampir dua tahun tidak memiliki kenderaan sendiri dan hanya mengharap ihsan Abang meminjamkan keretanya.  Hari ini Abang pula perlu untuk memakai kereta untuk ke PD, makanya saya patah kaki.  Moga Allah memberikan rezeki lebih buat saya tahun ini, bolehlah membeli semula kenderaan sendiri..Insyaallah!!!

Cadang untuk menyiapkan kerja-kerja tertunggak, tetapi itulah.  Bila hari Ahad, kepala dan badan susah untuk digerakkan untuk membuat kerja.  Harus muhasabah diri ni.  Kena tanam di kepala, bekerja sendiri tidak pernah ada masa untuk bersantai lebih.  Jika mahu berjaya, gigih perlu ada.  Lainlah makan gaji.  Tekanan yang dihadapi berbeza.  Semalam berhasrat untuk menyambung semula I Luv Clothez yang hampir enam bulan ditinggalkan tetapi mungkin telah tersurat belum masanya.  Seolah ada halangan, makanya saya akan menunda ke suatu masa yang lebih baik kelak.

Nak minta jasa baik rakan-rakan, boleh tak tolong cadangkan kedai makan yang sedap di mana sahaja untuk pihak Media Rakyat kunjungi dan membuat ulasan menarik mengenai kedai/restoran/gerai makan tersebut.  Susah juga ye untuk menerjah mana-mana lokasi makan yang menarik. Setiap minggu ruangan inilah antara yang paling susah untuk diterjemahkan cuma agak sayang untuk kami menutup ruang makan ini kerana ada pengikutnya tersendiri.  Kalau ada info menarik jangan segan-segan beritahu saya ya!!

Bagi mereka yang berminat untuk mengiklankan perniagaan atau apa sahaja juga boleh dilakukan  di akhbar Media Rakyat.  Banyak pakej-pakej menarik ditawarkan.  Sebarang pertanyaan boleh sahaja beritahu saya, dan saya akan bantu anda semua perihal iklan ini (sempat lagi melakukan promosi)
 
Sedang menonton Melodi.  Aduh macam-macam kerenah dan macam-macam cerita.  Inilah  kehidupan manusia yang punya warna tersendiri.  Jika tidak ditampilkan melalui saluran Melodi ini saya yakin cerita-cerita begini akan tetap wujud disekeliling kita.  Bezanya apabila berlaku di kalangan artis dan selebriti, perhatian lebih diberikan.  Apa yang seronoknya apabila kisah luar dalam orang sibuk nak ambil tahu?  Inilah harga yang mereka harus bayar bagi memilih untuk menjadi terkenal.  Dahulu, bila akal sejengkal kerap kali pertanyaan "Kenapa kita tak jadi seperti si polan dan si polan.  Kan bagus"  Kini apabila mengharungi pengalaman sebagai insan kerdil, saya bersyukur dengan apa yang telah Allah tetapkan kerana ada bahagiannya yang tersendiri.  Tidak perlu menjadi dia atau pun mereka.  Hanya perlu jadi diri sendiri.

Tiba-tiba rindu pula untuk kembali menjadi pelajar.  Eh, tahun ni permohonan Master belum tutup lagi rasanya.  Harus dilakukan segera, kalau tidak terlepas seperti tahun lepas.  Moga Allah merestui niat saya untuk mendaki satu lagi tangga pencapaian.  Alhamdulillah sokong dari orang-orang tersayang sentiasa ada.  Teringat sewaktu graduation Bachelor tahun lepas.  Saat yang tak mungkin saya lupakan.  Seronok sangat!!  Manakan tidak, segala usaha bertahun-tahun akhirnya berbayar dengan segulung kertas berharga di tangan.  Sebenarnya entri khas untuk graduation ada tersimpan di dalam draft.  Belum punya emosi stabil untuk meneruskan penceritaan tersebut.  Nanti-nantilah!!!

