Followers

Saturday, August 27, 2011

::Saja-Saja::

Sunyinya di sini!!  Beberapa kerat blogger sahaja yang aktif, lain semua pastinya sedang ralit membuat persiapan.  Diri ini?  Masih seperti biasa, menjalani seharian di hadapan kotak-kotak ajaib dan berharap keajaiban turut berlaku.  Jika tidak, duduk...baring...duduk...baring...tolak makan dan minum.

Cuaca redup, siaran berlangsung tidak mengundang selera, ada juga bakal mengukur katil kelak.  Kesibukkan di lebuhraya utama makin dapat dirasai.  Anggaran sebanyak 60% penduduk kota akan keluar dari hiruk pikuk bandaraya baik umat Islam dan juga kaum lain.  Kesempatan cuti panjang digunakan sebaik mungkin.

Program hari ini??  hmm...belum ada perancangan lagi akibat dari bertindan antara satu sama lain.  Makanya mengamalkan first come first serve basis.  Ada cerita nanti saya kemaskini di sini, jika tidak anggap sahaja saya bercuti.

Selamat menjalani ibadah puasa hari ke-27 dan selamat menikmati juadah berbuka.




nota:  semakin hari semakin meluat... 

Friday, August 26, 2011

::Entri Petang Jumaat::

Salam Jumaat semua!!!  Pasti hari ini merupakan hari terakhir mengabdikan diri di pejabat sempena cuti panjang bagi meraikan Syawal.  Jika bertanya siapa pun, mood untuk berhadapan dengan tugasan di atas meja telah hilang sepenuhnya.  Doa bersilih ganti supaya jam berputar pantas mencecah angka 5.  Perbualan di antara rakan juga 90% bertemakan Hari Raya.  

Saya??  Masih belum dirasuk aura Syawal.  Boleh tak kalau skip beraya tahun ini?  Satu persiapan pun tak ada.  Kalau ada pun sepasang kurung ditempah awal sebelum berpuasa.  Lain-lain....???  Inilah dugaan kami sekeluarga, namun redha dan sabar ubat segala-galanya.  

Benar, ada hikmah disebalik kepayahan yang ditempuhi ini.  Lagi pula bukan tidak pernah meraikan Syawal dengan begitu gemilang dan buat kali ini sudah tiba masa untuk bermuhasabah diri.  Masih ramai di luar sana tidak dapat meraikan Syawal.  Masih ramai hidup melarat dan tidak pernah memikirkan untuk beraya.

Semalam ibu Abang telah keluar dari hospital.  Barulah nampak seri di muka, ini tidak monyok sahaja bila bertanyakan perihal ibunya.  Anak mana tidak gundah jika ibu tiada bersama di pagi Syawal.  Pasti segalanya tampak janggal.  Apa pun, Alhamdulillah doa mereka semua dimakbulkan Allah.  Saya tumpang gembira dan memanjat kesyukuran.  Siapa tak hiba melihat orang tersayang bermuram durja?

Ke mana arah tuju entri ini saya tidak pasti sebenarnya.  Jemari begitu gatal untuk menari tetapi akal dan minda tidak mengalunkan rentak yang sama.  Ini yang bercelaru, dan hilang fokus.  Menziarah ke ruangan peribadi rakan-rakan blogger pun tak banyak cerita baru.  Masing-masing semakin teruja menanti ambang Syawal.  Mungkin saat ini hanya saya sahaja begitu setia menatap skrin komputer dan menantikan keajaiban.

Masih ada beberapa hari lagi buat penghujung Ramadhan, moga saya serta rakan sekalian menerima ganjaran berganda di garis akhir ini.  Saya juga masih menanti sinar Syawal yang kelam ini akan terang jua akhirnya bila tiba saat dan waktu sesuai.  Salam Ramadhan hari ke-26....Salam Jumaat....Salam Syawal buat anda semua yang akan meninggalkan dunia maya ini untuk beberapa hari akan datang!!!




nota:  ENTAHLAH.....  

Thursday, August 25, 2011

::Drama Hari Raya::

Menjelang Hari Raya, antara isu hangat dalam keluarga pastinya berkaitan beraya di mana.  Pening sebenarnya jika berada di dalam dilema sedemikian.  Banyak pertimbangan perlu dilakukan demi menjaga hati pelbagai pihak.  Yang pasti ada terpaksa berkorban.  Namun relakah pengorbanan tersebut?  Sejauh mana keikhlasan? 

Saya belum berhadapan isu sedemikian, tetapi kasihan juga bila mendengar keluh kesah beberapa rakan.  Dulu janji lain sekarang buat lain.  Benar ada yang mengamalkan giliran, tetapi kadangkala dek kerana giliran langsung tidak boleh bertoleransi.  Baik lelaki mahu perempuan.  Jika benar sekalipun berpegang kepada janji, takkan tak boleh untuk lebih fleksibel?  Saya berkata ini berdasarkan luahan seorang rakan.

Rakan saya N berasal dari negeri Pantai Timur Malaysia.  Suaminya pula, M dari Selatan tanah air.  Semenjak berkahwin hingga telah mempunyai dua orang cahaya mata, sememangnya telah termaktub akan konsep giliran.  Tetapi M sering mencari alasan untuk lari dari pulang ke kampung N.  Jika terpaksa pun, sekejap sahaja duduk di sana dah kelam kabut untuk pulang.  Walaupun lewat beberapa hari, pulang ke kampung M adalah wajib.  

Bila tahun giliran kampung M, awal-awal lagi hendak pulang ke sana.  Sudahlah begitu, duduk pun kalau boleh hingga selesai cuti.  Agenda untuk balik kampung N langsung tiada.  Lama juga N makan hati, tetapi malas nak fikir ikut sahaja karenah suami.  Tahun lepas giliran N, nak dijadikan cerita adik N bakal melangsungkan perkahwinan beberapa hari selepas 1 Syawal. 

N mohon pertimbangan jika boleh tahun ini tidak pulang ke kampung M dan beri laluan buat kampung N.  Yelah, adik kandung akan melangsungkan perkahwinan.  Pasti banyak kerja kahwin harus dilunaskan.  Terus M sentap dan bertegas jangan pandai-pandai untuk melanggar giliran yang telah diamalkan.  Jika tidak buruk padahnya.  

Dek kerana geram M boleh melalut-lalut marahkan keluarga N kerana tidak mengambil kira giliran mereka langsung menghukum N dengan tidak akan hadir langsung majlis perkahwinan tersebut.  Bila N bercerita pada saya, apa lagi boleh saya katakan.  Nasihat lebih-lebih pun ini melibatkan rumah tangga orang.  Apa yang mampu, saya minta N bersabar dan tunggu marah M reda, kemudian bincang semula.  

Siapa kata perempuan yang selalu beremosi hal ehwal balik kampung ini?  Sebenarnya lelaki pun sama.  Kesudahan pertelagahan mereka, saya masih lagi menanti berita ke mana akan dihalakan pemanduan pada hari Ahad ini.

Itu insiden pertama.  Kisah lain pula, P dan J telah berjanji seawal perkahwinan yang mereka hanya akan beraya di sebelah pihak dahulu setiap tahun.  Ini kerana J anak tunggal.  Tak sampai hati untuk tinggalkan ibu tersayang beraya sendirian di pagi raya.  P yang kononnya ingin menunjukkan betapa dia serius untuk berkeluarga, sanggup mengikat janji.  

