Followers

Thursday, November 29, 2012

::Jangan Hina Bila Kalah::

Sana sini kedengaran pelbagai suara bercakap perihal prestasi Harimau Malaya di perlawanan Piala AFF.  Biasalah, bila kalah dikutuk tetapi jika menang disanjung tinggi.

Tak faham dengan rakyat Malaysia.  Apa perlu melontar perkataan-perkataan keji demi melampiaskan rasa marah di atas kekalahan?

Pemain bola juga manusia biasa.  Bukan sentiasa mereka boleh menjadi yang terbaik.  Dengan kekalahan baru mereka mampu mempelajari kesilapan sedia ada.

Seharusnya kita menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan Harimau Malaya.  Menang kalah adat bertanding.  Jika semua mahu menang siapa akan kalah, betul tak?

Dengan semangat dan harapan ia pasti menyuntik semangat pemain untuk terus melaksanakan tanggungjawab.  Seharusnya doa dan kata-kata positif sentiasa mengiringi mereka.

Saya tidak fanatik bola, malahan tidak suka menonton perlawanan bola sepak.  Cuma kasihan bila pelbagai cemuhan dilontarkan kerana tewas dengan negara Bangladesh dan Singapura.

Mujur Harimau Malaya menang semalam, jika tidak berlori-lori lagi kata kesat akan mereka terima.

Sebenarnya inilah cerminan diri kita.  Hanya mahu yang terbaik, segala apa yang negatif ditolak ketepi tanpa mahu menganalisa bagaimana perkara-pekara negatif boleh muncul.
 
Jangan kata saya tidak teringin melihat pasukan negara beraksi di peringkat lebih tinggi tetapi jika setakat itu sahaja kemampuan mereka kita harus terima.

Okaylah, itu sahaja.  Terpanggil untuk meluahkan sedikit rasa bila terbaca komentar menyelar pasukan Harimau Malaya di Facebook.



nota:  percaya itu aturan Allah..

 

::Berat Badan Bertambah::

Dari sebelum puasa sehinggalah sebulan selepas raya, banyak juga kilogram berjaya dikurangkan.  Nak kata perasan kurus tu tak adalah tetapi dapat dirasai.  Nama pun badan sendiri.

Malangnya sebulan selepas itu, segalanya naik berganda-ganda.  Aduh!! Takkan nak jadi montel terus.  Sudahlah saya tidak boleh langsung naik berat badan demi kesihatan.

Tapi nafsu makan membuak-buak.  Walhal sebelum ini elok sahaja berjaya mengawal nafsu.  Sajakan nafsu mahu membawa ke arah merana.

Patutlah bila tengok gambar terbaru nampak penuh ibarat bulan mengambang, rupanya angka berat badan mencanak naik.

Bukan tak boleh terima kenyataan yang diri itu besar, tetapi jika punya peluang untuk membuang segala lebihan apa salahnya.

Dewasa ini banyak produk langsing ditawarkan.  Bila tengok pada testimoni semuanya berjaya mencapai apa diingini.  Benarkah sebegitu bagus?

Argghh!! Tertekan betul bila sebut perihal berat badan.  Turun sedikit, naik selagi banyak,   kalau boleh ditambah akan ditambah!

Sedang berfikir-fikir apa mahu dilakukan dengan berat badan yang sedia berat ini.  Entah berjaya ke tidak, ataupun semakin memanjat ke atas angkanya.  




nota:  isi membuak-buak...



 

 

Wednesday, November 28, 2012

::Telefon Awam::

Tersentak dengan berita yang kami terima =( Dugaan hadir untuk kesekian kali ataupun ianya cabaran mungkin juga ketentuan.  Apa sebenarnya rahsia disebalik segala ini?
 
2012 sudah hampir ke penghujung, tiada apa perubahan mampu dilakukan walau segala usaha telah dikerah ke arah itu.  Menanti kehadiran 2013 barangkali, cuba untuk bersikap optimistik.
 
Bersabarlah, akan hadir juga sinar kebahagiaan dinanti.  Biarlah jatuh terjelepuk dengan segala kesusahan, supaya kejayaan akan bertahan selamanya.
 
Biarlah disimpan segala kegusaran, mahu dicerita pun sukar mahu diterjemahkan.  Hanya mereka yang duduk di dalam situasi faham apa dilalui.
 
Jom kita berbicara kisah lain pula.  Idea tak berapa nak ada, gatal tangan mahu menari di papan kekunci.  Layankan rasa!
 
Saya kehilangan telefon bimbit, tahukan?  Buat sementara waktu pakai telefon lama, agak nazak juga rupa fizikal.  Belum ada niat mahu membeli telefon baru.
 
Terlupa akan tahap kritikal telefon tersebut, malam sebelumnya lupa charge bateri.  Keesokkannya keluar, baru sekali berbunyi terus kaput.
 
Menggelabah juga kerana sememangnya harus menelefon seseorang.  Mujur di seberang jalan beratur pondok telefon.
 
