Followers

Tuesday, April 17, 2012

::Isu PTPTN::

Sibuklah sana sini memperkatakan tentang isu pemansuhan PTPTN.  Ada yang menyokong tak kurang membantah, hak masing-masing untuk menyuarakan pendapat.  Apa sahaja baik untuk kita tidak semestinya baik untuk orang lain, betul tak?

Nak kata saya mendalami sangat isu ini tidak juga tetapi dari hari ke hari saya mengikuti perkembangan juga hujah-hujah mengapa mereka bersetuju akan pemansuhan tabung pembiayaan ini.

Pendapat saya, kajian lebih mendalam harus dilakukan kerana kedua-dua belah pihak punya kelebihan dalam mempertahankan setiap intipati pendapat.   Kedua-duanya turut ada kebaikan dan keburukan.

Isu sebegini sebaik mungkin rakyat menerima dengan fikiran matang dan tidak berpaksikan mana-mana parti politik.  Benar, pembangkang mengusulkan pemansuhan kerana selain dari memperjuangkan suara rakyat tetapi ianya juga mahu menarik perhatian pengundi.

Tetapi apabila cadangan diusul, perlaksanaan tidaklah harus diikut bulat-bulat.  Pasti ada jalan tengah yang boleh diambil bagi memastikan pendidikan terhadap generasi muda dinikmati secara berterusan.

Sayangnya, sehingga hari ini saya dapati perkara ini cuba diatasi dengan emosi yang melampau.  Dek kerana tidak sukakan antara satu sama lain, kebencian itu dijadikan senjata serangan dan bukannya dengan hujahan bijak.  

Maaf, itu pendapat peribadi saya.  Sedih melihat pertikaian sesama sendiri melalui isu hangat ini.  Kebaikkan yang wujud dipadam demi mempertahankan emosi membuak-buak.  

Sewaktu menyandang gelaran pelajar dan mahasiswa, saya tidak pernah menikmati sebarang pinjaman mahupun biasiswa.  Biasiswa itu mungkin kerana saya bukanlah golongan pelajar cemerlang terbilang.  Setakat biasa-biasa sahaja.  

Tetapi berkenaan pinjaman, bukan mahu meninggi diri tetapi Alhamdulillah keluarga mampu menyara hingga ke peringkat tertinggi.

Namun, hampir 90% rakan-rakan saya menanggung hutang PTPTN ini.  Nampak ringkas, tetapi berapa ramai dari mereka mampu melunaskan pembayaran sehingga berjaya dilunaskan?

Ada sebahagian mereka mengeluh sebaik sahaja mendapat pelan pembayaran ansuran bulanan sebelum duit disalurkan ke dalam bank.  Tetapi apa lagi pilihan yang mereka ada.  Jika tiada pinjaman yuran pengajian bakal tertunggak. 

Betullah, tiada seorang pun dari mereka tidak menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.  Malah, ada yang mampu hidup mewah sepanjang pengajian dengan bantuan kewangan.  
  
Rata-rata mereka merungut apabila dikenakan caj-caj tidak berpatutan sehingga mereka merasa terbeban.  Kadar faedah juga agak tinggi, kata mereka.  

"Jika benar Kerajaan ingin membantu, segala faedah dan caj sampingan seharusnya dikecualikan", itu kata mereka.  Tetapi kata saya pula "Kerajaan pun nak buat keuntungan juga dari segala apa yang telah dikeluarkan"

Menurut golongan peminjam lagi, sudahlah jaminan kerjaya belum tentu cerah sebaik keluar dari pusat pengajian tinggi. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.  Jika bernasib baik, saat bergelar mahasiswa sudah ada organisasi datang menyambar.  Jika sebaliknya, duduk rumah terkulat-kulat.

Saya setuju sudah meminjam sampai masa harus membayar semula.  Dalam Islam sendiri hutang tetap hutang dan ia akan membelit kita walaupun badan dan nyawa bercerai.  Cuma ada juga terfikir, andai dari awal Kerajaan tidak menawarkan pinjaman, pasti isu hutang piutang ini tidak meleret-leret.

