Followers

Monday, March 26, 2012

::Kembali Bersua::

Lama sungguh tidak bermain kata-kata di sini.  Terlalu banyak perkara berlaku sekelip mata, segala menguji tahap keimanan dan juga kesabaran.  Selebihnya, saya sendiri tidak punya kekuatan untuk berhadapan dengan diri sendiri.

Kini, sedang cuba menajamkan kembali menguntai ayat sewajarnya atau paling tidak menanam momen indah di ruang peribadi ini.  Melewati minggu-minggu penuh warna saya yakin semakin hari semakin cekal untuk meneruskan kehidupan.

Insyaallah, akan ada sedikit coretan yang kini segala intipati sedang berlegar-legar di ruang minda.  Seperti biasa, andai ia berguna dan bermanafaat mari kita panjangkan pengetahuan tersebut.  

Andai entri tersebut kosong dan sampah, biarkan di situ kerana tidak berguna buat sesiapa tetapi sesuatu indah buat diri ini.

Selamat memulakan minggu baru rakan maya!!!



nota:  mencari damai di hati...  

Tuesday, March 6, 2012

::Memancing di Pulau Ketam::

Kesedihan di hati masih belum berlalu tetapi waktu dan hari akan tetap beredar tanpa menunggu walau sesaat.  Mencari kekuatan untuk terus berhadapan dengan hari mendatang.  Okey switch off kisah duka lara, mari mencari sedikit kegirangan di hati.

Kita balik ke tahun 2011 =) Biasalah, bukan blogger sejatikan.  Semuanya akaun tertunggak.  Waktu cuti Krismas yang lalu Abang sibuk ajak turut serta kawan-kawan dia pergi memancing.  Tanya punya tanya terus setuju sebabnya tempat belum pernah sampai.

Mesti ramai hairankan kenapalah aktiviti ramai lelaki pun sibuk nak selit?  Bukan saya suka-suka sibuk tetapi kekasih hati ni desakkan dia lain macam!  Timbang tara pelbagai faktor juga dan bukan main tangkap muat sahaja untuk turut serta.

Kali ini mereka memancing di sebuah kelong terletak di Pulau Ketam.  Menaiki bot berhawa dingin dari Pelabuhan Klang.  Harga tiket RM10 seorang.  Bot memanglah sejuk dan besar tetapi tak sangka pula sesak yang amat.

Jangan tak tahu ramai sebenarnya penduduk di Pulau Ketam ni dan mereka menggunakan bot sebagai penghubung di antara rumah dan darat.  Sepatutnyalah pun banyak perkhidmatan bot di pelabuhan.

Pemandangan dari tempat letak kereta.  Alhamdulillah selamat meninggalkan kereta seharian, tetapi kena bayarlah ya.  Kalau tak silap RM7

Apa yang kurang menyenangkan, pengusaha seboleh mungkin memadatkan bot tersebut.  Aduhai, sudahlah tempat duduknya ngam-ngam untuk badan bersaiz biasa.  Langsung tidak punya ruang di hadapan.  Akibatnya, barang-barang terpaksa ampu di kaki.  Hilang keselesaan perjalanan.

 Ruang kecil dengan begnya banyak.  Maunya tak, dengan beg baju, beg laptop, beg peralatan.  Sudahnya laptop tak pakai pun.  Bergulung dalam selimut kena sengugut!

 Tengok di belakang bot sampai ada sanggup berdiri kerana tidak selesa dengan kerusi disediakan.  

Perjalanan memakan masa lebih kurang 30 minit untuk tiba ke Pelabuhan Pulau Ketam.  Rupanya bot-bot ini boleh melakukan pit stop ke beberapa pelabuhan kecil.  Mungkin mereka dah biasa dengan penumpang tersebut.  

Terfikir seketika, tidakkah penduduk Pulau Ketam mengimpikan arus kemodenan?  Tidakkah mereka jemu dengan kehidupan sebegini, menggunakan bot untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat?

