Followers

Tuesday, September 18, 2012

::Borak Duit Raya::

Hari ini cuti sempena Hari Malaysia, makanya ramai yang tidak update blog.  Bosan juga bila ziarah semuanya entri-entri lama.  Kalau ada pun setakat 2-3 orang bersemangat gigih.


Ingatkan semalam berakhirnya Syawal, tiada lagi jemputan rumah terbuka.  Jangkaan meleset.  Hari ini ada dalam 3 jemputan tetapi semuanya terpaksa ditolak, Abang bekerja.

Hanya sempat ke rumah adik Abang di Gombak, itupun pada mulanya menjangkakan makan tengahari biasa.  Rupanya dia ada buat sedikit jamuan ringkas.  Alhamdulillah, kenyang perut dapat santap nasi ayam dan pelbagai aneka manisan.

Bosan juga bila asyik terperap di rumah.  Biasalah, nak ke penghujung bulan begini duit bersituasi nazak.  Setelah 'beraya hindu', segala yang kembung tidak lagi membukit.  Jadi faham-faham sahajalah ya.

Kalau ada anak, boleh juga curi-curi pinjam hasil pungutan duit raya..he..he..he..awal-awal sudah punya niat serong!  

Bila sebut duit raya, teringat dahulu kala.  Seingat saya, paling banyak berjaya dikumpul lebih kurang dalam RM100++.  Itu pun selepas saya mencapai umur belasan tahun.

Kiranya dah besar, amaun diberi agak besarlah juga :)  Tetapi dulu, bila dapat pegang sejumlah duit di tangan serasa besar rahmat.  Yalah, bukan senang nak dapat jumlah sebegitu.

Jika ada yang memberi 50sen pun, itu sudah memadai.  Jangan tak tahu, saya juga pernah mendapat 20sen sebagai duit raya.  Ada juga yang tak beri langsung!  

Tetapi melihatkan gelagat anak-anak di rumah, hmm....Nak-nak Buah Hati.  Bila dihulur sampul duit raya, ambil dengan muka selamba kemudian serahkan pada Mama dia. 

Langsung tiada keterujaan di wajah.  Muka agak berseri sekiranya ada yang menghulur not RM10 tanpa bersarung.  Usia baru mencecah 5 tahun, sudah kenal nilai mana besar mana tidak.

Ada sekali, dia buka sampul lantas menyebut "Seringgit je?!" Memang kena bebel tahap maksimalah dengan saya.  Habis cerita sedih keluar mengingatkan dia supaya hargai pemberian orang.

Bila dicongak secara kasar, dekat RM300++ juga mereka berjaya kumpul.  Apa lagi, simpan di dalam bank sahajalah.  Setakat hari ini, apa sahaja yang mereka mahu boleh sahaja ditunaikan. 

Tak perlu duit tambahan di tangan.  Lagi pula bila kami sesak, boleh gali bank mereka-mereka.  

Itu sudah cukup menggambarkan betapa bertuahnya anak-anak sekarang.  Sedari kecil telah punya peluang merasai penggunaan duit bernilai tinggi.  

Benar tidak semua yang sebernasib baik sedemikian.  Tetapi ramailah juga jika nak dibandingkan dengan zaman saya dahulu.  

Rata-rata dari kita memberi paling sedikit RM2.  Itu pun tak ramai dah.  RM5 pula mengambil tempat.  Ini berdasarkan apa yang anak-anak di rumah ini perolehlah.

Bukan untuk memperkecilkan atau menilai seseorang dengan pemberian tersebut, tetapi di situlah kita tahu betapa nilai ringgit yang kecil itu sebenarnya sudah tidak mempunyai harga lagi.

Mungkin ada di antara kita bernasib baik dan memperoleh rezeki tambahan sempena lebaran, apa salahnya bersedekah lebih sedikit, betul tak.  Berkat segala pendapatan yang diperoleh.

Saya sendiri akui, tahun lepas hanya mampu mengisi not RM1 di dalam kantung raya.  Alhamdulillah ada sedikit lebih rezeki pada tahun ini, saya naikkan sedikit.  Seronok melihat kanak-kanak bergembira.

Tahun ini not RM20 diperkenalkan semula dan mulai hari raya hari itu, Buah Hati sudah pandai demanding.  Bila hulur duit, kalau boleh tidak mahu lagi not RM10 tetapi bertukar ke RM20.

GP sering menghulur duit kepada anak-anak di rumah.  Setiap hari sebelum keluar ke mana-mana pasti ada habuan menanti mereka walaupun hanya RM1.

Oleh kerana Buah Hati dah besar, kadangkala besar jugalah nilai yang dia peroleh.  Agaknya kerana itu jugalah dia tidak begitu teruja bila mendapat duit raya.  Rasanyalah....

Yalah, dah biasa dapat saban hari.  Ish, GP manjakan sangat cucu-cucunya ni.  Kena pantau!  Tetapi bila difikirkan semula, tak apalah.  Aki kalau sayangkan cucu begitulah gayanya.

Dah memang tertulis rezeki anak-anak.  Nak mengharapkan saya, belum mampu lagi untuk berbuat sedemikian.  Kalau ada pun sesekali.  Itu pun dah lama sangat tidak menghulurkan kepada mereka :(  nak buat macamana.....

Ada tak ada, Hari Raya hari tu dapatlah mereka duit raya.  Anak-anak ini lahir di zaman kemarau.  Entah bila akan berakhir, Wallahualam..

Sepatutnya saya masih layak menerima duit rayakan?  Yalah, masih bujang trang tang tang.  Tapi nak minta pada siapa?  GP beri duit raya tau, tapi sebelum raya.  Akibatnya, duit licin sebelum Syawal menjelma.

Oh, dah meleret entah ke mana.  Dari asal hanya ingin berbicara kosong, ini dah masuk bab duit raya pula.  Dari isu duit raya, terlajak mengenang nasib.

Tak perlu dikenang-kenang, fokus pada hari-hari bakal dilalui.  Itu lebih baik =)  Besok, Selasa.  Agak-agak ada ke edisi Monday Blues selepas bercuti selama tiga hari?



  
nota:  sentiasa merancang, menunggu hari menjalankan..   

No comments :

Post a Comment