Followers

Wednesday, July 25, 2012

::Promosi Chocodates::

Saya tolong promosikan barangan adik saya Nisa .  Sesiapa berminat boleh terus hubungi dia di nombor telefon yang disertakan.  Bagi sesiapa yang inginkan kelainan dalam menikmati kurma, CHOCODATES adalah pilihan terbaik.  Kanak-kanak gerenti sukakannya.

Klik pada imej





nota:  hari ini cerita pasal makan sahaja...

Tuesday, July 24, 2012

::Ramadan 3::

Dah nak subuh baru nak bercerita.  Macamana puasa rakan semua?  Harap tiada yang terbabas =)  Hari ini Alhamdulillah perut bersopan santun dan tidak meragam.
 
Melalui hari seperti hari-hari biasa.  Berdoa dan terus berdoa mengharapkan keajaiban.  Esok bermulalah hari yang panjang buat saya, tetapi Alhamdulillah sebelah malam dapat menonton wayang atas jemputan Nuffnang.
 
Siapa pergi esok?  Berdebar juga kerana belum pernah mengikuti mana-mana event Nuffnang.  Sudahlah tak kenal siapa pun.  Mahu keras dibuatnya. Tengoklah nanti apa akan berlaku.  Saya ni agak kera sumbang sikit perilakunya.
 
Hai, susahnya nak lelapkan mata.  Ini mesti gara-gara membedal nasi kandar jam 11 malam.  Oh ya, hari ini berbuka ala kadar.  GM dan Macho Man berbuka di luar tapi walau biasa-biasa GM masak lauk kegemaran.
 
Apa lagi, Sambal Goreng Petai.  Tak sedar dirikan!  Baru sahaja berguling sakit perut beberapa hari lalu, hari ini dengan gagah membedal selagi boleh.  Kuih-muih tiada satu terhidang.  Malas mahu menjengah ke Pasar Ramadan.
 
 Lauk-pauk yang ada.  Syukur Alhamdulillah di atas rezeki Allah SWT
 
Sempena hari raya bakal menjelma, saya ada menjual beberapa jenis kuih tapi belum berkesempatan untuk diwar-warkan di sini.  Apa kata jika anda punya masa jengah di Facebook saya.  Jika ada berkenan bolehlah buat tempahan.

Saya harus pujuk mata untuk tidur.  Esok seawal pagi mahu meredah jalan raya.  Saya berharap Allah SWT permudahkan urusan kita semua untuk esok dan seterusnya.  

As-salam....



nota:  ;)
 
 

Monday, July 23, 2012

::2 Ramadhan::

As-salam, selesai sudah hari kedua kita berpuasa.  Alhamdulillah atas segala kelancaran terhadap ibadah yang dituntut.  Bagaimana rakan-rakan pula?
 
Sedari pagi perut meragam.  Sah, gastrik!  Di mana silap saya sendiri kurang pasti.  Makan berjaga, malahan bila berbuka tidak makan semberono.  Air sejuk atau ais juga belum lagi masuk sejak berpuasa. 
 
Nasib juga boleh bertahan hingga ke penghujung hari.  Kalau tidak, sayang terpaksa melepaskan satu hari.  Mengigil juga menahan kesakitan amat sangat.
 
Sebabkan sakit, rasa ghairah untuk berbuka sedikit surut.  Tengok makanan pun semua tak berselera.  Perancangan berbuka bersama teman di luar juga tidak menjadi.  Mujur juga batal, kalau tidak jenuh juga memikirkan apa mahu dimakan.
 
Maka, Abang kata pulang sahaja ke rumah keluarga dia di Sentul.  Dah tak jadi saya pun tak kisah.  Lebih selamat makan makanan rumah, yakin dengan cara masakan.
 
Tetapi singgah juga ke Pasar Ramadhan Bandar Baru Sentul.  Sangat meriah dan ramai dengan umat manusia.  1001 satu pilihan makanan sehinggakan tidak tahu mana yang diingini.
 
