Followers

Thursday, March 1, 2012

::Entri Pertama Mac::

Terasa mahu berborak seorang diri di sini tetapi inti pati butir bicara kelabu.  Secara peribadi saya bukan seorang yang ramah tamah dan mungkin kerana itu idea bebalan tidak berapa nak ada.

Perut pula hari ni agak meragam.  Asyik nak ke tandas dan asyik nak mengeluarkan isi perut.  Sudahlah sebelum keluar memulas-mulas sampai meremang bulu roma.  Erkk??  Sesuai ke cerita sebegini??

Minggu ini masuk minggu kedua berusaha untuk tidak menjamah nasi.  Proses diet yang tidak patut dicontohi tetapi tetap menggunakannya, manalah tahu mahu bergerak sedikit angka berat badan.  Bukan ke atas tetapi ke bawah.

Pada usia sebegini, tidak lagi mengimpikan kembali langsing seperti 20 tahun lalu yang pada ketika itu berat badan hanyalah 48kg.  Cuma sejak sakit kembali menawan dua minggu lepas, ia merupakan signal supaya berhati-hati dengan berat yang dikendong.

Hari ini secara rasmi berada di hari pertama Mac.  Selamat tinggal Januari dan Februari 2012 yang punya kisah tersendiri.  Sayangnya sepanjang dua bulan tersebut segala penantian dan gantungan harapan belum berjaya diakhiri, suka atau tidak membawa ke bulan ini.

Tak apalah, biarlah terus meletakkan harapan dan berusaha, Insyaallah Allah akan pandang belas buat hambaNya ini.

Dua hari lepas lebih kurang jam 4 petang, kami keluarlah beramai-ramai ke One Utama (OU).  Baru beberapa minit dalam perjalanan ke destinasi hujan melebat tak terkata disusuli ribut.  Subhanallah, takut rasanya kerana kepala membayangkan kiamat 100 kali ganda dari apa dialami.

Mujur berada di perut kereta namun keadaan di luar memutih dek air hujan mencurah.  Rupanya pada waktu sama pokok besar tumbang berhampiran kawasan.  Itu pun setelah saya membaca blog Abang Mazidul Akmal.  Ada kenderaan gagal diselamatkan dan ada juga yang tercedera.

Terus teringat kawasan rumah pernah dilanda puting beliung dalam tahun 2010 macam tu.  Pernah saya ceritakan di sini.  Agaknya kawasan kami ini memang laluan angin kencang, kerana itulah saban tahun ada sahaja perkara sebegini berlaku.

Bila berada di OU apa lagi, menjamu mata dengan pelbagai hidangan enak dari gelagat manusia sehinggalah ke barangan.  Nak membeli-belah belum masanya lagi.  Insyaallah, satu hari nanti.


Ralit meliarkan mata, pandangan jatuh ke susuk seorang wanita rasanya Melayu yang boleh saya katakan "WOW".  Punya gaya tersendiri, wajah cantik walau agak seksi.  Sedangkan saya sendiri ternganga apatah lagi kaum Adam, mahu berpusing kepala melihat dia.

Tapi sayangnya bila dia menyisir rambut untuk diikat, nah terpampang hampir sebahagian susuk badan belakang dan dihiasi tatu.  Bila melihatkan itu, saya yakin dia bukan beragama Islam walau wajah mirip benar.  "Orang Sabah atau Sarawak barangkali?" bisik hati saya.

Menambah keyakinan, seorang jejaka berbangsa Cina datang memeluk pinggang dari belakang.  Okay, sahlah bukan Islam.  Entah macamana boleh pula kami masuk ke tandas bersama.  

Sedang dia sibuk-sibuk memperkemaskan lagi diri di hadapan cermin, beg makeup dia jatuh ke lantai.  Waktu itulah saya terkejut kerana dia menyebut "Ya Allah!" Hmm...agak-agak jika anda berada di tempat saya apa yang bermain di fikiran?

Bukan hendak memandang serong, tetapi entahlah.  Bergaya seksi, berpeluk dengan lelaki asing, walau salah tetapi biasa dilihat.  Tetapi isu tatu bagaimana pula?  Barangkali ia yang sementara.  Entahlah!

Sebenarnya kita dapat bezakan antara tatu yang dicacah dan juga dilukis.  Seyakin mana pun saya terhadap apa dilihat, mungkin ianya tidak seteruk disangka.  Apa pun saya manusia biasa dan melihat perkara-perkara sebegini sudah pasti mengusik hati.

Saya bukanlah seorang warak mahupun alim ulamak.  Tak baik menuduh gadis tersebut, percuma sahaja dosa datang bertimpa.  Cuma saya terkenangkan ini baru seorang, di luar sana?? 


Ada kawan saya pernah bercerita, tatu di belakang menandakan kelas di dalam kumpulan P**AC*R.  Ia juga memberi petunjuk siapa menjadi bos bagi mereka.  Lagi besar ia dicacah semakin mahal harganya.  Kepastian jangan tanya saya ya, ini sekadar berkongsi apa yang orang beritahu.


Mungkinkah gadis itu _ _ _ _ _ _ _?  Perkara sebegini bukan asing buat saya.  Lebih berani dari itu juga pernah saya saksikan dengan mata kepala.  Yang sadisnya anak gadis Islam sama ramai dengan bangsa lain.  Sedih tak?

Hakikat zaman penuh cabaran harus kita terima, sentiasa berhati-hati dan sebaik mungkin didiklah anak-anak kita supaya tidak tersasar dari landasan Islam.  Risau sangat dengan masalah sosial makin meruncing.

Mahunya tidak, esok lusa anak-anak di rumah akan melangkah ke alam dewasa dan bakal terdedah dengan pelbagai dakyah membinasakan.  Astghafirullahalazim!!  Minta dijauhkan perkara sebegini dari keluarga kita.

Inilah namanya ada mata pandang, ada telinga dengar, ada otak pandai-pandai menilai, ada mulut jangan melafazkan hukuman kerana tidak pasti akan segala kebenaran kisah.  Biarlah dia dengan dirinya.    



Andai benar telah jauh menyimpang, moga satu hari nanti akan kembali ke jalan benar kerana Allah itu Maha Pengampun.

 

nota:  jauh menyimpang entah ke mana-mana bercerita... 




 

   

No comments :

Post a Comment