Paling tidak menginginkan tempat berlibur seisi keluarga.  Di sebalik persoalan tersebut, saya terfikir mungkin pendapatan menjadi hamba hasil laut menguntungkan dan kerana itu mereka sanggup melupakan apa sahaja ada di tanah besar.  

Yalah, siapa tahu rumah mereka lebih besar dari kita pakej kelengkapan segalanya.  Hak milik sendiri pula tu, sedangkan kita yang hidup di bawah kencang arus pembangunan belum mampu punya aset sebegitu.


Saya boleh katakan hampir 90% majoriti penduduk Pulau Ketam berbangsa Cina.  Jika ternampak kelibat bangsa lain, kebanyakkan hanya datang punya tujuan khusus dan bukannya sebagai penghuni alam Pulau Ketam.


 Gambar di atas merupakan antara kediaman penduduk Pulau Ketam dan juga bangsal bot nelayan.  Teringat filem Bisikan Cinta era 90-an lakonan Azhar Sulaiman dan Maria Farida.  Lokasi penggambaran di lakukan di Pulau Ketam dan sehingga hari ini tidak banyak  berbeza.  Tak tahu pula kalau naik ke atas, mungkin pemandangan sedikit berbeza.

Bila tiba di jeti, ingatkan sudah sampai ke destinasi tujuan.  Rupanya tidak, terpaksa menaik sebuah lagi bot kayu untuk ke kelong tersebut.  Bot kali ini lebih bertindak sebagai teksi air.

Lebih banyak perhentian kecil akan dilalui, walaupun hanya seorang sahaja penumpang yang akan turun di situ.  Tambang dikenakan RM5 seorang bagi satu perjalanan dan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai ke kelong.

Sempat bergambar menantikan kedatangan sebuah lagi bot untuk ke destinasi berikut


                                         Pemancing-pemancing tegar


   Perjalanan perlahan membuatkan mereka semua serasa tidak sabar untuk tiba ke destinasi

Boleh tahan juga kelong tersebut.  Sayangnya saya tidak punya gambar keadaan sekeliling kelong untuk dikongsi.  Ruang memancing selesa, bilik persinggahan bersih dan kemas, bilik air bersih.  Pendek kata tidak perlu risau hal keselesaan. 

Sesuai jika bercadang membawa keluarga bersama.  Sewa bilik RM35 satu malam dan sebatang pancing dikenakan RM10.  Kiranya sesiapa tidak bercadang untuk bermalam pun boleh atau hanya ingin bermalam tanpa mahu memancing.

Masalah cuma satu, tiada kedai menjual makanan berat.  Yang ada hanyalah makanan ringan dan minuman.  Bawa bekal secukupnya kerana pasti akan kelaparan.  Mereka ni semua siap bawa dapur untuk memasak.

Secara keseluruhan memuaskan, hanya hasil tangkapan agak kureng sedikit.  Bukan rezeki mereka barangkali.  Tetapi tetap ada dari tiada langsung.  Nak cerita lebih-lebih hal memancing pun tak boleh sangat kerana tidak turut serta.

Sedang asyik bermalas-malas di atas tilam dek hujan melebat, tiba-tiba perut sakit lain macam.  Rupanya kedatangan mengejut 'rakan baik'.  Apa lagi, dalam keadaan sejuk melampau bergulung dalam selimut menahan sakit amat sangat!  Nasib baik payung tersedia sejak awal.  Kalau tidak mahu ada yang pulang jam-jam tu juga.  

Keesokkannya pulang jam 10 pagi menaiki bot laju pula.  Tambang RM10 seorang sedikit mahal dari semalam tetapi perjalanan terus ke jeti Pelabuhan Klang.  

Tak seronoknya, pemandu bot bawa melaju tak ingat dunia.  Melambung-lambung kami penumpang.  Bagi mereka tiada apa-apa tetapi buat kami yang jarang-jarang menaiki bot pasti rasa cuak.  Buat terbaliklah bot tersebut tak ke naya!

