Followers

Wednesday, January 25, 2012

::Borak-Borak di Alam Siber::

Kita berhenti seketika dari bercerita perihal harijadi, jemu pula rasanya.  Tapi nak kisahkan hal-hal lain macam tak ada pula.  Hmm...ialah dari tiga minggu sudah selepas ibu Abang meninggal dunia, memang saya banyak menemankan Abang ke rumah ayahnya sahaja.  Hujung minggu tak ke mana-mana pun.  Episod sedih baru sangat menimpa, semangat perlu dipulihkan seperti sebelumnya.
 
Di tambah pula dengan kenduri tahlil bersilih ganti, memang kami tak merancang apa pun dalam tempoh tiga bulan akan datang.  Seperti pernah saya katakan sebelum ini, mana mampu saya hulurkan bantuan Insyaallah tak keberatan.  Lagi pula mengenali Abang sekeluarga dalam satu jangka masa yang panjang, sudah cukup untuk tidak berasa kekok dan mesra bersama walau belum ada sebarang ikatan.
 
Bohonglah jika saya kata dia tidak sedih.  Jika sepanjang meluangkan waktu bersama, tidaklah kelihatan air mata.  Dalam hati, siapa yang tahu.  Kehilangan rakan taulan sudah boleh menjentik hati, inikan pula terpaksa menerima hakikat ketiadaan insan yang melahir dan membesarkan dengan penuh kasih sayang.  
 
Ada masanya mulut Abang tidak berhenti mengenang arwah ibunya, cuma harapan saya dia terus tabah.  Saya layankan sahaja perasaan dia tapi tak menahan bila bab makanan.  Asyiklah nak makan makanan kegemaran yang Arwah Ibu dia sering masakkan.  Memang sentiasa menjadi mangsalah adik-adik dia.  Asal balik rumah nak makan itu, nak makan ini. 
 
Mujur juga mereka berjaya memasak walau kesamaan 100% itu pasti mustahil.  Tapi masalah pula bagi saya.  Bukan masalah apa, masalah kegemukan.  Rasanya dari tiga minggu lepas, berat badan naik dekat 4kg.  
 
Masakan tidak, sebelum ini jarang-jarang mengamalkan makan nasi.  Hujung minggu lagilah, selagi boleh elak akan saya elak.  Ini bila asyik ke sana, hidangan nasi di depan mata.  Takkan nak tolak, sedap tu.  Ha..ha..ha..pandai salahkan orang lain, walhal selera sendiri tak beragak!
 
Secara jujur saya sendiri dapat merasakan kehilangan.  Jika sebelum ini, bila ke sana ada Arwah sentiasa melayan tanpa jemu.  Permintaan anak dia lagilah melampau, tapi dah nama pun emak dengan anakkan.  Walau pun sakit tapi tetap menghulurkan layanan.  
 
Bila berada di rumah mereka, rasa selesa.  Hmm..tak apalah, biarlah saya simpan sebagai kenangan peribadi.  Terlebih mengimbau saya sendiri dirundung hiba.  Tak baik meratapi orang yang telah tiadakan.  Harapan saya, mereka sekeluarga redha dan kuat melawan perasaan kesedihan.  
 
Bercerita kisah kehilangan dan kesedihan, saya terpanggil untuk berkongsi.  Bukan untuk memburukkan atau menghina individu ini.  Hanya terdetik di hati saya, tidakkah kehilangan insan tersayang itu memberi tamparan hebat dalam kehidupannya?  Atau mungkin itu cara dia mengatasi kehilangan.
 
Macam ni, seminggu selepas arwah ibu Abang meninggal dunia, seorang lagi teman kami, M menerima berita sedih.  Bapanya kembali ke rahmatullah atas masalah kesihatan juga.  Anak yang tidak cukup akal sahaja tidak akan sedih bukan?  M normal seperti insan biasa, sedih atas kehilangan tersebut.  

