Followers

Tuesday, January 10, 2012

::Pengalaman Bekerja::

Dalam tak sedar, tahun ini genap 7 tahun saya tidak bergelar pekerja makan gaji.  Satu tempoh agak lama dan sekiranya saya masih lagi bernaung di bawah mana-mana organisasi, mungkin saya puas menikmati hasil tuaian.  Ini juga beerti selama tempoh tersebut saya telah berkhidmat dengan penuh dedikasi bersama organisasi keluarga tercinta (dedikasilah sangat!!!)

Saya mula bekerja seawal usia 20 tahun, itu pun setelah rezeki belajar di pusat pengajian tinggi awam tidak panjang.  Satu percaturan yang saya akui salah sendiri tetapi sudah terlambat untuk perbaiki lantas apa lagi pilihan saya ada melainkan dengan bekerja.  Tetapi walau bekerja, saya tetap tamatkan pengajian hingga ke peringkat tinggi.  Sekurang-kurangnya saya berbangga dengan pencapaian sedia ada.

1
Jawatan pertama yang disandang adalah sebagai setiausaha kepada seorang GM di sebuah syarikat permotoran terkenal.  Pengalaman baru dan seronok tetapi sayang jodoh bekerja tidak panjang .  Antara sebab saya mengundurkan diri kerana gaji yang tidak seberapa.  Sebenarnya gaji agak tinggi cumanya saya peroleh kerja tersebut melalui agensi pekerjaan.  Oleh itu, setiap bulan separuh dari gaji terpaksa dipotong dan dibayar ke agensi.  Bayangkan saya hanya mendapat lebih kurang RM900 sahaja, gaji seorang kerani tetapi berjawatan setiausaha.

Untuk syarikat serapkan saya ke dalam organisasi tersebut agak sukar kerana pada awal mereka hanya mencari pekerja kontrak.  Bila bos saya ketahui hal tersebut, dia cuba membantu tetapi prosedur melepaskan saya dari agensi agak sukar dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa :( melainkan saya tidak lagi terikat dengan agensi.   

Saya mohon berhenti dari agensi dan mula mencari pekerjaan lain memandangkan mungkin saya tidak ada lagi tempat di syarikat permotoran itu.  Setelah saya menerima tawaran lain, baru tawaran dari mereka sampai ke tangan.  Nak buat macamana, terpaksa saya tolak dengan baik dan dah memang tersurat rezeki saya tidak di situ.  

Senang berkerja di sana dan kelompok pekerja adalah di kalangan orang Melayu, beberapa orang bangsa lain termasuk pekerja luar negara.   Mereka banyak membantu dan tidak putus-putus memberi tunjuk ajar lantaran saya dikira mentah dalam dunia pekerjaan.  Memang ada sana sikit masalah tetapi saya anggap ragam pejabat, mana mungkin kita dapat puaskan hati semua orang!  Apa pun, mereka di sana banyak memberi pengalaman berharga dan panduan untuk saya menjadi seorang pekerja yang baik.

2
Dek mengenangkan nasib tak berapa seronok dengan apa yang agensi pekerjaan lakukan, lantas saya menawarkan diri untuk bekerja dengan keluarga sendiri.  Pada waktu itu, GP sememangnya telah berjaya sebagai seorang usahawan.  Bolehlah, ada rezeki sedikit.  Kebetulan pula GP ada membuka syarikat baru, saya terus dihantar ke sana.  

Bukan sebagai seorang ketua ya, bekerja sebagai pembantu tadbir sahaja.  Senang cerita saya berada di rank terbawah.  Memang bukan sikap GP untuk meletakkan anak dia di tempat selesa.  Tiada siapa pun kenal saya pada awalnya, hanya bila melihat pada nama barulah mereka mengetahuinya. 

Apa pun saya suka kerana dapat belajar banyak perkara baru terutama hal ehwal pengurusan kilang dan inventori.  Rakan kerja saya semuanya berbangsa Cina, hanya saya seorang sahaja berbangsa Melayu.  Bayangkan bagaimana saya berhadapan dengan karenah dan gelagat mereka, tetapi secara jujur saya lebih senang bekerja dengan mereka jika dibandingkan dengan bangsa sendiri.  