Sayangnya, dalam 5 pondok telefon yang ada tiada satu pun berfungsi.  Menggelabah seketika, mujur telefon tangan terpadam boleh dihidupkan seketika.  Sempat menghantar sepotong SMS.
 
Pelikkan?  Di saat telefon bimbit menjadi satu kemestian bagi setiap orang, waktu itu juga telefon awam boleh rosak dikerjakan manusia tidak bertanggungjawab.
 
Kalau dulu faham juga kerana kebanyakkan dari kita menggunakan khidmat telefon awam sebaik mungkin.  Hari ini, semua pun mampu punya telefon tangan sendiri.  Kenapa masih rosak?
 
Setakat 1-2 yang tidak berfungsi tak mengapa juga, ini kesemuanya rosak!  Bila agaknya mentaliti masyarakat kita untuk sayangkan barangan awam berubah?
 
Atau mungkin pihak Telco yang tiada inisiatif mahu menukarkan.  Dah rosak biarkan sahaja.  
 
Harus diingat, kecemasan tidak mengira waktu dan tempat.  Ada masa kita terdesak mahu menggunakan telefon.  
 
Ke mana mahu dituju arah sekiranya tidak boleh digunakan langsung.  Entahlah, siapa sewajarnya harus dipersalahkan dalam hal sebegini?
 
Cuma hati saya beratkan mengatakan pondok telefon tersebut adalah mangsa Vendalisme.   Terfikir, apa mereka dapat dengan memotong gagang telefon?  Apa motif mengetuk nombor untuk didail sehingga tenggelam ke dalam?
 
Sakit sebenarnya mereka ini.  Jiwa tenat, kerana itu segala barangan dimusnahkan.  Tunggu sahaja balasan, baru tahu langit ini tinggi atau rendah.
 
20 tahun lampau, kami antara keluarga terpaksa menggunakan telefon awam.  Jika ada apa-apa hal untuk bertelefon, beraturlah bagi menanti giliran.
 
Selalunya Allahyarham Mak antara rajin ke pondok telefon kerana dia mahu menghubungi keluarga adiknya di Klang.
 
Tergelak bila mengenangkan Mak pernah bergaduh dengan orang yang sedang berbual berjam-jam lamanya tanpa memikirkan ramai lagi menunggu giliran.  
 
Ya juga, jika mahu punyakan telefon tersebut baik buka talian sendiri di rumah.  Hak awam untuk pakai bersama, bukannya syok sendiri.  
 
Kalau dikenang, banyak juga kisah lucu terjadi.  Pernah sekali sebaik sahaja orang di hadapan kita berhenti menggunakan telefon, sampai giliran kita telefon rosak.  
 
Tak ke mengundang rasa sebal di hati.  Sudahlah penat menunggu, kena pula keadaan sedemikan.  Tak berbaloi menunggu dalam tempoh agak lama.
 
Mahu sahaja tumbuk telefon tersebut dengan muka orang yang bergayut lama.  Jawabnya, balik rumah.  Lain kali sahaja telefon orang.
 
Sekarang dah berubah.  Fenomena beratur menunggu giliran di pondok telefon tidak lagi kelihatan.  Sibuk kumpul duit syiling juga sudah tiada.  
 
Yalah, hanya dengan duit berdenting-denting sahaja baru boleh guna telefon awam.  Masa mula-mula bercinta dengan Abang pun khidmat telefon awam diguna pakai.
 
Hari-hari selepas jam 11 malam baru dia akan guna.  Kalau guna awal-awal tak dapat berborak lama.  Bersusah payah menunggu sehingga ke lewat malam.  Biasalah baru nak cuba nasib..he..he..he..
 
Saya hanya menanti panggilan di rumah.  Nak guna telefon rumah takut bil melambung katanya.  Susahkan pula mak ayah untuk menanggung bil.
 
Siapa ada kenangan dengan telefon awam?  Kalau rajin jom kongsi bersama.  Rugikan generasi sekarang tidak melalui pengalaman sedemikian..
 
 Saya belajar mengenali telefon awam dengan yang ini.  Gambar dicari melalui Google Image, dari blog ini
 
 
 
 
 
 
nota:  apa-apa sahaja..
 
 
    

::Kehabisan Kuota::

Selama ini lihat sahaja rakan blogger merungut bila sudah tidak boleh muatnaik gambar di sini akibat kehabisan kuota.  

Saya tidak pernah terfikir akan turut sama berada di dalam permasalahan ini kerana jarang-jarang letak gambar di sini.  Bukan itu sahaja, setiap kali ada gambar pun tak banyak mana.

Mujur tahu bagaimana mahu menyelesaikannya.  Itu pun hasil penerangan dari rakan blogger yang pernah menghadapinya.

Harap selepas ini tidak lagi berdepan isu ini.  Susah jugakan.  Ada gambar salah, tak ada gambar salah.

Bila perkara sebegini berlaku, semangat untuk terus membebel di ruangan maya serasa bantut terutamanya orang seperti saya.

Bayangkan nak godek coding sepatah haram tak tahu, kerana itu wajah di blog saya biasa-biasa sahaja.