2-3 tahun awal perkahwinan semuanya okey.  Boleh sahaja pagi raya bersama ibu J.  Masuk tahun keempat P mula buat hal.  Jika beraya pun ibarat tidak beraya.  Malam raya hilang, pagi raya jam 11 pagi dah resah gelisah jika tidak keluar dari rumah.  Pulang sahaja ke rumah keluarga P, terus duduk berhari-hari.  

Walhal bukan jauh mana pun rumah masing-masing.  Hati ibu mertua keseorangan tidak dipeduli.  Sudahlah begitu, dengan cucu sekali di bawa pergi.  J kasihan melihat ibunya, tetapi apakan daya.  Alasan P, hari-hari biasa mereka puas menghadap muka ibu J, jadinya bila ada peluang begini ingin mengubah angin.  

Terkedu J namun apakan daya.  Walau pun J punya kuasa suami, tetapi demi menjaga keharmonian keluarga dia cuba ikut.  Takkan hendak bercerai berai hanya kerana isu beraya.  Ibu J juga seolah faham dan merelakan sahaja.  Tetapi hati ibu siapa yang tahukan.  

Kerap saya katakan pada J, dia bertanggungjawab sepenuhnya ke atas ibu dia.  Bawa berbincang demi mendapat keberkatan hidup.  Saya tak pasti pula kali ini apa tindakan J ke atas sikap P yang melupakan janji.  Saya doa yang baik-baik sahaja buat mereka sekeluarga. 

Ada kawan saya ini pula, setelah bertahun berkahwin, Alhamdulillah rezeki murah dan mereka berjaya memiliki sebuah rumah.  Keluarga perempuan ini tinggal berhampiran.  Perempuan bila dah ada rumah sendiri pasti punya impian untuk menghias sebaik mungkin dan beraya di rumah sendiri.  Sementelah jika pulang ke kampung, bukannya bermalam di rumah ibu bapa suami tetapi menumpang di rumah ibu saudara.  

Bila anak semakin besar pastinya semakin canggung untuk bermalam di rumah orang.  Nak tukar baju pun susah.  Takkan masih nak tidur berlonggok?  Jadinya mintalah sedikit kelonggaran dari suami dan keluarga lelaki untuk pulang ke kampung mungkin pagi raya.  Bukan jauh mana pun kampung, dalam 1-2 jam perjalanan kereta.  Tapi permintaan ditentang habis-habisan.  Merajuklah Si Isteri hingga enggan bercakap.  Sepanjang Ramadhan hubungan dingin.  Kesudahan yang saya sendiri tidak pasti kerana belum sempat meluangkan masa berbual.  

Banyak lagi sebenarnya drama Hari Raya, tapi nanti panjang berjela pula.  Bagi saya yang belum berkahwin ini, sekiranya perkara-perkara begini boleh bertolak ansur tak salah.  Tetapi janganlah asyik mahu pihak satu lagi mengalah.  Tak bagus sebenarnya.  Pandanglah ke arah rasional keputusan.  Ada perkara berlaku dengan bersebab.  Tiada siapa mahu bertengkar dan mengalah tak beerti kalah.

Drama Hari Raya belum pernah berlaku di dalam keluarga saya kerana GM anak jati Kuala Lumpur.  Boleh sahaja jika GP hendak pulang ke kampung halamannya.  Tapi bagi kami semua, rumah sendiri adalah tempat terbaik.  Biarlah tidak sehebat mana rumah yang penting kami adik beradik dapat berkumpul bersama.  Sebuah momen begitu indah!!

Tahun ini Ninie tidak akan beraya bersama.  Pasti kami akan merindunya kelak, tapi tak mengapa.  Dia punya keluarga lain untuk meraikan keseronokkan hari raya bersama.  Buat anda semua yang bakal pulang ke kampung, semoga semuanya selamat sampai ke destinasi dituju dan bertemu orang-orang tersayang.          

Gambar di ambil dari Google Image


nota:  satu persiapan pun belum dibuat.  Mungkin bukan tahun ini barangkali....

Wednesday, August 24, 2011

::Cuba Kali Pertama::

Semenjak agak berusia (kah..kah..kah..) cukup malas hendak ke pasaraya mahu pun kedai.  GM selalu naik angin kerana susah sangat nak dapat bantuan untuk beli barangan dapur.  Bila dah berumur, apa lagi kita serah baton pada lebih kecil.  Sudah pasti Ayu Bam Bam menjadi mangsa.

Tapi ada-ada masa saya temankan juga.  Mana boleh tak bawa, nanti dapur tak berasap.  GM tidak boleh memandu dan benar-benar berharap pada anak-anaknya.  Anak-anaknya sahaja yang payah untuk disuruh.  Nampak sangat ciri-ciri anak derhaka saya ni..ha..ha..ha..

Adalah awal puasa hari tu, GM ajak jenguk ke Carrefour.  Boleh tengok-tengok persiapan barang dapur untuk raya.  Dengan senang hati bawa GM bersama Ayu Bam Bam.  Okey juga barangan di sana.  Selalunya ke Giant sahaja.  Sebenarnya Carrefour ni dah lama bertapak cuma macam malas nak ke sana.  Masa mula-mula pembukaan ada jengah tapi tak dapat menarik perhatian, maka patah balik ke Giant.

Entah macamana, terpandangkan sejenis air dari jauh.  Dalam hati membebel marah kerana dibiarkan air berakohol sekali dengan yang halal.  Ini boleh mengelirukan pembeli!  Dengan niat jahat untuk mendedahkan di sini, ambil gambar air tersebut.  Sekali tu Ayu Bam Bam kata bukan air berakohol tapi ini bir tanpa alkohol.  Oooo...rupa fizikal botol lain macam, tu yang tiba-tiba concern.

Terus ambil air tersebut dan memulakan pembelekkan.  Belek punya belek, tanya Ayu Bam Bam nak beli tak?  Kata tak ada alkohol, apa salahnya.  Lagi pula pernah minum 'Bir Halal' jenama Barbarican dan Bir Halal dari Iran.  Pernah juga menjual sewaktu buka bazar satu masa dahulu.  

Bila minum, sumpah tak nak minum lagi!!  Uweekk, tak sedap.  Jika inilah rasa bir yang berakohol, saya tak pasti bagaimana peminum boleh telah air sebegini.  Meremang bulu roma dengan kepelikkan rasa air tersebut.  Menurut Macho Man pula, air ni dijual di pusat gym yang sering dia pergi.  Katanya ini air untuk tenaga, lebih kurang Malta dan sememangnya tiada alkohol.

Sekali GM menakutkan kami, dia kata sejauh mana kebenaran yang tiada alkohol.  Entah-entah pengeluar menipu.  Terus paranoia, kalau boleh jam-jam tu nak jolok anak tekak untuk keluarkan air tersebut.  Setakat hari ini saya yakin ianya halal, tetapi jika pihak bertanggungjawab menyorokkan status tersebut, biar mereka tanggung dosa saya kerana langsung tidak berniat untuk mengambilnya sekiranya tidak halal.

