Followers

Saturday, September 22, 2012

::Terima Kasih Teman::

"Hanya melalui kesusahan akan menonjolkan mana kawan mana lawan"

Pasti ramai bersetuju dengan kata-kata tersebut.  Jika ada yang tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegini, bersyukurlah.  Ternyata anda amat beruntung dikelilingi insan-insan berhati mulia.

Kadangkala, teman yang kita harapkan untuk mengharungi bersama itulah sebenarnya bisa yang paling berbisa, duri dalam daging, gunting dalam lipatan.

Kumpullah seramai mungkin kawan, berapa kerat pula hanya akan tampil ke hadapan tatkala diri dilanda bencana musibah?

Kecewa?  Sedih?  Berdendam?  Tenggelamlah dalam emosi tersebut seketika, bangkitlah kemudiannya kerana tidak perlu ditangisi terlalu lama.  Ini semua sememangnya lumrah duniawi.

Kerana itu panjatkan kesyukuran di atas segala kepayahan yang Allah SWT anugerahkan.  Paling tidak kita berpeluang menyenarai bersih manusia disekeliling kita.

Juga peringatan buat diri sendiri.  Andai bersedia menjadikan seseorang itu sahabat, bersedialah menerima dirinya seadanya.

Biarlah datang dari kelompok mana pun, usah diperkecilkan, usah dipandang sebelah mata.  Mungkin satu hari kelak, dia akan menjadi bahu untuk melampiaskan tangisan!

Ya, entri ini dicanai dari pengalaman.  Bukan sahaja pengalaman sendiri, tetapi juga dari cerita-cerita mereka menyusur jalan kepayahan.  

Sewaktu mewah, dikala diri mampu ketawa terbahak-bahak, ramai datang menghampiri.  Kerana wakti dilalui sentiasa berbunga indah.  Tiada duka nestapa.

Tetapi bila segala bertukar gelap, berdiri di sisi kalau perlu mahu dilenyapkan.  Bukan minta pertolongan, bukan minta simpati, hanya mahu dikenang kita pernah berkawan.  Sayangnya....

Mengejutkan, mereka yang tidak pernah kita kongsi kesenangan pula tampil menghulur tangan.  Sanggup menyambut meski tangan kudis bernanah.

Sepanjang perjalanan kehidupan, terima kasih teman yang sentiasa hadir di sisi.  Walau hanya melalui perbualan telefon, segala yang berat menjadi ringan.

Terima kasih teman kerana menerima diri seadanya.  Mungkin hari ini perubahan kehidupan telah menjarakkan jurang di antara kita, tetapi sebaik mungkin jurang sedia ada bukan penghalang.

Kurang cocok mahu mempamerkan nama-nama individu di sini, namun airmata yang kita alirkan bersama mengenang segalanya begitu berharga.  Moga Allah membalas tumpahan air hangat itu dengan sesuatu yang jauh bernilai dari permata saujana.

Tidak lupa juga buat sahabat yang memungkiri fitrah.  Ya, barangkali sudah tidak sehaluan lagi maka adalah lebih baik kita menyusuri hari mendatang dengan cara tersendiri.

Terima kasih sahabat atas selaran dan gelagat memakai topeng demi menutup siapa sebenarnya diri.  Tanpa kehadiran insan sebegini, tidak akan lengkap ilmu kehidupan bakal dimiliki.

Saat ini sedang menimbang tara diri, teman jenis apakah diri ini?  

Apa pun, semalam dilalui penuh warna.  Esok pula bakal menjanjikan seribu satu corak.  Apa perlu diratapi, apa perlu dikesali.  Senyumlah kerana kuntuman senyum itu bakal membunuh jiwa mereka yang berselirat hasad dan prasangka.   

Lagu Kosong dari Najwa Latif khusus buat saya, buat anda dan buat kita semua.

Kau melihatku diriku
Seperti sesuatu
Yang mencabar dirimu
Akal dan mindamu

Kau mendustai ku
Kau bilang mereka tak tahu
Siapa diriku
Sedangkan kau juga begitu

Segala kata cacian yang telah engkau berikan
Membuat ku rasa kosong..kosong...owh..

Setiap detik diperhatikan
Kau cari cara putar belitkan
Kau jadikan diriku kosong..kosong..owh..

Kini aku bangkit
Membuktikan yang ku tak sakit
Dengan segala perit yang kau berikan

Kini aku pantas berjalan
Bergerak ke hadapan
Dan akan ku buktikan siapa diriku yang sebenar


*kualiti internet kurang memuaskan, menyukarkan pula hendak meletakkan video lagu di sini.  Dengar sahaja di You Tube ya ;)




nota:  3 jenis kawan akan hadir,  KAWAN DI LUAR PAGAR, KAWAN DI LUAR PINTU, KAWAN DI DALAM RUMAH

No comments :

Post a Comment