Dalam tak berapa nak ada selera, terbang juga RM50.  Bernasib baik makanan dibeli semua berasa.  Kurang dosa memarahi peniaga tetapi barangan dijual boleh dikatakan mahal.
 
Majoriti kuih berharga RM0.50 - RM0.60, belum lagi lauk pauk.  Terdengar tadi, peniaga menolak jika mahu membeli dengan harga RM2.  Paling minima RM3.  Bayang makanan dengan RM1 memang susah.  Air barangkali boleh, itu pun mereka mula menjual 3 jenis air RM5.
 
Tidak bermakna bawa RM10.  Sememangnya tidak akan mencukupi lebih-lebih jika punya bilangan ahli keluarga ramai.  Nak buat macamana, harga barangan mentah semuanya mahal belaka.  Terpaksalah peniaga menaikkan harga.
 
Sampai rumah Abang nak dekat berbuka.  Siap-siap hidang terus masuk waktu.  Selera nak ambil gambar seperti semalam hilang.  Perut bergendang-gendang terpaksa menahan.
 
Sedap juga lauk pauk.  Membuka selera tetapi saya menghadkan apa yang masuk bagi mengelakkan perut terus meragam.  Bertambah pun tidak.
 
Harap-harap esok perut akan memberi kerjasama dengan baik.  Tak mahulah dirundung sakit sepanjang Ramadhan kelak sakit lain pula menyusul.  Sekejap sahaja sudah masuk hari ke-3.  
 
Apa cerita esok, nantikan ya.  Insyaallah, akan ada menyusul seandainya saya diberi kesihatan dan emosi stabil.  Hmm...esok bermula minggu baru, akan adakah perkhabaran-perkhabaran gembira buat kami?  
 
Redha dan hanya mampu bertawakkal semoga segalanya baik belaka.  Hanya Allah tahu apa bakal berlaku dan apa sepatutnya diberikan kepada umatNya.
 
Terus teringat filem lakonan Will Smith dan anaknya bertajuk The Pursuit Of Happiness di mana di sebalik segala kegagalan juga kesusahan yang menimpa, akan ada sinar pengharapan di akhirnya.  Malah, bisa merubah masa depan.  
 
Sesiapa yang belum pernah menonton, cuba luangkan masa menonton.  Sangat memberi sumber inspirasi.  Okay, saya mula merepek dan membawa anda semua membaca entah ke mana.
 
Selamat malam buat yang sudi meluangkan masa di sini, tidak lupa ucapan Selamat Bersahur!  Esok perbanyakkan ibadah ya bagi merebut ganjaran.
 
 
 
nota:  sekadar mengisi kekosongan....
 
  
 

Sunday, July 22, 2012

::Iftar 1 Ramadhan::

Alhamdulillah selesai sudah hari pertama berpuasa.  Sunat Tarawikh pun Alhamdulillah berjaya dilaksana meski secara sendirian.  Cabaran?  Syukur, tak ada sebarang kesulitan mungkin berkat kerap berpuasa sunat.

Cuma perut ada sedikit meragam, saki baki sakit dua tiga hari lepas belum surut lagi.  Cuaca pun banyak membantu, kuranglah rasa letih.  

Menjelang petang, sana sini sibuk muat naik segala perihal menu.  Teruja melihat aneka makanan menjadi pilihan.  Seronok pun ya.  Maka saya pun tumpang sibuk mengambil gambar dan kongsikannya di dunia tanpa semapadan ini :)

Gambar ini telah dimuatnaik di FB dan Twitter..he..he..he.. saja nak letak di sini juga.  Lauk di rumah biasa-biasa sahaja.  Sejak dari dahulu lagi tiada apa yang istimewa, sama seperti hari-hari biasa.

Paling tidak, ada bubur lambuk.  Kewajipan pada hari pertama dan bila-bila atas permintaan GP.  Katanya bubur lambuk ini istimewa kerana resipi turun temurun keluarga GP.

Saya kurang gemar bubur lambuk, tak tahulah bagaimana keenakkannya.  Tapi ramai dah merasainya dan memuji.  Selain itu ada juga kuih-muih dari Pasar Ramadhan.

