Followers

Wednesday, January 11, 2012

::Bicara Mengisi Masa::

Susah pula malam ini nak lelapkan mata, barangkali dek terlalu ghairah mengisi perut sepadatnya, sebab itulah mata tidak mahu terpejam.  Ligat kepala memikirkan bagaimana untuk paksa diri tidur.  Penat layan TV dari satu siaran ke satu siaran, tak ada satu pun menarik minat.  Jadi ke sinilah akhirnya.

Tapi bila menghadap skrin, beku pula jadinya.  Nak cucuk hard disc malas nak turun ke bawah.  Dasar pemalas betul!  Sekarang ni susah betul nak tidur awal, jika dulu bekerja makan gaji cukup masa pandai sahaja mata terpejam dan celik pada waktu yang sepatutnya.  Biasalah, bila ada rasa tanggungjawab segala berjalan lancar.  Sekarang bukan tak ada rasa sebegitu tetapi masa sangat flexi, terpulang diri sendiri tentukan.

Tadi baca akhbar melalui online, antara menarik perhatian saya, berkenaan bantuan RM500 bagi keluarga yang berpendapatan bawah RM3000.  Saya tak mohon pun, kalau mohon tak layak rasanya.  Hari itu saya ingatkan bantuan tersebut akan diberikan setiap bulan, rupanya tidak.  One time only.  

Tak mahulah mempertikaikan niat murni kerajaan atas bantuan tersebut, cumanya ada beberapa persoalan yang membelit fikiran.  Yang pertamanya, sejauh manakah bantuan tersebut dapat meringankan beban kehidupan rakyat?    Jika dibahagi RM500 kepada 12 bulan, secara kasarnya penambahan belanja bulanan hanya bertambah lebih kurang RM40 sebulan sahaja. 

Apalah yang boleh diubah hanya dengan penambahan RM40?  Sekelip mata sahaja boleh dibelanjakan terutamanya penduduk di bandar-bandar besar.  Seharusnya kerajaan mencari jalan bagaimana hendak mengurangkan bebanan harga barangan yang sentiasa melambung tinggi.  

Malahan segala kemudahan sedia ada jika di naik taraf pastinya menyenangkan rakyat.  Ini tidak, barangan keperluan semakin hari semakin naik.  Tak pernah yang turunnya.  Setiap kemudahan yang ada terpaksa dibayar, tak banyak sedikit.  Tetapi tidak membantu banyak mana pun segala kemudahan yang sedia ada.  Nak menggunakannya kadangkala agak terhad.  

Bayangkan jika kos kehidupan tidak terlalu tinggi, harga minyak juga tidak membebankan, pendapatan mencukupi rasanya Kerajaan tidak perlu memperuntukkan bantuan khas.  Yalah, segalanya boleh didapati dengan harga berpatutan, pastinya pendapatan di tangan berlebihan.  Tiada lagi rasa kesempitan yang amat sangat.

Yang kedua, sejauh mana peruntukkan Kerajaan ini ditadbir sebaik mungkin?  Bukan untuk menidakkan kecekapan pihak Kerajaan, tetapi setahu saya certain amount telah diperuntukkan.  Sekiranya ada yang tidak menuntut, ke manakah lebihan peruntukkan itu akan disalurkan?  

Jangan kita bersangka buruk terhadap Kerajaan tetapi setiap sen dikeluarkan adalah hak rakyat juga terutama pembayar cukai.  Kita pastinya tidak mahu duit tersebut disalah gunakan.  Kebiasaannya peruntukkan yang telah keluar akan ditadbir sebaik mungkin oleh pihak dipertanggungjawabkan, tetapi telah ada pertikaian lebihan duit tidak akan kembali semula.  Wallahuallam.. Harapnya perkara ini tidak berlaku.

Selain itu, dalam beberapa minggu dari sekarang pemberian bantuan tersebut akan diedarkan.  Boleh dikatakan ramai yang akan menikmatinya.  Apa yang ditakuti, tiba-tiba harga barangan di kedai naik mendadak.  Biasalah peniaga yang tidak bertanggungjawab ni.  Melihatkan ramai dapat duit terpijak, mereka juga ingin turut sama tumpang.  Yang gagal dan tidak memohon bantuan pula terpaksa menanggung akibat.  Bolehkah Kerajaan memastikan perkara ini tidak berlaku?

Sebahagian dari rakan-rakan saya pula takut untuk mengisytihar walaupun berkelayakan.  Kata mereka nanti pihak LHDN dapat trace maklumat pendapatan.  Jika bukan yang lepas, untuk kemudian hari.  Sesiapa yang tidak pernah membuka fail cukai pendapatan pasti akan tersangkut.  Ada juga logiknya walaupun sebenarnya perkara ini tidaklah memberi sebarang impak saya rasa.  Tapi biasalah, orang kalau dah bersalah memang sentiasa takut..he..he..he..Elok-elok dapat RM500 terus kena bayar denda ribuan ringgit, kata mereka.

Entahlah, tak baik pula saya mempertikaikan hasrat Kerajaan.  Di luar sana masih ramai memerlukan bantuan tersebut dan nilai RM500 cukup besar buat sesetengah orang.  Banyak yang boleh dilakukan dengan jumlah itu.  Untuk orang seperti saya dengan sekejapan boleh melayang.

Harapnya bantuan tersebut tidak ada maksud terselindung atau agenda tersembunyi.  Biarlah benar-benar seperti apa dikatakan oleh Kerajaan, rakyat memerlukan dan dapat meringankan beban.  Jangan ada pihak tertentu menyalahguna peruntukkan tersebut demi kepentingan diri sendiri.

Okaylah, mata pun dah mulu kuyu.  Baik panjat katil sekarang sebelum hilang rasa mengantuk.  Entri ini tidak ada niat disebaliknya kerana pertikaian saya sebagai orang yang melihat.  Tanggapan saya mungkin salah kerana pendapat kita tidak sentiasa seirama.  Tak perlu untuk membuka ruang persengketaan hanya dengan entri sebegini.  Buka dada dan minda dan jangan terlalu beremosi dalam berkata-kata.  Ingat satu sahaja, tidak semua apa yang kita perkatakan itu betul kerana masih ramai lagi di luar sana yang boleh memperbetulkannya.  

Selamat Pagi semua!!! 

 


nota: sesiapa dapat nanti belanja saya ye....

No comments :

Post a Comment