Followers

Tuesday, December 13, 2011

::Menjejak Memori - Lenggeng::

Lama tidak berada di sini.  Meski kesihatan secara sedikit demi sedikit kembali pulih tetapi kurang tenaga untuk meluangkan masa sambil mencanai idea.  Kebanyakkan blog saya baca dari telefon bimbit sahaja.  Hilang selera untuk menatap skrin komputer riba.  

Sambil-sambil mengembalikan mood jauh melayang entah ke mana, saya merajinkan diri meninjau gambar yang tersimpan kemas di dalam folder.  Banyak juga boleh diceritakan, cuma entah bila bisa melakukan sedemikian.  Paksa juga diri, rasa malas harus dibuang jauh sementelah ada sedikit sinar menanti esok hari.  Banyak kerja perlu dilunas, andai kemalasan bermaharajalela sendiri akan rugi.



Okeylah, gambar ini diambil lebih kurang sebulan nan lalu.  Lama sebenarnya GM berhajat melawat ke daerah dia melalui zaman kanak-kanak hingga remaja di Lenggeng Negeri Sembilan.  Menjejak memori tersimpan kemas di dalam diari kehidupan GM, seorang anak yang dibesarkan oleh ibu dan nenek.  Mungkin Lenggeng, mungkin punya ceritera tersendiri buat GM dan keluarga yang tak bisa dikongsi bersama.  Kami ke sana pada 13 November 2011 bersamaan hari Ahad.

Kami berusaha melunaskan impian GM walau sedar risiko bakal tidak bertentang mata dengan sesiapa di sana.  Apa lagi yang tinggal sementelah tuan empunya rumah telah lama kembali ke Rahmatullah.  Sebelum sampai, anggapan kami hanya sebuah rumah usang sahaja bakal menyambut ketibaan kelak.  Jangkaan jauh meleset kerana tiada lagi dirian atap, segalanya telah dimusnah Sang Jentolak.  Hanya perigi tempat saya pernah menimba air sahaja yang masih utuh menanti kehadiran tetamu. 


GM dimanjakan oleh mereka-mereka yang bukan datang dari darah daging.  Menumpang kasih pada yang sudi, jasa mereka semua pastinya tidak dapat dilupakan.  Apa yang tersirat di hati GM hanya dia sahaja mengetahui dan kami anak-anak akur, ranjau yang dilaluinya sejak kecil cukup mengajar erti sebuah kehidupan.


Saya sendiri turut berpeluang merasai apa yang dilalui GM satu ketika dahulu.  Arwah Mak sering bawa saya ke sana.  Jika tidak silap, setiap kali musim cuti persekolahan pasti akan ke Lenggeng.  Duduk berhari-hari sambil menikmati udara kampung.  Walau terpaksa mengerah tenaga menaiki dari satu bas ke satu bas, segalannya dilupakan atas erti tali persaudaraan yang dibina.  

Berkenalan dengan saudara, bermesra walau bukan dari susur galur yang sama.  Seronok mengingat kembali saat-saat di mana saya menjadi perhatian dek keletah mencuit hati barangkali.  Di sana juga saya mula menggemari makanan yang kini hanya kami sekeluarga sahaja bisa menyediakan.  Saya diulit oleh nenek-nenek, atuk-atuk yang pada ketika itu merindui derai tawa anak kecil.  Aduh, indah sungguh kenangan!


Walau kini segalanya tinggal menjadi memori, namun saya tahu siapa mereka dan betapa istimewa daerah tersebut di sanubari.  Beruntung dapat merasai detik itu jika dibandingkan dengan adik-adik yang lain.  Seorang wanita tua berhati mulia yang saya panggil Onyang Lenggeng telah bertahun lamanya menghadap Illahi.  Raut wajah tenang masih kemas tersimpan di kotak ingatan meski pengalaman berulang-alik selama bertahun di sana semakin menyusut.


Masih terbayang di birai mata saat arwah diduga dengan sakit hingga meragut sinar wajah seorang tua yang periang.  Terlantar di perbaringan sambil mengira bila masanya dijemput Maha Pencipta.  Arwah Mak yang kerap berulang menziarah juga mula mengurangi aktiviti rutin saban tahun dek keadaan tidak lagi mengizinkan.  Tahu-tahu berita tiba mengatakan Arwah Onyang Lenggeng telah bertemu Maha Penciptanya.

