Followers

Sunday, August 14, 2011

::Hari Kidal Sedunia::

Saya pun baru tahu sebenarnya yang setiap tahun pada 13 Ogos merupakan Lefthander's Day atau pun Hari Kidal Sedunia.  5 minit pertama mula-mula tahu nak tergelak pun ada tetapi dari perasaan lucu bertukar menjadi bangga.  Seperti biasa saya mengetahui melalui laman Twitter.

Mestilah bangga kerana saya merupakan salah seorang dari mereka dan hari ini kami yang dianggap cacat telah diberi penghormatan beserta pengiktirafan.  Bukan senang sebenarnya menjadi seorang kidal.  Segalanya dilakukan akan dipandang pelik dan ada sesetengah situasi, saya sendiri menjadi kekok apatah lagi hampir kesemua peralatan direka cipta khusus buat pengguna tangan kanan.

Antara pengalaman sendiri, sewaktu bergelar pelajar bila hendak duduk di dalam kelas, saya harus memilih untuk duduk di sebelah kiri rakan supaya tidak bertembung sewaktu menulis.  Untuk lebih senang, saya pastikan tiada siapa duduk di sebelah kiri saya.  Jika di dapur pula, pisau dipegang sudah semestinya songsang.  Ini kerana jika hendak memotong buah, kami yang kidal terpaksa mulakan dari atas dan bukannya bawah.  

Kebiasaannya mereka yang kidal akan memakai jam tangan di sebelah kanan bagi memudahkan pergerakan tetapi GM telah melatih untuk pakai di tangan kiri seperti orang normal.  Lama-kelamaan tidak lagi kekok tetapi setiap kali hendak menulis atau melakukan kerja-kerja melibatkan tangan kiri, saya terpaksa membuka jam tangan supaya lebih selesa.  Mujur juga saya tidak pernah lupa untuk menyarung semula, jika tidak pastinya kerap hilang jam tangan tersebut.
  
Ada kajian mengatakan, mereka bertangan kidal ini mempunyai keistimewaan tersendiri.  Berjiwa halus, kreatif, berbakat di dalam bidang seni, bijak dan macam-macam lagi.  Malahan, beberapa pemimpin terkenal dunia juga datang dari kelompok kidal.  Hendak mengiakan pun tidak, menafikan pun jauh sekali, Wallahualam...  Apa yang saya tahu jika berusaha ke arah itu tiada yang mustahil samada orang itu kidal atau tidak.

Kajian berkenaan kidal masih berterusan bagi mendapatkan jawapan pasti bagi fenomena ini.  Kadangkala saya ikuti juga hasil penemuan terbaru kajian, yelah perkara berkaitan diri sendiri pasti hendak tahu dengan lebih mendalam lagi.  Di kalangan ahli keluarga, hanya saya dan Ninie sahaja kidal.  GM dan GP tidak, tetapi bapa saudara kami ada yang kidal.

Rasanya Cayang juga bakal kidal, tapi tak boleh nak ditentukan lagi kerana masih kecil.  Tiada apa perlu dihairankan kerana ibu dia sendiri kidalkan.  Apa pun, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI KIDAL SEDUNIA buat rakan-rakan alam maya yang turut berada di dalam kelompok ini.  Kami bangga menjadi seorang kidal dan tidak pernah rasa malu.  Ianya merupakan anugerah besar dari Allah SWT, hanya mereka yang terpilih sahaja tahu keistimewaan diberikan olehNya.  Syukur tak terhingga menjadi seorang LEFTHANDERS!!!

  HAPPY LEFTHANDERS DAY EVERYBODY!!! - gambar kredit dari Google Image


nota: macam-macam hari ada di dunia ni ye??!!

No comments :

Post a Comment