Followers

Monday, January 9, 2012

::Hati Mula Berbicara::

Sebagai insan di dunia ini, kita masing-masing punya jalan cerita tersendiri.  Persamaan suatu kebetulan tetapi tetap punya watak berbeza.  Melihat orang lain bahagia, tercuit sanubari bila pula giliran sendiri andainya belum pernah kecap bahagia.  Tak dapat dinafikan kejayaan, kebahagiaan, kemewahan, kesejahteraan individu lain memberi impak besar dalam kehidupan.

Jika sedang mengulit bahagia, ingin sekali menambah darjah kebahagiaan supaya miliki sepenuhnya.  Walau sedang berada dalam kemewahan, hajat hati mahu sahaja menggandakan apa yang ada sebanyak mungkin dan bagi yang belum berjaya apa pun, pasti menghitung detik bila tiba giliran diri berpeluang merasai nikmat dunia.  Inilah sifat semulajadi manusia.


Tak salah ingin menaiki ke satu lagi tahap malah setinggi mana sekali pun tiada siapa bisa menghalang.  Cuma salahnya demi mementingkan tuntutan sendiri, habis dihenyak manusia sekeliling hingga menzalimi secara dalaman dan fizikal.  Sehingga menuntut mereka-mereka yang teraniya ini berdoa supaya mendapat balasan setimpal.  Doa orang teraniya jarang tidak dimakbul Allah.

Inilah adat manusia.  Hanya ingin menjadi terbaik di kalangan yang terbaik sehingga hukum alam sering dilupakan.  Terlupa bahawa apa yang dimiliki boleh hilang dalam sesaat.  Sebelum memiliki apa dihajati, sentiasa hati berdetik untuk tidak menjadi seperti mereka yang lupakan diri tetapi bila tiba masanya, akal buat-buat lupa akan lafazan lidah tidak bertulang.  

Sepanjang 31 tahun usia, rasanya inilah pertama kali ujian besar melanda diri.  Hampir hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.  Bila dikenang-kenang, wajar sebenarnya Allah menurunkan dugaan sedemikian.  Sejak kecil, saya bukanlah seorang yang susah walau bukan dilahirkan di dalam pinggan emas.

Apa sahaja dihajati mudah diperoleh.  Dikurniakan ibu bapa yang bertanggungjawab dan limpahan kasih sayang membuak-buak, jarang permintaan ditolak.  Jika tidak ditunaikan pasti berkaitan prinsip pendirian dan bukannya kerana tidak mampu.  Saya melalui zaman persekolahan mewah berbanding rakan-rakan lain.  Setiap tahun kelengkapan bertukar ganti, buku sekolah tidak pernah melalui bantuan kerajaan, malahan belanjawan diperuntukkan sudah cukup besar dibandingkan teman persekolahan.

Walau cukup didikan Agama, tidak pasti samada selama ini saya benar-benar menghayati erti kesyukuran.  Melafazkan syukur kerap kali tetapi samada sampai di hati atau tidak hanya Allah SWT sahaja mengetahui.  Bila tiba masa kematangan menguasai diri, sedikit sebanyak kekurangan diri cuba diperbaiki.  Tidak saya menongkah langit membelah awan, tetapi sedaya upaya membawa resmi si padi.

Tidak juga pernah saya pilih teman untuk berdampingan.  Biar buruk dan compang-camping, tempang, buta atau apa sahaja seseorang itu tetap manusia.  Tidak saya bezakan fizikal dan kedudukan kerana yakin segalanya tidak akan kekal lama.  Meski tidak ramai kawan, saya tetap menerima sesiapa sahaja yang sudi sama berkelana dalam menggali erti kehidupan.  


Turun naik seperti manusia turut sama dialami.  Ada masa ketawa bergembira, namun tiba tikanya mengalir jua air mata.  Meski tidak dipinta, menggunung api kemarahan tatkala apa diingini tidak berlaku sebaik mungkin.  Bukan mudah sebenarnya menjadi insan di dunia, namun gelombang besar tsunami tidak pernah melanda hinggalah sampai waktunya.  Segala kekuatan dan persediaan dibina bertahun lamanya runtuh dibawa ombak lumpur.  Terpana diri selepas satu bencana ke satu musibah berterusan mengganas.