Semua ini hasil tangan GM dan bila dapat berbuka bersama keluarga tercinta ia menambahkan keindahan bulan penuh mulia ini.  Yalah, bukan senang untuk kita berkumpul terutamanya ada diantara kami telah punya keluarga sendiri.

Moga Allah panjangkan umur kami semua dan terus menikmati suasana mendamaikan ini bersama pada tahun-tahun mendatang.

Apa menu rakan-rakan esok pula ya?  Saya sendiri tak tahu lagi, berbuka di luar barangkali.  Selamat berpuasa untuk hari kedua.  Semoga semua baik-baik belaka...



nota:  sedang berkira-kira...   

::Salam Ramadhan Giveaway::

Membuang masa menantikan mata layu, singgah dari satu blog ke satu blog.  Kebetulan, ada pula blog yang menawarkan giveaway sempena bulan Ramadhan.  Menarik juga untuk mencuba.

Lagi pula meneliti blog Sweet Lizahanum, menarik juga entri-entrinya jadi boleh juga kita memanjangkan silaturrahim di sini.  Bagi yang berminat pun boleh sahaja mencuba nasib.  Mana tahu ada rezeki.


Untuk keterangan lanjut serta syarat mudah penyertaan, boleh terus ke blog beliau.  Hadiah ditawarkan amatlah menarik, Insyaallah boleh digunakan sepanjang hayat.  Selamat berjaya dan salam perkenalan dari saya buat tuan empunya blog :)




nota:  untung nasib timbul

Friday, July 20, 2012

::Salam Ramadhan 2012::

Sebenarnya semalam ada satu entri tetapi bila buat separuh jalan, sudah merasakan ketidakrelevan entri tersebut untuk hari ini, makanya padamkan sahaja.  
 
Ini semua gara-gara dilanda sakit perut melampau dan saya mendapat pelajaran baru, PETAI dan JERING tidak boleh dimakan sekali jika tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku..he..he..he..
 
Hari sebelumnya saya makan sambal goreng petai di rumah ibu saudara.  Sambil-sambil mengambil ukuran badan buat tempahan baju kurung, sambil-sambil menyantap lauk kegemaran.
 
Malamnya pula, jumpa Nova dia bawa semangkuk sambal goreng jering, juga salah satu menu kegemaran.  Baik punya bedal, tak pandang kiri kanan.  Tapi tak habis semangkuk pun, siap bawa pulang rumah.
 
Bangung pagi, apa lagi...menggelodak perut.  Angin pun ya, rasa macam tersumbat di saluran pembuangan pun ya.  Kejap-kejap cirit birit, kemudian rasa macam sembelit, sehinggakan suhu badan tak menentu.  
 
Alhamdulillah hari ini sakit berkurangan walaupun belum sihat sepenuhnya.  Berharap sangat esok dapat memulakan ibadah berpuasa tanpa sebarang halangan.  Sudahlah takkan berpuasa penuh, ditambah pula dengan hal remeh sebegini... :(
 
Sekejap sahaja Ramadhan muncul kembali.  Bersyukur sangat-sangat Allah panjang umur kami sekeluarga dan orang-orang yang saya sayang untuk kembali menikmati keindahan bulan penuh Barakah ini.
 
Moga Ramadhan kali ini akan lebih sempurna dari yang sebelum-sebelumnya, itulah harapan kita semua.  Saya juga berdoa kali ini akan dapat melaksanakan ibadah-ibadah sampingan yang dituntut.  
 
Seharian bersama Abang hari ini sayu sahaja.  Faham akan situasi dan kerinduan ditanggung tetapi itu semua caturan Allah, siapa kita untuk menghalang.  Hasrat untuk mengunjungi pusara Allahyarham ibundanya hari ini juga tidak tercapai dek hujan melebat.
 
Bila dia terkenang, lantas saya turut terkenangkan Allahyarham Mak (Nenek), Onyang dan Nina (adik).  Jika mereka ada sekarang ini pasti meriah dan serasa lengkap.  "Ya Allah, Kau angkatlah mereka supaya berada di sisi Mu."
 