Hmmm...nak tanyalah.  Apa yang seronoknya apabila asyiklah condemn dan kritik orang.? Asyiklah orang itu tak kena di mata, ada sahaja buruknya orang itu.  Pelik juga sebenarnya.  Kenapa sanggup berbuat demikian sesama manusia.  Bukankah telah kita ketahui tiada manusia yang sempurna.  Ketidaksempurnaan seseorang itu tidak harus dijadikan bahan untuk kita mengkritik.  Jika benar ingin mengajar atau menegur, kan lebih manis diambil pendekatan dengan cara yang lebih baik.  Tidak perlu memalukan orang tersebut dengan menjadikannya buah mulut.   Bila yang menjadi mangsa melawan semula, dikatanya cepat melatah.  Siapa yang tidak melatah jika asyik menjadi mangsa kritikan dan cerita buruk.  Akan sampai satu masa, pasti dia akan bangun mempertahankan dirinya.  

Semakin tidak faham dengan manusia hari ini.  Saya tidak sempurna, saya juga bukan seorang yang zuhud malah saya juga bukanlah orang yang penuh dengan keimanan.  Tetapi saya antara yang berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri.  Bukan untuk nampak sempurna, bukan juga minta di puja tetapi cukup sekadar saya tidak turut sama tumpang melakukan dosa-dosa kering ini.  Saya tidak mahu 'pulang paku buah keras' terjadi kepada diri saya.  Nanti diri sendiri yang termalu.

Alamak!!  Apa sahaja yang telah saya bebelkan di petang Ahad ini.  Eh, macam suara Ejiki la...Moga kita kembali bersua entah bila dengan bicara hati yang merapu-rapu arah tujunya... 


nota:  senyap sahaja, jadi ke tidak ni!!!
    

::Hikayat Merong Mahawangsa::

Semenjak promo Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) berputar di merata-rata,  niat untuk menonton filem epik ini telah tertanam dengan kemas di dalam hati.  Seawal tahun 2011, sering menghitung hari menanti HMM pecah panggung.

Tayangan pertama pada Khamis lalu ternyata mendapat sambutan menggalakkan.  Cuba untuk mendapatkan tiket tetapi gagal.  Yang ada pun semuanya kerusi di bahagian hadapan.  Untuk orang seperti kami yang berbadan sihat sudah tentulah tidak untuk duduk di kerusi yang tidak menyelesakan badan dan tengkuk.  Tengok punya tengok, dapat hari dan waktu yang sesuai iaitu hari ini.  Apa lagi tanpa teragak-agak terus beli tiket tersebut secara online.

Hampir penuh kerusi di panggung.  Rasanya inilah pertama kali melihat filem tempatan mendapat perhatian umum.  Bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain turut sama menonton HMM.  Manakan tidak, kerusi di bahagian barisan pertama bahagian bawah juga dipenuhi.  Fenomena yang boleh dilihat sekiranya filem luar ditayangkan.  Jika benar seperti yang dikhabarkan, pada hari pertama tayangan, HMM berjaya mengutip setengah juta, kutipan yang belum lagi pernah dibuat oleh mana-mana pihak produksi tempatan.

Secara keseluruhan filem ini membuka dimensi baru bagi dunia perfileman Malaysia.  Janganlah kita membandingkan HMM dengan produksi antarabangsa, sudah semestinya kekurangan akan begitu ternyata.  Tetapi bezakanlah dengan apa yang pernah dihasilkan sebelum ini, saya yakin anda akan kagum dengan kesungguhan si pengarah dan pasukan produksi.  

Sudah lama kita menanti satu anjakan baru di dalam dunia filem tempatan akhirnya trio adik beradik yang  cukup berbakat berani memecah kebuntuan yang ada.  Saya yakin mereka tidak berharap filem epik ini mendapat perhatian dunia yang melampau, tetapi apa yang telah mereka hasilkan telah berjaya menempa sejarah.