 Dari jauh macam botol arak.  Rupanya bukan.  Nasib baik tak merempan tak tentu hala.  Yelah, sejak akhir-akhir ini isu halal antara hangat dibincangkan


Balik rumah terus cuba.  Memang tak sedap!!  Ini perisa lemon, perisa lain tak pasti.  Barbarican lebih sedap kot, tapi hari tu dah pernah keluar kata tak halal, terus enggan minum lagi.  Risau tau..


  Bukti mengatakan air ini tiada alkohol.  Wallahualam..Harap-harapnya betullah!!




nota:  apa relevennya entri ini di petang hari??

::Ikhlas Dari Hati::

Dah lama sebenarnya berhajat untuk entri ini, tetapi biasalah..Kata pemalas tahap dewa, segalanya bertangguh.  Lagi pula tak habis dirundung kecelaruan emosi, segalanya pasti tak menjadi.  

Okeylah, rasanya hampir 2 tahun saya berkecimpung di arena blog ini.  Satu tempoh agak lama jugakan, tapi seperti biasa lingkungan rakan siber saya tidaklah seluas mana.  Ini kerana saya segan untuk bertegur sapa dan malu untuk memperkenalkan diri.  Sementelah, apa sangat yang dikongsikan di ruangan ini.  Tiada sebarang ilmu pun!! 

Dalam tempoh tersebut, saya mengikuti rapat beberapa blog yang datang dari mereka yang begitu terkenal dikalangan rakan blogger hinggalah kepada penulis biasa.  Aliran blog berbeza juga tidak menjadi masalah kerana saya membaca hampir kesemua genre termasuklah politik, isu semasa, antarabangsa dan sebagainya.  Tetapi seperti biasa saya hanya membaca tanpa memberi sebarang komen.

Tetapi entah kenapa dalam banyak-banyak blog, saya terlebih rajin menebeng di satu blog ini.  Sudahlah menebeng, gatal-gatal pula memberi komen.  Kalau satu dua tak mengapa, ini tidak kalau boleh semua entri hendak ditinggalkan jejak.  Kenapa saya suka?  Tiada jawapan tepat cuma SAYA SUKA.  Mungkin gaya penulisannya yang jujur dan dia tulis apa yang rasa nak kongsi.  Jika tidak berkesempatan meninjau dari komputer riba, saya menggunakan pula telefon pintar.  Senang cerita, sehari berkali-kali singgah ke sana. 

Komen punya komen, rupanya tersenarai sebagai pengomen tegar.  Walau tak sebanyak mana memberi komentar, tapi ia sudah cukup buat saya malu.  Nampak sangat suka merayau-rayau di sana.  Lagi malu bila tuan empunya blog siap buat entri khas bagi mereka yang rajin meninggalkan komen.  Ini bukan kali pertama, rasanya adalah dalam 2-3 kali diangkat sebegitu.  Hinggakan saya segan lagi untuk meninggalkan komen (tapi tetap juga beri komen). 

Saya turut yakin bertambahnya pembaca di sini adalah hasil dari sana.  Terhutang budi pada pemilik blog.  Sudahlah asyik sibuk meneropong kisah hidup dia kemudian diberi pula penghargaan.  Hanya ucapan terima kasih tak terhingga dapat saya hulurkan.  

Kemudian berjinak-jinak pula dengan Twitter.  Jangan tak tahu, tersangat baik dan peramah orangnya.  Rajin sangat update Twitter dan tak kekok untuk berbual seolah telah kenal lama.  Tapi sekiranya terserempak, pasti saya lari kerana saya amat segan dan rasa rendah diri.  Siapalah saya nak dibandingkan dengan dia.   

Buat rakan-rakan yang belum pernah singgah ke sana, apa kata sesekali jengah.  Tapi saya yakin ramai di antara kita memang sering menziarah di sana kerana dia antara blogger yang popular.  Moga Allah SWT sentiasa melindungi serta merahmati kehidupannya kerana menceriakan hidup pembaca dan penggemar blog.  Ini kerana dia tidak lokek berkongsi informasi di laman peribadi.  Siapa dia?  Inilah blognya...

 Siapa lagi, kalau bukan blog Kak Mya.  "Maaf Kak!!  Copy header blog akak untuk diletakkan di sini.  Mohon halalkan ye Kak."


Salah satu entri Kak Mya berkenaan pengomen tegar.  Cuba cari nama saya..he..he..he..


Pada yang lain, janganlah menganggap yang bukan-bukan ke atas entri ini.  Tiada maksud tersurat dan tersirat.  Saya lakukan ini sebagai penghargaan kerana tuan empunya blog itu pernah menyiarkan nama saya di dalam entrinya dan saya lakukan dengan hati jujur untuk membalas segala kebaikkan dihulurkannya.  Segalanya ikhlas dari hati tanpa mengharap sebarang balasan mahupun pengiktirafan.  

Ini juga bukanlah beerti saya tidak membaca blog-blog lain.  Setiap senarai yang diletakkan di dalam blog saya, semuanya saya baca hari-hari.  Pantang ada entri baru, pasti ke sana.  Cuma saya tidak pernah dan jarang meninggalkan komen.


nota:  seronok berada di sini, walau tiada ketenangan terhibur dengan penulisan dari hati..

 

Monday, August 22, 2011

Too tanned from the sun? Brighten up at #DrAzimuth for RM49. #MilkADeal

Lama juga tak melihat promosi-promosi penjimatan. Sekali terlihat akan promosi ini. Bagi yang ingin mencuba promosi facial ini senang sahaja. Klik pada link yang disertakan dan beli pakej pada harga penjimatan berganda, iaitu RM49 dari harga sebenar RM204. Mengapa perlu berbelanja lebih jika punya peluang untuk berjimat...

Too tanned from the sun? Brighten up at #DrAzimuth for RM49. #MilkADeal

Sunday, August 21, 2011

::Coretan Pendek di hari Ahad::

Pejam celik pejam celik, Ramadhan hampir tiba ke penghujung.  Persiapan menyambut Syawal pasti semakin rancak di kalangan umat Islam ketika ini.  Hari ini dan semalam adalah minggu terakhir untuk membeli belah bagi yang akan pulang ke kampung halaman.  Seperti pernah diluahkan, sehingga saat ini kemeriahan menyambut masih belum ada.  Persiapan di tahap 0.00%.

Ada merancang buat Buah Hati, tapi entahlah.  Ada rezeki adalah ye Sayang-Sayang semua!  Tak mahulah asyik cerita sedih sahaja.  Biarlah kami-kami sahaja yang menanggung, lagi pula nanti ada yang bosan.  

Semalam sempat ke point popular di Kuala Lumpur tatkala menjelang perayaan, Jalan TAR.  Uuuiii, punyalah ramai manusia!!  Dari Jalan Chow Kit lagi kesesakan lalu lintas telah bermula.  Kami yang menaiki motorsikal pun turut tersangkut, apatah lagi berkereta.  Kenderaan begitu padat.  Saya keluar lebih kurang jam 12.00 tengahari.