Walau berbeza bahasa dan gaya pergaulan, saya tidak pernah disingkirkan.  Jarang-jarang mereka berbual di dalam bahasa ibunda.  Hanya jika saya tiada bersama barulah mereka menggunakan bahasa lain.  Benar, andai mereka kutuk mahupun mempersendakan saya pastinya saya tidak ketahui tetapi dari segi profesionalisme, sememangnya mereka sangat profesional.

Jauh beza hendak dibandingkan dengan kaum sendiri.  Kenapa dan mengapa tidak perlu saya ulaskan hanya yang pernah melalui pengalaman sahaja dapat faham situasi sebenar.  Apa yang pasti, Melayu memang tidak dapat menghindarkan diri dari sifat PHD yang sebegitu tebal.  Dalam hal-hal tertentu, seniority lebih penting dari jawatan sehinggakan sewenangnya seorang penyambut tetamu boleh mengherdik pegawai atas hanya kerana dia lebih lama berkhidmat dari orang lain (sekadar mengambil dari cebisan pengalaman).

Sekali lagi, rezeki tidak menyebelahi GP dan juga saya.  Beroperasi hampir setahun lebih, syarikat terpaksa ditutup.  Lagi pula waktu itu, keadaan ekonomi negara sangat tidak kukuh.  Sektor perkhidmatan import tidak mampu bersaing dengan syarikat gergasi sedia ada.  Dari bertambah rugi, GP dan rakan kongsi mengambil keputusan drastik.  

Hampir 3 bulan juga saya menjadi penganggur terhormat.  Untuk masuk ke syarikat induk yang diketuai GP, saya mula tidak berkenan kerana banyak masalah dalaman melibatkan rakan kongsi.  Jadi adalah lebih baik saya menjarakkan diri dan membina kerjaya sendiri.


3
Puas menghantar resume, akhirnya sangkut juga dengan sebuah syarikat kontraktor kelas A.  Sebuah syarikat besar dari Sabah.  Banyak projek-projek kerajaan telah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.  Mereka membuka cawangan di Kuala Lumpur bagi urusan korporat dan hal-ehwal berkaitan perkara di Putrajaya.


Saya dilantik sebagai Pembantu Peribadi kepada Ahli Lembaga Pengarah.  Satu kerjaya yang mencabar kerana setiap hari saya berdepan dengan lebih dari 3 orang ketua.  Secara total saya punya 6 ketua.  Ada yang masuk pejabat setiap hari, ada yang masuk mengikut rutin.  dan ini adalah pertama kali saya berkhidmat dengan golongan Bumiputera Sabah ;).  Pandai jugalah saya bertutur bahasa-bahasa Sabah.


Di sinilah saya belajar mengenai karektor seseorang bila berpangkat, punya gelaran dan ketua.  Bukan senang kerana masing-masing punya ragam dan prinsip tersendiri.  Banyak harus dibelajar dalam mendalami kehendak dan kemahuan mereka.  Tiada pembantu diberikan kepada saya, tetapi saya puas dalam menjalankan tugas.


Banyak juga perkara dipelajari terutamanya perihal kontraktor, dokumentasi berkaitan, permohonan lesen-lesen kontraktor, berurusan dengan penjawat awam dan macam-macam lagi.  Seronok dan penuh dengan ilmu, tetapi mengapa saya undurkan diri?  Saya merasakan insecured apabila syarikat sudah tidak dapat projek baru dan pekerja-pekerja sedia ada mula meninggalkan organisasi.


Dalam masa yang sama saya ingin pekerjaan yang lebih terjamin.  Bimbang juga sekiranya sesuatu terjadi, kerana by that time saya telah punya komitmen sendiri termasuklah hutang-hutang yang biasa kita lakukan di dunia ini.  Mohon berhenti kerja tetapi masih belum mencari kerja baru.  Berani juga sebenarnya!!  Pengalaman di sanalah banyak mendewasa dan mematangkan saya sebagai seorang pekerja.