Filem ini berkisarkan perjuangan Merong Mahawangsa dari seorang pelayar biasa sehinggalah menjadi Raja bagi sebuah kerajaan yang dibentuk melalui perpecahan perkauman, Langkasuka.  Sebelum di angkat menjadi Raja, Merong telah diketemukan dengan rombongan Putera Rom yang ingin ke kawasan yang digelar Semanjung Emas untuk dikahwinkan dengan Puteri China.  Rombongan Rom telah tewas di lautan dek penangan ribut di lautan.  Kerana musibah ini, rombangan itu terpaksa singgah di Goa bagi mendapatkan pertolongan perjalanan menuju ke destinasi.

Merong telah dipilh menjadi pengawal peribadi bagi Putera Rom tetapi pasukan mereka tewas di daratan gara-gara serangan dari Geruda.  Puteri China telah diculik dan kerajaan Geruda meminta wang tebusan.  Merong  mengalami kecedaraan telah dibantu oleh Pak Kesum yang yakin Merong akan membawa perubahan kepada seluruh penduduk di situ.


Akhirnya Merong, Putera Rom dan askar China bertempur dengan Geruda bagi menuntut semula hak masing-masing.  Tiga kerajaan besar bersatu bagi menentang kejahatan.  Berjayakah mereka di dalam misi menentang Geruda dan apa yang berlaku pada Puteri China, segalanya akan terjawab apabila anda menonton filem ini.  

Benar masih ada kekurangan terutama pada adegan melibatkan  pertarungan, pergerakannya tidak begitu lancar.  Nampak benar menggunakan sihir teknologi untuk merealisasikan adegan tersebut.  Apa yang lagi membanggakan apabila melihat pelakon luar membintangi produksi tempatan.  Tidak pernah terfikir satu hari nanti akan ada pelakon antarabangsa turut sama berlakon di bawah arahan pengarah tempatan.  

Pembangunan set bagi menggambarkan keadaan di kurun tersebut juga begitu menjadi.  Terus terang saya begitu tertawan terutama apabila kapal-kapal yang hampir tiba ke daratan untuk menawan negara.  Nampak begitu hidup.  Pemilihan busana juga menarik terutamanya pakaian mereka yang berasal dari negara China.  Benar-benar kelihatan mereka datang dari Disnati China yang terkenal.

Cuma saya agak hampa apabila penamat filem ini begitu sahaja.  Jika diperkemaskan lagi bahagian akhir, HMM akan tampak lebih sempurna.  Lain-lain saya halalkan kerana saya seronok menonton filem ini.  Jika berkesempatan, berkunjunglah ke panggung wayang dan ambil peluang menonton dan menyokong produksi tempatan.    

Berbaloi KRU Studios membelanjakan RM8 juta lebih bagi menghasilkan filem ini.  Jika mereka tida memiliki peralatan teknik CGI, kos ini pasti berganjak ke angka yang lebih tinggi.  Formula untuk tidak memakai mereka yang bertahap super popular membarisi watak utama juga dianggap berjaya.  Tidak perlu wajah popular sebenarynya untuk menghasilkan sesuatu filem.  Yang penting kekuatan cerita dan juga bakat serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pelakon.

Sekali lagi syabas buat pengarah, Yusry KRU serta mereka yang lain turut terlibat.  HMM berjaya membuktikan kehebatan yang telah digembar gemburkan sebelum ini.  Sekali lagi, jangan samakan HMM dengan produksi luar tetapi anggaplah ianya satu eksperimentasi bagi selera penonton Malaysia yang sering dahagakan sesuatu yang besar.

        Gambar poster di ambil dari Google Image




nota:  panjang lebar menulis di sini tetapi artikel yang seharusnya belum disiapkan lagi!!! huh..huh..

Saturday, March 12, 2011

;;New set::

After few times visiting Maxis Centre, finally I have to surrendor my I-Phone to them.   of course they replace with a new set but what a frustration situation yea?   Not that easy for me to let go seem its loaded of data.  Either me just keep and use the set and facing the unsolve problem or get the new one since it still under warranty

Being consulted by Maxis representative together with GM and Abang, for a long term usage, I choose a new set.  Lot of major problem turn up after almost a year being an I-Phone user.  This is my 3rd time complaining the problem and through what ever diagnosis that I have to go, confirmed it was default. 