Sesiapa bercadang nak ke sana, boleh nanti saya minta nombor telefon dari rakan-rakan Abang.  Katanya tempat tersebut ibarat pisang panas, ramai berminat ke sana kerana hasil pulangan lumayan. 

Saya?  Cukup sekali rasanya.  Melainkan jika pergi dengan orang lain untuk memberi keseronokan berbeza.

  Abang bersama rakannya Din


Masing-masing sibuk menyediakan senjata ke medan perang

Keadaan huru-hara sebelum melepaskan umpan.  Sayangnya tidak sampai setengah jam, langit gelap dan disusuli hujan lebat



 Bersama hasil tangkapan.  Walau tidak memuaskan cukuplah buat mereka menghilangkan gian memancing



Bergambar sebelum menaiki bot untuk pulang




Datang menaiki bot kayu, pulang menaiki bot laju

   




nota:  aktiviti berjalan terakhir buat 2011  

::Isnin Yang Sedih::

Melewati Isnin dengan penuh rasa gundah gulana bercampur baur kesedihan.  Sukar untuk dirungkai dan hanya yang mengetahui sahaja mengerti.  Jika benar ianya kenyataan, entahlah.  Remuk redam hati bakal berkecai seribu.

Sudahlah tidur malam disulami mimpi.  Mimpi secekak rambut di kepala jatuh berguguran.  Tatkala terjaga, perkara pertama mencari maksud tersirat disebalik mimpi menggunakan pencarian enjin Google.

Maksud mimpi akan menerima perkhabaran sedih.  Hati dan badan sudah meremang semacam dan mula kalut, walaupun tidak seharusnya berfikiran jauh.  Tatkala keluar melangkah dari kamar tidur, memang benar berita sedih sedang menanti.

Allahuakhbar!!  Dugaan apakah pula kali ini?  Apakah hikmah di atas segala apa yang sedang berlaku?  Automatis momentum jatuh mendadak, hilang semangat di hari dan minggu baru.  Hati menangis kesekian kalinya.

Terbayang di mata kesukaran hari mendatang tersedia menanti.  Bukan tidak redha dengan rencana Allah, tetapi.... Hanya yang mengalami sahaja mengetahui rasa bagaimana sedang dilalui.  

Secara kebetulan Allah mendatangkan cuti khusus buat kaum Hawa.  Lari jauh dari pusingan sepatutnya, barangkali kerana tekanan melampau.  Mujur tidak disulami sakit teruk seperti selalu.  

Oleh itu tidak dapat mengadu domba kepada Maha Pencipta.  Jika tidak pasti berjurai air mata sewaktu menadah doa selesai solat.  Ya, waktu itulah ketenangan yang mendamaikan diperoleh.  Serasa ringan segala beban tersarat.

Waktu ini sedang menabahkan hati dan redha dengan segala kemungkinan bakal berlaku.  Jika sudah tersurat akan rezeki itu, sesusah macamana pun ia tetap menjadi milik tetapi jika sebaliknya, buatlah apa sahaja ia tetap tidak akan berlaku.

Apa yang saya impikan di saat ini hanyalah satu keajaiban atas izinNya.  Buat setakat ini tiada apa lagi mampu untuk diperkatakan.  Libang libu dan penuh duka tersarat di hati.  Masih meletakkan harapan buat hari esok tetapi sudah tiada lagi tenaga seperti sedia kala.


nota:  kehilangan kata-kata secara total...


 

Monday, March 5, 2012

::Huruf Di Pangkal Nama::

Macam-macam email diterima dan terbaru menarik perhatian saya berkaitan huruf dipangkal nama turut main peranan penting dalam memberi gambaran keperibadian seseorang.    Jom semak seandainya ada persamaan.  

 A         Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai
                 menyesuaikan diri dalam pergaulan selain
                 bijaksana dan cerdas. Kelemahannya, sangat
                 mudah berasa hati, dan mudah mengeluarkan
                 kata-kata pedas ketika meluahkan perasaan
                 marah. Meskipun begitu marahnya mudah reda.

