Followers

Friday, December 16, 2011

::Membebel Di Subuh Hening::

Sekejap sahaja dah tiba ke hari Jumaat.  Pejam celik pejam celik habis satu minggu berganti minggu baru.  Waktu bersilih ganti makin tidak terasa kerana tidak terkejar kepantasannya.  Sekelip mata masa berganti baru, dan kita manusia seolah tidak punya cukup nafas untuk turut sama berlari.

Minggu ini cuaca begitu rundung sekali.  Langit kurang mempamer wajah ceria, cukup masa awan gelap menyeliputi alam.  Benar, musim tengkujuh telah tiba dan kerana itu juga minggu ini topik Kuala Lumpur ditenggelami banjir hangat diperkatakan.  Kasihan mereka-mereka yang terperangkap di dalam kesesakan lautan kereta.  Sesiapa berjaya menundakan perjalanan bernasib baik, tidaklah menjadi sebahagian isi perut jalan yang membuak-buak di waktu puncak.

Saat ini saya kembali ke meja tugasan.  Masa sepenuhnya dibangku kerja untuk melunaskan segala tanggungjawab di amanahkan.  Alhamdulillah, setelah melalui kepayahan dalam tempoh agak lama, kini usaha pemulihan berada di landasan.  Rezeki GP pulang dari Tanah Suci barangkali.  


Masih banyak perlu diusahakan lantaran kejayaan tidak datang bergolek tetapi pagar getir semakin hari semakin meruncing.  Ketajamannya mula mencucuk berbisa.  Jika sebelum ini kami mampu berdiri teguh, kali ini pasti bukan masalahnya lagi. Yang penting bersatu hati serta usahakan sebaik mungkin demi masa depan. 

Apa pun, perjalanan masih jauh.  Walau Allah telah mula memberi secara sedikit demi sedikit, segalanya harus bermula sekarang.  Kesusahan dan kepayahan yang kami alami selama ini mungkin berganda kerana inilah adat dunia.  Bermula dengan kepahitan pasti berakhir dengan kemanisan.  Cuma saya berdoa biarlah yang kemanisan bakal dikecapi itu kekal selamanya.

Dalam tempoh kemarau berpanjangan, terlalu banyak pengalaman dikutip.  Satu persatu wajah sebenar manusia disekeliling saya dan keluarga Allah pertunjukkan.  Jika selama ini, mereka-mereka yang kami anggap baik itulah akhirnya memijak dan menyumpah kami sekeluarga.  Mungkin telah sampai masanya Allah ingin kami tahu siapa mereka sebenarnya.  "Alhamdulillah atas segala kurniaan diberikan Ya Allah"

Biarlah mereka lakukan apa sahaja kerana Allah Maha Adil dan Saksama.  Setiap apa perilaku kita akan mendapat balasan setimpal samada baik mahupun buruk.  Redha sahaja dengan ketentuan Illah, namun pengajaran yang mereka berikan akan kami semat di dada.  Bukan untuk berdendam, bukan untuk tujuan pembalasan tetapi sebagai ilmu kehidupan di dunia.    

Jika perlu kami menongkat dengan sendiri, pasti kami akan redah.  Walau jalan capik, langkah kurang teratur segalanya akan dilakukan dengan sendiri.  Penat dan jemu menagih simpati yang akhirnya menghumban kami ke satu pengalaman begitu berharga.  Masih menanti sinar baru bakal menyuluh segala kegelapan selama ini.  Meski harus bermula dari bawah, tetap tidak akan mengalah kerana percaya Allah bersama menerangi jalan dan Maha Pencipta tidak akan menzalimi hambanya.


Eh, kenapa membebel tak tentu hala ni?  Tak mengapa, biarlah bicara hati ini bersemadi di sini untuk dikenang disuatu hari indah di mana Insyaallah kejayaan berada di dalam genggaman...








nota:  tak dapat memejamkan mata, lantas berkelana di sini...

No comments :

Post a Comment