Seriously I lost all the data cause I cant do any back-up.  My phone does not sync with my I-Tune account and this is one of the problem that I facing at the earlier stage.  Am praying hard nothing will happen this time.  Its not that I am not happy with the new one but as  I mentioned before it really put me into difficulties phase and I have to start everything from zero....So friends, I've lost all your number.  Update me on this ok!!!

note:  I guess I've been cursed by all gadgets.  None of them work promptly whenever in my hand.  There will be a problem sooner or later.       

::Musibah Lagi::

Petang tadi sekali lagi dunia dikejutkan dengan musibah yang melanda Negara Jepun.  Gergasi Tsunami telah melumpuhkan beberapa bandaraya di Negara Matahari Terbit itu.  Mengucap panjang saat melihat video yang telah pun tersebar meluas di internet.

Sejak akhiran ini kerap kali kita mendengar alam mula bersuara ganas.  Bukan sahaja di sekeliling kita tetapi serata dunia.  Bertali arus musibah melanda.  Apa pun yang berlaku, saya yakin Allah mengetahui segala rahsia disebalik kejadian.  Buat setakat hari ini, marilah kita bersatu hati berdoa dan memohon Allah menjauhkan kita dan orang yang kita sayang daripada segala musibah yang bisa meragut nyawa.

Patutlah hari ini seharian langit berwajah duka.  Dari pagi menanti senyuman sang mentari tetapi tidak muncul jua.  Rupanya ada berita sedih yang ingin disampaikan.  Adakah esok juga akan bermuram durja?  Hilangnya sengit mentari, turut sama membawa semangat hilang entah ke mana.  Inilah ragamnya, bila alam berbicara baru manusia sedar segalanya.  Jika tidak, sepatah syukur susah hendak dilontarkan...entahlah!!!

Moga mereka yang kini sedang berhadapan dengan musibah itu bersabar dan tabah menghadapi dugaan...



nota:  keadaan sejuk mengigit hingga ke tulang hitam!!!


Tuesday, March 8, 2011

::Entahlah::

Tidak pasti apa sebenarnya yang melanda diri ini.  Kemalasan yang menjadi-jadi mengakibatkan segala kerja ternanti-nanti.  Seolah kehilangan momentum.  Nak katakan ada masalah, entahlah.  Rasanya tiada sebarang masalah.  Nak kata letih sangat pun tidaklah juga.  Keletihan yang biasa-biasa sahaja.  Segalanya berjalan dengan normal, tetapi itulah.  Pasti kerja Syaitan yang cuba melemahkan semangat yang berbara.

Setiap kali ingin memulakan kerja, setiap kali jugalah jari menekan kekunci Delete.  Tidak sampai 5 perkataan, sekali lagi jari menekan Backspace pula.  Aduhai, ke manalah perginya idea-idea?  Hendak menziarah blog rakan-rakan juga perasaan menjadi sebu.  Hilang keghairahan yang selama ini menyuntik rasa untuk singgah di rumah alam maya.

Moga esok segala apa yang kusut akan terurai, dan rasa malas yang begitu mencengkam membaluti akan terlerai....


nota:  Tiba-tiba risau mengenangkan kerja yang semakin menimbun!!
   

Friday, March 4, 2011

::Oh Jumaat!!::

Kenapa ya bila menjelang Jumaat, otak dan badan mesti switch-off.  Hendak memulakan sesuatu yang baru pun rasa malas.  Mata kerap jatuh ke permukaan jam bagi mengira detik penamat hari.  Elok sahaja jarum jam mencecah ke nombor yang sering menjadi igauan sepanjang Jumaat,  sssuuuupppp!!!  Semua menghilang!!

