Followers

Thursday, August 30, 2012

::Nak Cerita Apa Sebenarnya?::

Tadi beria-ia rasa nak update sesuatu di sini, siap berebut laptop dengan Macho Man.  Sekali bila dah tertancap depan skrin, boleh pula fikiran kosong tak tahu nak taip apa!  Sindrom hilang ingatan ni..
 
Bukan senang ya suka-suka hendak mereka cerita.  Kalau siap pun belum tentu mampu menarik minat orang lain untuk membaca.  Macamanalah agaknya rakan-rakan semua yang boleh berceloteh satu hari sehingga 4-5 entri?
 
Zaman sekolah dahulu, subjek penulisan Bahasa Melayu amatlah diminati.  Waktu itu, sentiasa rasa seronok jika mampu menyiapkan karangan berkajang-kajang walaupun telah ada guideline diberikan.
 
Paling seronok bila cikgu minta buat karangan bebas seperti cerpen.  Bermacam kisah boleh direka, ala-ala syok sendiri.  Rakan sekolah selalu kata, biasalah mewarisi bakat bapa.  
 
Tetapi kenapa sekarang tidak lagi?  Otak seakan tepu.  Nak mengarang sepucuk surat mewakili syarikat pun kadangkala mengambil masa 2-3 jam.  Lama duduk di hadapan skrin masih lagi terfikir-fikir ayat apa mahu digunapakai.
 
Apa sudah jadi?  Adakah ini tanda-tanda penuaan di mana otak sudah semakin hari semakin lembab.  Nampak gaya kena makan kismis banyak-banyak sebelum ditakluki penyakit nyanyuk.
 
Yang pasti, diakui semenjak dua menjak saya tidak lagi aktif mencabar minda.  Aktiviti membaca pun semakin berkurangan, hanya bergantung kepada sumber internet sahaja.  Itu pun sekiranya rajin mahu berlayaran di alam siber.
 
Dahulu setiap pagi saya akan menyelak akhbar-akhbar tempatan.  Kemudian mengisi masa lapang dengan bahan bacaan, tidak kira samada novel, buku-buku ilmiah, majalah berinformasi dan juga santai, bermain teka silangkata, sudoku dan macam-macam lagi.
 
Di masa lain, saya akan menghabiskan masa dengan berjalan-jalan menikmati keindahan bumi Allah SWT di samping berhujah perkara-perkara yang terlintas di mata dan kepala.  Akan sentiasa berfikir dan berfikir bagi mendapatkan jawapan ke atas segala persoalan.
 
Hari ini baru saya sedar segala itu telah lama saya tinggalkan semenjak 3-4 tahun lalu.  Terlalu banyak faktor sebenarnya kenapa saya tidak meneruskan segala aktiviti tersebut dan salah satu faktor utama pastinya keadaan kewangan yang benar-benar tidak mengizinkan.
 
Jangan salah faham.  Saya tidak menyalahkan keadaan yang sedang dilalui, tetapi apabila difikir semula inilah dugaan yang Allah telah tetapkan buat diri saya.  Alhamdulillah!
 
Semenjak tangisan pertama saya di dunia, saya boleh dikategorikan antara insan beruntung di dunia.  Apa sahaja kemahuan pasti dituruti samada cepat atau lambat.  Di kala ramai rakan-rakan sebaya saya hidup sekadar perlu, saya jauh meninggalkan mereka di belakang.
 
Minat saya terhadap dunia membaca tidak pernah mendapat halangan.  Berkoyan-koyan buku mampu dibeli walhal kebanyakkan kawan-kawan saya terpaksa meminjam antara satu sama lain jika berminat untuk membaca.
 
Bukan setakat itu, cakap apa sahaja diingini pasti akan sedia terhidang di depan mata.  Ini tidaklah bermakna saya tidak mengenal erti susah, tetapi sesusah mana pun kami jarang permintaan tidak dituruti.
 
Langit tidak selalu cerah.  Siapa tahu, orang yang kononnya mampu hidup jauh lebih senang hari ini tertinggal juga di belakang mereka-mereka yang pada mata kasar tidak mampu pergi jauh dalam kehidupan.
 
Tak adalah daif sangat kehidupan sekarang, cuma harus pandai mencongak untuk masa akan datang.  Segala yang datang bergolek sebelum ini agak mustahil untuk diraih.  Apa pun, jatuh bangun saya tetap bersama keluarga tercinta.
 
Biarlah apa pun mereka di luar sana berkata, selagi mereka tidak berada di tempat kami mereka tidak layak berkata apa pun dan kerana ini jugalah segalanya punya batasan.  Alhamdulillah, perkara sebegini benar-benar membuka mata.
 
Hidup bukan selamanya di paksi yang lurus.  Ribut taufan bisa merubah arah ke laluan benar-benar berbeza.  Bagaimana untuk kembali ke landasan sediakala itu terpulang kepada usaha kita.
 
Eh, ke mana sahaja arah tuju entri ini?  Sudah jam 2 pagi dan rasanya sudah melalut terlalu jauh.  Ada kaitan antara satu sama lainkah cerita di atas?
 
Nampak gaya saya harus menajamkan kembali idea-idea penulisan jika berhajat mahu menjadi blogger tegar.  Kalau tidak, alamatnya sentiasa sunyi dari celoteh.  
 
Sampai saat ini saya masih lupa apa sebenarnya yang ingin ditulis yang nyata jauh tersasar dari apa terhidang di atas.  Esok-esok datang semula idea tersebut, mana tahukan.
 
Okeylah, saya berundur seketika dari bebelan tak tentu arah.  Terima kasih ya pada yang sudi membaca.  Kerajinan anda amatlah dihargai.  Pada yang tidak membaca pun terima kasih juga ya.
 
Sekarang, saya sedang terfikir-fikir apa pula tajuk bersesuaian dengan entri ini.  Seandainya tidak punya tajuk kelak, kira halallah.  Berat juga nak memikirkannya! 
 
 
 
 
 
 
nota:  melalut.. 
 
 
 
 
 
      

No comments :

Post a Comment