Bila tak tahu ditambah pula masalah sebegini mahu tak rasa tertekan.  Bagi sesetengah dari kita ini perkara enteng.

Harap selepas ini takkan ada masalah berkaitan kuota ini lagi =)     



nota:  mana-mana pun sama sahaja..



 

::Lagenda Budak Setan 2 - Katerina::

Bertuah sangat apabila pihak Nuffnang memilih sebagai pemenang menjadi antara terawal menonton filem Lagenda Budak Setan 2 (LBS2) pada 26 November 2012.

Bila dapat sahaja email dari Nuffnang terus balas tanpa banyak fikir walhal lokasi tayangan agak jauh dari rumah, GSC Pavillion.  

Akibatnya terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas maha hebat.  Bayangkan seawal jam 6.30 petang keluar dari rumah, sampai di Pavillion jam 9.00 malam.

Nasib baik kaunter Nuffnang masih dibuka, kalau tidak gigit jari.  Namun kepenatan berbalas kerana berpeluang bertemu dengan pelakon utama LBS2, Farid Kamil, Maya Karin dan Bront Palare.

Paling seronok Siti Cutie kerana berpeluang berjumpa dengan Remy Ishak yang turut hadir.  Siap ambil gambar lagi.  Eh, Remy Ishak datang beri sokongan pada Maya Karin ya?!  =)

Kali ini saya menonton LBS2 dengan dada kosong.  Bukan tidak pernah baca novel, tetapi sudah lupa apa jalinan cerita.  Hanya samar-samar bermain di kepala.

Tidak terlalu detail seperti LBS1.  Mungkin kerana hanya membaca novel Katerina sekali lalu maka jalan cerita tidak begitu kuat melekat.

Bila tiada perbandingan antara novel dan layar, saya menikmati sepenuhnya LBS2.  Tiada unsur tidak puas hati dan mahu membanding antara filem dan novel

Okaylah, LBS2.  Boleh ditonton dan bagi penggemar filem romantik, filem ini mampu mengembangkan bunga-bunga di hati terutama melihat adegan percintaan Kasyah dan Katerina.

Agak sedikit menjolok mata adegan romantis yang dipaparkan dan mungkin akan ada suara-suara menyatakan ketidakpuasan hati berikutan isu ini.  Terpulang pada penilaian masing-masing.

**********************************************
Sinopsis ringkas LBS2 dari penceritaan saya =)

Setelah kematian Ayu, Kasyah (Farid Kamil) menjaga anak mereka Athirah dengan sendiri.  Kat (Maya Karin) yang kecewa dengan perkahwinan Kasyah kembali bersemangat dan mahu melupakan segala kesedihan.

Takdir menemukan kembali mereka berdua dan percintaan separuh jalan disambung semula.  Dalam masa yang sama Kate diburu bekas kekasihnya, Hisyam (Bront Palare) yang mahu menjalin semula percintaan.

Kate mahu segera mengahwini Kasyah tetapi dihalang keluarga dengan alasan mahu Kate betul-betul bersedia di samping mengukuhkan perniagaan syarikat di luar negara.  

Kate dan Kasyah diberi tempoh 3 tahun.  Selepas tempoh tersebut baru mereka boleh berkahwin.  Kedua-dua mereka akur.

Kate ke luar negara bagi menjaga perusahaan keluarganya di sana juga mahu melarikan diri dari dikejar Hisyam yang semakin gila sehingga sanggup berbuat apa sahaja asalkan Kate menjadi miliknya.

Sewaktu berjauhan, bapa Kate telah memerangkap Kasyah dan menunjukkan bukti kecurangan Kasyah pada Kate lalu Kate memutuskan hubungan lantas berkahwin dengan Hisyam.

Dalam masa yang sama Kasyah turut berhadapan masalah abangnya, Iskandar.  Masalah yang turut sama mengheret anaknya, Athirah.

Apa terjadi kepada mereka semua, Kasyah, Kate, Hisyam, Iskandar dan Athirah?  Mahu tahu, mula menonton filem ini yang akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai 29 November 2012.

********************************************

Menarik juga LBS2 jika dibandingkan dengan LBS1.  Gandingan Maya Karin dan Farid Kamil sepadan.  Tutur bahasa Maya semakin baik jika dibandingkan di awal kemunculannya.

Ada kelemahan, ada babak kurang logik tetapi dapat diterima dek akal.  Biasalah tu, mana ada perkara sempurna dalam satu-satu hal.  

Lagu Sejati nyanyian Ning Baizura begitu menghambat rasa diri ini.  Sekali dengan terus terpahat di minda.  

Dari 5 saya beri 3.5 bintang.  Jadi, jangan lupa sokong industri filem tempatan.  Bagi yang telah menonton LBS1, tentu mahu tahu apa jadi seterusnya.  LBS3 pula menyusul tahun hadapan.

Bagi yang belum menonton LBS1, LBS2 takkan sukar untuk difahami.  LBS2 mempamerkan betapa besar kuasa cinta antara manusia.