Suara-suara lantang menyokong pemansuhan tabung PTPTN ini saya begitu yakin mereka adalah di antara yang membuat pinjaman tetapi belum melunaskannya lagi.  Tetapi ada juga sebahagian dari mereka ini benar-benar ikhlas memperjuangkan hak asasi rakyat. 

Ibarat menangguk di air keruh, apabila isu ini kuat dilaungkan mereka turut serta.  Andai berjaya dimansuhkan, segala hutang piutang tidak perlu dijelakan.  Amboi, nak senang sahaja ya!! he..he..he..he..



Tetapi bagi saya, mereka yang berhadapan dengan masalah ini pastinya mereka lebih tahu akan kebaikan mengapa perlu untuk memansuhkan PTPTN.  Kita yang melihat dari segi luaran memang menjangkakan puak-puak ini mengambil kesempatan. 

Secara logik, janganlah yang sudah meminjam itu menuntut kesamaan sekiranya pemansuhan ini berjaya dilaksanakan.  Paling tidak pembayaran lebih fleksibel dan efisyen boleh dicipta khusus buat golongan ini.


Cuba kita lihat kebaikan disebalik isu ini, sudah tentu membantu generasi akan datang.  Itu pun jika negara mampu menyediakan kemudahan pendidikan berkos rendah kepada rakyat. 


Jika tidak, rakyat terpaksalah terima sahaja tawaran pinjaman kerana harus juga kita sedar sebagai negara membangun banyak lagi perlu difikirkan dan kewangan negara harus disalurkan ke tempat yang betul.

Kita jangan membandingkan dengan negara-negara maju yang mampu menyediakan pendidikan percuma.  Ini kerana mereka sudah punya platform sendiri dan kewangan negara juga sudah cukup kukuh.

Tapi mari kita bayangkan sekiranya pendidikan percuma diberikan, alangkah indah bukan.  Bukan untuk sesiapa pun tetapi buat anak bangsa sendiri.  Sekurang-kurangnya tanggungjawab negara terhadap rakyat berjaya dilunaskan.


Paling tidak pengawalan dari segi harga yuran terutamanya bagi IPTS yang tumbuh melata.  Saya yakin rakyat Malaysia bukanlah 'sangkak' sangat hingga perlu segalanya disediakan secara percuma tetapi ada sedikit pertimbangan mana perlu

Saya tidak memihak mana-mana.  Ada pun ok tiada lebih baik.  Siapa yang tak mahu secara percuma betul tak?  Andai terpaksa berhutang demi menuntut ilmu, teruskan sahajalah kerana mencari ilmu ibarat bertarung di medan perang.  Korban harta dan kasih sayang asal dapat mengecapinya.  


Ini kerana hanya dengan ilmu sahaja dunia mampu berubah.  Amatlah rugi sekiranya hidup tidak berilmu sedangkan Agama sendiri menuntut kita mengejarnya.  Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berilmu tetapi tidak menggunakannya sebaik mungkin?! Aha....


Lagi pula harus kita ingat, perjuangan hari ini adalah demi generasi akan datang.  Demi masa depan negara tidak salah rasanya kita timbang tara perihal ini.  Hari ini kita tidak mengeluh, mana tahu anak cucu cicit kita kelak tidak begitu.


Rasanya pihak terbabit harus duduk berunding di meja bulat dan capai kata sepakat.  Isu pendidikan ini isu berterusan.  Punya rakyat ilmuwan merupakan aset negara.  Tidak perlu rasanya melampiaskan marah di antara satu sama lain dengan tindakan dangkal.


Siapalah saya untuk berhujah lebih panjang.  Nanti puak ini kata saya begini, di sudut lain  kumpulan itu berkata begitu.  Tetapi saya tidak hidup dek puji dan tak mati dek caci.  Saya mengutarakan apa tersirat dari sorotan mata seorang rakyat biasa yang cintakan kedamaian dan dalam yang sama inginkan perubahan.






nota:  bagaimanalah agaknya perjuangan generasi muda akan datang pula ya???hmm..





1 comment :