4
Sebelum berhenti saya tinjau juga mana-mana peluang yang ada.  Kemudian GM pula menawarkan kenapa tidak balik sahaja ke syarikat sendiri, kebetulan waktu itu telah banyak perubahan berlaku.  Anasir-anasir luar telah ramai yang tiada.  Kiranya GP dan beberapa orang dipercayai sedang berusaha keras menaikkan syarikat.


Kebetulan, sebuah projek baru dalam tangan.  Projek besar punya masa depan.  Saya berjumpa dengan pegawai berkaitan dan bertanyakan peluang pekerjaan baru kemudian saya mohon melalui GP.  Makanya bermulalah kehidupan saya sebagai salah seorang pengusaha syarikat yang diterajui oleh GP, beberapa rakan kongsi serta diketuai oleh adik lelaki saya sendiri, Macho Man.


Ramai bertanya tidak janggal ke bekerja di bawah supervisor adik?  Sudah tentu tidak sama sekali kerana kami berlainan tanggungjawab.  Saya lebih berada di pejabat dan dia menghabiskan banyak masa di tapak projek.  Sekali sekala saya turun membantu mengikut keperluan.

Dalam pada itu GM mengambil kesempatan dengan membuka syarikat sendiri.  Belum yakin untuk punya pekerja, saya menjalankan dua tugas dalam masa yang sama. Membantu pengurusan GP dan menguruskan syarikat GM.  Semua ini ibarat permata berharga dari saya. 

Menguruskan syarikat sendiri berbeza benar cabarannya.  Setiap apa kita laksanakan harus memikirkan periuk nasi pekerja-pekerja yang bernaung di bawah payung.  Perut mereka harus diisi dahulu.  Jika kita yang harus berlapar, jangan heret mereka sama.  Pegangan itulah yang digenggam kerana berniaga ni kadang-kala pendapatan ibarat pasang surut air.  Jika tiada persediaan rapi, boleh hanyut.

Nak kata berjaya pun tidak, nak kata gagal pun tidak tetapi hasil selama bersama syarikat keluarga bolehlah kami sekeluarga menikmati sedikit kesenangan dan membuat simpanan mana perlu, cuma tidaklah semewah para jutawan di Malaysia. 

Kita hanya mampu merancang, Allah menentukan segalanya.  Bila segalanya milik sendiri, susah senang harus dinikmati bersama.  Ujian besar Allah turunkan membuatkan kami hampir lumpuh.  Berusaha keras memastikan segala usaha sebelum ini tidak hilang begitu sahaja.  Perit benar dugaan tersebut namun redha.  Yang penting kami sekeluarga tetap bersatu. 

Hari ini, sekali lagi saya menganyam impian bersama keluarga.  Jatuh bangun tetap bersama keluarga.  Mungkin benar, jika saya sertai mana-mana organisasi pastinya jauh lebih berjaya dengan menggunakan segala pengalaman kerjaya dan taraf pendidikan boleh tahan tinggi.  Inilah suratan, Allah telah tentukan kejayaan dan kegagalan saya adalah bersama orang-orang saya sayangi.  Sedar tak sedar telah 7 tahun saya mengharunginya.  


Untuk kesekian kalinya, saya berdoa moga Allah memandangkan kami dengan belas ihsan untuk dipermudahkan segala urusan.  Bila saya mengambil keputusan untuk bersama keluarga, apa jua rintangan akan saya cekal depani kerana inilah periuk nasi dan ini jugalah masa depan.  


Pengalaman bekerja rakan-rakan bagaimana pula agaknya?  Jika ada yang sudi berkongsi, masukkanlah ke dalam entri di blog anda untuk tatapan kami semua






nota:  susah untuk orang faham sebenarnya...





 

 

 

2 comments :

  1. menarik entry akak ni...sy dah pernah buat..akak leh baca nanti disini http://nurmimy.blogspot.com/2009/07/la-la-kerjalah.html

    ReplyDelete
  2. Tq 4 dropping by =) nnt akak nk baca jgk la entri adik nie...maybe pernah baca tp x ingat...

    ReplyDelete