Kalau ikutkan memang tak mahu menempuh lautan manusia di sana, tapi Abang meminta tolong mencarikan kain buat adiknya.  Adik bongsu dia penyanyi, sepanjang Syawal akan banyak mengikuti program Hari Raya.  Sementelah baju-baju berkurangan, terpaksa jugalah menyediakan baju baru.  Ini dilema artis wanitakan?  Pakai baju berulang-ulang pasti kena kutuk.  Tapi tak apalah, dia masih baru kira halal pakaian diulang tayang.

Berjam-jam jugalah di Jakel.  Selesai di sana Abang ke hospital pula, melawat ibu dia yang masih ditahan.  Risau juga mereka sekeluarga sekiranya tak boleh keluar sehingga Raya.  Entahlah, Abang dengan masalah dia dan saya dengan masalah saya.  Ramadhan kali ini benar-benar menguji kami semua.  Moga segala apa yang berlaku ini ada hikmah.

Sampai sahaja di rumah terus terdampar keletihan.  Manakan tidak, menunggang motor juga merupakan satu cabaran buat saya.  Sakit yang ditanggung terpaksa dipendamkan sahaja.  Kebetulan dalam minggu lepas, sakit kembali beraja.  Penat dan lesu badan dek menahan derita.  Alhamdulillah, saya masih boleh ke sana ke mari.  Alah bisa tegal biasa, sakit tetap sakit tetapi kehidupan harus diteruskan jugakan.

Nanti-nanti kita sambung semula ye..  Tiba-tiba sayu pula hendak meneruskan penceritaan.  Kesabaran adalah kunci utama pegangan saya buat masa ini.  Selamat Berbuka hari ke-21 buat Muslimin Muslimat.  Kita sedang meniti 10 malam terakhir, saya doakan kita semua berkesempatan bertemu dengan Malam Lailatu Qadar,Amin....


nota:  harap-harap orang itu boleh dipercayai...

Thursday, August 18, 2011

::Tolong Awekku Pontianak::

Dalam minggu lepas rasanya ke dua minggu lepas, sibuklah nak melanggan Astro First bagi filem Tolong Awek Aku Pontianak (TAAP).  Yang menambahkan rasa gelora untuk menonton disebabkan sibuk follow Twitter Sazzy Falak, diakan pelakon utama.  Dari awal tayangan TAAP, memang Sazzy promosi habis-habisan di laman Twitter.  Di tambah pula dengan balasan positif dari yang telah menonton, semua itu menyumbang ke arah keinginan tersebut.

Seperti biasa, sibuk tanya sekeliling siapa nak menonton sama.  Astro First setakat nak tonton sekali jalan memang rugilah.  Sekali Macho Man kata ok!!  Maka berTAAPlah kami adik beradik.  Bolehlah juga layan filem tersebut.  Ada bahagian-bahagian yang mencuit hati.  Kiranya nak tengok boleh, nak tunggu masuk ke saluran utama pun boleh.  Tapi saya tidaklah menyesal melanggan seperti yang sudah-sudah.

Bagi sesiapa teringin melanggan filem ini, boleh sahaja.  Astro First masih lagi menawarkan filem tersebut.  Dengar khabar ada yang repeat order TAAP sebab sukakan jalan cerita santai.  Kalau nak tahu jalan cerita filem tersebut, kenalah melanggan atau beli DVD.  Lagi pun saya bukan buat promosi filem.   

Sedang merancang untuk melanggan filem Senario Ops Pocot pula.  Agak-agak berbaloi tak? Bulan-bulan puasa, aktiviti kurang jadinya saya bermaharajalela di hadapan peti televisyen. Selamat Menonton!! 

Antara babak menarik dari filem TAAP.  Gambar kredit downloadmediafiremovie.blogspot.com



nota:  dah sah-sah lambat gila!!!

Tuesday, August 16, 2011

::Kenangan Berpuasa 2::

Sementara menunggu waktu berbuka, jom saya kongsi lagi kenangan berpuasa.  Nak cerita mana satu ye, hmm...ok!!  Peringkat menengah, saya belajar di sebuah sekolah perempuan.  Agak terkenal juga di Kuala Lumpur ini.  Biasalah jika bukan sekolah campur, pergaulan di antara teman-teman tiada batasan.  Kaum sejenislah katakan.  Jadinya tiada apa nak disegankan sesama sendiri.

Sewaktu sekolah rendah, sekiranya ada yang tidak berpuasa status harus disorok tetapi tidak perlu di sekolah menengah.  Sewaktu di tingkatan 2, boleh dikatakan zaman nakal kami semua.  Saat itu, berada di sekolah adalah waktu bebas dari kongkongan keluarga.  Berkawan, bergurau, segalanya dilalui dengan suasana menyeronokkan.  Waktu itu, saya bersekolah sessi petang.  

Sebahagian dari teman-teman tidak berpuasa.  Dek kerana terpengaruh, dari jumlah yang sedikit menjadi satu jumlah agak besar.  Ada yang berpuasa tetapi berbuka kerana ikutkan kawan.  Saya nak kata baik tu taklah juga, masih kebal berpuasa cumanya agak nakal bila menjadi dalang kepada mereka yang tidak berpuasa.  Tanpa segan bantu rakan-rakan membeli air, malah siap jadi mata-mata buat mereka.  Sekiranya pengawas datang cepat-cepat beritahu mereka yang sedang curi-curi minum.

Nak tergelak pun ada bila mengenang.  Macamana agaknya saya boleh jadi Pak Turut, cumanya saya jenis yang tidak memilih kawan.  Baik ke jahat ke seseorang itu, jika dia boleh berkawan dengan saya, tiada masalah.  Adat berkawan, mesti tolong menolong, mungkin kerana itu saya membantu mereka.  Entah macamana, mungkin telah lama diperhatikan barangkali, aktiviti tidak berpuasa dapat dihidu oleh guru sekolah terutamanya Ustazah.  Saya yang berpuasa turut diheret sama.

Dah buat salah, pasti menerima hukuman.  Apa lagi, Ustazah telah membawa kami semua ke kawasan perhimpunan, jika tak silap dalam jam 4 petang macam tu dan kami semua diarah melutut beramai-ramai di kawasan tersebut.  Jangan tak tahu, lantai kawasan perhimpunan tersebut merupakan jalan raya berbatu-batu kecil ya.  Masakan tidak, situlah tempat perhimpunan, situ juga tempat letak kereta para guru.  

Dengan panahan matahari atas kepala, melutut di atas lantai berbatu di tambah pula dengan keadaan diri berpuasa.  Ha, rasakan!!  Memang riuh kawasan tersebut kerana yang di denda bukan setakat 2-3 orang tetapi berbelas orang.  Cuma agak parah sayalah, kerana saya memakai seragam sekolah pinafore atau skirt paras lutut.  Boleh bayangkan tak betapa sakitnya lutut saya waktu itu?  Rakan-rakan lain memakai baju kurung, kuranglah sedikit perit di lutut.

Hampir sejam juga kami dijemur sebagai pengajaran kerana mengambil enteng ibadah berpuasa.  Tapi biasalah, hari ini kena denda, esok lusa belum tentu serik lagi.  Budak sekolah mana tahu erti sesal.  Selagi membara semangat untuk mencuba sesuatu, ikut sahaja rentak hati.  