       B         Selalu tenang dalam menghadapi masalah yang
                 rumit dan membahayakan dirinya adalah ciri
                 penampilannya. Mereka juga sangat setia dan
                 penyabar, yang menjadikannya amat disenangi
                 dalam pergaulan. Kelemahannya, sangat mudah
                 tersinggung.
       C         Ramah dan pandai berbicara. Ini yang
                 menjadikannya popular di kalangan rakan-rakan.
                 Mereka tidak bersungguh dalam bertindak dan
                 selalu menganggap masalah yang dihadapi adalah
                 remeh.

       D         Pendiam, bercakap hanya bila perlu. Sopan,
                 berdisiplin dan kuat bekerja. Kelebihannya
                 itulah yang menghasilkan kejayaan dalam
                 mencapai cita-cita. Kelemahannya adalah selalu
                 bimbang dan sukar mempercayai orang lain.
       E         Pandai dan penuh pertimbangan dalam
                 menjalankan tanggung jawab. Sikapnya periang
                 bila hatinya senang, tetapi suka berdiam diri
                 apabila hatinya gundah dan boleh membuatkan
                 hati orang lain terluka.

       F         Punya pendirian yang teguh, tidak mudah goyah
                 dan keras kepala. Mereka juga sukar memaafkan.
                 Tidak setia dan amat berhati-hati bila
                 berbelanja.
       G         Kerap murung dan bersedih hati. Pendiriannya
                mudah dipengaruhi. Tekun belajar ketika
                 rakannya bermalas-malasan dan sebaliknya suka
                 bermalas-malasan ketika rakannya sedang tekun.

       H         Mudah simpati, bahasanya lemah-lembut. Tidak
                 pernah melukai perasaan orang lain. Selalu
                 tergesa-gesa dalam melakukan pekerjaan, suka
                 berkhayal dan bercita-cita terlalu tinggi.


       I         Suka memendam perasaan dan permasalahan.
                 Mereka juga mudah merasa curiga dan cemburu
                 terhadap orang lain. Suka menangis..

       J         Ramah dan murah senyuman. Mereka juga pandai
                 menyesuaikan diri dalam pergaulan. Mudah
                 merasa ragu dalam membuat keputusan dan tidak
                 tegas.


       K         Pandai berjenaka. Hari-harinya sentiasa ceria
                 walaupun perasaannya gundah. Kelemahannya suka
                 bercerita rahsia sendiri.

       L         Ramah dan pandai bergaul dan mempunyai ramai
                 kawan. Tidak suka bergosip dan mencampuri
                 urusan orang lain. Amat berhati-hati bila
                 berbelanja. Kelemahannya, tidak menepati masa.


       M         Pandai dan kreatif, suka kelembutan dan jika
                 dikongkong, mereka akan berontak. Senang
                 dijadikan sahabat, kerana mereka tidak
                 berkira. Kelemahannya, boros dan keras kepala.
      N         Baik hati dan rapi dalam berpakaian. Mereka
                 suka menghulurkan tangan menolong orang lain
                 tanpa memikirkan balasan. Kelemahannya, mudah
                 bersedih hati dan kurang percaya diri.


       O         Serba boleh. Suka memendam perasaan dan
                 permasalahan serta sukar mempercayai orang
                 lain. Akibatnya ramai yang menggapnya sombong
                 dan suka memilih teman.

       P         Pandai berjenaka dan selalu ceria. Punya
                 banyak idea dan sangat kretif. Sering
                 melakukan sesuatu yang belum dilakukan orang
                 lain. Agak pendendam dan boros.


       Q         Setia dan mudah memaafkan orang lain.. Suka
                 meluangkan waktunya untuk kawan-kawan. Keras
                 kepala, sukar diatur dan mudah emosi.

 
       R         Pendiam dan bercakap hanya bila perlu. Tekun
                 dengan kerja yang disukai dan
                 bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-cita..
                 Suka mengkritik. Dan sukar mengawal bicara
                 ketika marah.
       S         Pandai dan tekun dalam mengejar cita-cita.
                 Tidak suka pada orang yang suka memungkiri
                 janji. Kelemahannya mudah tersinggung selain
                 sukar menahan emosi. Jika sudah emosi marahnya
                 meledak-ledak.

