Followers

Tuesday, November 22, 2011

::Syabas HM::

Sebenarnya tak perlu buat entri ini apabila hampir semua orang mencanang perihalnya di merata tempat.  Tapi tetap ingin abadikan di sini.  Manalah tahu bila-bila nak baca semula saya akan kenang ia sebagai sebuah memori indah buat seluruh rakyat Malaysia khususnya.

Malam tadi secara rasmi pasukan bola sepak negara atau lebih dikenali dengan Harimau Malaya (HM) berjaya mempertahankan pingat emas di Sukan Sea buat kali kedua.  Setelah melalui episod getir di Indonesia dengan tekanan luaran dan dalaman HM ternyata membuktikan bahawa taring mereka bisa mencengkam.

Saya tidak menonton sepanjang perlawanan dek berkongsi TV dengan Buah Hati, tetapi tetap mendapatkan muktahir perlawanan dari laman-laman sosial.  Ternyata sokongan dari rakyat Malaysia tidak berbelah bahagi.  Saya hanya menyaksikan saat kedua-dua pasukan bertarung di pusingan penalti.  Sangat mendebarkan dan adrenalin saya melonjak-lonjak naik!  

Saat tendangan akhir yang menentukan kemenangan HM, kami yang menahan nafas ketika menonton perlawanan melonjak kegirangan.  Tidak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya perasaan rakyat Malaysia yang berada di dalam gelora gemuruh Sang Garuda saat berjaya meraih kemenangan.  Jika saya ada di sana, aliran panas dari sepasang mata pasti mengalir laju.


Tidak perlu minat bola, tidak perlu minat sukan tetapi kemenangan semalam berjaya menyatu padu rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan pasukan HM.  Mereka bertanding di dalam gegak gempita cemuhan, mereka berlawan di dalam gumpalan-gumpalan hinaan tetapi itu semua ditolak ketepi demi menggalas harapan dan menjulang nama baik negara tercinta.  Maruah tercemar telah dibalas!

Syabas HM!  Kemenangan di Indonesia terlalu memberi erti buat kita semua.  Segala luka dan noda yang mereka palit buat negara kita telah diubati dengan sebuah kemenangan.  Ngauman HM benar-benar berisi.  Sebagai seorang yang cintakan negara, terima kasih seluruh tenaga kerja dan pemain HM di atas usaha berterusan.  


21-11-2011 akan menjadi tarikh keramat dalam mengenang sebuah perjuangan.  Benar ia bukannya sebuah kejohanan bertaraf dunia tetapi setiap ranjau duri yang dilalui oleh seluruh kontijen membuatkan ianya akan tersemadi sebagai sebuah kenangan terindah.




nota:  tahniah...tahniah..tahniah..

No comments :

Post a Comment