Bila mengenang memori tersebut, ada sedu di hati.  Telah jauh saya tinggalkan hari itu, namun segala masih terpahat di ingatan.  Betapa kita semua berdoa andai masa lampau dapat diulang kembali, pasti lebih banyak kenangan indah berjaya kita coret.

Okay, Selamat Berbuka buat anda semua.  Jika punya kesempatan rebut ganjaran Sunat Tarawih buat malam ke-17.  Moga kita semua berada di dalam rahmatNya..    



nota:  Kenangan Demi Kenangan....

::Hari Ini Hari 16::

Telah sampai puasa ke-16, beerti kurang dari 2 minggu Umat Islam sedunia akan meraikan hari kemenangan.  Tapi sehingga hari ini, mood untuk beraya belum hadir lagi.  Segalanya terasa hambar.  Tak dapat membayangkan bagaimana kelak sambutan kami tahun ini :(

Tak mahu fikir lebih-lebih.  Ada rezeki sambutan meriah, tiada rezeki disambut ala kadar.  Lagi pula kami sekeluarga memang sentiasa menyambut di dalam suasana penuh sederhana.  Seingat saya, tidak pernah GM sibuk hendak menukar perabot atau menambah perabot baru tatkala menjelang Hari Raya.  Dalam erti kata lain, GM seorang yang sempoi.  Paling-paling menggambarkan suasana Hari Raya sudah semestinya dengan membuat kuih raya.  

Masih ingat waktu kecil dahulu, bila pergi beraya di rumah orang lain, macam teruja melihat susun atur rumah mereka berubah wajah.  Kad-kad digantung di dinding, bertukar langsir dan sarung kusyen baru, bungaan penuh menghiasi ruang tamu dan macam-macam lagi.  Jika datang ke rumah kami, tiada apa istimewa melainkan rumah kemas bersih, hidangan hari raya di atas meja.  Itu sahaja... :)

Bukan tidak mampu, tetapi itu cara GM.  Semakin membesar, semakin kami faham gayanya.  Ini kerana GM wanita bekerja.  Mana ada masa hendak memikirkan untuk tukar itu tukar ini, jahit itu jahit ini, hias itu hias ini.  Jika dahulu, kebanyakkan ibu teman-teman majoriti menjadi suri rumah tangga.  Tetapi dia tetap meluangkan masa hujung minggu untuk membuat beraneka kuih muih.  Masak memasak pula tugasan Arwah Mak dan Arwah Onyang.  Air tangan orang tua sememangnya lain macam sedikit, terutama Arwah Mak dan hidangannya pasti sentiasa mendapat pujian.


Kerana itu kami sudah terbiasa dengan keadaan sebegini.  Tapi tidak dinafikan beraya di kampung adalah saat paling menggembirakan, walaupun badan menanggung kepenatan dek hambatan kerja rumah.  Pernah beberapa tahun beraya di kampung GP, namun segalanya kini tinggal kenangan.  Tak mengapa, kami anak jati Kuala Lumpur jadi sudah biasa sambutan ala kadar.  Tidak ada apa boleh dimeriahkan melainkan kunjungan sanak saudara terdekat.  

Esok cuti Nuzul Al-Quran, pastinya Kuala Lumpur bakal menjadi sesak dek kehadiran orang ramai yang belum lagi membuat persiapan Syawal.  Setiap tahun begitukan?  Jadinya bagi sesiapa tidak berhajat untuk membeli-belah, elakkan ke bandaraya esok.  Kita beri peluang kepada mereka yang ingin membuat persiapan melakukan aktiviti shopping dengan selesa.



nota:  fikiran tak tentu arah... 

::Segalanya Pasti::

Emosi benar-benar tergugat dengan pelbagai perkara.  Nak dihuraikan satu persatu tidak berdaya sebenarnya.  Kehidupan telah lebih dari pasrah tetapi masih juga tiada sirna.  Terima kasih Ya Allah di atas ujian ini, namun jika ada kesempatan ringankanlah segala beban yang ditanggung.

  
Terubat sedikit hiba dengan tawa anak-anak kecil di rumah.  Ternyata mereka ini penyeri suasana.  Betapa berharga Allah kurniakan mereka buat kami semua.  Dari tadi juga lagu ini menjadi peneman memujuk hati nan lara.  Dengan rendah hati ingin mengajak rakan-rakan turut sama menghayati lagu lama ini.  Moga ada di antara teman turut berduka, ianya mampu memberi sedikit semangat.

Lagu:  Segalanya Pasti  
Nyanyian:  Aida Agil

Gelora Melanda Di Dalam Hidup Ku
Dapatkah Ku Cari Tenang
Awan Kelabu Menutup Cahaya
Masa Ku Rasa Sinarannya

Sampai Bila Aku Menahan Tangisan
Yang Berlubuk Dalam Jiwa
Namun Ku Mampu Tersenyum
Pada Isi Alam Dan Padamu
Yang Mengecewakan 

Tiap Harapan Hati Ku 
Kini Membeku 
Dan Kau Membisu
Tiada Lagi Menyinta

Gelora Melanda Di Dalam Hidupku
Dapatkah Ku Cari Tenang
Hilang Di Jiwa Wajah Mu
Sering Ku Jumpa
Terasa Beratnya Jiwa tertekan

c/o  Serasakan Inginku Bertanya
Padamu Takdir Yang Lama Di Sana
Mengapakah Aku 
Telah Diperlakukan 
Dengan Beban Cinta Yang Kecewa

Relalah Aku Menerimanya
Ku Tahu Esok Tidak Serupa
Moga Ada Rahsia Kekecewaan Aku
Bagai Penawar Ketenangan

Dalam Hidup Ku Berilah Sinar
Beraraklah Awan Yang Kelabu
Tidak Salah Mu Yang Menghancurkan
Dan Demi Tuhan Yang Esa
Bahagialah Dikau

ulang c/o

Gelora Melanda Di Dalam Hidup 
Ku Dapatkah Ku Cari Tenang
Awan Kelabu Menutup Cahaya
Sinarannya






nota:  Tetap bersyukur walau apa pun terjadi, sekurang-kurangnya masih bernafas di muka bumi..

Monday, August 15, 2011

::Alahai Kasut Ku::

Nak kata peminat tegar koleksi kasut Crocs taklah juga tetapi semenjak sepasang pernah tersarung di kaki lebih kurang 3 tahun lalu, terus jatuh cinta.  Memang sedap dan selesa bila memakainya.  Bukan untuk menidakkan yang bukan original, tetapi terasa lain benar.  Setakat hari ini saya memiliki 5 pasang dari jenama Crocs.