Inilah nasib hari Jumaat, setiap insan sibuk menghitung waktu supaya Jumaat berlalu dengan pantas.  Bukankah Jumaat adalah penghulu hari buat kita umat Islam?  Sepatutnya setiap kali kehadiran Jumaat dihayati sebaik mungkin, bukan dengan mencongak detak jarum.

Bukan berkata mengenai sesiapa pun, tetapi saya berkata kepada diri sendiri.  Harus ubah persepsi saya mengenai hari Jumaat.  Setiap kali tiba Jumaat saya seolah tidak sabar menanti penghujung hari.  Baik sewaktu makan gaji dengan orang lain sehinggalah bekerja sendiri.  Rutin yang telah dilalui selama mencari sesuap nasi.  Jika ada yang melengah-lengah waktu penamat, muka semestinya mencuka.  Rasa nak menikam sahaja orang yang pandai-pandai menahan waktu.

Saat mencairkan idea di sini pun serasa lemau seluruh badan.  Seolah melayang semangat entah ke mana, walhal bukan ada perancangan pun menanti di hujung minggu.  Kerja yang menimbun adalah, itu pun saya masih lagi berharap Jumaat segera berlalu.  Bukankah sepatutnya saya memohon Allah panjangkan masa yang ada supaya sempat untuk disiapkan segala perkara tertunggak?

Inilah Manusia...Selepas ini, setiap kali solat saya harus memohon dengan lebih giat lagi supaya Allah tetapkan hati untuk sentiasa zuhud.  Moga kedatangan Jumaat depan saya tidak lagi mengira saat untuk menamatkan kehadiran hari Jumaat...



nota:  apakah relevennya entri ini?  saya sendiri terkeliru!! 

Thursday, March 3, 2011

::Mata Belum Bersedia::

Aduhai, payah pula malam ini nak melelapkan mata.  Walhal siang tadi bukan ada peluang untuk melelapkan mata.  Badan pun letih sebenarnya ditambah pula dengan PMS yang seperti biasa dalam kadar membebankan tuan empunya diri.

Isu minggu ini berada dalam proses akhir.  Selepas proof read, esok akan dihantar untuk dicetak.  Bercerita mengenai sambutan Media Rakyat, Alhamdulillah memberansangkan.  Minggu ini masuk keluaran ke-7 dan saya masih lagi dalam proses belajar dan mengadaptasi keadaan semasa.  Nak minta bantuan rakan-rakanlah.  Boleh tak tinjau-tinjau akhbar Media Rakyat ini di kawasan anda.  Jika tidak ada, bolehlah beritahu saya.


Langit saat ini berirama mendebarkan.  Dentam-dentum sana sini.  Rintik hujan belum kelihatan tetapi gegaran di dada langit menggambarkan betapa hujan maha lebat bakal menyembah bumi.  Kala ini, mesti orang lain sedang enak diulit mimpi sambil menarik gebar bagi menambah keenakan beradu.  Saya, masih lagi tegak di hadapan komputer riba sambil menunggu untuk membuat final proof read.  

Biasanya saya akan melelapkan mata barang 3-4 jam sebelum dipanggil untuk meneruskan kerja tetapi malam ini, sepasang mata kurniaan Allah tidak mahu bekerjasama dengan tuan empunya badan.  Maka ruangan ini saya gunakan untuk berterusan merapu.  Alamak!!! Astro pula mengalami gangguan!!  Biasalah, kalau suasana hujan beginilah musibahnya... 

Jika tidak tidur malam ini, esok saya akan menggantikannya...Boleh macam tu??  Tapi bolehkah saya memejamkan mata pada waktu siang hari?  Itulah persoalannya kerana agak sukar untuk tidur pada siang hari kerana otak, badan dan mata telah diajar untuk tidak tidur waktu siang...
nota:  Selamat Pagi Rakan-Rakan!!!

