Followers

Thursday, September 8, 2011

::Tak Faham Betul!!!::

Perlukah memandang rupa dan status seseorang itu sebelum kita berkawan?  Zaman ini masih wujudkah perkara sedemikian?  Bukankah sudah banyak pendedahan berkaitan diberi supaya kita menerima individu itu seadanya.  Kita hanya manusia biasa, siapa kita untuk membandingkan antara satu sama lain.  Di mata Maha Pencipta kita berbeza dari segi keimanan dan ketaqwaan.  Selain dari itu, manusia sama sahaja di mata Dia.

Tak faham sebenarnya mengapa paras rupa dan kedudukan diletakkan sebagai kriteria utama di dalam perhubungan.  Ini bukan perhubungan antara kekasih sahaja, tetapi turut melibatkan ahli keluarga dan kehidupan sekeliling.  Ramai dari kita gemar mengadili seseorang itu dari pandangan pertama.  Contohnya, jika wanita itu janda pastinya dia yang buat hal dalam perkahwinan.  Kalau tak, pasti takkan ditinggalkan suami.

Jika wanita itu merokok sudah tentu dia punya attitude problem dan gemar menimbulkan masalah.  Di situasi lain, jika seseorang itu gemuk maka dia tidak layak berada di dalam kelompok yang kononnya semua lawa-lawa belaka.  Sudahlah begitu, mengata pula dengan perkataan menghiris hati seperti kuat makan bagai.  Banyak lagi contoh hingga saya hairan tidakkah mereka ini sedar dengan sikap sedemikian kelak apa diperbualkan boleh menjadi siri umpatan.

Samalah juga keadaan di mana sekiranya lelaki ingin berkahwin dicari yang cantik di mata sahaja manakala wanita pula seboleh mungkin mencari yang mudah menabur not-not Ringgit Malaysia dan bukannya mencari orang yang bertanggungjawab dalam membina institusi keluarga.   Saya rasa banyak keruntuhan perkahwinan lewat ini berpunca dari menilai pasangan dari luaran.

Tidak bolehkah kita melihat dengan mata hati?  Bagi saya di dalam setiap kejahatan atau keburukan ditonjolkan, pasti punya kebaikkan untuk dipertimbangkan supaya kelak tidak terlalu mengikut bisikan syaitan yang sejak zaman Rasulullah SAW berhajat melagakan manusia. 

Cuba letak diri kita di dalam mereka yang menjadi bahan kata.  Sukakah kita apabila orang lain membuat penilaian hanya dengan melihat cara berpakaian atau pun gaya percakapan?  Mulut kita laser tapi adakah hati kita juga turut panas sedemikian rupa?  

Kita kena sedar, hidup di dunia punya aneka warna.  Segalanya Allah reka bagi memeriahkan kehidupan dalam manusia mengejar saham akhirat.  Ia juga satu cabaran supaya kita tidak tewas dalam keasyikkan duniawi kerana apabila kita mula membandingkan antara satu sama lain berdasarkan fizikal dan kemampuan, ternyata akal fikiran dianugerah tidak digunakan sebaik mungkin. 

Entri ini dalam menimbulkan persoalan, ia juga ditujukan khas buat diri sendiri.  Saya manusia biasa, kadangkala terlepas juga perlakuan dengan menjadi seorang judge the book by its cover.  Tidak memandang ke dalam hati nurani, terlalu mudah mengikut kata hati yang dijentik musuh Allah SWT. 

Penat memikirkan perilaku manusia.  Lain orang lain ragam dan sewajarnya kita menerima satu sama lain seadanya tetapi di zaman serba canggih ini masih lagi ada menggunakan jalan singkat dan menghukum seseorang itu tanpa sebarang kesalahan berat.  Kompleks betul ciptaan Tuhan bernama manusia!!  Tapi ia mudah sebenarnya andai kita tidak mengamalkan perasaan hasad dengki beserta curiga.

Hmm..mengagau saya ni dan mata pun enggan menyambung kontrak untuk hari ini.  Anggap sahaja entri ini tiada arah tujuan.  Jika ada kata-kata dapat dijadikan panduan, Alhamdulillah tetapi jika kosong dan tiada nilai, anggap sahaja membacanya sebagai kudapan yang tidak memberi sebarang pedoman.





nota: enggan membeza-bezakan sesiapa pun

No comments :

Post a Comment