       T         Sangat berdisiplin. Selalu mengerjakan sesuatu
                 menurut aturan buku. Tidak suka mengelamun
                 atau bermalas-malasan. Suka menonjolkan diri
                 selain senang gugup, terutama bila bersalah.
       U         Suka berterus-terang dan menyendiri. Naif
                 baginya merugikan orang lain. Tidak tahan
                 dengan kritikan dan kurang pandai menyusun
                 kata-kata jika berbicara didepan orang ramai.

       V         Tutur katanya lembut dan pemalu. Pandai
                 meyesuiakan diri.. Selain itu, mereka juga
                 pandai menguasai orang disekitarnya dengan
                 cerita-cerita yang memikat. Tidak suka

                 berterus terang.


       W         Ramah dan mudah simpati. Sikapnya amat
                 menawan. Punya toleransi yang tinggi dan
                 ringan tangan. Keras kepala dan sukar diatur,
                 tetapi hatinya boleh dilembutkan dengan
                 kesabaran dan kelembutan.

       X         Budi pekertinya halus. Suka melakukan
                 pekerjaan sosial. Mudah tersinggung dan tidak
                 akan berbaik dengan mereka yang
                 menyinggungnya.

       Y         Pendiam dan tidak suka menonjolkan diri. Ramai
                 menganggapnya sombong walaupun sebenarnya
                 mereka adalah sahabat yang baik. Tidak berani
                 mengemukakan pendapat.

       Z         Pandai berjenaka dan menyesuaikan diri dalam
                 pergaulan. Suka disapa terlebih dulu dan gemar
                 menonjolkan diri.

 Apa pun bagi saya ini semua secara kebetulan.  Telah tertulis suratan kita mendapat nama dengan pangkal huruf sedemikian, siapa kita untuk menilai lebih-lebih.  Segala yang baik datang dari Allah SWT dan segala yang buruk datangnya dari kita manusia yang lemah.

Wallahualam.... 



nota:  kreatif sungguh....

::Minggu Baru & Permainan Baru::

Salam hari dan minggu baru anda semua.  Bagaimana dengan hujung minggu?  Apa pun ia telah berlalu dan kita harus lihat ke hadapan.  Hendak berkongsi kisah menarik saya di hujung minggu memang tiada sebarang ceritalah.
 
Sejak kebelakang ini, amat ralit bermain game dalam FB sehingga tak bergerak kerja lain.  Inilah masalahnya bila perangai kebudak-budakkan.  Dulu sibuk dengan Farmville, Cafe World tetapi sampai satu tahap semua tak berusik dah.  
 
Seronok tau main game yang terbaru, Hidden Chronicle.  Bagi sesiapa yang belum cuba, apa kata mula bermain.  Jangan sampai kerja tak berusik sudahlah ya.  Ajak rakan-rakan dalam friend list main sama.  
 
   
Sampai bila akan bermain tak pasti, masih ghairah tetapi sedikit tension tak punya ramai jiran.  Bila tak ramai menghulurkan bantuan, perlahan sedikit progres permainan.  Manakan tidak, bukan ramai mana pun kawan di dalam senarai.  Kurang dari 200 orang dan itu pun mahu disenarai pendek.
 
Memang saya agak particular menerima kawan di dalam FB.  Sebahagian dari saudara mara pun saya tidak accept, apatah lagi rakan-rakan bertaraf third degree and below.  
 
Ini saya bukan grade mengikut pendidikan ke, taraf kehidupan ke, pekerjaan ke tetapi lebih kepada hubungan di dunia nyata.  Paling tidak kita mengenali antara satu sama lain dan bertegur sapa.  Bukan berkawan atas nama 'saya kenal awak, awak pun mesti kenal saya' atau pun ingin berkawan kerana dia berkawan dengan salah seorang rakan saya.
 