::Jom Mengaku Beramai-Ramai::

Pemilik telefon pintar, sila mengakui perkara ini.  Adakah anda bawa bersama telefon anda setiap kali anda melakukan qada' hajat (buang air besar)?  Silalah jawab dengan jujur :,)

Bukanlah isu besar cuma dalam minggu lepas berborak dengan Fieza mengenai hal ni.   Ceritanya begini, adalah seorang Hamba Allah atau boleh juga dikenali sebagai wajah kesayangan hamba Cik Fieza ni perli-perli dalam FB yang Fieza  bawa masuk Blackberry sewaktu melakukan unfinished business.  Wah saya apa lagi.  Tumpang semangkuk turut sama memerli...walhal ...........!!

Apa lagi, sewaktu berjumpaan saya melafazkan confession pada Fieza..he..he..he..lebih kurang rupanya kami.  Tetapi sebelum ini,  agak kekok sekiranya tidak membawa sebarang bacaan ke dalam tandas.  Perkara yang seharusnya pantas pasti akan tersekat-sekat jika tiada apa yang boleh dibaca.. (sila jangan geli ye). 

Maka bergelak-gelaklah kami berdua mengenangkan gelagat yang agak tak senonoh.  Tetapi tidak pernahlah kami update status mengenai proses tersebut (ada ke yang tergamak nak buat?).  Lagi satu, sebarang panggilan sewaktu ehem..ehem..juga tidak akan dijawab, kelak boleh mengundang bunyi yang tidak diingini...ha..ha..ha..

Makanya, dengan ini kami mengaku bahawa ada antara status di FB adalah hasil idea dari lawatan rasmi ke Mr T.  Bila dah ada yang lebih canggih, pasti fungsinya digunakan sebaik mungkin.  Ada sesiapa nak mengaku seperti kami berdua??  =)    



nota:  kenapa entri ini merapu ye??

::Disaat Aku Mencintai Mu::

Lagu ini Ayu Bam Bam yang perkenalkan.  Tidak popular tetapi cukup mengusik hati.   Lagu dari Indonesia, Kumpulan Dadali.  Tidak pernah dengar nama kumpalan ini pun.  Tetapi lagunya seperti yang saya katakan tadi, sedap didengari.

Saya tidak berada di dalam situasi gerhana cinta tetapi setiap kali mendengar lagu-lagu rintihan, saya pasti dapat merasakan perasaan tersebut.  Jika berterusan mendengar, air mata boleh mengalir.

Syukur tidak pernah diuji dengan dugaan seberat ini.  Soal hati dan perasaan amat merbahaya.  Berkocak kolam di hati, kecewa menghimpit, kesedihan membungkam boleh menjadikan seseorang itu nanar.  Seorang yang boleh dianggap teman sedang berhadapan dengan masalah ini.  Kasihan melihatnya tetapi apalah daya saya.  Hanya mampu meminjam bahu buat seketika.  Moga dia kuat menghadapi hari mendatang.

Apa pun, saya berharap sesiapa yang berada di dalam situasi ini, tabahkan hati kerana Allah merencana segalanya.  Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.  Anggap sahaja apa yang berlaku ini merupakan warna di dalam kehidupan.

Lirik lagu:

Mengapa kau pergi
Mengapa kau pergi
Disaat aku mulai mencintai mu
Berharap engkau menjadi kekasih hati ku
Malah kau pergi jauh dari hidupku

Menyendiri lagi
Menyendiri lagi
Disaat kau tinggalkan diriku pergi
Tak pernah  ada yang menghiasi hariku
Disaat aku terbangun dari tidur ku

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan pada mu
Aku sangat mencintai dirimu

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan pada mu 
Aku sangat 
mencinta

ladies:  Semoga engkau kan mengerti
Tentang perasaan ini
Maaf ku telah terbuai
Akan indahnya indah cinta

Maaf sungguh ku tak bisa
Untuk kembali padamu
Maaf ku telah terbuang
Akan indahnya cinta

Aku inginkan dirimu
Datang dan temui aku
Kan ku katakan padamu
Aku sangat mencinta
(ulang beberapa kali)