Followers

Sunday, September 2, 2012

::Kesesakkan Melampau::

Penat sungguh hari ini!  Bukan tak seronok keluar berhari raya tetapi menghabiskan masa di atas jalan berjam-jam amatlah mengundang keletihan.  Dari beberapa rumah yang ada dalam jadual, akhirnya disenarai pendek kepada dua buah sahaja.

Keluar sahaja dari rumah untuk menjemput Abang saya sudah tersangkut di dalam kesesakkan lalu lintas.  Tempoh perjalanan biasanya paling lewat 20 minit telah menjadi 40 minit.

Bila dah agak lewat, ambil keputusan untuk tidak pergi ke jemputan perkahwinan di Rawang.  Maaf ya pasangan pengantin baru, kami benar-benar kejar masa.  Bagi bakal-bakal pengantin, mungkin melangsungkan perkahwinan di bulan Syawal selepas ini harus ditimbang semula..he..he..he..

Menuju ke rumah pertama, bakal adik ipar Abang (Eifa) di Tasik Biru, Sungai Buloh.  Kali kedua bagi hari ini terpaksa menempuh kesesakkan lautan kereta.  Bertolak dari Sentul lebih kurang pukul 2.45 petang, sampai ke destinasi hampir jam 4 petang.

Silap tidak memilih laluan lebuh raya.  Tak sangka sebegitu teruk kesesakkan terpaksa dilalui.  Ramai betul warga kota keluar berhari raya.  Dek terlalu lewat tiba, satu lagi jemputan di Sri Damansara terpaksa dilupakan.

Usai makan-makan, mohon undur diri dan mahu menuju ke Ampang pula.  Keluar dari rumah keluarga Eifa dalam jam 6 macam tu.  Ingatkan dah surut jam, sangkaan meleset benar. 

Puas lari ikut jalan sana, ikut jalan sini semata untuk sampai ke Ampang.  Akhirnya hampir jam 8 malam baru sampai ke rumah Fai.  Betul-betul terbuang masa yang ada sepanjang hari.

Nanti-nanti saya masukkan gambar sepanjang hari.  Ada beberapa keping tetapi malas benar rasa badan.  Sisa letih masih berbaki.  Ini pun curi sedikit masa semata mahu bercerita perihal kesesakkan melampau.

Rasanya saban tahun masalah kesesakkan lalulintas di hujung minggu bulan Syawal.  Sana sini rumah terbuka diadakan, tidak cukup dengan itu majlis perkahwinan lagi.  Meriahkan Syawal di Malaysia.

Kasihankan tuan rumah apabila sebahagian dari kita terpaksa membatalkan niat menghadiri semata-mata tersangkut di dalam kesesakkan hebat.  Bukan tak sudi, tetapi itulah.  

Masa terbuang satu hal, pembaziran minyak kenderaan lagi.  Tak mengapalah, sekurang-kurangnya rezeki perut sedia menanti.  Abang tak habis-habis merungut, nak buat macamana.  Orang lain pun nak keluar beraya.

Kenalah bersabar dan jangan gopoh sewaktu memandu.  Sewaktu tersangkut banyak kali juga terlihat kemalangan.  Ada yang serius, ada yang tidak.  Ini pun menyumbangkan penambahan kesesakkan jalan raya.

Bila keadaan sebegini rasa serik pun ada nak keluar berjalan.  Tak pergi rasa bersalah pula terutama jemputan dari teman-teman rapat.  Tengoklah, esok masih ada jemputan lagi.  Berharap sangat trafik akan berkawan baik dengan saya.

Jika info mengatakan keadaan agak teruk, sememangnya saya akan batalkan.  Terpaksa kerana tanda-tanda tidak boleh duduk lama di dalam kereta sudah ada.  Dari sakit melarat kelak, baiklah saya mendiamkan diri di rumah sahaja.

Selamat berjalan raya ya rakan-rakan!




nota:  libang libu jadinya...    

 

No comments :

Post a Comment