Selain dari selesa, rekaan juga menarik dan up-to-date.  Cuma biasalah, dah nama pun original, bila nak membayar boleh juling biji mata.  Sepanjang umur saya, hanya kasut Crocs adalah kasut paling mahal saya miliki kerana saya tidak akan membeli kasut melebihi dari harga RM50.  Alasannya, benda pakai di kaki apa perlu mahal-mahal..kah..kah..kah..ke kedekut sebenarnya??!!  Bayangkanlah jika punya 5 pasang, berapa RM telah dilaburkan?? hmm....kerana itu saya hampir menangis apabila kasut Crocs saya hilang sebelah.  Dek terlampau suka, setiap kali membeli saya akan tanam difikiran "Alah Membeli Menang Memakai"

5 pasang bukan banyak mana pun kerana saya punya rakan yang gila jenama Crocs telah memiliki hampir ke semua koleksi di pasaran.  Obses yang melampaukan?  Kebetulan pula saya bergelar 'pesakit' yang dilarang sama sekali menyarung kasut tumit tinggi, terus Crocs sahaja di birai mata.  Dalam banyak-banyak yang saya miliki, ada sepasang rekaan menjadi pujaan hati.  Merah menyala dan berbaldu, ianya merupakan antara koleksi Crocs terbaru sewaktu membelinya 2 tahun lampau.

Tapi biasalah, bila dah kerap tersarung ditambah pula material baldu, dah nampak usang pula kasut tersebut.  Nampak gaya, kena kurangkan pemakaian kasut ini, supaya kelak kelihatan vintage.  Tiada perancangan untuk menambah koleksi dalam masa terdekat.  Lagi pun, Crocs hanya ada potongan harga di awal tahun.  Jika beli sekarang, memang menangislah sewaktu membayar.

  Tengok, dah uzurkan.  Terutama bahagian tumit kasut.  Dah bercapuk-capuk warnanya.  Tapi tetaplah bangga menyarung ke kaki kerana selesa yang amat.

Bahagian depan turut menerima nasib yang sama.  Kalaulah boleh saya pergi tambah semula baldu tersebut, harus sekarang juga melaksanakannya. 

Eh, rakan-rakan penjawat awam dapat bonus ye hari ini.  Agak-agak kalau saya kenyit-kenyit pada Abang dia nak belikan tak Crocs untuk saya?  Tak perlulah, hutang keliling pinggang ok, nanti menyusahkan dia lagi.  MODS:  Pakai sahaja apa yang ada, jangan tamak haloba...



nota:  nampak sangat buntu, tak ada sebab musabab bercerita perihal kasut di hari Isnin

     

::Coretan Hujung Minggu::

Hujung minggu dilalui dengan suasana agak membosankan juga.  Abang tak sihat, kena sakit mata dan demam panas.  Bila dia tak larat, saya juga serasa lumpuh.  Tak tahu hendak bergerak ke mana.  Sudahnya hanya berbuka di luar bersama GM.  Cuaca pun kurang baik sejak dari semalam, menambahkan lagi kebuntuan.  Dah bawa Abang ke klinik dan selayaknya mendapat cuti sakit untuk beberapa hari.  Kasihan dia, dan secara rasmi terpaksa menjadi pemandu terhormat untuk dia.

Entah macamana, hari ini dia kena kerja luar.  Berganda kasihan, tetapi terpaksa juga.  Diajaknya saya menemankannya, khuatir tidak mampu untuk memandu berseorangan.  Terpaksa jugalah bantu dia, memandangkan selama ini banyak telah pengorbanan dilakukan untuk diri ini.  Sekali, dapat pula khabar sedih.  Ibu Abang dimasukkan ke hospital, bertambah beban di kepala.  Anak mana tidak sayangkan ibukan. 

Tengok muka dia serabut sahaja.  "Sabar ye Bang, ini semua dugaan.  Allah tidak akan menduga umatnya di luar kemampuan.  Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini.  Sabar ye..."  Hanya itu sahaja mampu saya berikan padanya.  Moga kurang juga beban di kepala.  Harap juga supaya sakit yang sedang ditanggung akan segera sembuh seperti sedia kala.



nota:  alangkah bagusnya....

Sunday, August 14, 2011

::Biarlah Memuaskan Hati....::

Antara tarikan bulan puasa di Malaysia sudah pasti Bazar Ramadhan.  Waktu ini 1001 juadah makanan boleh didapati.  Beraneka rencah dan perasa dijual.  Ada resipi datang dari Pantai Timur, Utara Malaysia, Negeri Selatan dan pelbagai lagi.  Rambang mata dibuatnya.

Semenjak berpuasa, banyak kali juga menjejakkan kaki ke bazar dan kebanyakkan di sekitar kawasan perumahan saya.  Bila dah banyak gerai jualan, nak memilih makanan pun jadi kalut.  Tak tahu inginkan yang mana satu.  Bukan tamak, cuma bila melihat rupa fizikal beserta harga ditawarkan, terbantut keinginan untuk membeli.

Tak saya nafikan, harga makanan semuanya naik mencanak-canak.  Lebih mengecewakan, harga diletakkan tidak setanding dengan rasa.  Dengan ini saya merayu kepada para peniaga, Tolonglah pastikan supaya makanan yang dijual boleh diterima oleh tekak kami sebagai  pembeli.  Sudahlah harga tidak berpatutan rasa agak menjengkelkan pula.  Bayangkan anda berada di tempat pembeli, penat bekerja seharian di pejabat, berkejar-kejar ke bazar untuk mendapatkan lauk dengan terpaksa menempuh kesesakkan lalu lintas, kesukaran meletakkan kereta dan tatkala menikmati juadah, begitu mengecewakan.

Saya sendiri pernah terkena di salah sebuah gerai bazar Seksyen 6 Kota Damansara.  2 ketul ayam goreng yang begitu kecil berharga RM8.  Bila makan, hmm....keras dan liat.  Saya sendiri terkejut dengan harga sedemikian, namun pujuk hati moga bila berbuka rasanya sedap.  Tapi sayang......dan untuk hari seterusnya awal-awal lagi saya pangkah gerai tersebut.

 Inilah ayamnya, tapi dalam gambar nampak besar pula.  Sebenarnya ayam ini kecil sahaja.  Membebel saya sepanjang hari dek kerana tidak puas hati dengan harga serta bentuk fizikal dan rasa ayam tersebut.

Bagi saya, meniaga di bulan Ramadhan disamping ingin mendapatkan rezeki sekali ganda tetapi juga boleh beroleh pahala.  Memberi makanan enak kepada orang dan mereka berpuas hati pastinya akan mendoakan supaya peniaga beroleh keberkatan. Ramadhan tinggal separuh perjalanan lagi, moga peniaga-peniaga bazar berusaha memperbaiki kelemahan dalam usaha memuaskan hati para pembeli.
nota:  terimbau kenangan menjadi peniaga di bazar Ramadhan


 

::Hari Kidal Sedunia::

Saya pun baru tahu sebenarnya yang setiap tahun pada 13 Ogos merupakan Lefthander's Day atau pun Hari Kidal Sedunia.  5 minit pertama mula-mula tahu nak tergelak pun ada tetapi dari perasaan lucu bertukar menjadi bangga.  Seperti biasa saya mengetahui melalui laman Twitter.

Mestilah bangga kerana saya merupakan salah seorang dari mereka dan hari ini kami yang dianggap cacat telah diberi penghormatan beserta pengiktirafan.  Bukan senang sebenarnya menjadi seorang kidal.  Segalanya dilakukan akan dipandang pelik dan ada sesetengah situasi, saya sendiri menjadi kekok apatah lagi hampir kesemua peralatan direka cipta khusus buat pengguna tangan kanan.