Andai segala bisa diundur, saya yakin GM pasti ingin pulang ke saat di mana dia menjadi kesayangan.  Walau hanya menumpang kasih tidak terluak rasa sayang mereka semua.  Hingga hari ini GM berusaha menjejak saki baki saudara di sana.  Moga Allah perkenan doa GM untuk bertemu dengan mereka semua.  Bilangan yang tidak ramai tetapi agak mustahil untuk dijejak.  Mereka-mereka pasti tidak percaya bahawasanya saya juga kini menginjak ke satu usia jauh meninggalkan zaman kanak-kanak.

  Bukti kaki akhirnya jejak kembali ke daerah satu ketika dulu sering dilawati


Pekan yang tidak jauh beza berubah.  Lengang dan tidak sesak.  Mungkin penghuni daerah telah mula keluar berhijrah

Tak tahu hendak menghala ke mana, berhenti di Pekan Lenggeng membeli kuih muih.  Harga tidak jauh beza dengan di bandar atau mungkin mereka melihat kami sebagai orang luar, maka harga dinaikkan sedikit.  Tak mengapa bersangka baik buat Pakcik dan Makcik ini =)




Sibuk menghala lensa kamera ke sana sini.  Apa agaknya istimewa pekan ini di mata seorang jurukamera bertaraf amatur?


Basikal hijau menarik perhatian lensa kamera Abang.  Mungkin ada seni yang tidak mampu diterjemahkan oleh mata kasar kita.  Hanya yang mengambil gambar sahaja mengetahuinya

Apa sahaja dirajukkan Buah Hati.  Bergaduh dengan 'Unclenya' kalau tak silap.  Muncung panjang sedepa.  Dah besar betul Buah Hati nikan


 Bersantai di perhentian bas Pekan Lenggeng.  Tak pernah rasanya saya tunggu bas di sini kerana bas memang lalu betul-betul di hadapan rumah Arwah Onyang.  Turun naik di laman rumah sahaja ;).  Eh, Buah Hati dah berpelukan semula dengan Uncle.  Apa-apa sahajalah diaorang berdua tu!!




GM sedang cuba menghubungi rakan yang masih lagi tinggal di sana.  Percubaan gagal kerana telefon tidak berjawab




Boleh pula waktu ni Manje demam suspek demam campak tetapi tetap berangkut.  Orang lain keluar, mereka berdua duduk sahaja di dalam kereta sambil memerhati sekeliling.




Nak ke Lenggeng harus menghala ke arah Broga.  Tiada apa boleh diambil, papan tanda pun jadilah




Diakhiri dengan sepasang kasut yang comel rupa bentuk dan warna.  Entah mana silapnya sepanjang bulan, setiap sepatu yang tersarung di kaki Macho Man pasti putus..ha..ha..ha..

Sayangnya kami terlupa mengambil gambar tapak rumah serta rumah di hadapan.  Waktu sampai tak terfikir, dalam perjalanan pulang hujan lebat turun.  Mungkin ia menjemput kami lagi ke sana barangkali kerana itu gagal merakam sebarang kenangan.  


Walau memakan masa perjalanan hampir dua jam tetapi tetap berbaloi.  Sekurangnya GM dapat melepaskan rindu melihat keadaan sekeliling.  Sunyi benar keadaan kawasan dan tidak berjaga.  Yalah, jika tak silap Arwah Onyang tidak punya waris ramai.  Anak yang seorang itu pun dah meninggal dunia.  Mungkin kerana itulah orang dahulu gemar punya anak ramai, supaya segala hasil penat lelah dapat diturunkan ke generasi akan datang.

Insyaallah, panjang umur kami akan ke sana dan keberangkalian untuk bersua muka dengan mana yang tinggal cerah.  Al-Fatihah buat mereka semua yang telah tiada.  Terima kasih di atas segala kenangan yang ditinggal..




nota:  semakin jauh kenangan ditinggal semakin hampir kita kepada Pencipta..











No comments :

Post a Comment