Followers

Sunday, September 30, 2012

::Bajet 2013::

Pergi ke mana sahaja sibuk orang memperkatakan perihal Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jumaat lepas.  Masing-masing punya pandangan tersendiri.

Bagi saya, Bajet baru-baru ini tiada yang menarik.  Penjawat awam mampu tersenyum dengan pengumuman PM terutamanya bila imbuhan bonus diberikan lagi 1 bulan menjadikan satu bulan setengah.

Bolehlah kenyit-kenyit mata lebih sedikit pada Abang.  Itu pun kalau dia tak kata "banyak hutang nak bayar ya!!"  Kalau dah berkata sebegitu diam-diam sahajalah.

Antara yang menarik minat ramai, BR1M dipanjangkan ke tahun hadapan.  Seronok lagi mereka yang berkelayakan.  Kali ini bujang pun dapat juga, walau hanya RM250.  Ha, ini saya boleh mohon!  =)

Kemudian rebet pembelian gajet bagi remaja sebanyak RM200.  Hmm..perlu ke?  Kalau tak beri rebet pun golongan muda mampu sahaja beli gajet terkini.  Saya tidak berpeluang kerana sudah terlebih umur :P

Bantuan bagi anak-anak bersekolah dan baucer buku pelajar universiti diteruskan bagi tahun 2013.  Amaun turut ditambah.  Okay juga, buku-buku tambahan peringkat universiti bukannya murah.

Inilah antara yang menjemput ramai memberi komen sesama sendiri.  Kecoh semua memberi pendapat!  

Secara peribadi saya rasa tidak perlu sangat sebenarnya perkara-perkara di atas terutama BR1M dan rebet gajet.

Selain itu, pemberian one-off tidak akan dapat menyelesaikan masalah rakyat untuk tempoh setahun.  Lainlah sekiranya amaun diberikan itu tinggi.

Sudahlah kaedah pemberian mengalami ketirisan.  Ramai merungut kerana ada sesetengah keluarga mendapat BR1M berganda.  Di mana suami dapat, isteri pun dapat.

Ada pula yang benar-benar berkelayakan dinafikan hak hanya kerana tiada ahli politik bertindak sebagai orang tengah bagi submit borang.  Ini kisah benar ya, bukan cerita yang saya dengar-dengar.

Masalah ini akan berulang kerana sewaktu pembentangan, PM mengatakan sesiapa yang pernah dapat pada kali pertama tidak perlu lagi menghantar borang bagi kali ini.  

Sebenarnya, apa yang rakyat lebih perlu adalah bagaimana mahu meringkan kos kehidupan semakin tinggi dari sehari ke sehari.  Sudahlah Kerajaan mengurangkan subsidi gula sebanyak RM0.20 pada bajet kali ini.

Ia akan memberi impak besar sebenarnya.  Harga gula akan naik dan peniaga terutamanya peniaga makanan akan mula menaikkan harga juadah jualan.  Bersedialah untuk membeli sebiji kuih dengan harga RM0.50.

Saranan Kerajaan supaya rakyat kurangkan gula dalam masakan sementelah bilangan pesakit diabetis semakin meningkat adalah baik.  Tetapi tercapaikah objektif sebenar pengurangan subsidi tersebut?

Benar, di rumah kita mampu sekat penggunaan gula tetapi adakah peniaga akan mengurangkan kandungan gula dalam masakan?  Kalau kurang manis gerenti pembeli merungut.

Saya lebih menantikan sekiranya PM mengumumkan harga minyak akan turun, harga elektrik juga akan berkurangan sedikit dan kawalan harga secara berleluasa ke atas barang-barang makanan lain.

Kita juga akan tersenyum sekiranya mendapat berita harga tol dikurangkan sedikit.  Rasanya perkara-perkara sebegini bukan saya sahaja nantikan, tetapi ramai lagi di luar sana mengharapkan.

Walaupun Kerajaan melonggarkan syarat-syarat pembayaran cukai, tetapi masih ada cukai yang membebankan rakyat.  Jika ada penghapusan bagi cukai-cukai tertentu itu pun dapat sudah dapat membantu meringankan bebanan kewangan.

Kerana itu saya katakan tiada apa yang menarik dalam pembentangan bajet tersebut.  Malah saya sempat risik-risik sahabat dari Sabah dan Sarawak sementelah bajet kali ini banyak juga memberi tumpuan buat rakyat Malaysia Timur.

Kebanyakkan mereka mengatakan, janji 5 tahun dahulu pun belum ditunaikan lagi, kali ini berjanji lagi..he..he..he..Entah betul entah tidak.  Saya dengar sahaja tanpa mahu memberi sebarang komen.

Tak kurang juga mengatakan bajet kali ini lebih kepada membeli hati rakyat untuk pilihanraya.  Bila difikir-fikir ada kebenaran juga.  Terpulanglah bagaimana anda semua mahu melihat, tetapi itu yang dapat saya rasakan.

Esok Ketua Pembangkang pula akan membentangkan balasan kepada Bajet 2013.  Mari kita lihat, apa pula approach yang akan diwar-warkan.  Adakah janji-janji kosong semata?  Atau sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan?

Sekiranya masuk akal dan kita mampu untuk melaksanakan, mengapa tidak!

Saya seorang yang mudah!  Asal ianya memberi keselesaan dan mampu memacu ekonomi negara ke arah lebih baik itu seharusnya kita pilih.  Kita tidak mahu jauh ketinggalan dari negara maju!  

Jika hanya mahu membeli hati rakyat tetapi menggadaikan masa depan negara, kenapa perlu kita memperjudikannya?  Kehidupan hari ini pun sudah agak tersepit, takkan mahu selamanya sebegini?

Pengharapan pada Bajet 2013 tidak berapa menggembirakan rakyat seperti saya.  Apa pun, Alhamdulillah kerana sebahagian dari kita mampu menikmati seenaknya peruntukkan bajet Kerajaan.

Mungkin bukan rezeki saya tetapi rezeki separuh dari rakyat Malaysia yang menunggu-nunggu pembentangan dari PM.




nota:  bukan boleh memuaskan setiap orang...












No comments :

Post a Comment