Followers

Tuesday, January 17, 2012

::Cebisan Rasa::

Nasib kita di dunia berbeza, pelbagai aneka warna melengkapakan ceritera hikayat kehidupan.  Kalau nak bercerita, kisah hidup sendiri punya corak tersendiri apa perlu ungkap kepunyaan orang lain.

Cuma kebelakangan ini, saya sering terbaca juga mendengar rintihan beberapa rakan.  Kesempitan wang begitu menghimpit kehidupan harian.  Dapat sahaja gaji, dalam masa beberapa jam semua hilang.  Ada antara mereka sudah mendirikan rumah tangga, dan ada juga masih bujang.

Saya sendiri yang belum punya tanggungan besar turut merasa keperitan, apatah lagi sudah berkeluarga.  Kasihan mendengar keluh kesah mereka semua.  Bukan suami isteri tidak bekerja, tetapi tetap segalanya serba serbi kekurangan.  Nak kata tiada kelayakan, kedua-duanya punya Ijazah.  Cuma mungkin jawatan di sandang tidaklah sehebat mana.  

Apa lebih membebankan, mereka ini punya anak ramai.  Tak adalah berderet macam orang-orang dahulu tetapi punya anak seramai 3-6 boleh dikategorikan ramailah zaman sekarang.  Sekali sederap semuanya nak masuk sekolah, bertambah-tambah pening jadinya. 

Tak pasti apa punca sebenarnya hingga mengheret ke laluan seberliku?  Yang pasti kebanyakkan dari mereka ini punya tanggungjawab lain harus dilunaskan terlebih dahulu.  Antaranya, hutang sewaktu belajar.  Ada rakan-rakan yang menuntut hingga ke peringkat Ijazah dan Sarjana terpaksa membayar sehingga RM300-RM500 sebulan.

Besar juga nilai tersebut ya?  Kalau mereka tipu saya, tak tahulah pula.  Saya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman sepanjang bergelar pelajar.  Nama pun pinjaman, kenalah langsaikan.  Duit itu kelak untuk kegunaan generasi akan datang pula.  


Puaslah rakan-rakan yang tersepit ini memikirkan jalan keluar.  Jika saya sendiri, buntu juga dibuatnya.  Nak sertai mana-mana MLM bimbang tak akan dapat hasil seperti orang lain.  Benda-benda ini semua, selain tuah kepakaran dan networking juga harus ada.  Kalau tidak memang tak mampu untuk berkembang.


Nak saya cadangkan supaya berniaga, segalanya perlu modal.  Sedangkan nak bertahan sampai cukup bulan sahaja dah menahan nafas setengah mati, inikan nak menyediakan modal.  Mungkin dengan buat kerja sambilan boleh membantu, tetapi nanti anak-anak terabai pula.


Tapi bila difikir-fikir dan asyik membayangkan itu tak boleh ini tak boleh, sampai bila pun tak akan menjadi sebenarnya.  Boleh sahaja nak lakukan segala perkara yang saya sebut tadi, janji kena berani dan terus berusaha.  Dalam Islam sendiri mengatakan 99% hasil di dunia ini adalah dari perniagaan.  MLM pun berniaga juga jadi tak salahlah cuma biar kena dengan gayanya.

Bukan tak ada rakan-rakan saya berjaya tapi tak kurang juga yang gagal melalui MLM.  Bergantung kepada nasib sebenarnya.  Eh, saya bukan nak promosikan sebarang program MLM ye.  Tak ada satu pun yang saya sertai.  Kenapa?  Entah, tapi saya langsung tidak punya keyakinan diri.  Itu sahaja!

Berbalik pada kisah rakan-rakan tadi, mana boleh nasihat saya kongsikan bersama.  Mana boleh saya bantu, saya hulurkan.  Kalau punya kemampuan lebih, pasti saya berikan terutama bila mengenangkan anak-anak mereka.  Tapi, saya sendiri punya masalah sendiri nak buat macamanakan.  

Selalu macam tulah, bila tengah susah ramai orang mohon bantuan.  Tatkala ada sedikit kesenangan, tak adalah pula yang meminta.  Kalau ada pun semuanya jenis mengambil kesempatan.  Melihat raut wajah bila permintaan ditolak, begitu menghiris hati.  Saya membayangkan berada di tempat mereka, aduh!!  Hiba sungguh bila pergi merata memohon bantuan tetapi tiada siapa boleh menolong =( 

Inilah kenyataan kehidupan di bandar.  Nampak bergaya dan penuh kemajuan tetapi ramai merana dengan kepesatan sebegini.  Semakin hari ianya semakin menghimpit.  Takut hendak memikirkan hari depan kelak dan kerana itulah dari sekarang, payung harus disediakan sebelum hujan lebat melanda.  Jika tidak, 1001 kemungkinan boleh berlaku.  


Sebagai rakyat, berharap sangat agar Kerajaan benar-benar melihat perkara sebegini secara serius.  Hanya melalui dasar dan penguatkuasaan undang-undang boleh membantu meringakan beban sedia ada.  Tak perlu senaraikan di sini kerana saya yakin, kita semua berfikir dalam satu arus.  


Sabarlah teman sekalian, Insyaallah kesusahan hari ini akan dibalas dengan kesenangan kerana segala ujian yang Allah berikan pasti ada ganjaran menanti.  Jika tidak di sini tetapi di Akhirat kelak.  Terima kasihlah pada yang sudi membaca cebisan bicara di hari Selasa yang permai.








nota:  akan tiba masanya....


   

No comments :

Post a Comment