Mungkin ada mengatakan saya "macam bagus" sehingga tidak mahu menerima sebilangan orang untuk berkawan.  Ya, saya memilih atas beberapa faktor kerana FB bersifat lebih peribadi dan saya agak canggung untuk melepaskan sewenang-wenangnya privasi tersebut.
 
Lagi pula saya tidak mahu menimbulkan fitnah.  Saya bukan seorang manusia sempurna dan mungkin gelagat gambar-gambar serta kata-kata di sana bakal menimbulkan sedikit rasa tidak senang di hati.
 
Tetapi kita boleh sahaja berkawan di sini dan juga Twitter.  Dari gelaran kawan biasa manalah tahu kita melangkah ke satu lagi tahap persahabatan yang boleh saya gelar first degree kerana saya tidak pernah memilih siapa anda untuk berkawan.
 
Alamak, panggilan game begitu menggamit.  Nanti-nanti sambung berbicara lagi (tak tahu bila agaknya).  Kerja sedia ada belum menimbun bolehlah macam ni.  Sambil-sambil itu berfikir apa cerita mahu berkongsi di sini.  
 
SELAMAT HARI ISNIN & NO MONDAY BLUES PLEASE!!!
 
 
nota:  bermula semula menggantung kembali harapan        
 
 

Friday, March 2, 2012

::Kaabah Dari Sudut Sains::

Kembali bersua di Penghulu hari.  Masih belum ada mood nak bercerita perihal diri sendiri dan sekeliling ;(  harapnya hari ini akan memberi sedikit cahaya harapan.  Sukar untuk menterjemahkan apa dilalui di sini.

Tak apalah, saya kongsikan sedikit info berkenaan 15 perkara tentang Kaabah dari sudut Sains.  Mana tahu ada di antara kita tidak pernah dengar akan perkara ini.  Maklumat ini diperoleh dari email yang dihantar.  Semoga kita mendapat ilmu dan manafaat. 

Gambar diambil dari kamera GP sewaktu menunaikan Haji baru-baru ini

 
1.  Mekah adalah kawasan yang mempunyai graviti paling stabil

2.  Tekanan gravitinya tinggi dan di situlah berpusatnya bunyi-bunyian yang membina yang tidak boleh didengar oleh telinga

3.  Tekanan graviti yang tinggi memberi kesan langsung kepada sistem imun badan untuk bertindak sebagai pertahanan daripada segala serangan penyakit

4.  Graviti tinggi = elektron ion negatif yang berkumpul di situ tinggi

5.  Apa yang diniatkan di hati adalah gema yang tidak boleh didengar tetapi boleh dikesan frekuensinya.  Pengaruh elektron menyebabkan kekuatan dalaman kembali tinggi, penuh bersemangat untuk melakukan ibadat, tidak ada sifat putus asa, mahu terus hidup, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah

6.  Gelombang radio tidak boleh mengesan kedudukan Kaabah

7.  Malah teknologi satelit pun tidak boleh meneropong apa yang ada di dalam Kaabah.  Frekuensi radio tidak mungkin dapat membaca apa-apa yang ada di dalam Kaabah kerana tekanan graviti yang tinggi

8.  Tempat yang paling tinggi tekanan gravitinya, mempunyai kandungan garam dan aliran anak sungai di bawah tanah yang banyak.  Sebab itulah jika bersembahyang di Masjidilharam walaupun di tempat yang terbuka tanpa bumbung masih terasa sejuk

9.  Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana di situ pemusatan tenaga, gaviti, zon magnetisme sifar dan tempat yang paling dirahmati

10.  Tidur dengan posisi menghadap Kaabah secara automatik otak tengah akan teransang sangat aktif hingga tulang belakang dan menghasilkan sel darah

11.  Pergerakan mengelilingi Kaabah arah lawan jam memberikan tenaga hayat secara semulajadi daripada alam semesta.  Semua yang ada di alam ini bergerak mengikut lawan jam, Allah telah tentukan hukumnya begitu

