Followers

Wednesday, November 16, 2011

::Selamat Ulang Tahun Pertama Cayang::

Entri ini ditujukan khas buat Cayang Along aka Kamal Izz Ziqry b Ahmad Syauki aka Ejiki sempena hari lahir Cayang yang pertama.  Tiada apa mampu Along hadiahkan, hanyalah bingkisan rindu ini buat Cayang tatapi pabila mula mengenali dan memahami segalanya kelak.

Cayang Ejiki bertuah lahir di dalam limpah rahmat yang penuh dengan kasih sayang.  Bukan sahaja dari Mommy dan Daddy tapi dari kami semua, sebuah keluarga besar punya luapan kasih sayang tanpa henti.  Saat melihat Cayang hadir di sisi Mommy dan Daddy, kegembiraan Aki, Wan, Along, Papa, Mama, Acu, Abang Aysh tak terperi.  

Letih mendengar celoteh Mommy tatkala Cayang masih lagi berselindung di balik uri, kami berdoa moga Cayang lahir dengan sempurna dan sihat.  Along masih ingat tatkala Mommy ditahan di hospital, Along sedang seronok di luar dan segera mahu pulang bila mendapat perkhabaran dari Wan.  Mana mungkin hati seorang kakak tenang pabila adik sedarah sedaging bakal bertarung nyawa.

Namun tiba di rumah, Wan kata ada sedikit komplikasi tapi tidak perlu risau.  Menjenguk seketika Mommy Cayang di hospital sebelum pulang ke rumah menanti khabar berita.  Sepanjang malam tidak tenang kami semua di rumah.  Papa dan Mama setia menemani Mommy dan Daddy bagi menyambut kedatangan sayang.  Berita tidak putus dikirim dari sana sehinggalah jarum jam mencecah angka 3 pagi, kami dikhabarkan Mommy akan ditolak ke bilik pembedahan kerana tidak boleh menunggu lebih lama lagi.

Debaran bertambah kencang saat itu kerana ianya diluar jangkaan Mommy Cayang yang benar-benar mahu melahirkan Cayang secara normal.  Segera kami ke hospital, walau di belakang rumah Wan sahaja lokasinya serasa jauh benar.  Sampai di sana, kami kedengaran suara tangis bayi dan akur Allah telah menurunkan seorang lagi hambanya ke muka bumi.

Mommy tenang walau sedikit mamai dek penangan ubat bius.  Tak puas-puas kami menatap wajah Cayang seolah tiada lagi esok hari.  Jika boleh saat itu mahu sahaja cium sepuas-puasnya dan bawa Cayang pulang ke teratak indah Aki dan Wan.  Seronok bukan kepalang, lantas terbayang segala penat lelah Mommy Cayang selama 9 bulan lebih terbalas dengan satu anugerah Illahi tak ternilai.

Namun, membesarkan Cayang punya ranjau tersendiri.  Saat jejak kaki di rumah, Cayang tidak putus-putus menangis.  Bukan sehari dua tetapi makan berbulan lamanya.  Risau dan cemas menyelubungi seisi rumah.  Bermacam ikhtiar Mommy dan Daddy Cayang.  Itulah dugaan mereka saat bergelar ibu bapa.  Kerap tidak tidur malam, segalanya terpaksa dilakukan dengan berhati-hati demi mengelakkan supaya Cayang tidak berteriak memecah keheningan rumah.  Seisi rumah akur dengan permintaan Cayang itu!

Wan pula memulakan cabaran baru dengan kehadiran seorang lagi cucu.  Abang Aysh dengan gelagat sendiri, menuntut perhatian.  Cayang Ejiki juga begitu, seolah punya pertandingan merebut piala Wan.  Tapi Cayang cepat faham dengan keadaan dan akur dengan situasi.  Cayang berkongsi kasih dan jatuh sayang pada Abang Aysh dengan cepat.

Alhamdulillah, dari hari ke hari Cayang membesar di luar jangkaan.  Cayang dewasa dari usia seharusnya.  Along yakin, Mommy dan Daddy tidak pinta sedemikian hanya Cayang sahaja mencabar diri sendiri.  Seawal 3 bulan telah meniarap, 4 bulan kuat mengesot dan telah duduk di dalam walker.  6 bulan telah merangkak dan berjaya keluar dari walker dengan sendirinya pada usia 7 bulan.  Banyak progres ditunjukkan dan Cayang mula berjalan pada usia belum mencecah 1 tahun.  

Cayang bukan sahaja permata hati Mommy dan Daddy tapi intan berkilau buat kami semua.  Tidak kami bezakan antara satu sama lain.  Semuanya kami sayang tidak berbelah bahagi.  Tiap kali Cayang pulang ke rumah Along pasti rindukan gelagat Cayang yang mencuit hati.  Walau Cayang degil dan sering melakukan aksi ganas lantas menuntut kemarahan dari kami semua, Cayang tetap di hati.

Sempena hari lahir pertama Cayang tahun ini, Along doakan moga Cayang akan terus membesar dengan bijak dan menjadi anak soleh.  Kasih sayang yang diberikan akan mendidik Cayang menjadi seorang insan sempurna, Insyaallah dan bakal memimpin tangan adik-adik lain kelak.  Andai satu hari, Cayang menangis kerana himpitan dugaan duniawi, Cayang ingatlah di sini kami ada untuk berganding bersama Cayang melewati cabaran.  

Andai bisa Along hentikan masa, akan Along pastikan supaya Cayang tidak cepat membesar kerana saat lalu amat kami semua rindui.  Melihat jatuh bangun Cayang di depan mata, kenakalan serta gelagat mencuit hati sudah cukup mengubat hati kami yang lara.  Sayangnya, kehadiran Cayang di saat Aki, Wan, Along dan Papa berdepan dengan kesulitan berpanjangan.  Namun tidak sedikit kami abaikan anak-anak semua.


TERIMA KASIH CAYANG ATAS SEGALA KASIH SAYANG SERTA KELETAH YANG MEMBAWA SINAR KEBAHAGIAAN.  SELAMAT HARI LAHIR PERTAMA CAYANG KAMAL IZZ ZIQRY AHMAD SYAUKI!!

   Beberapa minit selepas dilahirkan.  Darah belum dikeringkan lagi


 Di waktu pagi selepas Wan bedakkan Cayang.  Pandai tengok kamera


Saat berusia 4 bulan, Along begitu teruja membawa Cayang naik ke bilik


Menangis hiba, tak pasti apa yang mengundang air mata


Baru berusia 5 bulan tetapi Cayang telah menunjukkan skil memanjat.  Risau kami sehingga Wan terpaksa menyimpan bouncer tersebut.


Mula menampilkan wajah nakal


Walau baru berusia 6 bulan, Cayang mula menampilkan aksi berani mati.  Menjerit-jerit Wan bimbang Cayang jatuh tersungkur


Pada usia 7 bulan, Cayang telah pandai membawa diri.  Tangisan telah kurang kedengaran tetapi Cayang makin melasak, semput nafas kami semua di rumah


  Beraksi dengan motor Abang.  Tubuh kecil berhati waja


Pertama kali Cayang ditahan di hospital.  Meraung-raung Cayang enggan memberi kerjasama.  


Melewati usia setahun.  Belum menjelang hari jadi, Cayang telah mengorak langkah meniti hari mendatang dengan kaki sendiri


Sambutan ala kadar dari kami semua buat Cayang.  Walau kecil kek tersebut tetapi membawa seribu makna.  Cayang malu-malu kucing saat diraikan =)




nota:  sekelip mata...

No comments :

Post a Comment