Kerana cinta tiada perkara mustahil sehinggakan mengheret manusia menjadi hamba cinta.  Segala ini ada dipaparkan di dalam LBS2.

Selamat menonton dan terima kasih Nuffnang kerana memilih saya dalam ramai-ramai yang turut serta dalam peraduan dianjurkan!

Imej diambil dari Google Image redirect ke blog ini


Berbaloi meredah kesesakkan lalu lintas melampau, berlari-lari ke pawagam.  Dapat ambil gambar bersama tunggak utama LBS2 - Katerina



 Ala, Farid Kamil tak pandang pula.  Tak apa, janji ada gambar dengan mereka.  Malam tu Diana Danielle turut hadir sama.  Beri sokongan kepada suami!



Kembang-kuncup hati adikku ini dapat bergambar bersama aktor menjadi pujaan hati dia.  Nasib dia perasan kelibat Remy Ishak, nak harapkan saya memang taklah.



Gambar ini saya ambil dari Twitter Maya Karin.  Besarkan gambar dan cari di mana saya.  He..he..he..



Sedang terngiang-ngiang akan lagu ini.  Mulai hari ini sehingga jemu, lagu ini mengambil tempat di hati.  Di ambil dari YouTube





nota:  "Kebahagiaan Lebih Berharga Dari Kekayaan"



Tuesday, November 27, 2012

::Mengisi Ruang Kosong::

Serabut kepala dengan pelbagai hal, tak tahu mana mahu difikirkan.  Kalau tak fikir tak boleh pula :( kenalah hadap segalanya kerana apa yang berlaku kebanyakkannya berpunca dari diri sendiri.

Bila segala berselirat, mahu mengatur irama ayat serasa canggung.  Taip separuh jalan kemudian kekunci Delete ditekan semula, berulang-ulang kali gayanya.

Hujung minggu ada reunion bersama teman-teman sekolah rendah.  Terimbau kenangan 20 tahun lampau.  Meski respon diberikan tidak begitu hangat tetap ada sambutan, Insyaallah semua berjalan lancar.

Perihal reunion, bukan senang mahu mendapat kata persetujuan ramaikan?  Banyak kepala banyak ragam, adatlah tu.  Ada juga cukup berat mahu memberi persetujuan seolah ada sesuatu menghalang.  

Mungkinkah ada kenangan hitam menghantui?  Segan pula rasanya jika mahu diajukan pertanyaan.  Apa pun segalanya sudah berlalu begitu lama, seharusnya mereka tidak tenggelam dalam kenangan.

Bila melihat kejayaan diperoleh rakan-rakan, nafsu cemburu kuat menguasai diri.  Berjaya sungguh mereka serta bahagia diulit keluarga.  Bahagian masing-masing di dunia. 

Saya bersyukur dan tumpang gembira melihat kebahagiaan orang lain.  Insyaallah akan ada ruang waktu buat saya juga satu hari nanti.

Pagi tadi juga bersua dengan seseorang yang juga sudah agak lama tidak bertemu empat mata.  Hmm...minggu ini minggu mengimbau kenangan barangkali.  

Ada getar kerinduan disebalik bicara tetapi tidak mungkin berlaku.  Masing-masing sudah punya haluan berbeza, biarlah hubungan sebagai teman biasa merantai kami.

Betapa Allah menyambut doa bila saya kepingin bertemu individu-individu tertentu.  Individu yang memahat memori kental di minda.  Walau belum bersua secara terus tetapi ianya satu permulaan baik.

Allahuakhbar!  Azan Asar berkumandang.  Berundur seketika, lagi pula sudah keputusan idea.  Mana tahu, selesai melunaskan tanggungjawab akan ada saki baki kisah boleh dikongsi bersama!

Sekurang-kurangnya hari ini saya berjaya mengisi ruang dari terbiar kosong..




nota:  menanti kehadiran pelangi meski seketika akan membuah sekuntum senyuman...





Saturday, November 24, 2012

::Macam-Macam Ada::

Serabut kepala mengenangkan telefon yang hilang masih belum surut lagi.  Sukarnya menerima kenyataan dan setiap hari berdoa dibukakan pintu hati orang yang mengambil utnuk memulangkannya kembali.

Bila tiada digenggaman barulah, "Alamak yang ni ada dalam handphone", "Aduhai, mana nak cari balik, tak buat backup pula hari tu" dan macam-macam lagi sesalan.  Entahlah, kalut sungguh rasanya.
*************************


Sangat kelakar bila kabel external hard disc hilang.  Tak pasti mana perginya tetapi pelik bila hard disc ada kabelnya tiada.  Habis selongkar satu rumah tetapi tetap tak jumpa.  Benda yang sentiasa melekat bersama boleh tiada, itu yang pelik!


*************************

Minggu hadapan ada perjumpaan semula bersama rakan-rakan sekolah rendah.  Tak sabar rasanya hendak tiba ke tarikh tersebut.  Bayangkan selepas 20 tahun baru kali ini dapat bersua kembali.  


