Followers

Friday, July 13, 2012

::Suka Duka Bersilih Ganti::

Tiada entri baru menjengah sepanjang minggu, tahu-tahu Jumaat menjelma.  Hai lah masa!  Tak memberi ruang langsung ya untuk merasa senggang.  


Sepanjang minggu Abang dikategorikan sebagai bercuti oleh itu hari-hari yang ada diisi sebaik mungkin dengan melawat pelbagai doktor di hospital.  Dah sakitkan, baiklah dapat rawatan sebaik mungkin.

Hari ini doktor lain, esok doktor lain, lusa dan tulat pun begitu.  Bukan senang dia nak luangkan masa sebegini.  Penat tak usah diratap asalkan semua berjalan lancar.

Pembukaan minggu kami sekeluarga menerima berita baik.  Syukur Alhamdulillah, segala doa dan harapan seolah telah mula dimakbulkan Allah SWT.  Saat menerima perkhabaran, satu persatu air mata gugur membasahi pipi.  Betapa Allah mendengar rayuan kami sekeluarga.

Entah kenapa hari itu air mata menjadi murah.  Bila sahaja terkenang akan perkhabaran gembira, hangat air turut mengalir sehinggakan di saat melakukan sujud syukur dengan mudah mengundang sendu. 

Betapa selama ini kami melalui pelbagai dugaan tanpa mengaku kalah dan akhirnya...  Meski masih jauh lagi perjalanan harus didepani, Insyaallah berkat doa kami semua serta perit jerih melalui pengalaman berharga akan ada kejayaan menanti.  

Sayangnya selepas melonjak kegembiraan satu per satu perkara kurang indah berlaku dan kesemuanya melibatkan aliran keluar $$$ :(  Semua itu menambahkan pening di kepala.  

Saat ini sukar untuk melelapkan mata kerana memikirkan apa lagi jalan yang ada bagi menyelesaikan segala masalah bertimpa-timpa.  

Cuba memujuk hati supaya bersabar.  Jika tempoh tiga tahun saya boleh melaluinya serta sabar menanti, tidakkah lagi boleh bertahan hanya dalam tempoh beberapa bulan?  Entahlah, bila terlintas terus runsing menguasai diri.

Sudahlah emosi kurang stabil penangan PMS, kalut pantas bersarang di dada.  Ya, saat ini saya benar-benar yakin Syaitan sedang menguasai fikiran dengan bisikan jahat untuk menanam sifat kebencian dan membakar api kemarahan terhadap beberapa individu.  

Sekuat hati saya menangkis perasaan-perasaan kurang enak itu kerana natijah kelak akan menimpa diri sendiri semula.  Apa perlu membenci serta memulakan persengketaan bukan?  Masing-masing punya kehidupan, teruskan sahaja mengikut alunan tersendiri.  

Lagi pula Allah akan membalas setiap keburukkan yang dilakukan terhadap orang lain waima hanya sekadar dengusan kebencian.  Oh diri, janganlah diterbangkan sewenang-wenangnya oleh aura negatif!  

Takut untuk melelapkan mata dan jika boleh saya tidak perlu bangun keesokkan hari supaya masalah tidak melarat.  Entahlah, bingung jadinya.  Moga Allah permudahkan hari esok dan seterusnya.  

Terus terang jika mengalah adalah langkah terbaik, saya pasti sudah melayang kain putih agar tidak bertambah dibebani batu masalah.  Tetapi siapalah saya.  Hanya doa kudus saya pohon supaya keadaan tidak bertukar rumit.

Jika setiap apa berlaku ini sebagai balasan ke atas dosa-dosa yang ada, saya redha.  Bukan mudah memadam segala kekhilafan di muka bumi.  Ada dosa kita tidak terbasuh dek air mata keinsafan.  Apa pun, biar DIA mengadili segalanya.

Tak sabarnya hendak mensucikan diri dan berteleku di atas sejadah.  Hanya di saat itu hati menjadi tenang biar air mata mengalir pantas.  Segala gemuruh di dada akan dihampar sehabis mungkin demi meraih ketenangan.

"YA ALLAH...YA ALLAH...YA ALLAH...BANTULAH HAMBAMU INI SEADANYA..."


nota:  celaru, keliru, bingung, sedih, hiba dan apa sahaja yang penuh sifat negatif....

    

      

 

No comments :

Post a Comment