12.  Peredaran darah atau apa saja di dalam tubuh manusia mengikut lawan jam.  Justeru dengan mengelilingi Kaabah mengikut lawan jam, bermakna perederaa darah di dalam badan meningkat dan sudah tntunya akan menambahkan tenaga.  Sebab itulah orang yang berada di Mekah sentiasa bertenaga, sihat dan panjang umur

13.  Manakala bilangan tujuh itu adalah, simbolik kepada tidak terhingga banyaknya.  Angka tujuh itu membawa maksud tidak terhad atau terlalu banyak.  Dengan melakukan tujuh kali pusingan sebenarnya kita mendapat ibadat yang tidak terhad jumlahnya

14.  Larangan memakai topi, songkok atau menutup kepala kerana rambut dan bulu roma (lelaki) adalah ibarat antena untuk menerima gelombang yang aik yang dipancarkan terus dari Kaabah.  Sebab itulah selesai melakukan Haji kita seperti dilahirkan semula sebagai manusia baru kerana segala yang buruk telah ditarik keluar dan digantikan dengan Nur atau cahaya baru

15.  Selepas selesai semua itu barulah bercukur atau tahalul.  Tujuannya untuk melepaskan diri daripada pantang larang dalam ihram.  Namun rahsia di sebaliknya adalah untuk membersihkan antena atau reseptor kita dari segala kekotoran supaya hanya gelombang yang baik saja akan diterima oleh tubuh

Wallahualam..

Betapa hebat dan besarnya kuasa Allah SWT, tiada apa jua dapat menandingi kekuasaanNya.  Moga satu hari kelak kita semua akan mendapat giliran menjadi tetamu Allah, Insyaallah..




nota:  hati digamit rasa...  

Thursday, March 1, 2012

::Entri Pertama Mac::

Terasa mahu berborak seorang diri di sini tetapi inti pati butir bicara kelabu.  Secara peribadi saya bukan seorang yang ramah tamah dan mungkin kerana itu idea bebalan tidak berapa nak ada.

Perut pula hari ni agak meragam.  Asyik nak ke tandas dan asyik nak mengeluarkan isi perut.  Sudahlah sebelum keluar memulas-mulas sampai meremang bulu roma.  Erkk??  Sesuai ke cerita sebegini??

Minggu ini masuk minggu kedua berusaha untuk tidak menjamah nasi.  Proses diet yang tidak patut dicontohi tetapi tetap menggunakannya, manalah tahu mahu bergerak sedikit angka berat badan.  Bukan ke atas tetapi ke bawah.

Pada usia sebegini, tidak lagi mengimpikan kembali langsing seperti 20 tahun lalu yang pada ketika itu berat badan hanyalah 48kg.  Cuma sejak sakit kembali menawan dua minggu lepas, ia merupakan signal supaya berhati-hati dengan berat yang dikendong.

Hari ini secara rasmi berada di hari pertama Mac.  Selamat tinggal Januari dan Februari 2012 yang punya kisah tersendiri.  Sayangnya sepanjang dua bulan tersebut segala penantian dan gantungan harapan belum berjaya diakhiri, suka atau tidak membawa ke bulan ini.

Tak apalah, biarlah terus meletakkan harapan dan berusaha, Insyaallah Allah akan pandang belas buat hambaNya ini.

Dua hari lepas lebih kurang jam 4 petang, kami keluarlah beramai-ramai ke One Utama (OU).  Baru beberapa minit dalam perjalanan ke destinasi hujan melebat tak terkata disusuli ribut.  Subhanallah, takut rasanya kerana kepala membayangkan kiamat 100 kali ganda dari apa dialami.

Mujur berada di perut kereta namun keadaan di luar memutih dek air hujan mencurah.  Rupanya pada waktu sama pokok besar tumbang berhampiran kawasan.  Itu pun setelah saya membaca blog Abang Mazidul Akmal.  Ada kenderaan gagal diselamatkan dan ada juga yang tercedera.