Masing-masing sudah punya kehidupan dan komitmen, bukan senang mahu mengumpulkan jumlah kehadiran yang ramai.  Harap-harap ramai akan hadir di saat akhir.


Terima kasih kepada FB berjaya menghubungkan kami kembali walaupun ada yang suam-suam kuku memberi respon.  Segan barangkali!
Tak mengapa, mungkin dengan perjumpaan pertama kali ini akan membuka ruang lebih luas dalam ikatan ukhwah diantara kami semua, Insyaallah.

***************************

Sekarang ni sekolah sedang bercuti.  Hari-hari Buah Hati bertanya tidak mahu bawa dia ke mana-mana ke?  Sedih pula hati mengenangkan.


Bilalah kemelut kewangan bakal berakhir.  Tiga tahun penantian penuh sabar, harap segala ini akan tamat dalam sedikit masa lagi.  
Sabar ya Sayang, ada rezeki nanti kita keluar berjalan..


**********************

Sejak akhir-akhir ni mood ke laut!  Bila hilang mood, fokus melakukan sebarang kerja pun entah ke mana.  Banyak betul perkara berlegar di fikiran.  Kalau dikeluarkan satu persatu saya jamin ringan kepala.

Berat sungguh dugaan Mu Ya Allah kepada hambaMu yang kerdil ini.  Semoga Allah mempermudahkan segalanya

*********************

Minggu hadapan ulangtahun ke-5 Buah Hati.  Jenuh juga memikirkan hadiah buat dirinya.  Dari dulu sudah membiasakan diri dengan pemberian hadiah, kali ini entahlah.

Jika tiada apa dapat diberikan harap anak kecil itu memahami.  Sudah sampai masanya dia tahu bahawa kasih sayang mengatasi segalanya walau hadiah beribu ringgit dipersembahkan. 

Dapat dirasakan akan kehambaran majlis dia nanti =(


********************

Keputusan peperiksaan UPSR keluar awal minggu lalu.  Tersenyum mengenangkan bagaimana berdebarnya diri ini menanti keputusan satu ketika dahulu.  

Kalaulah dapat diputarkan masa, saya memilih untuk menjadi pelajar seumur hidup.  Biarlah dihambat leteran guru, kerja rumah bertali arus tetapi ia tetap tidak seberat apa dikendong hari ini.

Benarlah kata seorang guru saya, "hargai masa saat bergelar pelajar kerana satu hari kita akan menyesal sekiranya tidak berbuat apa-apa demi meloret antara kenangan terindah sepanjang hayat"

Baru saya tahu penilaian UPSR punya 5 subjek dan satu amali menjadikan enam kesemuanya.  Zaman saya dahulu hanya 4 subjek sahaja, itu pun saya gagal dapat kesemua A.  

Hanya berjaya memperoleh 3A 1B, seperti biasa Matematik itulah B.  Nampak sangat benak dengan matapelajaran berangka itu hingga terbawa-bawa ke peringkat Universiti.  

Tapi ambil jurusan Pengurusan Perniagaan.  Macamana tu? Pelikkan?!  

****************************

Hati teringin sangat mahu pergi bercuti tapi saya tahu tidak akan ada peluang tersebut untuk tahun ini.  Lupakanlah sahaja impian untuk bercuti.

Yang saya dapat sekarang bercuti tanpa gaji di rumah.  Bosan jangan cakaplah tetapi bukankah konsep "Rumah Ku Syurga Ku" maka tidak bolehlah membiarkan perasaan bosan menjalari kehidupan.  

************************

Kalau ada lagi nanti saya sambung.  Otak beku, jari kaku.  Tiada apa lagi boleh dilakukan.  Inilah dia bila hidup diselubungi masalah!

***********************





nota:  macam ni pun boleh...
  

Thursday, November 22, 2012

::Keperluan Kad Perubatan::

Sepanjang minggu lepas, berulang-alik dari Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), Buah Hati ditahan di wad bagi tujuan pemantauan.  Asalnya 3 hari sahaja kemudian naik ke 5 hari.

Resah gelisah bila anak kecil dimasukkan ke hospital meskipun doktor mengatakan tiada apa perlu dirisaukan tetapi hati tetap berdebar sepanjang masa.

Semua pun risau yang amat.  Masakan tidak, Buah Hati membesar di depan mata kami sejak dari dua tapak jari kaki, sehingga hari ini kasih sayang tidak pernah surut meski hari berganti.

Sebenarnya agak lama juga Buah Hati sudah tidak sihat.  Sekejap demam, sekejap tidak.  Batuk berulang datang.  Hinggalah dalam tempoh dua minggu sebelumnya, suhu badan dia naik dan turun setiap hari.

Asal petang sahaja, suhu badan naik.  Bila diberikan ubat, demam kebah dan berlarutan berhari-hari.

Habis ubat demam, Macho Man ambil keputusan berjumpa Pakar Kanak-Kanak di KJMC, Dr Syed.  They get used with Dr Syed since Buah Hati born.

