Followers

Wednesday, September 12, 2012

::Kembali Berbicara::

As-salam, serasa lama tak berbicara.  Manakan tidak, sibuk menyiapkan tempahan popiah ditambah pula berhadapan masalah internet.  
 
Hampir 4 hari juga mengalami gangguan, mujur pihak TMnet segera bertindak.  Semua dalam rumah mati kutu tak boleh buat apa-apa.
 
Alhamdulillah, hari ini boleh berlayaran semula.  Meski masa terhad tetap curi sedikit masa menziarah rakan-rakan blog yang digemari sementelah diri sendiri belum punya ceritera terkini.
 
Suhu luar begitu dingin sekali.  Kebiasaanya, dalam keadaan sebegini bisa mengundang kuapan berselang-seli.  Malangnya mata saya segar-bugar seolah malam adalah siang.
 
Bercakap hal cuaca, amatlah sukar untuk menebak samada cuaca akan panas ataupun sebaliknya.  Jika dahulu, ada bulan-bulan tertentu kita akan mengalami musim panas berpanjangan.  Kemudian akan hadir pula musim tengkujuh.
 
Tetapi hari ini, bila-bila sahaja hujan akan turun melebat.  Di hari lain, panas terik pasti menyengit.  Tiada lagi giliran musim secara teratur.
 
Kacau-bilau benar bumi sekarang ini.  Putaran biasa menjadi luar biasa dan kerana itu bencana alam mudah berlaku sekelip mata.  Bukan di Malaysia sahaja tetapi juga seluruh dunia.
 
Inilah petanda bahawa Allah merancang dan melaksanakan segalanya.  Setiap ramalan manusia tidak semesti akan tetap.  Bacaan putaran alam bisa berubah bila-bila sahaja.
 
Kenapa ia berlaku juga adalah rahsia dari Maha Pencipta.  Mungkin menurunkan amaran buat penghuni alam, mungkin sedang merancang sesuatu di luar jangkaan.  
 
Sebagai hambaNya, terus bertawakkal dan memohon semoga berada di dalam lingkungan hamba yang disayangi.  Redha dengan segala ketentuan ditetapkan.
 
Kita tinggalkan bicara cuaca.  Biar apa pun berlaku, mentari akan setia menyinari, hujan tetap utuh membasahi bumi.  Putaran siang malam tetap berada di paksi.  
 
Hanya kita belum tahu samada bakal girang tatkala hujan meruntun atau berduka pabila suria tersenyum berseri. 

Oh ya, UPSR sedang berlangsungkan?  Moga Allah sentiasa merahmati anak-anak yang bertungkus-lumus membuktikan mereka mampu berjaya.  Ini permulaan bagi masa hadapan.  

Terkenang pula sewaktu menduduki UPSR 20 tahun lampau.  Walau sedikit samar di kotak fikiran, masih ada kenangan yang jelas tergambar.  
 
Betapa berusahanya saya mahu menggondol gred 'A' lantaran tidak mahu ketinggalan di belakang.  Risau bakal tersisih jika keputusan kurang memuaskan.

Ketika itu saya berada di kelas super-super pandai.  Bayangkan, dalam kelas tersebut mempunyai bilangan murid lebih kurang 40 orang.
 
Bila peperiksaan peringkat sekolah, dari keseluruhan darjah 6 iaitu lebih kurang 5-6 kelas, saya menduduki ditangga 24 atau 25 (dah tak ingat) secara keseluruhan.  
 
Ini bermakna dari nombor 1 sehinggalah ke angka 40 di dalam aliran, semuanya datang dari kelas saya.  Kedudukan ke 41 barulah dari murid di kelas lain.  
 
Perbezaan markah antara satu sama lain, lebih kurang 1-5 markah.  Hebat bukan!  Rakan-rakan di atas saya semuanya pandai belaka.
 
Malangnya bila UPSR, saya gagal bersaing bersama rakan-rakan cemerlang.  Kebanyakkan mereka berjaya mendapat 4A, saya hanya berjaya dengan 3A 1B.
 
Menangis tak henti-henti melihatkan papan kenyataan bertampal keputusan.  Secara keseluruhan, saya antara terkebawah di dalam kelas.  Mengasingkan diri seketika dari teman-teman yang berjaya.
 
Tetapi rakan taulan pandai memujuk.  Walau hati hiba, kenyataan harus diterima.  Guru-guru turut memberi sokongan dengan mengatakan itu hanya permulaan.  Lagi pula bukan teruk mana keputusan di tangan.
 
Namun, kerana keputusan kurang cemerlang itulah saya gagal menempatkan diri di sekolah setaraf dengan rakan-rakan lain.  Hiba melihat teman seperjuang melangkah ke sekolah menengah bersama-sama dan saya tercampak ke sekolah berbeza.
 
Hari ini saya mengerti mengapa Allah SWT menetapkan sebegitu.  Saya menjalani kehidupan remaja bersama teman-teman baru dan mengutip pengalaman berharga di peringkat menengah.
 
Ya, kenangan terindah yang sukar untuk saya padamkan dari kotak memori.  Andai bisa diulangi semula pasti saya memilih kembali ke zaman persekolah menengah.  
 
Suatu tempoh cukup mendewasa dan mematangkan diri.  Di sana saya menjadi seperti apa hari ini.  Syukur atas segalanya.  Jika punya peluang pasti akan saya kongsikan di sini :)  

Okaylah, cukup sampai di sini dahulu.  Secara tiba-tiba saya tersenyum sendirian mengenang masa lampau.  Semakin jauh saya meninggalkan masa itu. 
 
Apa pun, saya mendoakan calon-calon UPSR berjaya menghadapi tekanan soalan dengan tenang.  Berjuanglah sehingga puas, seandai  gagal mencapai penanda aras anda akan berpuas hati kerana telah memberikan yang terbaik.

Insyaallah, akan bertemu di entri seterusnya.  Bila?  Tak Tahu!!





nota:  sukarnya melelapkan mata...
 
   
 
 


 
 
 
 

No comments :

Post a Comment