Followers

Monday, July 23, 2012

::2 Ramadhan::

As-salam, selesai sudah hari kedua kita berpuasa.  Alhamdulillah atas segala kelancaran terhadap ibadah yang dituntut.  Bagaimana rakan-rakan pula?
 
Sedari pagi perut meragam.  Sah, gastrik!  Di mana silap saya sendiri kurang pasti.  Makan berjaga, malahan bila berbuka tidak makan semberono.  Air sejuk atau ais juga belum lagi masuk sejak berpuasa. 
 
Nasib juga boleh bertahan hingga ke penghujung hari.  Kalau tidak, sayang terpaksa melepaskan satu hari.  Mengigil juga menahan kesakitan amat sangat.
 
Sebabkan sakit, rasa ghairah untuk berbuka sedikit surut.  Tengok makanan pun semua tak berselera.  Perancangan berbuka bersama teman di luar juga tidak menjadi.  Mujur juga batal, kalau tidak jenuh juga memikirkan apa mahu dimakan.
 
Maka, Abang kata pulang sahaja ke rumah keluarga dia di Sentul.  Dah tak jadi saya pun tak kisah.  Lebih selamat makan makanan rumah, yakin dengan cara masakan.
 
Tetapi singgah juga ke Pasar Ramadhan Bandar Baru Sentul.  Sangat meriah dan ramai dengan umat manusia.  1001 satu pilihan makanan sehinggakan tidak tahu mana yang diingini.
 
Dalam tak berapa nak ada selera, terbang juga RM50.  Bernasib baik makanan dibeli semua berasa.  Kurang dosa memarahi peniaga tetapi barangan dijual boleh dikatakan mahal.
 
Majoriti kuih berharga RM0.50 - RM0.60, belum lagi lauk pauk.  Terdengar tadi, peniaga menolak jika mahu membeli dengan harga RM2.  Paling minima RM3.  Bayang makanan dengan RM1 memang susah.  Air barangkali boleh, itu pun mereka mula menjual 3 jenis air RM5.
 
Tidak bermakna bawa RM10.  Sememangnya tidak akan mencukupi lebih-lebih jika punya bilangan ahli keluarga ramai.  Nak buat macamana, harga barangan mentah semuanya mahal belaka.  Terpaksalah peniaga menaikkan harga.
 
Sampai rumah Abang nak dekat berbuka.  Siap-siap hidang terus masuk waktu.  Selera nak ambil gambar seperti semalam hilang.  Perut bergendang-gendang terpaksa menahan.
 
Sedap juga lauk pauk.  Membuka selera tetapi saya menghadkan apa yang masuk bagi mengelakkan perut terus meragam.  Bertambah pun tidak.
 
Harap-harap esok perut akan memberi kerjasama dengan baik.  Tak mahulah dirundung sakit sepanjang Ramadhan kelak sakit lain pula menyusul.  Sekejap sahaja sudah masuk hari ke-3.  
 
Apa cerita esok, nantikan ya.  Insyaallah, akan ada menyusul seandainya saya diberi kesihatan dan emosi stabil.  Hmm...esok bermula minggu baru, akan adakah perkhabaran-perkhabaran gembira buat kami?  
 
Redha dan hanya mampu bertawakkal semoga segalanya baik belaka.  Hanya Allah tahu apa bakal berlaku dan apa sepatutnya diberikan kepada umatNya.
 
Terus teringat filem lakonan Will Smith dan anaknya bertajuk The Pursuit Of Happiness di mana di sebalik segala kegagalan juga kesusahan yang menimpa, akan ada sinar pengharapan di akhirnya.  Malah, bisa merubah masa depan.  
 
Sesiapa yang belum pernah menonton, cuba luangkan masa menonton.  Sangat memberi sumber inspirasi.  Okay, saya mula merepek dan membawa anda semua membaca entah ke mana.
 
Selamat malam buat yang sudi meluangkan masa di sini, tidak lupa ucapan Selamat Bersahur!  Esok perbanyakkan ibadah ya bagi merebut ganjaran.
 
 
 
nota:  sekadar mengisi kekosongan....
 
  
 

No comments :

Post a Comment