Followers

Saturday, November 10, 2012

::Anugerah Skrin 2012::

Anugerah Skrin 2012 (ASK) baru sahaja melabuhkan tirai.  Majoriti memperkatakan perihal konsep Fairy Tale yang gagal menambat hati penonton termasuk berada di rumah.
 
Pada mulanya saya sendiri berasa lemas dengan apa dipersembahkan.  Pembukaan meleret, tetapi semakin lama seronok pula rasanya.  
 
Berapa ramai agaknya bersetuju dengan saya?  Mungkin hanya beberapa kerat sahaja bersama saya dalam hal ini.
 
Setiap kali anugerah sebegini, pengacara menjadi tunggak utama membawa hala tuju keseluruhan rancangan.  Sedar atau tidak, berapa kerat sahaja pengacara mampu memberi kesan baik memenuhi permintaan penonton?
 
Kebolehan pengacara-pengacara tersohor tidak boleh disangkal.  Tetapi takkan mahu ulang tayang wajah sama sebagai pengacara setiap tahun?  Suka atau tidak, harus membuka ruang kepada muka baru.
 
Renung kembali, berapa kali acara-acara prestij sebegini gagal di tangan pengacara kurang berkaliber?  Bila terlalu banyak lawak jenaka dan mengenakan orang lain pun sering mendapat kritikan.
 
Ada terpaksa berusaha keras menarik minat penonton tak kurang juga yang kaku sewaktu mengacarakan majlis.  Apa lagi mereka yang tidak punya aura di atas pentas.
 
Sekurang-kurangnya dengan konsep sebegini penonton tidak bosan dengan celoteh pengacara yang kadangkala tiada hujung pangkal.  
 
Acapkali kedengaran juga tawa penonton di dalam dewan dengan gelagat pengacara ASK tahun ini.
 
Cuma bila terlalu banyak watak utama di pentas, ia menganggu sedikit tumpuan.  Sekejap orang ini, sekejap orang itu.  Kelam kabut jadinya.  
 
Mungkin watak Cermin Sakti dan Bendahara tidak perlu.  Biarkan sahaja watak utama menjalankan tugas-tugas mengacara.
 
Penyelamat besar ASK adalah pada para penyampai anugerah.  Kali ini mereka tidak keluar semata membaca senarai calon dan menyerahkan piala. 
 
Mereka tampil dengan sketsa pendek berdasarkan watak tersendiri dan dialog-dialog mengancam.  Nama pun pelakonkan, sudah pasti tidak punya masalah mendalami watak.
 
Suatu kelainan bila pentas anugerah bertukar menjadi satu pementasan dan pementasan Putera Arjuna dan Puteri itu dianggap berjaya di tangan artis terlibat.
 
Sedikit menghairankan apabila lagu-lagu yang pernah dinyanyikan di pentas anugerah dipersembahan semula.  Barangkali mahu menyesuaikan dengan jalan cerita tetapi masih banyak lagi lagu lainkan?
 
ASK 2012 akan menjadi kenangan apabila ia bakal dihentam teruk kerana perjalanan rancangan hampir 3 jam tidak menepati citarasa ramai di samping kelemahan ketara dipertonjolkan.
 
Tetapi, ia juga akan dikenang sebagai satu anugerah punya 1001 kelainan dari anugerah-anugerah biasa.
 
Tiada sebarang kejutan dalam senarai pemenang cuma sedikit hairan bila Bunohan tidak menggondol kemenangan bagi kategori-kategori lain tetapi muncul sebagai filem terbaik.
 
Ingatkan filem Songlap bakal merangkul Filem Terbaik ekoran kejayaan-kejayaan lain para karyawan filem ini.
 
Tak apalah, siapa kita mempertikai kemenangan orang lain.  Mereka mengadili pasti tahu dimana kekuatan para pemenang.
 
Dari sudut pandangan saya ASK 2012 berani membawa kelainan dan kebiasaannya suatu kelainan itu pasti janggal di mata umum tetapi di situlah terselit sesuatu yang tidak ada pada yang lain.
 
 Di ambil dari Google Image, TV3





nota:  tahun depan apa pula agaknya..
 
           
 
 
  

No comments :

Post a Comment