X-ray, ambil darah terus dilakukan dan doktor mengesahkan Buah Hati ada Pneumonia.  Ianya merupakan jangkitan di paru-paru dan kerana jangkitan itulah ketahanan badan sangat lemah, demam setiap hari serta hilang selera makan.

Bacaan jangkitan kuman tinggi pada ketika itu dan harus ditahan bagi tujuan pemantauan serta pengambilan antibiotik secara berkala.  Demi kebaikan, relakan sahaja.

Alhamdulillah, hari ini dia kembali pulih tetapi terpaksa berpantang dari segala segi terutamanya makanan.  Kualiti udara tidak sihat juga amat tidak sesuai buat dia. 

Selama 5 hari di hospital cuba teka berapa bil hospital terpaksa ditanggung?  Pegang jantung anda dan jangan terkejut kerana bilnya mencecah RM4,000++.  Juling nak membayar!

Nasib baik sejak kecil anak-anak di rumah mengambil insuran.  Nampak gaya Medical Card telah menjadi satu keperluan.  Jika tidak, tak tertanggung bil hospital mencecah ribuan ringgit melainkan mahu ke hospital kerajaan.

Sebenarnya bukan mahu menidakkan hospital awam tetapi telah semua orang tahu betapa jika punya pilihan, hospital awam bukanlah berada di dalam senarai keutamaan.

Entri ini juga bukan mahu mengiklankan Insuran mahupun Medical Card tetapi ianya hakikat.  Jangan tanya saya bagaimana mahu mendapatkan Medical Card kerana saya bukan agen Insuran.
  
Semua kita sedar, kos perubatan hari ini amatlah tinggi.  Rasanya dengan kehadiran insuran segala menyebabkan harga mencanak naik kerana kos perubatan tidak lagi ditanggung oleh pesakit. 

Lagi pula hospital swasta sekarang semuanya bertaraf 5 bintang.  Begitu selesa seolah-olah berada di dalam hotel.  Tetapi baguskah perkhidmatan ditawarkan?

5 hari di KJMC tiada sebarang perkara menjelekkan walaupun biliknya tidaklah seselesa hospital yang pernah kami ketahui dan yang penting doktor menjalankan tugas berwibawa.

Kebetulan waktu Buah Hati ditahan, rakyat Malaysia sedang menikmati cuti umum, Deepavali dan Maal Hijrah.  Demi tugas, doktor tetap meluangkan masa sekali sehari walau sedang bercuti.

Tidak perlu menunggu keputusan ujian darah, tidak perlu menunggu khabar berita tidak kunjung tiba dari pihak hospital.  Keadaan sedemikian tidak mengundang cemas di hati keluarga pesakit.

Cuma bil sahaja menjerut leher tetapi bila teliti bil, antibiotik yang diberi sememangnya mahal.  Mencecah RM350++ sehari.  Bayangkan 5 hari, kira sendiri =)  Itu belum masuk kos-kos lain lagi.
 
Bukan mahu menidakkan kemampuan hospital kerajaan, tetapi tepu dada tanya selera.  Apa pun ini kali ke-4 rasanya Buah Hati masuk hospital dan dengan Medical Card banyak meringankan beban.

Bagi mereka yang merancang atau belum mempunyai apa-apa polisi untuk anak-anak, perkara ini boleh dipertimbangkan.  Banyak tawaran menarik dan pastikan pandai memilih.
 
Jangan terlalu ghairah dan terpengaruh dengan janji manis agen.  Bandingkan 2-3 polisi dan pilih yang terbaik dan mengikut kemampuan. 

Kenapa saya berkata begini, kerana saya pernah diputar belitkan oleh agen insuran, akhirnya membayar pada polisi yang merugikan.



nota:  serabutnya...


      



  

Monday, November 19, 2012

::Bersedih Lagi::

Satu per satu perkara hitam berlaku.  Sedih tak terhingga dan mula berfikir apa lagi bakal menanti selepas ini.  Ngeri mahu menjenguk hari muka, mana tahu akan ada lagi perkara buruk menanti.

Ya, saya sedang berdukacita, bermurung durja.  Telefon bimbit kesayangan lesap entah ke mana.  Kecuaian sendiri atau satu penganiyaan saya sendiri kurang pasti.

Yang pasti mulai semalan saya sudah tidak memiliki telefon tangan lagi.  Untuk membeli baru dalam waktu terdekat ini, hmm....mustahil.  Biarlah, bukan tak boleh hidup tanpanya =(

Apa yang saya terkilan, terlalu banyak contact number tersimpan.  Bukan itu sahaja, maklumat-maklumat penting serta gambar-gambar peribadi juga turut penuh di dalamnya.

Pengajaran supaya selepas ini sekiranya memakai telefon canggih untuk sentiasa back-up data dan transfer gambar sedia ada.  
 
Nama pun telefon pintar, itu semua boleh dilakukan dengan mudah sebenarnya.  Jangan bila dah hilang terkulat-kulat.
 
Hampir 3 tahun juga menggunakan khidmat I-Phone.  Dari tak pandai menggunakannya langsung sehinggalah saya tidak boleh tidur malam tanpa adanya di sisi.
 