Hukum alam, setiap hidup pasti akan sampai penghujungnya.  Nasib kita sahaja belum diketahui bila tetapi untuk menolak bukan kuasa manusia.  Seandainya masa boleh diputarkan kebelakang, semua orang akan melakukannya.
 
 Gambar di ambil dari Google Image
 
Entri ini berhenti di sini dahulu, Insyaallah akan bersambung jika punya ruang.  Di kesempatan ini, saya mengucapkan SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA dan SELAMAT MERAIH SEGALA GANJARAN YANG DIPERUNTUKKAN.  Mari kita sucikan nurani dan tingkatkan ibadah.  Seandai ada kesilapan kata, khilaf perilaku, maaf dipinta.  Sesungguhnya kemaafan itulah menjanjikan segala ibadah diterima. 
 
 
 
nota:  sayu dan bersyukur bersilih ganti..     

Thursday, July 19, 2012

::Produk Masterchef Selebriti Malaysia?::

Semua pun telah mengetahui Dato' Dr Fazley telah menjuarai program Masterchef Selebriti Malaysia yang pertama sekaligus menepati ramalan ramai termasuk saya sendiri.

Sehingga hari ini saya belum berkesempatan menonton episod akhir waima menerusi siaran ulangan jadinya tak bolehlah nak memberi sebarang komentar cuma ada juga terbaca di laman maya, yang katanya pesaing Dr Fazley iaitu Angah Raja Lawak patut menang.  

Tak kisahlah siapa pun jadi juara kerana mereka bertanding demi badan kebajikan diwakili.  Secara keseluruhan pemenang menyumbang sebanyak RM57,000 ke Yayasan Jantung Negara.  

Tahniah buat kedua-dua peserta akhir tak lupa juga kesemua para peserta bagi Masterchef Selebriti Malaysia Musim Pertama.

Ternyata dengan kemenangan Dr Fazley, terbuktilah bahawa kaum Adam sememangnya pandai memasak.  Bolehlah bakar semangat lelaki-lelaki yang ada untuk memasak bagi kita kaum wanita..he..he..he..

 Gambar diambil menerusi Google Image dan blog ini

Semalam, FB MasterChef Malaysia pula muat naik gambar-gambar di bawah.  Sekadar hiburan tetapi jika menjadi realiti produk pasti akan laris di pasaran.

Hanya beberapa keping gambar sahaja yang diambil, untuk lain-lain gambar pergi sahaja ke FB Masterchef Malaysia seperti link di atas. 





dan yang akan menjadi paling...paling..paling...laris semestinya produk di bawah ini...

kih..kih..kih...Jika benar-benar ada, akan saya pastikan di rumah menggunakan produk ini.  Gerenti pedas!!





nota:  sekadar hiburan... 
 

Wednesday, July 18, 2012

::Wordless Wednesday 10::

CEPAT REBUT PELUANG!!!
 
 Di terima melalui email, jom kita kongsi!!



nota:  tak sabar....

Friday, July 13, 2012

::Sesat Dalam Rindu::

Rakan-rakan sebaya atau lebih kurang umur saya pasti kenal akan Kumpulan Damasutra, terkenal dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi. 

Okay, bukan nak berbicara perihal kumpulan ini.  Dari dulu lagi lagu-lagu dendangan kumpulan ini benar-benar memikat halwa telinga saya.  Serasa enak sahaja melayan perasaan.

Tetapi, ada sebuah lagu agak menyentuh kalbu liriknya.  Saya tidak melihat dari konteks hubungan percintaan pasangan kekasih.  Tak mengapa, cuba hayati lagu SESAT DALAM RINDU ini, lihat melalui mata hati dan akal, kaitkan dengan kehidupan.  Itu yang saya lihat.

Nak merasakan lagu ini sesuai dengan kisah percintaan pun tak ada salahnya.  Lagu ini universal dan tidak mengikat pendengar ke satu arah sahaja.  Di tambah pula dengan melodi lagu disusun indah.  Ini pendapat saya ya!

