Followers

Tuesday, June 26, 2012

::Merindui Seseorang::

As-salam..telah masuk hari kedua dalam minggu yang baru.  Banyak kerja yang menanti, atau hanya bergoyang kaki?  Tak kisahlah buat apa sekali pun asal jangan menyusahkan orang, betul tak?

Lagi beberapa hari Julai pula mula menjengah kalendar 2012, bermakna sebahagian dari tahun ini telah kita lalui.  Pasti banyak cerita tercoret sudah.  Apa sahaja yang telah berlalu biarkan ia sebegitu.

Entah kenapa secara tiba-tiba saya teringat akan seorang teman yang telah pergi menghadap Illahi.  Mengenali Allahyarham tidaklah begitu lama tetapi cukup untuk saya katakan betapa dia seorang insan yang baik.

Betapa beruntungnya Allahyarham di usia sebegitu muda telah dijemput ke sana.  Tidak perlu lagi berada di dunia fana.  Walau dunia ini indah, jangan lupa terlalu banyak tipu muslihat syaitan bisa menyesatkan.  

Benarlah kata orang, orang-orang yang baik ini cepat sahaja jangka hayatnya di muka bumi.  Sepanjang berkawan dengan Allahyarham saya begitu senang kerana dia sentiasa ada bila saya memerlukan.  Banyak kata-kata hikmah dilontarkan dan berpandangan jauh.  Hidup tidak berapa senang tetap berusaha mahu membantu keluarga.

Sayangnya adik-beradik Allahyarham tidak ada seorang pun yang menjadi.  Kerap juga dia mengeluh dan hiba mengenangkan nasib keluarga.  Atas dasar tanggungjawab dan kasihan kepada kedua ibu bapa, keputusan untuk tidak menyambung pelajaran terpaksa diambil.

Di saat rakan sebaya sibuk bergelumang dengan timbunan buku-buku, Allahyarham memerah keringat sehabis mungkin.  Macam-macam kerja dilakukan sementelah sedar akan kesukaran untuk mendapat tempat selesa di dalam mana-mana organisasi.

Bila Allahyarham menyuarakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga, betapa saya merasakan untungnya bakal suri di hati kerana saya kenal dia orang yang bagaimana.  Kelak kasih sayang akan dicurahkan akan terus bersemarak.

Ada ketikanya cemburu terbetik di hati melihat kebahagiaan mereka sekeluarga.  Hidup serba sederhana, tidak perlu bermewah-mewah tetapi tetap ceria.

Dibandingkan dengan saya, pada ketika itu masih lagi mencari-cari arah di dalam kehidupan sementelah usia masih lagi di awal remaja.  Ada masa jiwa muda memberontak, dia akan sentiasa menasihati kekal dilandasan seharusnya.

Kurang dari 5 tahun melayari alam rumah tangga, secara mengejut saya mendapat berita kematian Allahyarham.  Kehilangan seorang teman begitu amat dirasai.  Mengapa begitu cepat Allah meminjamkan Allahyarham, itu persoalan saya.

Usia anak baru setahun jagung tetapi sudah kehilangan dahan berpaut.  Berita sedih saya iringi dengan deraian air mata serta sekalung Al-Fatihah buat Allahyarham.  Betapa saat itu amat merindui keakraban kami.

Kehidupan harus diteruskan, dan saya yakin Allah punya rencana tersendiri.  Kembali merenung potret kami bersama dan denyut nadi saya kuat mengatakan saya rindukan Allahyarham.

Moga dia tenang di sana dan ditempatkan di kalangan orang beriman.  Terima kasih teman kerana sudi menjadi seorang sahabat yang sukar dicari.  Al-Fatihah buat Allahyarham!  




nota:  dia istimewa...  

 

 

No comments :

Post a Comment