Melihat wajah pilu saat ayahnya dikebumikan, saya faham benar.  M melalui ranjau kehidupan beronak duri.  Mengendong pangkat ibu tunggal di awal usia 20-an bukan sesuatu yang mudah.  Tiada tempat lain dituju, di bahu bapanya dia melepaskan segala apa yang menyeksakan dan kerana itu saya yakin dia paling terasa atas kehilangan ini.
 
Namun saya nampak, tidak sampai seminggu dia kembali ke rutin harian.  Alhamdulillah, bagus kerana dalam Islam kita tidak boleh terlalu bersedih, yang pergi tetap akan pergi.  Kita yang hidup ini perlu meneruskan kehidupan.  Sayangnya, M tidak menunjukkan rasa menghormati atas kehilangan tersebut.  
 
Tanah kubur masih merah M sudah kembali ke asal.  Keluar berpakaian menjolok mata hingga larut pagi, berketawa menari di kelab bersama rakan-rakan dan terbaru ke luar negara bersama kekasih baru dikenali.  Apa mereka buat bukan di dalam bidang kuasa, tetapi sakit mata melihat tiap-tiap malam berdua-duaan menghabiskan masa di kelab malam.  Tidakkah lelaki yang berhasrat untuk menyunting M sebagai suri hidup itu terfikir yang M berada di dalam tempoh berkabung? 
 
Benar, tiada istilah penetapan berapa lama untuk kita berkabung tetapi berilah satu tempoh masa untuk diri sendiri dan keluarga bagi merasai kehilangan tersebut.  Apatah lagi yang pergi itu antara orang yang bertanggungjawab membesar dan memenuhi segala kehendak kita selama ini.
 
Mendengar khabar berita dari teman-teman lain dan melihat akan gambarnya, terpana seketika.  Bagi saya, paling tidak tunggulah sebulan selepas arwah bapa tiada.  Saya tidak mempertikaikan cara kehidupan dia, kerana itu memang M.  Bagaimana dia sebelum arwah ayahnya meninggal, begitu jugalah sekarang ini.  Tiada beza dan bagusnya dia bukan seorang hipokrit.  Jika mahu berkawan dengan M terima dia seadanya.
 
Terbaru ini keluarga mengadakan kenduri tahlil sempena hari ke-7, M tiada di situ.  Sibuk melayan keghairan cinta bersama teman baru dan rakan-rakan sentiasa menyokong siapa M seadanya.  
 
Secara kesimpulan dia tidak menghormati arwah ayah serta perasaan keluarga.  Orang sekeliling telah mula berbunyi seolah-olah M mudah melupakan bapanya dan tidak sedih atas kehilangan orang tersayang.  Saya menasihati dia supaya sedikit tone down dengan lifestlye, paling tidak beri masa.  Tapi siapa saya, seorang kawan yang tidak merasai apa yang ditanggung olehnya.
 
Ucapan terima kasih saya terima dan dia kata itulah caranya untuk melupakan kesedihan.  Entahlah!  Zaman moden punya 1001 kaedah untuk menghilangkan tekanan dan kesedihan dan M memilih jalan tersendiri.  Uish, dah mengumpat banyak pula saya ni walhal M itu kawan saya.  Tak baik saya berfikiran negetif terhadap teman sendiri :(
 
Tak apalah, jika dia terbaca saya harap dia faham maksud disebalik entri ini.  Ianya juga pengajaran bagi mereka di luar sana.  Saya tidak mencemuh dan mengeji dia cuma saya terkilan kerana kematian bapanya tidak memberi sebarang impak besar.  Paling tidak sedaya upaya tutup sedikit segala lurah dan kelepet badan demi arwah bapanya.    
 
Saya bukan hendak menyekolahkan sesiapa kerana saya juga tidak sempurna.  Inilah ujian untuk M.  Kita punya cara berbeza bagi menunjukkan rasa kasih sayang dan menghadapi hakikat kehilangan tetapi paling tidak ada rasa hormat pada yang telah tiada.  Apa pun, kita di dunia, dosa pahala masing-masing dan kubur esok pun asing-asing.  Maaf andai ada terasa! 
 
 
nota: mula cerita lain, habis cerita lain...
 
 
 
       


 
 

No comments :

Post a Comment