Yang pasti, lagu ini telah berada di dalam I-Tunes dan mendengarnya berulang kali setiap hari.  Mungkin episod sedih bersilih ganti, lantas alunan indah lagu begitu hampir dengan saya.  Ia punya makna begitu mendalam dan seolah menceritakan perjalanan hidup kita di dunia. 
Di ambil melalui laman You Tube.  Terima kasih kepada yang muat naik video & saya mohon kongsi di sini
LIRIK:

KU....
RESAH MENCARI MU DENGAN AKAL
DENGAN..
BERSAMA SIFAT-SIFAT PINJAMAN
KAU..
KURASAKAN SEMAKIN MENJAUH
TERSESATLAH  AKU  DALAM RINDU

KU...SATUKAN FIRASAT MENCARI MU
DAN KU...TERLONTAR DI PENGHUJUNG ALAM
KAU...MASIH TIDAK DAPAT KU JEJAKI 
BETAPA MALANGNYA NASIBKU

*  KERANA MU KU TINGGALKAN SEGALANYA
SENDIRI AKU TERPEDAYA
PUNYA AKAL DAN FIRASAT YANG TIDAK KE MANA
HANYA JALAN YANG SENGSARA

ZAHIR MUSNAH BAGI YANG MIMPI
ZAHIR ADA RAHSIA MENCARI
LALU KE SELAMI DI DALAM DIRI 

DI BAWA ARUS NAFAS KU
ASAL SERAH JANJI DAHULU
MULA HIDUP PASTI MULA CINTA

ulang *

ENGKAU KASIH DI SINI
ENGKAU KASIH ADA MENANTI
KAU KASIH AKU JUA KASIH



nota: mencari-cari jalan keluar....

::Matahari Dari Barat?::


Saya peroleh email melalui Penawarku Yahoo Group perihal Matahari dari Barat yang telah disahkan oleh pihak Nasa.  Rasanya ramai telah mengetahui akan berita ini tetapi bagi sesiapa yang tidak tahu saya kongsikan.

Sains Autonomi ada menyebut bahawa kelajuan putaran Planet Marikh sedang perlahan sedikit demi sedikit ke arah laluannya ke Timur.  Para saintis agensi angkasa lepas kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) pula mendapati pergerakan planet itu terhenti ke arah laluan tersebut.

NASA kemudian mendapati Planet Marikh telah menukar laluannya ke arah yang bertentangan, iaitu ke arah Barat, ini bermakna matahari akan terbit dari arah Barat Marikh.  Fenomena yang ganjil itu disebut sebagai "Retorgrade Motion"

Kebanyakkan saintis Barat berpendapat bahawa semua planet akan melalui fenomena yang serupa dan ini termasuklah Planet Bumi.  Apabila ianya berlaku, maka matahari akan terbit dari Barat.

Subhanllah!  Kekasih Allah Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa salah satu tanda besar yang hari kiamat akan tiba ialah apabila matahari terbit dari Barat.

Pihak NASA telahpun mendapati tanda-tanda matahari akan terbit dari Barat semasa ahli sains autonominya mengkaji pergerakan planet Marikh.  Yang mereka tidak dapat pastikan ialah tempoh masa yang bakal diambil sehinggalah semua planet melalui fenomena yang serupa.

Dapatan sains oleh NASA itu semestinya memperkukuhkan lagi iman umat Islam akan tanda-tanda kiamat.  Manusia tidak tahu bia ianya akan berlaku walaupun sudah ada banyak tanda-tandanya.  Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. 
 
Ada beberapa pautan lain boleh dibaca mengenai isu ini.  



WALLAHUALAM...




nota:  insaf dan cuba memperbaiki diri..

::Suka Duka Bersilih Ganti::

Tiada entri baru menjengah sepanjang minggu, tahu-tahu Jumaat menjelma.  Hai lah masa!  Tak memberi ruang langsung ya untuk merasa senggang.  