Sebenarnya, I-Phone tersebut bukan milik saya tetapi kepunyaan Abang.  I-Phone saya telah saya jualkan kurang lebih sebulan lalu.
 
Bila dah jual, Abang menawarkan saya mengambil telefon dia.  Terus bersetuju kerana handphone dia sememangnya padat dengan macam-macam hal peribadi.
 
Mungkin takdir telah tertulis, seandainya seorang tidak memakai I-Phone, seorang lagi akan turut sama dan kerana itulah ianya ghaib di tangan saya (ayat memujuk hati lara)
 
Beli sama-sama, tidak pakai pun sama-sama.  Kononnya sehati sejiwa, walhal kesilapan sendiri punca semua berlaku.
 
Seandainya ada rezeki, telefon tersebut pasti akan kembali sementelah segala password saya guna pakai bagi tujuan protection.  
 
Jika orang yang mengambil itu bijak, dia akan terus sahaja bawa ke kedai untuk membuka segala password maka jangan bermimpi untuk dapat kembali.
 
Tetapi jika sebaliknya, mungkin ada harapan cuma bagaimana dia mahu mencari saya.  Entahlah, GM kata jika ada rezeki buat macamana pun akan ada.  Jika tidak, ;((  

Masih sukar menerima kenyataan sehingga tidur malam tak lena dan berharap segala apa terjadi mimpi buruk siang hari.  Mustahil bukan?

Perlu merawat kesedihan hati selepas bersilih ganti menerima berita buruk.  "Ya Allah Kau segerakanlah peralihan duka nestapa ini dan berikan sedikit cahaya untuk mampu melemparkan sebutir senyuman"

Satu hari nanti saya yakin akan berterima kasih pada hari ini, tetapi buat masa ini segala semangat telah hilang melayang.  Harus kembali mencari kekuatan....



nota:  Allah tidak pernah menzalimi umatNya..
 
 

Sunday, November 18, 2012

::Anugerah Industri Muzik 19::

Apa komen anda mengenai Anugerah Industri Muzik 19 (AIM19)?  Berpuas hati?  Sakit hati?  Tak boleh terima kenyataan?  Suka?  
 
Segala dipersembahkan di dalam AIM19 itulah wajah industri muzik Malaysia.  Sudahkah kita berjaya ke tahap pencapaian sangat membanggakan?  Tepuk dada tanya selera =)
 
Tak mahu memberi sebarang komentar nanti saya lebih sudu dari kuah, sudahlah bukan bergiat di dalam industri cuba mahu melebih-lebih pula.
 
Adalah lebih baik saya komen perihal perjalanan AIM19 itu sendiri kerana saya mengulas dari sudut kaca mata penonton yang menonton dari kotak peti empat segi.
 
Secara keseluruhan, boleh tahan.  Lagi pula pengacara tersohor menjadi peneraju utama.  Sayakan gila sangat dengan Aznil Haji Nawawi dari zaman Pop Kuiz, maka berat sebelahlah sedikit..he..he..he..
 
Adibah Nor melengkapkan rasa walaupun kadangkala ada sedikit over.  Tak mengapa kerana dia punya gandingan yang pandai mengaburi mata penonton jika ada kesilapan-kesilapan (statement bias)
 
Tak tahan, Adibah Nor bertukar baju setiap kali berhenti berehat.  Tayang baju betul dia.  Nasib baik cantik dan padan dengan tema.  Eh, ada juga yang janggal di mata.  Baju tajaan barangkali.
 
Aznil juga yang sempoi.  Rasanya hanya bertukar sekali sahaja.  Punyalah minat sampaikan dia tukar baju atau tidak pun perasan.
 
Satu yang saya perhatikan, artis semuanya pakai kasut bertumit tinggi.  Bukan sikit-sikit, melampau benar ketinggiannya sehinggakan kelihatan amat sukar mengorak langkah.  
 
Tak gayat ke mereka?  Mana tahu tiba-tiba terpelecok ke, tumit patah ke, macam-macam lagilah.  Yang pasti ada artis nampak benar kepayahan untuk berjalan.
 
Persembahan pun semua memuaskan.  Adalah 2-3 penyanyi tergelincir dari nota suara dalam erti kata lain SUMBANG.  Ini perkara memalukan ya, kerana ini adalah anugerah muzik.  Tempat penyanyi mencari makan, bila sumbang orang akan berfikir 1000 kali mahu ambil untuk persembahan.
 
Cuma kasihan kerana kebanyakkan penyanyi terpaksa berkongsi pentas.  Pendek-pendek sahaja nyanyian mereka.  Paling ketara Kumpulan Mojo, belum cukup panas dah kena turun pentas, walhal lagu mereka popular.
 
Pemilihan pemenang-pemenang anugerah tak bolehlah nak komen banyak.  Juri lebih pandai menilai siapa berhak menjulang piala.  Cuma sekali lagi sama seperti ASK2012 lalu, berkenaan Salam Musik yang memenangi Anugerah Album Terbaik.
 