Terus teringat kawasan rumah pernah dilanda puting beliung dalam tahun 2010 macam tu.  Pernah saya ceritakan di sini.  Agaknya kawasan kami ini memang laluan angin kencang, kerana itulah saban tahun ada sahaja perkara sebegini berlaku.

Bila berada di OU apa lagi, menjamu mata dengan pelbagai hidangan enak dari gelagat manusia sehinggalah ke barangan.  Nak membeli-belah belum masanya lagi.  Insyaallah, satu hari nanti.


Ralit meliarkan mata, pandangan jatuh ke susuk seorang wanita rasanya Melayu yang boleh saya katakan "WOW".  Punya gaya tersendiri, wajah cantik walau agak seksi.  Sedangkan saya sendiri ternganga apatah lagi kaum Adam, mahu berpusing kepala melihat dia.

Tapi sayangnya bila dia menyisir rambut untuk diikat, nah terpampang hampir sebahagian susuk badan belakang dan dihiasi tatu.  Bila melihatkan itu, saya yakin dia bukan beragama Islam walau wajah mirip benar.  "Orang Sabah atau Sarawak barangkali?" bisik hati saya.

Menambah keyakinan, seorang jejaka berbangsa Cina datang memeluk pinggang dari belakang.  Okay, sahlah bukan Islam.  Entah macamana boleh pula kami masuk ke tandas bersama.  

Sedang dia sibuk-sibuk memperkemaskan lagi diri di hadapan cermin, beg makeup dia jatuh ke lantai.  Waktu itulah saya terkejut kerana dia menyebut "Ya Allah!" Hmm...agak-agak jika anda berada di tempat saya apa yang bermain di fikiran?

Bukan hendak memandang serong, tetapi entahlah.  Bergaya seksi, berpeluk dengan lelaki asing, walau salah tetapi biasa dilihat.  Tetapi isu tatu bagaimana pula?  Barangkali ia yang sementara.  Entahlah!

Sebenarnya kita dapat bezakan antara tatu yang dicacah dan juga dilukis.  Seyakin mana pun saya terhadap apa dilihat, mungkin ianya tidak seteruk disangka.  Apa pun saya manusia biasa dan melihat perkara-perkara sebegini sudah pasti mengusik hati.

Saya bukanlah seorang warak mahupun alim ulamak.  Tak baik menuduh gadis tersebut, percuma sahaja dosa datang bertimpa.  Cuma saya terkenangkan ini baru seorang, di luar sana?? 


Ada kawan saya pernah bercerita, tatu di belakang menandakan kelas di dalam kumpulan P**AC*R.  Ia juga memberi petunjuk siapa menjadi bos bagi mereka.  Lagi besar ia dicacah semakin mahal harganya.  Kepastian jangan tanya saya ya, ini sekadar berkongsi apa yang orang beritahu.


Mungkinkah gadis itu _ _ _ _ _ _ _?  Perkara sebegini bukan asing buat saya.  Lebih berani dari itu juga pernah saya saksikan dengan mata kepala.  Yang sadisnya anak gadis Islam sama ramai dengan bangsa lain.  Sedih tak?

Hakikat zaman penuh cabaran harus kita terima, sentiasa berhati-hati dan sebaik mungkin didiklah anak-anak kita supaya tidak tersasar dari landasan Islam.  Risau sangat dengan masalah sosial makin meruncing.

Mahunya tidak, esok lusa anak-anak di rumah akan melangkah ke alam dewasa dan bakal terdedah dengan pelbagai dakyah membinasakan.  Astghafirullahalazim!!  Minta dijauhkan perkara sebegini dari keluarga kita.

Inilah namanya ada mata pandang, ada telinga dengar, ada otak pandai-pandai menilai, ada mulut jangan melafazkan hukuman kerana tidak pasti akan segala kebenaran kisah.  Biarlah dia dengan dirinya.    



Andai benar telah jauh menyimpang, moga satu hari nanti akan kembali ke jalan benar kerana Allah itu Maha Pengampun.

 

nota:  jauh menyimpang entah ke mana-mana bercerita...