Antara pengalaman sendiri, sewaktu bergelar pelajar bila hendak duduk di dalam kelas, saya harus memilih untuk duduk di sebelah kiri rakan supaya tidak bertembung sewaktu menulis.  Untuk lebih senang, saya pastikan tiada siapa duduk di sebelah kiri saya.  Jika di dapur pula, pisau dipegang sudah semestinya songsang.  Ini kerana jika hendak memotong buah, kami yang kidal terpaksa mulakan dari atas dan bukannya bawah.  

Kebiasaannya mereka yang kidal akan memakai jam tangan di sebelah kanan bagi memudahkan pergerakan tetapi GM telah melatih untuk pakai di tangan kiri seperti orang normal.  Lama-kelamaan tidak lagi kekok tetapi setiap kali hendak menulis atau melakukan kerja-kerja melibatkan tangan kiri, saya terpaksa membuka jam tangan supaya lebih selesa.  Mujur juga saya tidak pernah lupa untuk menyarung semula, jika tidak pastinya kerap hilang jam tangan tersebut.
  
Ada kajian mengatakan, mereka bertangan kidal ini mempunyai keistimewaan tersendiri.  Berjiwa halus, kreatif, berbakat di dalam bidang seni, bijak dan macam-macam lagi.  Malahan, beberapa pemimpin terkenal dunia juga datang dari kelompok kidal.  Hendak mengiakan pun tidak, menafikan pun jauh sekali, Wallahualam...  Apa yang saya tahu jika berusaha ke arah itu tiada yang mustahil samada orang itu kidal atau tidak.

Kajian berkenaan kidal masih berterusan bagi mendapatkan jawapan pasti bagi fenomena ini.  Kadangkala saya ikuti juga hasil penemuan terbaru kajian, yelah perkara berkaitan diri sendiri pasti hendak tahu dengan lebih mendalam lagi.  Di kalangan ahli keluarga, hanya saya dan Ninie sahaja kidal.  GM dan GP tidak, tetapi bapa saudara kami ada yang kidal.

Rasanya Cayang juga bakal kidal, tapi tak boleh nak ditentukan lagi kerana masih kecil.  Tiada apa perlu dihairankan kerana ibu dia sendiri kidalkan.  Apa pun, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI KIDAL SEDUNIA buat rakan-rakan alam maya yang turut berada di dalam kelompok ini.  Kami bangga menjadi seorang kidal dan tidak pernah rasa malu.  Ianya merupakan anugerah besar dari Allah SWT, hanya mereka yang terpilih sahaja tahu keistimewaan diberikan olehNya.  Syukur tak terhingga menjadi seorang LEFTHANDERS!!!

  HAPPY LEFTHANDERS DAY EVERYBODY!!! - gambar kredit dari Google Image


nota: macam-macam hari ada di dunia ni ye??!!

Saturday, August 13, 2011

::Ada Kuota Pula??!!::

Kurang dari 2 jam, maka terlaksanalah puasa umat Islam buat hari ke-13.  Alhamdulillah, rasanya tahun ini kita berpuasa dalam keadaan agak dingin.  Jarang panas hingga ke petang, paling tidak sepanjang hari cuaca begitu redup.  Cumanya jika hujan agak susah juga buat peniaga bazar dan para pengunjung.  Tapi apa pun, ianya rezeki dari Allah SWT.

Rasanya tahun ini adalah antara tahun yang memang jarang berbuka di luar.  Faktor sekeliling dan juga keadaan kewangan sama menyumbang ke arah tersebut.  Apa pun Alhamdulillah, ibadah berpuasa berjaya dilaksanakan.  Lagi pula tahun ini semua harga naik.  Baik dari harga di bazar mahupun kedai makan termasuklah restoran bertaraf bintang.  Jika tiada jumlah tertentu di tangan, jangan harap dapat makan.  Manakan tidak, segala tarif naik, minyak naik, barangan juga naik, takkan peniaga masih mahu meletakkan harga sama seperti tahun lalu.

Minggu lepas, berpeluang berbuka puasa di luar.  Pening juga memikirkan apa harus dimakan.  Tengok sana tak berselera, lihat sini mati rasa.  Lambakan menu adalah antara punca sukar untuk memilih sesuatu menepati selera.  Akhirnya saya bercadang untuk ke Kenny Rogers sahaja.  Ajak Abang ke One Utama dia enggan, sesak katanya.  Hanya satu tempat saya tahu kurang sesak, iaitu The Mall.

Kami ke sana lebih kurang jam 6 petang.  Pada perkiraan kami masih awal lagi, sudah pasti masih banyak meja kosong.  Malangnya, sampai sahaja di sana tiada lagi meja.  Semuanya sudah ditempah.  Hairan juga kerana lihat masih banyak meja kosong, mungkin pelanggan sedang membeli belah barangkali.  Lalu ke Mc Donalds untuk berbuka puasa secara ringan.  Sedang duduk-duduk, terfikir pula kami jika ada yang membatalkan tempahan pasti boleh selitkan nama kami, lantas saya naik semula ke tingkat dua untuk bertanya dan berhasrat memasukkan nama ke dalam waiting list.

Tapi jawapan yang diterima dari pekerja restoran tersebut mengecewakan saya.  Walau agak berterus-terang tetapi rasa terhina pun ada.  Nak  salahkan pekerja-pekerja di Kenny Rogers pun tak guna kerana ianya merupakan satu penetapan.  Pelayan tersebut kata "Maaf Kak, saya bukan tidak boleh bagi pada akak tapi sebenarnya yang kosong tu semuanya meja untuk kuota Non-Muslim.  Kalau kami berikan semua kepada yang nak berbuka berpuasa, nanti bila diaorang komplen, Management akan marahkan kami.  Akak datang setengah jam selepas berbuka, jika masih kosong kita terus bagi pada akak."

Tersentak juga dengan apa diperkatakan.  Bukankah sememangnya satu Malaysia tahu umat Islam sedang menjalankan satu ibadah dan ianya bukan satu perkara baru.  Sebagai rakyat Malaysia kita harus menghormati agama-agama lain di negara ini.  Tetapi mengapa sedemikian pula boleh terjadi?  Jika agama lain berada di dalam situasi seperti itu, saya yakin kita yang beragama Islam ini akan menghormati mereka dan tidak akan menimbulkan sebarang kekecohan.  Adakah ini beerti tiada lagi sensitiviti di kalangan penganut-penganut agama di Malaysia?  

Seumur hidup saya, baru inilah pertama kali perkara sebegini berlaku.  Tidak pasti pula saya sekiranya perkara ini merupakan perkara biasa.  Apa yang saya tahu, tiap kali bulan puasa di mana-mana sahaja pasti sesak dengan umat Islam sibuk berbuka.  Kaum lain akan menanti sehingga ada meja kosong, itu pun jarang dari mereka hendak turut sibuk berada di dalam keriuhan kita berbuka puasa.


Bukan bermaksud ingin menjadi racist, tetapi saya yakin sejak akhir-akhir ini terlalu banyak isu berkaitan bangsa dan agama diperkatakan serta dipolitikkan sehinggakan jurang persefahaman di antara kita semua semakin besar.  Kenapa perlu begitu?  Islam adalah Agama Rasmi negara Malaysia, dan kaum lain harus menghormati dengan tinggi dan sebagai seorang yang beragama Islam, kita tidak pernah diajar untuk bersikap kurang ajar terhadap agama lain.