Mereka tidak memenangi sebarang anugerah pun di dalam anugerah lain dipertandingkan tetapi dapat Album Terbaik.  Jika benar album mereka terbaik pasti tersangkut di anugerah-anugerah lain juga?
 
Oh, mungkin Salam Musik ada menang sewaktu majlis sebelumnya.  Entah, kena semak bagi mendapatkan kepastian.  Apa pun tahniah kepada para pemenang.
 
Suka sangat bila artis lama menghilang seperti Wan dan Nadia diberi peluang muncul semula.  Tak perlulah pula bercerita betapa melonjak kegembiraan menonton persembahan GX14, gabungan antara Kool, ATOZ, Nico dan Shades.  
 
Meski pendek-pendek dan ada yang menyanyi kurang nafas, tetap mengimbau kenangan zaman persekolahan.  Mereka antara artis pujaan ramai ketika itu.
 
Inilah rasanya pertama kali apabila Dato' Siti Nurhaliza tidak menang sebarang anugerah.  Kebiasaannya dia mesti sangkut paling sedikit satu anugerah.  Barangakali album Inggerisnya belum dapat memenuhi citarasa juri.
 
Lagu Nora, Doa tu sedaplah.  Tak pernah dengar pun.  Harus cari dan layan lagu tersebut.  Begitu juga dengan sebuah lagu dendangan Asmidar.  Tak pernah kenal siapa dia tetapi suara dan lagu boleh tahan.
 
Apa pun yang pasti isu cium tangan kekasih oleh Shila Amzah akan meletup.  Nasib baik tak cium pipi ke, peluk ke.  Kalau tidak habislah dia kena serangan bertubi-tubi.
 
Mungkin dia terkejut dan gugup bila diumumkan sebagai pemenang dan tindakan bersalaman sambil mencium tangan itu spontan.  Yang pasti Sharnaz tersenyum gembira bila kekasih hati menyebut namanya =)
 
Persembahan penutup tidak begitu hangat.  Mus May setakat biasa-biasa tetapi kurang menyengat.  Nasib baik dia punya vokal mantap.
 
Tetapi persembahan Nash mengecewakan.  Dia seolah telah hilang taring untuk beraksi.  Suara juga tidak sebaik dahulu.  Sekiranya artis rock lain menghiasi pentas mungkin kemeriahan AIM19 dapat dirasai.
 
Bila sebut dua orang rockers ni, teringat pula pada Yantzen sewaktu menyampaikan anugerah.  Geram kerana dia mengunyah gula-gula getah ketika bercakap di atas pentas. 
 
Kurang sopan okay!  Ini tayangan secara langsung, beretikalah sedikit di atas pentas.  Bukannya sedang berbual di pasar malam.  Rimas melihat dia!
 
Berapa bintang ya?  3.5 bintang.  Penyertaan harus meriah, barulah boleh mencapai tahap 5 bintang.  Nak buat macamana, zaman melest ni artis semua takut mahu keluarkan album.  Bila tiada album tak bolehlah bertanding di AIM.
 
Berhenti di sini dahulu.  Untuk keputusan penuh, boleh sahaja cari di laman-laman web.  Beautifulnara pun ada rasanya.  Singgah sana ya.   

Harap-harap AIM20 akan lebih baik dari yang ini dan kita akan melihat ramai lagi artis bertanding bersama kualiti produk mereka.  
 
Tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang menjayakan AIM19!

Gambar dari carian enjin Google Image


 
     


 
   nota:  boleh jadi wartawan tak? ahaks!!

Saturday, November 17, 2012

::Hidup Harus Diteruskan::

Meski episod sedih harus dilalui, kehidupan tetap dijalani juga.  Sehingga hari ini masih terkesan dengan berita itu, namun apa lagi yang boleh dilakukan.  Redha sahaja!

Disebabkan keaadan muram durja, terlupa mahu mengucapkan Salam Maal Hijrah buat rakan-rakan.  Hari ini pun telah masuk hari ketiga Muharram.  

Saya hanya boleh berharap agar kedatangan tahun ini akan memberikan sinar harapan dalam kehidupan.  Untuk menggantung angan berlebih-lebih saya sudah tidak mahu lagi.  

Letakkan sahaja nasib pada Allah SWT selain berusaha sebaik mungkin memperbaiki kesilapan lalu.  Moga Allah sahut doa saya ini, InsyaAllah.

Hari ini sama seperti hujung minggu sebelum-sebelumnya.  Tiada perancangan khusus.  Petang pula ke rumah saudara yang bakal menyambut hari lahir anaknya.

Hadiah pun sudah dibeli, hanya tunggu jarum jam berputar dan sampai ke angka seharusnya untuk bertolak keluar dari rumah.  Sedang hujan, harapnya bila mahu keluar nanti, tangisan langit akan berhenti.

Okay, berhenti di sini dahulu.  Kalau punya selera untuk berceloteh akan kembali ke sini semula.  Saya mendoakan semoga rakan-rakan berseronok di samping keluarga menghabiskn hujung minggu!

nota:  mencari kekuatan...