Setelah segalanya reda, saya merenung kembali segala apa diharungi.  Otak ligat menari memikirkan mungkin inilah masanya buat saya merasai segala kepayahan setelah selama ini sentiasa diberi peluang.  Peluang dan jalan diberi sebelum ini saya sambut hanya dengan syukur tanpa sebarang tawaduk.  Tanggungjawab dituntut sering lalai, ada masa letak tepi.  Ehwal duniawi mengatasi segalanya.

Di samping itu, kita sering bersangka baik.  Benar tidak sama sekali mengharap balasan atas segala bantuan pernah dihulurkan tetapi jauh disudut hati sentiasa berdoa moga satu hari kelak, andai berhadapan masalah, Allah akan buka pintu hati insan-insan yang dipinta membantu.  Ini semua hasil baja yang disemai sewaktu memberi pertolongan buat insan lain.  Ikhlaskah saya?  Biar Allah mengadillinya.


Sayangnya, manusia tidak pernah berubah, malah pepatah-pepatah sedia ada terpaksa diiakan dalam diam.  Ketawalah kita sekuat mana, menangis hibalah kita sewaktu bersedih, tetapi jika anda seorang yang berada dalam kesenangan waktu itu, ketawa anda bersambut dan airmata anda ditadah dengan rela hati.

Tiba di keadaan sebaliknya di mana sedang merintih susah, ketawa itu menjadi racun, air mata dianggap pembunuh oleh sekeliling.  Satu persatu mengundurkan diri.  Tidak cukup dengan itu, sila bersedia untuk dikecam, ditikam, dipijak dan pelbagai lagi.  Kita akan terduduk tidak bermaya, tak mampu lagi mengangkat wajah dan secara jujur tiada lagi bisa menyambut kita selayaknya.  

Itu yang saya hadapi, bukan saya sahaja malah seluruh ahli keluarga.  Mujur tidak merempat, jika tidak kelak jadi calon gelandangan.  Setahun mencari arah tuju, semakin susut teman sekeliling malah ada menawar diri untuk berundur.  Pada waktu itu terus berfikir di mana harga kebaikan ditabur selama ini?  Di mana nilai diri di mata mereka yang selama ini puji melambung?

Namun syukur kerana Allah tahu hikmah disebalik segala ini.  Jika tidak diuji, saya terus alpa dengan apa sahaja dimiliki.  Mungkin tiba masanya Allah tentukan untuk saya buat saringan supaya tidak dikelilingi manusia hipokrit dan hanya berlandaskan kesenangan.  Perit untuk terima kenyataan tetapi inilah hakikat.  

Kerana itu saya tidak boleh sentiasa mengeluh atas apa terjadi.  Banyak kebaikan tanpa disedari dek kerana taring masing-masing mula berkilau hanya waktu susah.  Bukan setakat itu, menambah pula beban yang sedang ditanggung, seolah tidak peduli lagi siapa diri ini.  Yang penting hajat di hati harus dipenuhi.  

Beberapa individu telah saya pangkah dalam hidup.  Sampai bila biarlah masa dan keadaan menentukan.  Saya bukan Malaikat waima Rasul kerana itu hati saya tidak terlalu tulus untuk memaafkan segala kesalahan mereka lakukan buat saya dan keluarga.  Mungkin saya perlu menanggung dosa, tetapi biarlah.  Apa saya punya pilihan lain sedangkan hati penuh nanah?

Tidak dihalalkan sedikit pun sekiranya ia adalah hak kami sekeluarga.  Biar menjadi darah daging, hak tetap hak.  Betapa seksanya hari-hari dilalui.  Kekusutan, kekalutan tidak pernah berhenti melanda.  Mana mungkin saya lupakan sebegitu mudah dan kerana itulah saya biarkan sahaja masa sebagai penentu.  Setakat ini tiada sebarang huluran maaf dari saya.  NOKTAH!!!

Ah, terlalu panjang saya meluahkan.  Banyak lagi terbuku tetapi tidak untuk di sini barangkali.  Nanti tanpa disedari membuka aib sendiri dan insan lain.  Apa pun, berharap sangat mentari kembali bersinar dan beri kepercayaan masih ada peluang lagi untuk terus bernafas.  Biarlah ini menjadi kemuncak kepayahan dan secara perlahan nasib sedia ada akan berubah.





nota:  terima kasih atas pelajaran berharga ini wahai individu-individu...

 

No comments :

Post a Comment