Sepanjang minggu saya terkilan dengan situasi tersebut walaupun ada yang kata bukan besar mana pun isunya.  Hanya kerana tidak dapat meja untuk berbuka tetapi bagi saya ia 'makan dalam'.  Ini kerana bukan saya sahaja beratur menunggu untuk berbuka tetapi lebih dari 5 keluarga turut sama menanti.  Tak pasti mereka mendapat jawapan seperti saya atau tidak, tetapi saya yakin mereka turut kecewa dengan jawapan tersebut.  

Walau terasa di hati, akhirnya saya tetap jugalah makan di sana.  Itu pun setengah jam selepas waktu berbuka.  Ini kerana Abang tak sampai hati membiarkan selera tidak dipenuhi.  Lagi pun saya amat jarang teringin makan sesuatu.  Jika keluar sememangnya Abang akan menentukan untuk makan di mana.  Ini kerana selera saya amat terhad.  Saya tidak makan banyak benda.  Sekiranya ikut selera saya, siapa yang mampu untuk menelan makanan sama hari-hari =)  

Ini sememangnya menu pilihan saya setiap kali ke sana, Quater Chicken Black Pepper with 3 sideline:  Mashed Potato, Coleslaw & Macaroni Cheese.  Cuma saya rasa Mashed Potato semakin kurang sedap dan hilang sengat


 Abang agak susah hendak makan ayam, jadi dia memilih Spaggeti Bolognise.  Nasib baik sedap, kalau tidak pastinya dia mencari makanan lain bagi mengisi perut





nota:  terkasima....

 
 

::Jadilah Pemandu Berhemah::

Tak adalah nak kata bengang atau pun nak mencerca, tetapi kadangkala saya begitu tak faham dengan sikap rakyat kita tatkala berada di jalan raya.  Bila berada di dalam atau di atas kenderaan, secara automatis tidak mahu mempedulikan orang sekeliling.  Seolah jalan tersebut dia sahaja yang punya.  Teramat mementingkan diri sendiri!!

Tak sedarkah anda semua bila berkelakuan sedemikian, secara tak langsung ianya menyusahkan pengguna jalan yang lain.  Rasanya tak perlu menunjukkan sifat-sifat negetif di atas jalan sementelah kita semua adalah pengguna dan masing-masing punya hak ke atas jalan raya.  Sebagai contoh, apalah salahnya jika hendak masuk simpang, berikan signal.  Sekurang-kurangnya kenderaan mengekori di belakang boleh memotong dan kenderaan dari arah bertentangan boleh alert kenderaan anda akan memasuki simpang.  Tak susah rasanya untuk menggunakan signal.

Ada lagi, bukanlah nak merendahkan kaum sejenis tetapi perlukah sekiranya anda itu perempuan tetapi dek kerana tidak mahu kalah di atas jalan raya, turu berkeras mahu dan tidak mengendahkan jalan lain.  Sebagai contoh, apabila kenderaan lain ingin memotong tidak di beri peluang langsung.  Walhal cara pemanduan bukanlah laju mana, berjunjut-junjut kereta di belakang mengekori.  Jika sedar gaya pemanduan pada kadar sederhana, mengalah sahaja.  Tak perlu menegakkan hak kita.  Bila ada mengatakan "biasalah perempuan memang macam tu", tahu pula marah!!

Lagi satu pantang saya bila pemandu tak faham apa maksud petak kuning.  Nak kata tak belajar, mustahil waktu ambil lesen tidak diberi penerangan mengenainya.  Ini tidak, boleh pula buat muka sardin dan dengan bangga berhenti di dalam petak kuning tatkala jalan raya tengah sesak.  Tak pasal-pasal kenderaan dari arah bertentangan tidak boleh masuk ke jalan tersebut.  Bila tuan empunya kenderaan lain merenung tajam, tahu pula marah.  Tapi siapa silap??

Kalau nak bercerita gelagat pemandu Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur memang panjang berjela, ibarat kisah tidak berkesudahan.  Baik lelaki mahupun wanita sama sahaja.  Tidak perlu menunding jari siapa bersalah.  Jika kita semua mengamalkan sikap bertolak ansur, pasti masalah dapat dikurangkan.  Tak perlu menunjuk siapa kuat siapa bijak tatkala menangani isu pemanduan kerana ia juga melibatkan nyawa.  Kadangkala, kerana keegoan kita, mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Melalui laman Twitter Plustrafik, setiap masa ada sahaja kemalangan berlaku di lebuhraya.  Rasanya tidak pernah satu hari pun tiada kemalangan jalan raya.  Ngeri bila memikirkannya!  Kami pernah kehilangan ahli keluarga di dalam satu kemalangan melibatkan kecuaian pemandu.  Pernah saya ceritakan di sini.  Betapa sedihnya kami sekeluarga, hanya Allah sahaja yang tahu.

Harapnya rakan-rakan sekalian tidak tergolong di dalam kategori pemandu tidak berhemah.  Jika ya sekali pun, apa salahnya berubah.  Tiada siapa akan rugi.  Tak lama lagi musim perayaan bakal menjelma dan pastinya rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk keluar bercuti.  Moga tidak ada berita sedih bakal didengari di antara kita, Insyaallah...    



nota:  gerun melihat sikap pemandu semakin teruk, ala Road Bully

Thursday, August 11, 2011

::Coretan Ringkas::

Hampir seminggu juga tidak berada di ruangan maya ini.  Terlalu banyak perkara harus diselesaikan terutamanya pada hujung minggu lalu.  Tak akan saya kongsikan di sini kerana ianya peribadi dan bersangkutan hal ehwal keluarga, cuma cukup sekadar saya coretkan mungkin bukan rezeki.  Hati yakin Allah SWT punya perancangan lebih baik buat kami semua.

Semenjak hari Ahad lalu juga saya mula bercuti dari berpuasa dan ini juga turut sumbang ke arah instability dalam diri.  Sekejap fikiran berkecamuk, saat lain hati berbunga bahagia dan kemudiannya rasa sebak sehinggalah seterusnya.  Melawat ke blog rakan-rakan lain serta meninggalkan komen juga tidak dilakukan, serba tidak kena jadinya.  Insyaallah, esok akan kembali merebut ganjaran diperuntukkan.

Sedar tak sedar, Ramadhan sudah hari ke-11.  Kenapalah begitu cepat hari berganti?  Pastinya saat ini ramai sudah mula membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal.  Seperti pernah diperkatakan, tahun ini kemeriahan tidak akan sama.  Terlalu banyak perkara membebani, cukuplah sekadar meraikan mengikut kadaran seharusnya.  

Eh, hari Khamis rupanya hari ini ya?  Sekejap sahaja dah nak masuk ke hujung minggu.  Segala-galanya berlaku dengan pantas, aduhai...Moga hari-hari kelam yang sedang dilalui ini juga akan pantas berlalu dan memberi sedikit sinar harapan buat kami sekeluarga.  Jika punya ruang waktu dan kesempatan, saya kembai berbicara dari hati...



nota:  Ya Allah, lapangkanlah hati....