Sepanjang minggu Abang dikategorikan sebagai bercuti oleh itu hari-hari yang ada diisi sebaik mungkin dengan melawat pelbagai doktor di hospital.  Dah sakitkan, baiklah dapat rawatan sebaik mungkin.

Hari ini doktor lain, esok doktor lain, lusa dan tulat pun begitu.  Bukan senang dia nak luangkan masa sebegini.  Penat tak usah diratap asalkan semua berjalan lancar.

Pembukaan minggu kami sekeluarga menerima berita baik.  Syukur Alhamdulillah, segala doa dan harapan seolah telah mula dimakbulkan Allah SWT.  Saat menerima perkhabaran, satu persatu air mata gugur membasahi pipi.  Betapa Allah mendengar rayuan kami sekeluarga.

Entah kenapa hari itu air mata menjadi murah.  Bila sahaja terkenang akan perkhabaran gembira, hangat air turut mengalir sehinggakan di saat melakukan sujud syukur dengan mudah mengundang sendu. 

Betapa selama ini kami melalui pelbagai dugaan tanpa mengaku kalah dan akhirnya...  Meski masih jauh lagi perjalanan harus didepani, Insyaallah berkat doa kami semua serta perit jerih melalui pengalaman berharga akan ada kejayaan menanti.  

Sayangnya selepas melonjak kegembiraan satu per satu perkara kurang indah berlaku dan kesemuanya melibatkan aliran keluar $$$ :(  Semua itu menambahkan pening di kepala.  

Saat ini sukar untuk melelapkan mata kerana memikirkan apa lagi jalan yang ada bagi menyelesaikan segala masalah bertimpa-timpa.  

Cuba memujuk hati supaya bersabar.  Jika tempoh tiga tahun saya boleh melaluinya serta sabar menanti, tidakkah lagi boleh bertahan hanya dalam tempoh beberapa bulan?  Entahlah, bila terlintas terus runsing menguasai diri.

Sudahlah emosi kurang stabil penangan PMS, kalut pantas bersarang di dada.  Ya, saat ini saya benar-benar yakin Syaitan sedang menguasai fikiran dengan bisikan jahat untuk menanam sifat kebencian dan membakar api kemarahan terhadap beberapa individu.  

Sekuat hati saya menangkis perasaan-perasaan kurang enak itu kerana natijah kelak akan menimpa diri sendiri semula.  Apa perlu membenci serta memulakan persengketaan bukan?  Masing-masing punya kehidupan, teruskan sahaja mengikut alunan tersendiri.  

Lagi pula Allah akan membalas setiap keburukkan yang dilakukan terhadap orang lain waima hanya sekadar dengusan kebencian.  Oh diri, janganlah diterbangkan sewenang-wenangnya oleh aura negatif!  

Takut untuk melelapkan mata dan jika boleh saya tidak perlu bangun keesokkan hari supaya masalah tidak melarat.  Entahlah, bingung jadinya.  Moga Allah permudahkan hari esok dan seterusnya.  

Terus terang jika mengalah adalah langkah terbaik, saya pasti sudah melayang kain putih agar tidak bertambah dibebani batu masalah.  Tetapi siapalah saya.  Hanya doa kudus saya pohon supaya keadaan tidak bertukar rumit.

Jika setiap apa berlaku ini sebagai balasan ke atas dosa-dosa yang ada, saya redha.  Bukan mudah memadam segala kekhilafan di muka bumi.  Ada dosa kita tidak terbasuh dek air mata keinsafan.  Apa pun, biar DIA mengadili segalanya.

Tak sabarnya hendak mensucikan diri dan berteleku di atas sejadah.  Hanya di saat itu hati menjadi tenang biar air mata mengalir pantas.  Segala gemuruh di dada akan dihampar sehabis mungkin demi meraih ketenangan.

"YA ALLAH...YA ALLAH...YA ALLAH...BANTULAH HAMBAMU INI SEADANYA..."


nota:  celaru, keliru, bingung, sedih, hiba dan apa sahaja yang penuh sifat negatif....