Followers

Thursday, January 12, 2012

::Padamkan Api Amarah::

Marah, geram, benci adalah sifat semulajadi manusia.  Jangan menafikan yang kita tidak memilikinya.  Beraura negetif tetapi jika kena pada tempatnya ia boleh bertukar menjadi positif.  

Sebahagian dari kita mampu mengawal perasaan sebegini sehinggakan tiada siapa dapat mengetahuinya.  Sebaliknya, ramai dari kita jika berhadapan dengan emosi sebegini mahu dihamburkan sahaja supaya lapang di dada.

Berada di dalam keadaan marah, boleh hilang pedoman seketika hingga menjejaskan diri sendiri.  Adalah lebih baik sekiranya ia berjaya dikawal kerana sifat amarah meluap ini turut merupakan agenda syaitan yang sentiasa menghasut hamba Allah SWT.

Walau merupakan anak sulung, sifat panas baran tidak saya miliki.  Jarang-jarang bukan?  Dalam banyak hal saya lebih suka mengundurkan diri dan melupakan sahaja marah di hati.  Saya tidak mahu memarahi juga tidak mahu dimarahi, kerana itu saya sentiasa menjaga perhubungan sedia ada sebaik mungkin.

Tidak pernah saya menghambur sumpah seranah di hadapan individu, walhal ada ketika ingin sahaja menjerit pada individu tertentu yang bertindak melampaui batas.  Tetapi itulah saya.  Awas, sekiranya saya melakukan sedemikian di muka sesetengah orang itu beerti selamanya manusia itu akan dibenci!

Kadangkala sedih juga apabila diri sendiri sebaik mungkin menahan sabar, menahan geram di hati dari membuak keluar demi menjaga hati sekeliling tetapi tatkala tiba giliran mereka, tidak pula pernah terfikir akan hati dan perasaan kita ini.  Secara spontan pastinya saya kecewa.

Menjadi terlalu baik susah, sebaliknya juga payah.  Mungkin takdir telah menentukan saya sebegini.  Di mana agaknya saya peroleh ketenangan dalam segala hal?  Namun jangan disangka ketenangan itu tidak berkocak di dalam.  Cumanya saya tidak menggunakan pendekatan meluahkan secara terangan.  Paling tidak saya bersendirian dan menelan segala apa dilalui dengan linangan air mata.

Saya yakin, bukan saya sahaja mempunyai sifat sedemikian.  Ramai di luar sana berkongsi rasa dan saya faham apa yang dilalui dan dirasai.  Bukan mudah menjaga sekeping hati.  Hari ini mungkin berjaya dipelihara semula, esok lusa tiada siapa ketahui.
 
Bagi yang sering tidak dapat mengawal perasaan, padamkanlah api kemarahan itu segera dan ingatlah akan ada hati terguris dengan kegagalan menahan gejolak perasaan.  Ia mungkin meninggalkan bekas mendalam dan hilang hormat.  Tidak perlu terlalu mengikut hati, banyak-banyakkan beristighfar.  Mereka yang berjaya melawan bisikan jahat ini akan sentiasa peroleh kemenangan.

 
nota:  kerana pulut santan binasa....

No comments :

Post a Comment