Followers

Wednesday, April 18, 2012

::Kata-Kata di Hari Rabu::

Salam Rabu alam siber!  Hows life getting on?  Bagi yang sibuk pasti butuh waktu dan sesiapa yang sedang bersenang lenang, sudah semestinya inginkan aktiviti wajar bagi memenuhi masa terluang.

Saya sendiri melewati hari-hari tanpa arah tuju.  Entahlah, segala apa dirancang seolah tidak menjadi namun mengalah bukan tujuan di dalam hidup.  Mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih baik siapa tahu.

Mustahil runsing tidak menyelubungi tetapi apa daya lagi.  Segala usaha dan doa telah dilaksanakan, hanya menanti saat dan tika sesuai memastikan segala impian bertukar realiti.  

Inilah kehidupan, lain orang lain ujian menanti.  Wajah manis melemparkan senyuman, hati menanggung hanya Allah sahaja yang tahu.  Jika tidak diuji dengan kesakitan, diuji pula dengan kepayahan malah ada di antara kita diuji dengan kesenangan.

Segala apa dilalui bakal menjadi pengalaman berharga dalam misi mematangkan diri.  Hanya melalui kematangan kita bisa menangani pemasalahan dengan kewarasan akal.  

Sepanjang menanggung ujian berterusan saya bersyukur semakin mengenali watak-watak yang wujud di dunia ini.  Tipu muslihat penuh berselirat memastikan impian terlaksana.  Ada ketika saya menjadi takut untuk bersemuka dengan mereka-mereka ini.

Yang lemah, yang lurus bakal menjadi mangsa kezaliman tipu daya.  Bila hasrat menguasai lupa saudara lupa teman.  Jika boleh tikam sehingga mati, jangan tunggu lama-lama.

Semakin saya mendekati dunia luar semakin mengenali sepak terajang kehidupan yang mencengkam.  Tertanya di benak mengapa dan kenapa manusia sanggup dan tekad melakukan sedemikian?  Tidakkah takut dengan pembalasan diturunkan?

Siapa tidak pernah buat dosa?  Janganlah menafikan, siapa kita untuk menyatakan diri sebersih kain putih?  Saya sendiri penuh corak hitam dalam lakaran kehidupan tetapi bagi saya untuk melaksanakan perkara sedemikan, entahlah...  

Tidak sanggup rasanya untuk memijak manusia lain apa lagi menipu demi meraih keuntungan.  Sudah dididik sedari kecil, biarlah hidup melata asal jangan makan hasil dari tipu kanan kiri.

Bila difikir-fikir, tak sanggup untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan golongan sebegini.  Namun, siapa kita untuk mengkelaskan sesama manusia.  Adalah lebih baik kita menerima sesiapa sahaja yang hadir seadanya.  

Kerja jahat dilakukan biar Allah menilai kerana kita tidak tahu apa motif terselindung disebalik segalanya.  Asal diri tidak ditarik di dalam jerat sama sudahlah.  Di sinilah perlunya tahap keimanan.

Satu persatu pengalaman dikutip di jalanan.  Tidak rugi bergaul dengan pelbagai ragam manusia.  Mungkin apa yang saya peroleh hanya 1% dari pentas kehidupan namun cukup setakat ini buat jadikan pedoman.

Harta dunia tidak mebawa kita ke mana.  Jika mengejar kemasyhuran dan kemewahan demi mengangkat taraf kehidupan, awas dengan apa sahaja dihajati.  Sekelip mata idaman menjadi duri dalam daging dan menjerat diri dalam permainan duniawi.

Tetapi jika setiap kemewahan itu mahu dipandu ke arah Allah, Insyaallah segala hasil walau sedikit ibarat gula yang memaniskan air sedia tawar.  

Setakat hari ini saya berterima kasih atas segala ilmu kehidupan yang berjaya diperolehi.  Mungkin benar jika Allah tidak menguji saya, saya sendiri berada di dalam zon selesa dan tidak mempedulikan apa sahaja disekeliling.

Paling tidak hari ini saya dapat melihat sejauh mana keikhlasan seseorang itu apabila berdampingan, samada wujud udang di sebalik batu.  Benar, saya hilang sebahagian dari mereka yang saya sanjung dek kesusahan yang melata tetapi Allah menggantikan dengan sesuatu penuh nilai.

Tak perlu senang dan mewah untuk merasa bahagia dan kesusahan itu bukanlah ujian yang benar-benar menguji.  Semoga Allah berterusan mengasihi diri ini dan sentiasa memberikan yang terbaik!!




nota:  bersyukur dan terus bersyukur...






 
 

 



    

No comments :

Post a Comment